Guru Kena Bijak Manfaatkan Facebook

facebook-social-learning

Teknologi pendidikan dicipta untuk memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Ia mungkin digunakan untuk meningkatkan kefahaman pelajar terhadap konsep tertentu ataupun ianya digunakan oleh guru untuk menarik minat pelajar untuk mempelajari sesuatu topik. Bagaimanapun teknologi pendidikan khususnya teknologi maklumat sering dilihat sebagai satu bebanan untuk digunakan walaupun keberkesanannya terhadap pelbagai aspek pelajar seperti sikap dan pencapaian telah dibuktikan dalam banyak kajian lepas. Sebagai ahli akademik, saya berpendapat untuk menjadikan penggunaan teknologi pendidikan sebagai satu bantuan dan bukannya bebanan, ianya terlebih dahulu perlu dijadikan satu budaya dalam masyarakat sekolah. Apabila ianya menjadi budaya, maka ia akan menjadi kebiasaan oleh warga sekolah. Guru mungkin boleh mengambil kesempatan daripada fenomena laman sosial Facebook yang sedang melanda golongan remaja pada hari ini termasuklah pelajar sekolah. Saya yakin majoriti pelajar sekolah mempunyai akaun Facebook masing-masing. Jadi di sini, guru boleh mengemukakan sesuatu topik yang boleh dibincangkan sesama pelajar. Guru juga mungkin boleh mengemukakan soalan dan saya yakin pelajar akan teruja untuk menjawab soalan yang dikemukakan oleh guru mereka sendiri. Pendekatan berbentuk forum di atas talian ini sebenarnya sudah lama dipraktikkan di universiti, malah penglibatan pelajar dalam forum tersebut juga turut dikira dalam pemberian markah kursus secara keseluruhan. Jadi saya rasa tiada salahnya pendekatan sedemikian dipraktikkan di sekolah pula tambah-tambah lagi dalam era teknologi maklumat pada hari ini.

Penggunaan laman sosial Facebook ini juga mendatangkan impak yang baik dari segi pengetahuan pelajar terhadap komputer. Pelajar yang mempunyai akaun Facebook secara automatik akan sedikit sebanyak mempunyai kemahiran menggunakan komputer. Dari situ, guru boleh menggalakkan pelajar menggunakan alat bantu mengajar termasuklah perisian-perisian pembelajaran yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk belajar secara bersendirian. Justeru budaya menggunakan teknologi pendidikan ini penting dalam masyarakat sekolah agar ianya menjadi kebiasaan dan seterusnya dianggap sebagai bantuan dan bukannya bebanan. Perdana Menteri semasa Konvensyen Guru-Guru Muda 2011 baru-baru ini ada menyatakan bahawa pelajar sekolah perlu dielakkan daripada belajar secara menghafal atau rote learning. Menurut beliau, golongan guru perlu memiliki kebolehan tinggi dalam soal adaptasi dan melakukan penambahbaikan dalam tugas supaya anak murid mereka tidak menjadi bosan dalam proses pembelajaran lebih-lebih lagi dalam era globalisasi ini. Salah satu adaptasi yang boleh dilaksanakan ialah menggunakan teknologi maklumat. Saya berpendapat saranan perdana menteri tersebut kepada golongan pendidik muda pada hari ini sangat relevan kerana guru-guru muda hari ini dibesarkan dan dididik dalam era teknologi maklumat. Jadi adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk meneruskan kesinambungan penggunaan teknologi maklumat khususnya dalam pembelajaran dalam kalangan pelajar. Tambahan pula merekalah penggerak transformasi pendidikan negara yang memberi penekanan kepada penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran.

Abdul Halim Abdullah
Ruangan Surat, Berita Harian
23.07.2011 (Sabtu)

Guna Cara Kreatif Tarik Minat Pelajar

Creativity1

Sebagai ahli akademik, saya melihat transformasi pendidikan negara sebagai salah satu agenda kerajaan yang baik untuk memastikan sistem pendidikan di Malaysia tidak ketinggalan zaman dan sentiasa berkembang ke arah yang lebih baik di samping melahirkan modal insan berprestasi tinggi. Justeru peranan guru penting untuk memastikan kejayaan proses transformasi kerana guru merupakan agen perubahan dalam sistem pendidikan. Peranan guru dilihat lebih mencabar kerana untuk menjayakan sesuatu transformasi, sikap memainkan peranan penting. Selain terlebih dahulu perlu mengubah sikap masing-masing, guru juga perlu memastikan pelajar mempunyai sikap untuk berubah untuk menjayakan sesuatu transformasi pendidikan. Sikap memainkan peranan penting kerana tanpa sikap positif dan bersedia untuk berubah, transformasi pendidikan negara tidak akan menjadi kenyataan. Persoalannya, bagaimana untuk mengubah sikap pelajar yang merupakan salah satu penggerak utama bidang pendidikan? Kebiasaannya guru menggunakan pendekatan yang paling mudah untuk meminta pelajar mengubah sikap mereka iaitu dengan cara menasihati mereka. Contohnya guru menasihati pelajar yang tidak meminati mata pelajaran Matematik dengan memberitahu mereka mengenai kepentingan Matematik dalam kehidupan seharian pelajar. Cara sebegini memang mudah untuk dipraktikkan tetapi ianya kurang berkesan untuk mengubah sikap pelajar. Kajian menunjukkan pelajar hanya mengingati 20 peratus daripada apa yang mereka dengar. Memarahi atau mengenakan hukuman ke atas pelajar juga bukan cara mengubah sikap pelajar yang baik. Malah merotan dengan teknik yang tidak betul boleh mendatangkan tekanan fizikal dan mental kepada pelajar.

Selain itu, terdapat juga sebilangan guru yang menunjukkan tayangan video atau melakukan demonstrasi bagaimana menggunakan bahan bantu belajar di hadapan bilik darjah yang bertujuan untuk mengubah sikap pelajar. Contohnya, untuk memupuk sikap positif pelajar terhadap mata pelajaran Matematik, guru menayangkan video yang menerangkan sesuatu konsep Matematik ataupun guru menjalankan eksperimen Matematik di hadapan bilik darjah. Pendekatan sebegini juga kurang sesuai untuk mengubah sikap pelajar kerana kajian menunjukkan pelajar mengingati hanya 50 peratus dari apa yang mereka dengar dan lihat. Cara yang paling berkesan untuk mengubah sikap pelajar ialah memberi pelajar pengalaman yang membawa perubahan kepada sikap mereka. Contohnya untuk mengubah pelajar menjadi seorang yang berjimat cermat ialah membawa sendiri pelajar ke rumah-rumah anak yatim atau pusat jagaan orang tua untuk mereka merasai sendiri bagaimana susahnya kehidupan golongan yang kurang berkemampuan tersebut. Begitu juga cara bagaimana untuk mengubah sikap pelajar yang mempunyai sikap negatif terhadap subjek Matematik. Pelajar seharusnya diberi peluang untuk meneroka sendiri sesuatu konsep Matematik dan bukannya disuap dengan fakta-fakta Matematik. Banyak strategi pembelajaran yang dapat menggalakkan penglibatan aktif pelajar dalam proses pembelajaran mereka. Malah dalam era teknologi pada hari ini, banyak bahan bantu mengajar yang dapat digunakan oleh pelajar untuk membantu pembelajaran mereka. Kajian turut menunjukkan bahawa pelajar mengingati 90 peratus dari apa yang mereka cakap dan buat.
Abdul Halim Abdullah
Ruangan Surat, Berita Harian
25.06.2011 (Sabtu)

Guru Kena Inovatif Jayakan Transformasi Pendidikan

100609-Innovation-vs-Innova

Bulan Mei kebiasaannya dikaitkan dengan sambutan pelbagai hari-hari tertentu termasuklah sambutan Hari Guru yang diraikan pada tanggal 16 Mei setiap tahun. Sebagaimana tahun-tahun lepas, Hari Guru tahun ini juga pastinya mempunyai temanya yang tersendiri. Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) telah bersepakat memilih tema hari guru tahun 2011 sebagai Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara. Berdasarkan kepada tema tersebut, ianya jelas membawa maksud bahawa perubahan yang pastinya ke arah kebaikan dalam sistem pendidikan negara perlu digerakkan oleh para pendidik yang berjumlah 400,000 orang di seluruh negara dan merupakan bilangan terbesar daripada keseluruhan 1.2 juta kakitangan kerajaan. Justeru, salah satu elemen terpenting yang harus dimiliki oleh guru dalam merealisasikan transformasi tersebut ialah budaya inovasi khususnya dalam perlaksanaan strategi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Secara umumnya, inovasi memberi makna perubahan atau pembaharuan dan ianya melibatkan perubahan dari apek idea dan amalan seseorang guru. Nilai-nilai aspirasi 1 malaysia turut menyenaraikan budaya inovasi sebagai salah satu nilai yang perlu diberi penekanan dalam melaksanakannya. Bekas Perdana Menteri Malaysia, YAB Tun Mahathir Mohamad pernah menyatakan bahawa sistem pendidikan perlu diperbaharui dengan memasukkan elemen-elemen karakter bersama kebijaksanaan seperti elemen inovasi. Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga merupakan Menteri Pelajaran Malaysia, YAB Tan Sri Muhyiddin Yasin semasa istiadat Konvokesyen Berpusat Ijazah Sarjana Muda Perguruan baru-baru ini turut meminta golongan pendidik membudayakan inovasi dan kreativiti dalam kalangan pelajar. Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak semasa Perhimpunan Kebangsaan Guru 1Malaysia Bersama Perdana Menteri pada tahun lalu turut menekankan salah satu fokus yang akan diterapkan dalam sistem pendidikan negara iaitu membangunkan generasi muda yang mampu berfikir secara kreatif dan inovatif. Ini jelas menunjukkan betapa pentingnya budaya inovasi dipupuk dalam diri setiap pendidik.

Oleh yang demikian, guru perlu berani berubah untuk kebaikan, berani mencari penyelesaian baru dalam menangani masalah dan sentiasa menjadi perintis dalam bidang pendidikan. Mereka harus berani untuk menyahut seruan para pemimpin negara khususnya membudayakan inovasi. Budaya inovasi sepatutnya wujud sendiri dalam diri setiap guru yang dari semasa ke semasa berusaha untuk memperbaiki setiap aspek dalam diri pelajar seperti pencapaian pelajar, sikap pelajar terhadap mata pelajaran tertentu, pembangunan minda dan sebagainya. Contohnya dalam konteks strategi pengajaran dan pembelajaran, ia boleh diaplikasikan melalui penambahbaikan terhadap strategi pengajaran yang digunakan. Guru yang berinovasi tidak hanya setakat menerangkan tentang sesuatu fakta atau konsep di hadapan kelas. Guru yang berinovasi tidak hanya memikirkan bagaimana untuk menghabiskan sukatan pelajaran secepat mungkin. Guru yang berinovasi juga tidak hanya bergantung kepada buku teks dan buku latihan sebagai rujukan. Guru yang berinovasi sentiasa memikirkan cara bagaimana untuk membantu pelajar untuk memperbaiki setiap aspek dalam diri mereka khususnya melalui pengajaran dan pembelajaran. Guru perlu mempunyai sifat suka meneroka ilmu pengetahuan. Mereka harus meneruskan kesinambungan pembelajaran mereka yang mereka lalui semasa pengajian mereka dahulu dan bukannya terhenti setelah mengenggam segulung diploma atau ijazah. Guru boleh mendapatkan idea melalui pembacaan buku-buku mahupun kajian yang dijalankan di luar negara. Contohnya, strategi pembelajaran yang dikatakan sesuai untuk dilaksanakan untuk topik-topik geometri iaitu fasa-fasa pembelajaran geometri Van Hiele mungkin tidak dinyatakan dalam kurikulum. Tetapi ianya boleh diperolehi melalui pembacaan terhadap kajian-kajian yang telah dijalankan oleh para penyelidik di dalam mahupun di luar negara. Begitu juga dengan kemudahan yang telah disediakan oleh kerajaan di sekolah-sekolah. Contohnya makmal komputer yang dilengkapi dengan komputer dan perisian tertentu. Guru yang berinovasi harus memikirkan bagaimana untuk memanfaatkan kemudahan yang disediakan untuk kebaikan pelajar.

Barangkali ada juga baiknya kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merancang untuk memansuhkan peperiksaan UPSR dan PMR selain daripada dasar mengehadkan pengambilan mata pelajaran dalam SPM yang telah dilaksanakan. Di samping dapat mengurangkan beban guru saban tahun yang terkejar-kejar dan berfikir bagaimana untuk menghabiskan sukatan pelajaran mengikut tempoh waktu yang ditetapkan, banyak masa boleh digunakan mereka untuk membudayakan inovasi ini khususnya memikirkan strategi pengajaran dan pembelajaran yang berkesan untuk pelajar mereka. Kesimpulannya budaya inovasi ini seharusnya sentiasa dipupuk dalam diri kalangan pendidik pada hari ini. Setiap guru harus bertindak kerana budaya inovasi ini tidak akan menjadi amalan sekiranya ianya terus diperkatakan tanpa kesedaran dan tindakan.
Abdul Halim Abdullah
Ruangan Surat, Berita Harian
21.05.2011 (Sabtu)

Kesan positif hadkan pengambilan 10 subjek dalam SPM

keputusan-spm

Pertama sekali, penulis ingin merakamkan ucapan tahniah kepada calon-calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)  yang memperolehi keputusan baru-baru ini. Kepada yang berjaya, teruskan kecemerlangan anda di peringkat seterusnya dan kepada yang kurang berjaya, ingat ini bukan noktah perjuangan anda. Teruskan dan gandakan usaha anda pada masa akan datang. Keputusan SPM 2010 yang dianggap terbaik dalam tempoh empat tahun ini jelas membuktikan keberkesanan dasar mengehadkan jumlah maksimum mata pelajaran yang boleh diambil oleh pelajar pada tahun lepas. Melalui dasar tersebut, pelajar dihadkan untuk mengambil hanya sepuluh mata pelajaran dan mereka diberi kelonggaran untuk mengambil tidak lebih daripada dua mata pelajaran tambahan. Ini bermakna jumlah maksimum mata pelajaran yang boleh diambil ialah dua belas mata pelajaran. Selain terbukti berjaya dengan keputusan SPM yang dianggap terbaik, perlaksanaan dasar tersebut sememangnya memberi kesan positif kepada aspek-aspek lain yang pastinya membawa kepada kecemerlangan keputusan SPM baru-baru ini.

Dengan perlaksanaan dasar tersebut, pelajar boleh memberi perhatian sepenuhnya dalam mata pelajaran yang diambil dan seterusnya mempelbagaikan strategi pembelajaran mereka secara berkesan. Melalui strategi pembelajaran yang berkesan, mereka boleh memahami sesuatu konsep dengan baik dan sempurna dan bukannya sekadar menghafal. Hal ini seterusnya memberi kesan positif kepada pelajar kerana ilmu yang mereka pelajari akan dikuasai untuk kesan jangka panjang dan seterusnya digunakan untuk peringkat yang lebih tinggi. Contohnya mata pelajaran Matematik yang terkandung dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) mengandungi tiga komponen utama iaitu Nombor, Bentuk dan Ruang, dan Perkaitan. Strategi pembelajaran yang berkesan untuk satu komponen tidak sama dengan komponen yang lain. Contohnya untuk komponen bentuk atau geometri, strategi pembelajaran berbentuk penyiasatan konjektur amat digalakkan untuk dilaksanakan kerana ianya terbukti berkesan untuk meningkatkan kefahaman pelajar. Tambahan pula ianya boleh dilaksanakan secara mudah dan berkesan dengan kehadiran pelbagai teknologi seperti perisian Geometer’s Sketchpad (GSP) yang telah dibekalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia kepada semua sekolah menengah di Malaysia. Secara tidak langsung, alat bantu mengajar dan makmal komputer yang disediakan oleh kementerian dimanfaatkan sepenuhnya dan bukan sekadar menjadi perhiasan di sekolah. Hal ini juga menyahut fokus kerajaan dalam sistem pendidikan negara iaitu melahirkan generasi muda yang mampu berfikir secara kreatif dan inovatif serta mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi. Saranan ini ini disampaikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia semasa Perhimpunan Kebangsaan Guru 1Malaysia Bersama Perdana Menteri di Stadium Putra, Bukit Jalil, Oktober tahun lalu.

Dasar mengehadkan jumlah mata pelajaran SPM juga merupakan satu langkah yang wajar dalam usaha untuk mengubah sistem pendidikan negara kita pada hari ini yang lebih berorientasikan kepada peperiksaan. Guru pula tidak perlu terkejar-kejar menghabiskan sukatan pelajaran untuk mempersiapkan pelajar menghadapi ujian dan peperiksaan. Melalui dasar ini juga, pelajar mempunyai masa untuk melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kokurikulum kerana walau secemerlang mana seseorang pelajar dalam bidang akademik, mereka akan menghadapi masalah untuk memasuki institusi pengajian tinggi sekiranya mereka tidak melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum. Menurut Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum bertujuan untuk melahirkan pelajar yang bersifat holistik iaitu mereka bukan sahaja berjaya dalam aspek akademik, tetapi juga mempunyai nilai-nilai insaniah. Hal ini sekali lagi menyahut usaha kerajaan iaitu salah satu fokus yang akan diterapkan dalam sistem pendidikan ialah aktiviti yang dapat melahirkan generasi muda yang berakhlak mulia. Jadi terbuktilah bahawa dasar mengehadkan pengambilan mata pelajaran dalam SPM memberi impak yang besar bukan sahaja dari aspek keputusan peperiksaan, malah akan memberi impak positif kepada aspek-aspek yang lain.
Dr. Abdul Halim Abdullah
Ruangan Forum, Utusan Malaysia
01.04.2011 (Jumaat)

Pendekatan Berhikmah Beri Impak Positif, Buka Mata Semua Pihak

Untitled

Insiden MH17 yang terjadi baru-baru ini pastinya memberi kesan yang mendalam terhadap seluruh rakyat Malaysia. Sejak berlakunya tragedi berkenaan, ke proses analisis punca nahas, proses pengambil sampel DNA untuk pengecaman mangsa, hinggalah ke Hari Berkabung Negara yang berlangsung baru-baru ini, rakyat Malaysia tidak mengira pangkat, usia, bangsa dan latar belakang tidak habis-habis memperkatakan tentangnya. Penulis tertarik dengan kata-kata YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Razak sempena Hari Berkabung Negara pada 22 Ogos 2014 yang lalu iaitu, tiada guna untuk kita lantang bersuara, menyalahkan pihak-pihak tertentu tanpa alasan munasabah yang tidak mendatangkan sebarang hasil, sebaliknya kita perlu mengambil iktibar dan pengajaran daripada hikmah yang tersembunyi dalam kejadian yang menyedihkan seluruh rakyat Malaysia tersebut. Bidang pendidikan juga turut boleh mengambil pengajaran daripada kejadian ini. Pada pandangan penulis, hikmah sebagai kata nama, dan berhikmah sebagai kata sifat, boleh dipelajari daripada insiden MH17 yang menggemparkan seluruh dunia ini. Hikmah, sebagai kata nama merujuk kepada kelebihan atau tujuan sebenar di sebalik sesuatu perkara atau kejadian iaitu dalam kes ini, ianya merujuk kepada insiden MH17.

Dalam konteks pendidikan, banyak yang boleh dipelajari daripada tragedi MH17 ini. Dalam mata pelajaran Geografi umpamanya, murid-murid yang sebelum ini tidak mengambil peduli tentang peta dunia barangkali sudah mengambil maklum mengenai kedudukan negara-negara tertentu dalam peta dunia. Dalam subjek Pendidikan Islam, murid-murid yang sebelum ini tidak pernah tahu atau menunaikan solat sunat jenazah ghaib, mungkin sedikit sebanyak telah memahaminya. Selain itu, murid-murid di sekolah bersatu hati dan melahirkan rasa simpati tanpa mengira bangsa dan agama, bersama-sama bertafakur dan berdoa semasa berlangsungnya Hari Berkabung Negara baru-baru ini. Selain itu, guru perlu melihat keberkesanan pendekatan berhikmah terhadap murid. Berhikmah sebagai kata sifat tersebut merujuk kepada tindakan yang bijaksana dan menarik. Sekiranya guru diajukan dengan soalan berkaitan insiden MH17, guru perlu menjawab secara berhikmah segala persoalan yang diutarakan oleh murid mengenai kejadian tersebut. Seorang guru berhikmah dapat menjawab secara rasional dengan merujuk kepada fakta-fakta sebenar yang mungkin telah diperolehi dan bukannya menambah spekulasi-spekulasi sedia ada. Perdana Menteri sebelum itu, telah membuktikan bahawa betapa pendekatan secara berhikmah mendatangkan impak yang positif, iaitu cara beliau berbincang secara berhikmah dengan ketua pemberontak pro-Rusia ketika itu iaitu Alexander Borodai membawa kepada tiga kata putus yang penting, iaitu mangsa pesawat berkenaan segera dibawa keluar dari lokasi kejadian, kotak hitam pesawat diserahkan kepada pihak berkuasa Malaysia serta pasukan penyiasat dibenarkan melakukan penyiasatan di lokasi kejadian.

Guru yang berhikmah mampu meyakinkan anak-anak muridnya bahawa negara Malaysia pasti akan bangkit selepas diuji dengan dua malapetaka berturut-turut iaitu MH370 dan MH17. Syarikat penerbangan kebanggaan negara iaitu Malaysia Airlines (MAS) juga pasti akan bangkit sebagaimana negara Vietnam yang kini sedang pesat membangun dan bangkit dari malapetaka peperangan yang melanda negara itu, serta wilayah Fukushima Jepun yang berjaya bangkit daripada kemusnahan daripada malapetaka tsunami yang melanda negara matahari terbit itu pada tahun 2011. Jadi tidak mustahil nagara kita yang baru menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke-57 baru-baru ini mampu bangkit dan terus melangkah ke hadapan. Dengan cara berhikmah, guru pastinya akan menjadi role-model kepada murid-muridnya. Murid-murid akan mencontohi keperibadian mulia seseorang guru yang mendidik anak-anak muridnya secara berhikmah dan bukannya dengan cara meninggikan suaranya, menggunakan kekasaran fizikal dan sebagainya.

Video mengenai seorang guru memarahi murid-muridnya dengan cara keterlaluan yang menjadi viral baru-baru ini menunjukkan betapa lemahnya sifat berhikmah dalam diri guru tersebut. Guru yang ingin mengubah sikap anak-anak muridnya ke arah yang lebih baik perlu menunjukkan perwatakan dan tingkahlaku yang baik dan penuh hikmah supaya ianya boleh dicontohi oleh anak-anak murid mereka sebagaimana yang dinyatakan oleh teori Albert Bandura iaitu murid-murid cenderung untuk meniru sesuatu tingkah laku yang diperhatikan. Kesimpulannya, memang tidak dapat dinafikan bahawa insiden MH17 ini meninggalkan kesan mendalam kepada semua rakyat Malaysia dan ianya kekal menjadi satu lipatan sejarah pahit buat negara yang tercinta ini. Berat mata kita sebagai rakyat melihat, berat lagi bahu waris dan keluarga mangsa yang memikul. Namun, ianya pasti mempunyai seribu satu hikmah yang boleh dipelajari.
Abdul Halim Abdullah
Ruangan Forum, Berita Harian
5.09.2014 (Jumaat)

Insiden MH370 Mampu Tingkat Daya Pemikiran Pelajar

Beachgoers walk past a sand sculpture made by Indian sand artist Sudersan Pattnaik with a message of prayers for the missing Malaysian Airlines flight MH370 - which vanished from radar early on March 8 with ongoing search operations mounted by multiple nations taking place in the South China Sea, the Malacca Strait, and the Andaman Sea - at Puri beach, some 65 kilometers away from Bhubaneswar, on March 14, 2014. Malaysia denied March 12 that the hunt for a missing jet was in disarray, after the search veered far from the planned route and China said that conflicting information about its course was "pretty chaotic". AFP PHOTO/ ASIT KUMAR

Insiden MH370 yang berlaku baru-baru sangat memberi kesan kepada semua pihak termasuklah murid-murid sekolah tidak kiralah sekolah tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah. Saban hari, penulis percaya mereka sibuk memperkatakan mengenai tragedi tersebut. Kita semua yakin, peristiwa yang tercatat dalam lipatan sejarah penerbangan dunia ini pastinya memberi banyak hikmah di sebaliknya. Salah satu daripadanya ialah hikmah terhadap sistem pendidikan kebangsaan. Penulis masih teringat ketika satu masa dahulu, murid-murid sekolah sibuk memperkatakan mengenai kejayaan Malaysia menghantar angkasawan pertama negara, iaitu Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha. Ketika itu, murid-murid teruja melihat kecanggihan roket yang menghantar angkasawan, Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), dan banyak lagi. Bezanya, peristiwa tersebut merupakan catatan manis dalam kalendar negara sedangkan tragedi MH370 ini merupakan catatan pahit yang amat sukar diterima oleh kita semua.

Namun, perkara yang paling penting ialah apa yang kita boleh pelajari daripada peristiwa ini. Penulis percaya, banyak benda yang boleh dipelajari di dalam bilik darjah daripada insiden ini yang merupakan salah satu hikmahnya. Dengan mengaitkan peristiwa ini dengan konsep-kosep dalam mata pelajaran tertentu, guru secara tidak langsung mengaplikasikan pembelajaran konteksual iaitu kaedah pembelajaran yang menggabungkan isi kandungan dengan pengalaman harian murid, masyarakat dan alam pekerjaan. Selain itu, elemen-elemen kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) yang sangat dititikberatkan kepada murid dapat diterapkan. Hal ini sejajar dengan kerangka pentaksiran antarabangsa PISA yang menekankan apa yang murid boleh lakukan dengan ilmu yang mereka pelajari di dalam bilik darjah terhadap kehidupan sebenar mereka.

Dalam mata pelajaran Matematik umpamanya, murid-murid dapat mengaitkan konsep radius dan bulatan untuk menganggar keluasan kawasan pencarian pesawat, konsep bearing dan kordinat untuk menentukan kedudukan objek yang dipercayai ada kaitan dengan pesawat, konsep kedalaman lautan Hindi, konsep ketinggian pesawat dan jarak pencarian yang melibatkan ukuran nautika, kaki, dan sebagainya. Dalam subjek sains pula, murid-murid dapat berbincang bersama guru dan sesama mereka mengenai apakah itu satelit, apakah fungsi satelit dan bagaimana satelit dapat berfungsi untuk menentukan kedudukan terakhir pesawat. Selain itu, mereka mungkin boleh mempelajari konsep apungan sesuatu objek, fungsi bahagian-bahagian pesawat dan banyak lagi.

Dalam mata pelajaran bahasa inggeris, guru mungkin boleh meminta murid-murid membaca maklumat atau berita terkini menerusi laman-laman web berita bahasa inggeris tempatan dan antarabangsa seperti laman web New Straits Times (NST) ataupun The Cable News Network (CNN), The British Broadcasting Corporation (BBC) dan sebagainya sebelum berbincang dan berkongsi di dalam bilik darjah. Secara tidak langsung, mereka dapat memperkayakan perbendaharaan kata di samping menambahbaik penggunaan tatabahasa mereka. Dalam mata pelajaran sivik dan kewarganegaraan, guru mungkin boleh meminta murid menjelaskan keburukan berkongsi spekulasi yang tidak tepat di dalam media sosial, kebaikan bantuan antarabangsa terhadap musibah yang dihadapi oleh sesebuah negara dan sebagainya. Dalam bahasa Melayu, murid-murid boleh merumuskan artikel dalam suratkhabar mengenai insiden, merumuskan ucapan atau pengumuman rasmi yang disampaikan oleh YAB Perdana Menteri dan Pemangku Menteri Pengangkutan di samping dapat menambahkan lagi pemahaman terhadap istilah-istilah yang mungkin belum pernah mereka dengari dan ketahui sebelum ini. Dalam subjek sejarah, guru mungkin boleh mengaitkan kejadian nahas pesawat yang pernah berlaku pada masa lalu di seluruh dunia ataupun mungkin kronologi insiden MH370 semenjak kehilangannya dilaporkan pada 8 Mac lalu. Kronologi-kronologi ini mungkin boleh diaplikasikan dalam bentuk peta alir iaitu satu daripada lapan peta pemikiran yang diperkenalkan dalam program I-Think yang bertujuan untuk melahirkan murid yang berfikir.

Di samping itu, murid-murid diharapkan dapat mengambil iktibar daripada pengalaman sejarah untuk mempertingkatkan daya pemikiran dan kematangan mereka. Dalam subjek geografi pula, murid boleh mengaitkan konsep-konsep seperti kedudukan muka bumi seperti daratan, laut dan lautan, penerokaan terhadap peta dunia dan menjelaskan fenomena alam seperti ribut, hujan dan sebagainya yang menganggu misi pencarian pesawat. Dalam konteks mata pelajaran Pendidikan Islam, kata-kata bekas Ketua Juruterbang 777-200 MAS, Kapten Norudin Abd Majid berkaitan insiden MH370 yang pernah menjadi fenomena satu ketika dahulu mungkin boleh dimanfaatkan di dalam bilik darjah. Menurutnya, hanya dua cara untuk menemui pesawat tersebut, iaitu pertama, doa orang yang soleh, dan kedua, doa dari ahli keluarga mangsa yang terlibat. Murid-murid juga boleh mengaitkan tragedi ini dengan beberapa ayat al-Quran dan Hadis yang dipelajari di samping memperkukuh dan mempertingkat amalan ibadat-ibadat Fardu ‘Ain dan Fardu Kifayah seperti menganjurkan solat hajat dan sebagainya.

Sesungguhnya insiden MH370 ini amat sukar untuk kita terima. Apatah lagi ia melibatkan syarikat penerbangan nasional kebanggaan kita semua. Namun, kita semua yakin bahawa pasti ada hikmah yang tersirat di sebalik kejadian ini. Bukan untuk mengambil kesempatan dengan apa yang telah terjadi, tetapi lebih kepada apa yang boleh kita pelajari daripada insiden tersebut khususnya dalam konteks pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Lebih-lebih lagi, proses pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih bermakna dan berkesan jika konsep dan maklumat disampaikan kepada murid dalam konteks yang pelbagai dan berkait rapat dengan apa yang mereka lalui setiap hari dalam kehidupan seharian.

Abdul Halim Abdullah
Ruangan Rencana, Berita Harian
5.04.2014 (Sabtu)

MH370

Terap Budaya Mencipta di Peringkat Sekolah

Untitled

Dalam Taksonomi Bloom Semakan Semula yang menjadi rujukan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang begitu menitikberatkan aspek Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) sejak kebelakangan ini, tahap kognitif tertinggi iaitu tahap keenam ialah mencipta. Tahap ini tidak wujud dalam Taksonomi Bloom asal sebelum ini. Ianya ditambahbaik daripada tahap sintesis yang sebelum ini berada pada tahap kelima. Seseorang pelajar itu dikatakan mencapai tahap sistesis apabila mereka berkebolehan untuk menyatukan maklumat dan konsep kepada satu kesatuan atau rumusan yang bermakna. Manakala tahap mencipta pula merujuk kepada kebolehan pelajar untuk menyatukan elemen untuk membentuk sesuatu, menyusun, menjana, merancang atau menghasilkan semula elemen ke dalam corak atau struktur yang baharu. Kalau dianalisis definisi tahap sistesis dan mencipta, ianya tidak jauh berbeza. Apabila pelajar mencapai tahap mencipta, secara tidak langsung mereka telah mencapai tahap-tahap kognitif sebelumnya iaitu bermula daripada tahap kognitif terendah iaitu mengingat, memahami, mengaplikasi, menganalisis dan menilai.

Di peringkat pengajian tinggi, tahap mencipta ini semestinya perlu dicapai oleh pelajar pasca siswazah yang menjalankan kajian di universiti. Sebelum menjalankan kajian, mereka perlu melakukan tinjauan literatur mengenai kajian-kajian lepas dan seterusnya mensistesis maklumat-maklumat yang diperolehi kepada satu penceritaan mereka sendiri. Penceritaan ini merupakan satu ‘ciptaan’ mereka sendiri.

Dalam konteks pendidikan menengah, kejayaan-kejayaan pelajar sekolah yang memenangi pingat emas dalam pameran-pameran kebangsaan dan antarabangsa menunjukkan pelajar-pelajar tersebut telah mencapai tahap mencipta. Baru-baru ini sekumpulan pelajar dari beberapa buah sekolah berasrama penuh (SBP) mencipta kejayaan di Ekspo Inovasi dan Rekacipta Antarabangsa Macau 2014 (MIIIE 2014) merupakan hasil pencapaian tahap mencipta mereka. Aktiviti mencipta boleh dilihat dalam mata pelajaran Matematik Tambahan melalui Kerja Projek Matematik Tambahan (KPMT). Menurut Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) KPM, KPMT bertujuan memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari di bilik darjah kepada situasi sebenar di luar bilik darjah. Aktiviti ini membolehkan minda mereka digunakan serta konsep dan kemahiran Matematik yang telah dipelajari di dalam bilik darjah dapat diaplikasikan di luar bilik darjah. Selain itu, walaupun tahap mencipta merupakan tahap kognitif tertinggi, aktiviti yang menggalakkan budaya mencipta boleh disediakan mengikut latarbelakang pelajar. Selain mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan, ianya boleh menjana kemahiran berfikir pelajar. Contohnya untuk matapelajaran Matematik Tingkatan Satu, selepas pelajar didedahkan dengan konsep Sudut dan Garis, dengan berpandukan model kad pop-up, guru meminta pelajar mencipta kad pop-up dengan menggunakan pengetahuan sedia ada mereka mengenai sudut. Pelajar bebas menggunakan sebarang sudut sebagai sudut bukaan kad sama ada dengan bukaan sudut tegak, sudut tegak, sudut tirus, sudut cakah, sudut refleks dan sebagainya.

Aktiviti mencipta juga boleh dilaksanakan menggunakan teknologi-teknologi pendidikan yang disediakan di sekolah. Untuk subjek Matematik umpamanya, perisian Geometer’s Sketchpad (GSP) boleh digunakan oleh pelajar untuk mencipta animasi, objek dan sebagainya daripada konsep Matematik yang dipelajarinya. Dalam topik Penjelmaan Tingkatan Dua umpamanya, dalam persekitaran pembelajaran berbantukan perisian GSP, pelajar menggunakan pengetahuan sedia ada mereka seperti konsep Putaran, Sudut, Bulatan, Poligon dan sebagainya yang disintesiskan menjadi sebuah kipas angin yang boleh berputar. Melalui aktiviti sebegini, idea dan konsep matematik dapat dikaitkan dengan bidang ilmu yang lain dan dalam situasi harian mereka. Kata orang, satu langkah lebih baik dari seribu angan-angan dan perubahan besar pastinya bermula dengan langkah pertama. Contoh-contoh ciptaan bukan sahaja keluaran negara Malaysia, bahkan negara-negara lain perlu ditunjukkan kepada pelajar sebagai perangsang dan motivasi kepada mereka. Baru-baru ini saya berkesempatan menghadiri satu seminar antarabangsa di Bangi, Selangor. Salah seorang penceramah keynote dari Korea Selatan menyatakan bahawa guru-guru di Korea Selatan amat digalakkan untuk melakukan inisiatif atau pembaharuan di sekolah, kerana usaha ini walaupun kecil mampu memberi manfaat yang besar kepada pelajar.
Abdul Halim Abdullah
Ruangan Forum, Berita Harian
26.09.2014 (Jumaat)

Teknologi Pemangkin Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)

Teknologi Pemangkin Kemahiran Berfikir Aras Tinggi

Dalam sistem pendidikan di Malaysia, seseorang murid itu dikatakan menggunakan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) apabila mereka dapat menjawab serta berhujah terhadap soalan-soalan yang berada pada tahap kognitif mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta iaitu dengan merujuk kepada Taksonomi Bloom semakan semula. Tahap mencipta merupakan tahap yang tertinggi sekali. Di atas kertas soalan mahupun peperiksaan, agak sukar bagi guru menyediakan soalan atau aktiviti untuk menilai kemampuan murid pada tahap mencipta. Persoalannya, bagaimana para guru dapat memastikan bahawa murid-murid dapat mencapai tahap pemikiran tertinggi tersebut semasa berlangsungnya proses pembelajaran dan pengajaran di dalam bilik darjah? Salah satu caranya ialah dengan menggunakan teknologi pendidikan dan dalam matematik, salah satu teknologi yang boleh digunakan ialah perisian geometri dinamik. Contohnya, untuk menguji tahap mencipta murid dalam topik Penjelmaan Tingkatan Dua, murid diminta untuk mencipta sebuah kipas angin berdasarkan kepada konsep-konsep yang dipelajari dalam topik tersebut serta pengetahuan sedia ada yang lain. Mungkin untuk jangka masa yang panjang serta dengan bekerja secara berpasukan, ianya boleh direalisasikan. Namun, untuk mendapatkan maklumbalas yang segera seterusnya menunjukkan tahap mencipta tersebut berjaya dipamerkan oleh murid, ianya boleh dilakukan dengan bantuan teknologi khususnya perisian geometri dinamik yang mana dalam persekitaran pembelajaran tersebut, murid dapat mensistesis pelbagai konsep matematik yang membawa kepada terciptanya ‘kipas angin’ tersebut. Selain itu, banyak kajian lepas yang menunjukkan bahawa penggunaan perisian komputer khususnya perisian geometri dinamik mampu menjana KBAT murid dalam matematik.

Persekitaran perisian geometri dinamik berupaya mengembangkan pengalaman matematik konkrit murid kepada ke tahap yang lebih formal iaitu abstraks, memupuk semangat murid membentuk konjektur, dan untuk meningkatkan pemikiran matematik murid. Penggunaan perisian geometri dinamik juga dapat meningkatkan daya ingin tahu dan pemikiran murid, dan mencabar kebolehan intelektual murid. Cuba kita pertimbangkan dua cara tersebut untuk menyampaikan satu konsep yang sama tetapi melibatkan penggunaan tahap kemahiran berfikir murid yang berbeza. Cara pertama, guru hanya menyampaikan sesuatu formula atau konsep matematik, dan kemudiannya murid mengaplikasikannya dalam jalan pengiraan. Cara kedua ialah, murid dibimbing untuk menemui sendiri formula atau sesuatu konsep matematik. Dengan lain perkataan, murid tidak disuapkan dengan sesuatu konsep, prinsip, rumus dan sebagainya, sebaliknya mencari sendiri konsep tersebut. Penulis percaya ramai yang akan bersetuju bahawa cara kedua lebih menjana KBAT murid dan salah satu alat bantu mengajar yang boleh digunakan dalam cara kedua tersebut ialah perisian geometri dinamik. Cara kedua tersebut lebih dikenali sebagai strategi pembelajaran secara penemuan. Strategi pembelajaran secara penemuan telah lama dicadangkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk digunakan dalam proses pembelajaran dan pengajaran matematik sekolah menengah.

Menurut Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK), strategi pengajaran seperti ini dapat merangsangkan lagi suasana pengajaran dan pembelajaran di dalam mahu pun di luar bilik darjah di samping dapat menjana KBAT murid. Strategi pengajaran sebegini semakin berkesan dan mudah dilaksanakan dengan bantuan perisian geometri dinamik. Ini kerana untuk menemui sesuatu konsep, murid akan membentuk konjektur mereka sendiri hasil daripada pemerhatian mereka terhadap data-data dan melihat pola yang terhasil. Dengan adanya perisian geometri dinamik, murid boleh membina, mengukur, mengubah dan meneroka bentuk-bentuk geometri serta boleh mengubah pelbagai bentuk tanpa perlu membinanya semula. Nilai-nilai ukuran panjang, sudut dan sebagainya, serta hasil operasi tertentu juga dapat diperhatikan secara terus oleh murid melalui perisian geometri dinamik. Aktiviti yang memberi peluang kepada murid untuk melihat sebanyak mana contoh hanya dalam beberapa saat dan menyediakan maklum balas serta merta yang tidak dapat diperolehi daripada pembelajaran tradisional biasa. Konjektur yang dibentuk oleh murid hasil daripada aktiviti pengajaran penemuan berbantukan perisian geometri dinamik ini kemudiannya boleh dijadikan asas perbincangan dengan murid-murid lain. Aktiviti-aktiviti pembelajaran seperti inilah yang dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan di samping menjana KBAT murid.

Teknologi seperti perisian geometri dinamik ini juga boleh diintegrasikan ke dalam strategi pembelajaran secara kontekstual yang dapat melibatkan aktiviti hands-on dan minds-on. Strategi pembelajaran secara kontekstual merupakan satu lagi strategi pembelajaran yang dapat menjana KBAT murid. Secara umumnya, pembelajaran secara kontekstual merupakan pembelajaran yang menghubungkaitkan konsep yang dipelajari dengan aktiviti kehidupan sebenar. Perisian geometri dinamik boleh memainkan peranan untuk menggabungkan isi kandungan matematik dengan pengalaman harian individu, masyarakat dan alam pekerjaan. Satu kajian yang telah dilaksanakan mendapati, kombinasi penggunaan perisian geometri dinamik dengan gambar-gambar digital yang menunjukkan kehidupan seharian murid memberi kesan yang positif terhadap pencapaian dan pengekalan pengetahuan murid dalam matematik.

Kesimpulannya, terdapat banyak lagi teknologi pendidikan selain perisian geometri dinamik yang telah dibekalkan di sekolah-sekolah. Ini tidak termasuk teknologi pendidikan hasil inisiatif dan inovasi guru sendiri. Kepelbagaian teknologi pendidikan ini sekiranya dimanfaatkan mampu menjana KBAT murid sebagaimana yang ditekankan oleh KPM sejak kebelakangan ini. Bagaimanapun, sebelum teknologi dapat dimanfaatkan sepenuhnya, guru perlu mempunyai persepsi positif terhadap penggunaan teknologi dan bukan menganggapnya sebagai satu bebanan.
Dr. Abdul Halim Abdullah, UTM
Ruangan Forum, Berita Harian
7.06.2014 (Sabtu)

Perjuangan dan Semangat KBAT Perlu Berterusan

WordleHigherOrderThinkingVerbs

Sesi persekolahan tahun 2015 mula membuka tirainya. Perjuangan proses pembelajaran dan pengajaran bakal diteruskan. Kalau kita imbas kembali pada tahun 2014, salah satu aspek yang dititikberatkan dalam sistem pendidikan kebangsaan ialah Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Pada penghujung tahun lalu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menyatakan sebanyak 14 inisiatif yang menjadi keutamaan KPM dalam pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 menampakkan hasil positif. Salah satu daripadanya ialah pelaksanaan KBAT. Kalau diingat kembali, aspek ini diberi perhatian mendalam oleh semua pihak berikutan pencapaian pelajar Malaysia dalam pentaksiran antarabangsa seperti Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) serta Program Penilaian Murid Antarabangsa (PISA) yang menguji KBAT pelajar tidak berada pada tahap memuaskan. Lantas, kementerian telah menjadikan KBAT sebagai salah satu komponen penting dalam PPPM 2013-2025. Seseorang pelajar dikatakan menggunakan KBAT apabila mereka dapat menjawab dan berhujah terhadap soalan-soalan yang berada pada tahap kognitif mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta iaitu dengan merujuk kepada Taksonomi Bloom semakan semula. Kementerian telah mengenalpasti tiga elemen utama dalam menjayakan KBAT iaitu kurikulum, pedagogi dan pentaksiran. Dalam aspek kurikulum, aspek KBAT telah dimasukkan ke dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang dirancang untuk dilaksanakan pada tahun 2017. Dalam elemen pedagogi, kaedah KBAT yang efektif boleh diaplikasikan di dalam bilik darjah. Malah para guru telah diperkenalkan dengan pelbagai teknik dan kaedah pedagogi yang mampu menjana KBAT murid seperti penggunaan I-Think, blok pemikiran, penyelesaian masalah berstruktur dan sebagainya. Apatah lagi, dalam Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), guru diberi kuasa dalam mengembangkan kreativiti pengajaran mereka. Menurut Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), untuk membantu murid menjana KBAT mereka, penggunaan peralatan Teknologi Maklumat (IT) perlu digunakan semasa proses pembelajaran dan pengajaran. Teknologi pendidikan seperti perisian geometri dinamik dan sebagainya berupaya merangsang suasana pengajaran dan pembelajaran di dalam mahupun di luar bilik darjah, di samping dapat mewujudkan perasaan ingin tahu dalam kalangan pelajar. Penulis percaya, sehingga ke hari ini, banyak inovasi khususnya dalam elemen pedagogi dan alat bantu mengajar yang telah dibangunkan dan dilaksanakan secara berkesan oleh guru dan bakal guru berlatarbelakangkan pelbagai bidang. Pada pandangan penulis, sekiranya hasil-hasil inovasi tersebut tidak dimanfaatkan, ianya merupakan satu kerugian besar buat negara. Justeru penulis ingin mencadangkan agar diwujudkan satu sistem atau pangkalan data bersistematik yang dapat menempatkan laporan, kerangka, panduan, alat bantu mengajar dan sebagainya yang boleh diakses dijadikan rujukan bersama oleh semua pendidik di seluruh negara. Dalam elemen ketiga iaitu pentaksiran, seiring dengan pelaksanaan kurikulum baru yang menumpukan aspek KBAT, kementerian juga mengubah konsep soalan peperiksaan dengan memasukkan elemen KBAT dalam soalan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara berperingkat bermula pada tahun 2014. PT3 yang mula dilaksanakan bagi menggantikan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) turut memberi tumpuan terhadap elemen KBAT. PT3 juga merupakan pentaksiran pusat yang merupakan sebahagian daripada komponen Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang mentaksir pelajar secara holistik. Malah ramai pihak yang sudah mula menerima konsep yang digunakan dalam PT3 bagi menggantikan sistem pentaksiran sebelum ini yang berorientasikan kepada peperiksaan. Ketika mula-mula diperkenalkan konsep KBAT kepada semua, ada yang berpendapat sama ada KBAT mampu dipraktikkan kepada murid di Malaysia atau sebaliknya. Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Malaysia menyatakan bahawa selagi kita bermula, selagi itulah kita tidak akan berusaha untuk berubah. Menurutnya lagi, untuk menjadi pesaing kepada negara lain dalam aspek piawaian dan penanda aras khususnya dalam bidang pendidikan, kita perlu mengharungi pelbagai cabaran. Kita sedia maklum, konsep KBAT ini bukan merupakan perkara yang mudah untuk dibudayakan, apatah lagi sekiranya dilakukan dengan terpaksa, semakin sukarlah budaya KBAT ini untuk dipupuk. Bagaimanapun, laporan KPM baru-baru ini yang menyatakan bahawa salah satu inisiatif PPPM yang telah menunjukkan hasil positif ialah KBAT dan ini menunjukkan konsep KBAT ini lama kelamaan semakin diterima oleh semua pihak. Tahun 2015 bakal menyaksikan kesinambungan pelaksanaan KBAT di sekolah khususnya dalam tiga perkara iaitu penyampaian kurikulum, pedagogi serta pentaksiran. Guru-guru juga dilihat sudah mula mengubah cara pengajaran khususnya untuk menjana KBAT murid. Langkah ini perlu terus dilaksanakan dan dijadikan amalan dalam usaha menjayakan pelaksanaan KBAT sebagaimana yang dinyatakan dalam pelan transformasi pendidikan negara. Pelaksanaan KBAT ini bukan hanya bertujuan untuk meletakkan Malaysia dalam kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa dalam tempoh 15 tahun yang akan datang seperti yang dihasratkan dalam PPPM, tetapi apa yang lebih penting ialah untuk melahirkan golongan pemikir yang bakal menerajui dan memacu kemajuan negara pada masa akan datang.
Dr. Abdul Halim Abdullah, Rencana Berita Harian, 25 Januari 2015

Untitled

Kaitkan Konsep Matematik Dengan Situasi Harian Murid

Kaitkan Konsep Matematik Dengan Situasi Harian Murid

Untitled

Matematik merupakan medium yang boleh menjadi penghubung yang baik dalam fenomena semula jadi dan aktiviti yang berlaku dalam persekitaran murid-murid. Disebabkan itu, kefahaman konsep dalam Matematik begitu penting dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Justeru, pembentukan konsep Matematik yang dikaitkan dengan pengalaman murid berdasarkan aktiviti yang berlaku di sekeliling mereka perlu diberikan keutamaan dalam proses pembelajaran dan pengajaran Matematik. Murid dikatakan dapat mengaitkan konsep-konsep Matematik dengan kehidupan sebenar sekiranya mereka dapat menggunakan pengetahuan mereka untuk menganalisis data dalam memahami isu dan masalah yang berlaku di sekeliling, murid yakin menggunakan Matematik untuk menerangkan sesuatu aplikasi yang kompleks dalam dunia sebenar dan murid menganggap pembelajaran bukan sahaja kesinambungan daripada pembelajaran yang lepas, tetapi menggunakan kefahaman yang telah diperoleh dalam sesuatu konteks untuk menyelesaikan masalah lain dalam kehidupan sekeliling mereka. Justeru, salah satu matlamat yang ditekankan dalam kurikulum Matematik sekolah menengah ialah murid dapat mengaplikasikan pengetahuan matematik mereka dengan berkesan termasuklah dalam kehidupan seharian mereka. Untuk mencapai matlamat tersebut, salah satu penekanan yang perlu diberikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran ialah membuat kaitan dalam Matematik iaitu sama ada mengaitkan konsep yang diajar dalam kelas Matematik dengan mata pelajaran lain, mahupun mengaitkan konsep Matematik dengan aktiviti-aktiviti sebenar dalam kehidupan murid. Hal ini secara tidak langsung dapat membantu mereka mencapai objektif-objektif kurikulum matematik sekolah menengah seperti menghubungkaitkan ilmu matematik dengan bidang ilmu yang lain serta membudayakan penggunaan pengetahuan dan kemahiran matematik secara berkesan dan bertanggungjawab. Di peringkat sekolah rendah juga, salah satu objektif kurikulum Matematik sekolah rendah berkaitan dengan kebolehan murid mengunakan kemahiran dan pengetahuan matematik untuk menyelesaikan masalah dalam kehidupan harian dengan berkesan dan penuh tanggungjawab. Pembelajaran yang mengaitkan konsep Matematik dengan situasi harian murid ini selari dengan teori pembelajaran kontekstual yang menyatakan bahawa pembelajaran akan berlaku apabila murid dapat memproses maklumat baru dengan mencari hubungan dengan pengalaman yang mereka telah lalui dalam kehidupan mereka. Teori pembelajaran secara kontekstual adalah berdasarkan kepada teori pengajaran dan pembelajaran konstruktivisme yang mana pembelajaran berlaku apabila guru menyediakan maklumat dan persekitaran yang membolehkan murid-murid membina sendiri pengetahuan mereka berdasarkan pengetahuan sedia ada mereka. Menurut salah seorang pelopor teori konstruktivisme iaitu Piaget, guru yang mewujudkan bilik darjah yang dipenuhi dengan bahan-bahan yang menarik khususnya dalam konteks aktiviti sebenar murid akan menggalakkan mereka membina pengetahuan mereka sendiri dan berkeupayaan untuk meneroka ilmu pengetahuan. Piaget turut menitikberatkan pembelajaran secara hands-on antara murid dengan persekitaran mereka. Pembelajaran secara kontekstual ini memberikan banyak faedah kepada murid. Antaranya ia dapat memupuk murid membina konsep serta dapat menguasai kemahiran bagi sesuatu konsep kerana ia memberikan konteks pengalaman kehidupan seharian kepada mereka. Beberapa kajian lalu mendapati pembelajaran dalam sesuatu konteks memberikan impak positif kepada murid seperti persepsi positif mereka terhadap proses pengajaran dan pembelajaran, mengatasi kesukaran mereka untuk memahami konsep yang abstrak, meningkatkan pencapaian dan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan. Dalam aspek pentaksiran, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) telah menyatakan bahawa item-item Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) perlu diletakkan dalam sesuatu konteks, iaitu situasi yang berlaku dalam persekitaran kehidupan murid dan menggunakan situasi baharu di luar bilik darjah. Bagaimanapun, item-item yang dibangunkan perlu memenuhi prinsip pembinaan item iaitu akur kurikulum yang mana perkara yang ditaksir dan konteks soalan itu diletakkan mestilah merupakan sebahagian daripada kurikulum, serta akur peluang iaitu murid mestilah diberi peluang mencukupi dalam mempelajari perkara yang ditaksir. Tidak adil sekiranya soalan yang diberikan diletakkan sesuatu konteks yang murid tidak biasa ataupun mungkin sebilangan besar tidak biasa dengan konteks yang diberikan. Selain itu, literasi Matematik mengikut kerangka pentaksiran antarabangsa Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) yang menguji KBAT murid ialah kemampuan individu untuk memformulasi, menggunakan dan menterjemahkan Matematik dalam pelbagai konteks. Ia membantu individu untuk mengenali peranan Matematik dalam persekitaran dan membuat keputusan yang diperlukan oleh warganegara yang konstruktif (constructive), terlibat (engaged) dan reflektif (reflective). Salah satu aspek penting dalam literasi Matematik ialah masalah Matematik diletakkan di dalam satu konteks iaitu aspek dalam dunia murid di mana masalah diletakkan. Untuk kerangka Matematik PISA, empat kategori konteks dikenalpasti iaitu peribadi, pekerjaan, saintifik dan kemasyarakatan. Baru-baru ini penulis menonton sebuah rancangan dokumentari mengenai murid-murid di Vietnam. Seorang warga England yang telah lama menetap dan bekerja di negara tersebut ditemuramah oleh wartawan rancangan berkenaan mengenai faktor utama dia memilih Vietnam sebagai tempat berkerjaya. Menurutnya, dia sukakan suasana di Vietnam selepas berlakunya Perang Vietnam yang mana anak-anak muda di situ sangat dahagakan ilmu dan sentiasa ‘memburu’ ilmu pengetahuan. Menurutnya lagi, keadaan di negara tersebut sama seperti keadaannya di England pada 30 tahun yang lalu dan kini England merupakan salah sebuah negara maju di dunia. Persoalannya, mahukah kita pada masa akan datang berada di belakang Vietnam sekiranya generasi muda pada hari ini terus selesa berada pada tahap sekarang. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memperkenalkan pembelajaran abad ke-21 yang mana kementerian telah mengenalpasti kemahiran abad ke-21 yang sesuai dengan konteks tempatan dan dapat menyediakan warga Malaysia untuk bersaing pada peringkat antarabangsa. Untuk menjayakannya, salah satu kemahiran yang perlu ada pada guru ialah mahir dalam pengajaran dan pembelajaran secara kontekstual dalam usaha melahirkan murid abad ke-21. Salah satu ciri murid ke-21 ialah berupaya membuat hubungkait, termasuklah hubungkait pengetahuan yang dipelajari dengan mata pelajaran lain mahupun, dengan situasi sebenar dalam kehidupan mereka.

Dr. Abdul Halim Abdullah, Berita Harian, 12 Jun 2015

Untitled1