Dunia Ini Bukan Milik Kita Seorang

PIC SOURCE: https://serahindia.blogspot.com/2010/10/this-world-is-not-mine.html

Setiap pagi, saya perlu lalukan kad untuk naikkan palang di pondok pengawal di taman perumahan. Saya akan angkat tangan kepada pengawal sebelum keluar ke jalan utama. Kemudian, saya akan melalui kawasan sekolah rendah yang sesak. Kalau pengawal keselamatan sekolah berkenaan minta berhenti untuk bagi laluan kepada kanak-kanak melintas, saya akan berhenti walaupun hati meronta-ronta nak cepat. Kemudian berhenti di lampu isyarat sebelum masuk ke Jalan Pontian-Skudai. Berleter juga kadang-kadang dalam hati kalau terpaksa berada di belakang kenderaan yang bergerak perlahan. Tapi azam tahun baru ni, saya nak jadi seorang yang positif. Sentiasa Husnuzon. Kemudian sampai pondok pengawal UTM, saya akan angkat tangan kepada pengawal. Tak kisahlah kalau mereka tak angkat tangan semula.

Kuliah hari rabu bermula jam 8 pagi. Saya memang akan terpacak dalam kelas sebelum jam 8. Saya mengajar bakal-bakal guru sekolah menengah. Jadi pertama, kita perlu jadi contoh kepada mereka. Kedua, saya nak pastikan mereka ada perubahan dari pelbagai aspek dari awal hinggalah ke hujung semester. Perubahan utama pastinya dari markah mereka. Tapi apa yang lebih penting, sikap mereka. Apatah lagi mereka bakal pendidik anak bangsa pada masa hadapan. Mana tahu mereka akan jadi cikgu kepada anak-anak saya. Jadi saya agak tegas terutamanya dari aspek ketepatan masa dan kehadiran kuliah. Tapi saya boleh bertoleransi kepada mereka yang punya alasan kukuh seperti tidak sihat dan sebagainya dengan syarat ada bahan bukti. Baiknya saya, walaupun lewat sekalipun mereka hadir ke kuliah, saya tetap akan beri mereka untuk scan QR-code kehadiran. Sebab bagi saya, mereka put an effort untuk datang kelas. Tapi selepas dengar saya membebel lah. Haha. Tapi pantang saya, kalau ada mereka yang scan kan bagi pihak rakan mereka yang tidak hadir. Itu tidak jujur namanya. Zaman dahulu mungkin lebih mudah sebab guna kertas. Tapi sekarang dah ada teknologi scan kehadiran dan nak detect memang mudah.

Bagi saya, dunia ini bukan untuk kita sahaja. Dunia ini milik bersama. Masing-masing ada tugas, tanggungjawab dan komitmen. Pengawal taman perumahan saya umpamanya, mereka bukan warga negara Malaysia. Tapi mereka mencari rezeki untuk keluarga mereka di negara asal. Mereka berjaga 24 jam untuk menjaga kawasan perumahan. Pengawal sekolah juga sama. Satu hari nanti anak-anak saya juga akan bersekolah. Mereka berkorban untuk anak-anak orang lain demi sesuap nasi untuk anak-anak sendiri. Pelajar-pelajar saya juga sama. Walaupun pelajar, mereka wajar dihormati. Sebagai abang (atau pakcik), saya mempunyai tanggungjawab untuk memberi nasihat kepada mereka. Mereka nak terima atau tidak, terpulang kepada mereka. Kita dah buat apa yang sepatutnya kita buat.

Jadi, hormatlah sesiapa sahaja kalau nak diri sendiri dihormati. Daripada makcik cleaner, pengawal keselamatan, kerani, hinggalah ke mereka yang berjawatan besar, mereka berhak dihormati. Tapi bagaimana kalau kita hormat orang lain, sebaliknya dilayan tidak sepatutnya oleh orang lain? What goes around comes around. Tuhan itu maha adil. Jangan sesekali anggap kita ini sudah cukup bagus. Kita tidak selamanya berada di atas. What you give, you get back. Ada orang kata lawan tetap lawan. Tapi sejujurnya itu bukan saya. Kehidupan ini satu perjalanan, bukan destinasi. Istilah hukum karma tiada dalam kamus umat Islam. Biarlah Allah jua yang membalas setiap kebaikan dan keburukan yang kita lakukan.

“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” (Az-Zumar:10)

Saya bukan orang yang baik pun. Tapi saya akan terus berusaha untuk sentiasa memperbaiki kelemahan saya.

Wallahualam