Kedudukan 100 Kotaraya Dunia Yang Menjadi Tumpuan Pelancong Pada Tahun 2018

Saya tertarik dengan satu laporan rasmi bertajuk Top 100 City Destinations 2018 yang mengemukakan 100 bandaraya di dunia yang menjadi destinasi pelancong pada tahun 2017 dan jangkaan bilangan pelancong dari seluruh dunia pada tahun 2018. Laporan ini turut dikongsikan dan dibincangkan oleh rangkaian berita terkenal seperti CNN dan BBC. Menariknya, berdasarkan laporan tersebut,

1. Kuala Lumpur merupakan bandaraya ke-9 paling kerap dilawati oleh pelancong dari seluruh dunia. Kedudukan ini mengatasi banyak kotaraya terkenal yang lain seperti Tokyo, Sydney, Seoul, Amsterdam, Los Angeles, Milan dan banyak lagi.

2. Selain Kuala Lumpur, dua buah kotaraya Malaysia yang termasuk dalam kedudukan 100 tersebut ialah Johor Bahru di tangga ke-37 dan Pulau Pinang ke-66. Saya sedikit surprise dengan kedudukan Johor Bahru yang mengatasi banyak kotaraya terkenal lain seperti Melbourne, Madrid, Moscow, Lisbon dan banyak lagi. Persoalannya ialah adakah Johor Bahru ini benar-benar menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia ataupun statistik ini turut mengambilkira kemasukan rakyat Singapura yang sememangnya kerap datang ke JB. Tapi kedudukan ini tidak mustahil juga kerana Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dihubungkan dengan banyak penerbangan terus ke Thailand, China, Indonesia, Vietnam dan Korea Selatan.

3. Kedudukan lima teratas kotaraya yang menerima bilangan pelancong termasuklah Hong Kong di tempat teratas, diikuti Bangkok, London, Singapura dan Macau. Kotaraya cinta dunia iaitu Paris di kedudukan keenam, diikuti Dubai di tangga ke-7 dan New York di tangga ke-8 sebelum Kuala Lumpur di tangga ke-9.

4. Menariknya, selain Bangkok yang menduduki tangga kedua, banyak bandaraya lain di Thailand berada di kelompok 100 tersebut iaitu Phuket (tangga 11), Pattaya (tangga 25), Chiang Mai (tangga 64) dan Krabi (tangga 100). Kenapa ya ramai pelancong suka datang ke Thailand? Fikir positif ya.. mungkin sebab Thailand banyak kawasan pantai yang cantik dan kawasan pergunungan yang menarik.

5. Mekah merupakan kotaraya ke-21 paling kerap dikunjungi oleh penduduk dunia. Tapi pelik juga kenapa Madinah tak termasuk dalam kelompok 100 tersebut. Bukan apa, kalau diikutkan logik, jemaah haji dan umrah akan mengunjungi kedua-dua kota suci tersebut. Manakala di Korea Selatan pula, hanya dua buah bandar yang berada dalam senarai iaitu Seoul di tangga ke-24 dan Jeju di tangga ke-87.

6. Bandaraya paling kerap dikunjungi di Indonesia ialah bukan Jakarta, tetapi Denpasar iaitu ibu kota pulau peranginan terkenal di Indonesia iaitu Bali. Denpasar menduduki tangga ke-33, diikuti Jakarta di tangga ke-60. Paling mengejutkan ialah kotaraya ketiga di Indonesia yang termasuk dalam kelompok 100 tersebut ialah Batam yang berada di kedudukan 97.

7. Kebanyakan bandaraya yang berada dalam kelompok 100 tersebut, malah jika juga diperkecilkan kepada kelompok 30, terletak di negara-negara Asia. Barangkali ada betulnya kata-kata seorang sahabat saya dari United Kingdom. Katanya, kalau orang Asia mengimpikan untuk menjejakkan kaki ke negara-negara Eropah atau negara-negara barat, orang-orang barat pula mengimpikan untuk menjejakkan kaki ke negara-negara Asia.

Maklumat lanjut mengenai laporan ini boleh dicapai melalui laman web berikut:

https://go.euromonitor.com/white-paper-travel-2018-100-cities.html?utm_source=blog&utm_medium=blog&utm_campaign=CT_WP_18_12_04_100%20Cities&utm_content=organic

 

Speak Your Mind

*