[Part 1] Pencapaian Cemerlang Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia Dalam QS World University Rankings 2019

Pada tanggal 7 Jun 2018 yang lalu,  QS World University Rankings 2019 telah diumumkan. Ia merupakan satu penilaian tahunan yang memberi pengiktirafan pada universiti-universiti terbaik di seluruh dunia. Berbanding tahun-tahun sebelum ini, ranking 2019 ini dilihat terbaik buat institusi pendidikan tinggi di Malaysia. Berdasarkan laporan ranking 2019 tersebut, sebanyak 13 buah universiti Malaysia berjaya disenaraikan antara 1000 universiti terbaik di dunia. Bilangan ini merupakan yang tertinggi berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya, iaitu hanya lapan universiti tersenarai dalam ranking 2016, dan sembilan universiti dalam ranking 2017 dan 2018. Universiti Malaya (UM) merupakan universiti terbaik di negara kita ketika ini apabila berjaya menembusi kelompok 100 universiti terbaik di dunia dengan berada di kedudukan 87, meningkat dari kedudukan ke-114 tahun lalu.

Dengan kedudukan ini, UM berjaya mengatasi banyak universiti ternama yang lain seperti Boston University dan Purdue University di Amerika Syarikat, Uppsala University di Sweden, University of Aberdeen di Scotland, University of Geneva di Switzerland, dan banyak lagi. Ia turut mencatat sejarah sebagai universiti pertama di Malaysia yang berada di kelompok 100 terbaik di dunia. Empat universiti penyelidikan yang lain terus mengukuhkan kedudukan sebagai lima universiti terbaik di Malaysia dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di kedudukan ke-184 berbanding kedudukan 230 pada tahun lalu, diikuti Universiti Putra Malaysia (UPM) di kedudukan ke-202 berbanding kedudukan 229 pada tahun lalu, Universiti Sains Malaysia (USM) di kedudukan ke-207 berbanding 264 pada tahun lalu dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di kedudukan ke-228 berbanding 253 pada tahun lalu. Selain lima universiti penyelidikan tersebut dan universiti yang pertama kali berada dalam ranking, seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 1, universiti-universiti lain dalam ranking tersebut turut menunjukkan peningkatan atau mengekalkan kedudukan mereka sebagaimana edisi tahun lalu. Malah tiada satu pun universiti yang menunjukkan penurunan. Empat universiti swasta Malaysia berada dalam ranking buat pertama kali iaitu UCSI University, Taylor’s University, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Multimedia University (MMU). Walaupun pertama kali berada dalam ranking, beberapa universiti tersebut berjaya mengatasi universiti lain yang telah tersenarai dalam ranking sejak beberapa tahun yang lalu. Dalam kalangan universiti swasta termasuk Universiti Teknologi Petronas (UTP) yang telah pun berada dalam ranking sejak tahun 2017, UCSI berada di kedudukan 481 terbaik di dunia, dan seterusnya menjadi universiti swasta Malaysia terbaik ketika ini.

Bersambung…………

 

Speak Your Mind

*