[PART 3] Perkara Yang Boleh Dipelajari Dari Temasya Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/part-2-perkara-yang-boleh-dipelajari-dari-temasya-sukan-sea-2017-kuala-lumpur/

gambar: https://kualalumpur2017.com.my/

Kejayaan penganjuran dan kejayaan atlet dalam Sukan SEA pada kali ini pastinya akan memberikan inspirasi dan rangsangan kepada banyak pihak untuk turut berjaya dalam bidang masing-masing. Bagaimana daya juang atlet untuk berjaya boleh menjadi inspirasi kepada kita untuk jangan sesekali berputus asa dalam mencapai impian. Bagaimana atlet bekerja keras berlatih untuk menggenggam kejayaan boleh memberi inspirasi kepada kita untuk turut berusaha untuk menggapai impian. Ketahanan mental perlu kuat apatah lagi berhadapan dengan pemain-pemain yang lebih hebat, ditambah lagi dengan tekanan dan harapan berjuta rakyat Malaysia. Justeru walau apa pun matlamat kita ke arah kebaikan, ketahanan mental sangat penting untuk berjaya. Jonathan Wong umpamanya contoh terbaik sebagai seorang atlet yang mempunyai ketahanan mental yang kuat apabila memenangi acara menembak yang disertainya biarpun berhadapan dengan jaguh Olimpik dari Vietnam. Kejayaan atlet negara turut akan memberi meningkatkan minat khususnya murid sekolah kepada sukan. Kalau dahulu mereka tidak pernah ambil peduli tentang kewujudan sukan-sukan tertentu, tetapi kini perasaan minat mungkin sudah wujud terhadap sukan tersebut. Kalau dahulu mereka barangkali tidak tahu sistem kiraan mata dalam acara sukan tertentu, tetapi kini mereka telah mengetahuinya. Kejayaaan atlet-atlet kebangsaan negara juga membuktikan mereka bukan sahaja boleh berjaya dalam bidang sukan, malah dalam bidang akademik. Ramai atlet yang juga merupakan penuntut universiti. Menurut Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Dato’ Seri Idris Jusoh, untuk temasya KL2017 ini, seramai 264 daripada 874 atlet iaitu bersamaan dengan 30.2% yang mewakili Malaysia ialah mahasiswa institut pendidikan tinggi. Mereka menyertai 33 daripada 38 jenis sukan yang dipertandingkan dalam temasya kali ini. Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) umpamanya terdiri daripada pemenang pingat emas acara pencak silat iaitu Muhammad Faizul M. Nasir, pememang pingat gangsa dari acara judo iaitu Nik Norlydiawati Nik Azman, manakala Nurfariha Abd. Razak dan Pow Mei Foong dalam acara bola jaring. Selain itu, ramai atlet negara yang bukan datang dari keluarga yang senang. Sebaliknya kekurangan seharusnya dijadikan pemangkin semangat untuk lebih berusaha mencapai kejayaaan, tidak kiralah dalam bidang sukan mahupun bidang-bidang lain. Bagaimana Malaysia selaku tuan rumah berjaya menganjurkan Sukan Sea edisi 2017 ini dengan jayanya menunjukkan kesatuan dan sokongan kuat pelbagai pihak dari peringkat akar umbi hinggalah ke peringkat atasan. Ini memberikan inspirasi kepada kita akan sokongan dan kerjasama yang padu dan dalam sesebuah organisasi atau kumpulan mampu menzahirkan sebuah kejayaan.

Speak Your Mind

*