Sesungguhnya Ilmu Itu Tinggi Nilainya

Kes 1

Bulan ini, saya perlu berjimat sedikit kerana saya telah buat pembayaran yuran pembentangan early-bird untuk sebuah persidangan antarabangsa tetapi bertempat di Malaysia. Saya ada geran penyelidikan, namun, peruntukan tahun pertama sudah habis. Disebabkan saya teringin benar nak hadir dan bentang kertas kerja secara fizikal, saya tekad untuk hantar kertas kerja dan buat pembayaran. Ini merupakan pembentangan pertama saya secara fizikal sejak pandemik COVID-19 melanda. Ini juga signature paper saya dan saya merupakan individual author. Saya rindu nak jumpa pembentang dari universiti lain, rindu nak bersembang dengan rakan-rakan yang sama bidang, rindu nak dapatkan ilmu dari penyelidikan orang lain, rindu nak bertukar-tukar bilik sesi selari dan rindu nak bertukar-tukar pendapat. Berbeza budaya perkongsian ilmu secara fizikal dan secara maya. Kertas kerja sudah diterima dan persidangannya lama lagi; bulan 5. Tapi disebabkan nak kejar harga early-bird, saya bayar juga. Alhamdulillah takdalah sampai ikat perut bulan ni. Cuma makan nasi bungkus sahaja

Kes 2

Saya sedang dan bakal menyelia pelajar pasca siswazah. Kalau dilihat trend sekarang ini, hatta jurnal yang bukan diindeks Scopus dan Web of Science (WOS) pun perlukan kelulusan jawatankuasa etika penyelidikan. Untuk dapatkan kelulusan, penyelidik perlu buat sedikit bayaran. Kalau seorang dua, inshaAllah penyelidik atau pensyarah boleh cover, namun kalau ramai pelajar pasca siswazah yang diselia, nampaknya kena rajin puasa sunat lepas ni. Saya pula sejenis yang pastikan hasil kajian pelajar dapat dikongsikan dan bukan setakat diletakkan di rak buku. Bak kata penyelidik tersohor, “No matter how important your research is, if it is not shared and published, it is nothing”. Jadi nak taknak, kelulusan jawatankuasa etika penyelidikan perlu diperolehi.

Kes 3

InshaAllah bulan ini akan ada empat buah artikel saya bersama pelajar yang bakal diterbitkan dalam sebuah jurnal berindeks MyCite. Pada mulanya saya rasa sayang sangat keempat-empatnya hanya dapat diterbitkan dalam jurnal MyCite. Namun disebabkan halangan kewangan, saya teruskan sahaja niat untuk terbitkan artikel-artikel di jurnal tersebut yang juga mengenakan sedikit caj yuran penerbitan. Saya tak minta pelajar bayar sebab mereka dah banyak keluarkan duit untuk buat penyelidikan, namun saya niat sahaja untuk menyebarkan dan berkongsi ilmu.

Jadi, apa yang boleh kita simpulkan dari kes 1, kes 2 dan kes 3? Hargailah ilmu kerana sesungguhnya ilmu itu mahal dan tinggi nilainya.