SIRI MESEJ INTEGRITI 11 : TADBIR URUS TERBAIK

Salam dan Selamat Sejahtera kepada semua warga UTM,

Siri Mesej Integriti kali ini ingin memberi penerangan berkenaan tadbir urus terbaik. Secara khususnya, takbir urus didefinisikan sebagai satu sistem dimana organisasi diarah dan dikawal (The Cadbury Report – 1992). Manakala KSN dalam surat arahan terhadap usaha bagi mempertingkat Tadbir Urus di Sektor Awam bertarikh 9 Mac 2007 memberikan definisi tadbir urus seperti berikut:
“Tadbir urus merangkumi aspek – aspek seperti tatacara Ketua Eksekutif/Ketua Jabatan dan para pegawai di semua peringkat pengurusan melaksanakan tanggungjawab secara telus dan berhemah dari segi pengambilan dan penyampaian hasil, struktur termasuk budaya kerja, dasar, strategi serta tatacara mereka berurusan dengan pelbagai pihak yang berkepentingan (stakeholders) dan proses di mana agensi awam diurus/diarah, dikawal dan dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan objektif yang telah dipersetujui”(Tan Sri Mohd. Sidek Hassan, 2007).
Manakala tadbir urus terbaik (good governance) didefinisikan sebagai “konsep normatif nilai – nilai ke arah merealisasikan perlakuan tadbir urus dan kaedah yang digunakan oleh sekumpulan aktor sosial yang berinteraksi mengikut konteks sosial tertentu”. Oleh itu, tadbir urus terbaik perlu memberikan penekanan terhadap dua aspek utama iaitu:
1. PRESTASI – Pengurusan penyampaian adalah amat penting dalam penyampaian perkhidmatan yang efektif dan efisien, seperti yang diharapkan oleh pihak – pihak berkepentingan (stakeholders) di samping mempastikan perkhidmatan tersebut “value for money” serta pengurangan terhadap pembaziran sumber dan dana.
2. PEMATUHAN – Pematuhan terhadap undang – undang iaitu setiap organisasi/agensi perlu mematuhi segala peraturan, undang – undang, piawaian (standard) yang digunapakai dan harapan masyarakat terhadap amalan kejujuran, akauntabiliti, dan integriti serta ketelusan dalam perkongsian maklumat.
Tadbir urus terbaik berteraskan beberapa prinsip utama tersebut seperti :
1. Fokus kepada pelanggan – Tadbir urus yang sentiasa memberi keutamaan menyeluruh kepada pelanggan. Prinsip ‘customer is always right’ diberi penekanan dan usaha ke arah meningkatkan kepuasan hati pelanggan sentiasa dilaksanakan secara berterusan. Dalam ertikata lain, agensi/jabatan yang melaksanakan tadbir urus terbaik akan sentiasa memastikan operasi perkhidmatan berfungsi untuk kepuasan pelanggan yang maksima dalam pelbagai dimensi.
2. Beretika – Prinsip ini merupakan tunjang bagi tadbir urus terbaik. Penekanan terhadap nilai – nilai positif dalam perlaksanaan dan penyampaian perkhidmatan adalah amat kritikal bagi menghasilkan output terbaikyang diharapkan oleh masyarakat dan pihak berkepentingan sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Pengurusan perlu sentiasa mempastikan ahli – ahli dalam agensi mempunyai etika yang tinggi serta mengamalkan nilai – nilai murni melalui aktiviti dan program kualiti menyeluruh.
3. Ketelusan – Ketelusan dalam perkongsian maklumat kepada pihak yang berkepentingan juga amat dititikberatkan dalam tadbir urus terbaik. Ketelusan amat penting dalam segala segi. Ianya boleh dilihat melalui proses kerja yang jelas dan mudah difahami, penyampaian maklumat kepada dan pengaksesan maklumat oleh pihak berkaitan.
4. Akauntabiliti & Integriti – Akauntabiliti adalah kewajipan untuk memerikan penjelasan terhadap apa jua tindakan dalam perlaksanaan tugasan kepada sesiapa yang berhak untuk mendapatkan penjelasan tersebut. Akauntabiliti dan integriti adalah elemen terpenting dalam tadbir urus terbaik. Setiap pegawai dalam agensi perlu melaksanakan tugas dengan penuh integriti serta menjawab terhadap segala tindakan yang diambil.
5. Efektif dan Efisien 
Pegawai sektor awam perlu sentiasa memastikan penyampaian perkhidmatan dilaksanakan secara efektif (cekap) dan efisien (berkesan). Kecekapan dan keberkesanan pegawai merupakan tonggak kepada tadbir urus terbaik dalam sesebuah organisasi. Seseorang pegawai perlu memastikan organisasinya mempunyai sistem yang dinamik, cepat dan tepat, melalui sumber yang minimal (efisien) dengan penghasilan kerja (Output) yang maksimum (efektif).
 
6. Pengurusan Perubahan 
Tadbir urus yang cekap dan berkesan (terbaik) adalah sebagaimana pengurusan mengurus dan menangani perubahan (change management). Organisasi yang dinamik akan sentiasa bersedia menerima perubahan dengan membuat penyesuaian mengikut perubahan dan kehendak semasa. Dalam hal ini, persediaan dan komitmen menyeluruh dari pihak pengurusan adalah amat kritikal. Perubahan dalam sesebuah organisasi amat perlu agar organisasi lebih dinamik dan berdaya saing.
Kesimpulannya, tadbir urus terbaik akan membawa setiap pegawai universiti ke arah penyampaian perkhidmatan yang lebih efektif dan berkesan demi kemaslahatan bersama.
Bersempena Bengkel Semakan Strategik Sasaran UTM 2017 yang bakal berlangsung mulai 12 Oktober 2016 ini, sama – sama kita doakan semoga pihak pengurusan tertinggi UTM dapat mencambah fikiran dan mengerah minda ke arah mencapai keputusan terbaik demi masa depan dan hala tuju UTM.
Sekian, semoga bermanfaat.
Bersumber : PPUM Weblog 
MORAL : Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. 

RAIHAN BINTI ABD KARIM 
Pegawai Integriti /Certified Integrity Officer (CeIO)
UTM Pejabat Penasihat Undang-Undang / UTM Chambers of The Legal Adviser
Sultan Ibrahim Chancellery Building
Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
81310 UTM Skudai
Johor Darul Ta’zim
MALAYSIA.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *