Oleh Norfaradina Ab Ghafar
Soalan ini saya tidak pernah dapat dari orang putih walhal sudah bertahun menetap di UK, tapi bila balik berhari raya di Malaysia bertubi-tubi soalan ini hadir. Saya tidak kisah, saya hadiahkan senyuman, warga Malaya memang prihatin. Masha Allah. Bentuk soalan yang selalu mereka tanya, suami awak doktor hospital mana? Doktor bahagian apa? Ada klinik tak?
Begini ceritanya, suami saya bukan doktor perubatan. Suami saya seorang pemegang ijazah doktor falsafah, PhD daripada Imperial College London, pengkhususan beliau adalah Composites Material, suatu cabang Aeronautic Engineering, di negara kita tenaga mahir bidang ini belum ramai lagi.
Alang-alang ni, mari saya kongsikan sedikit pengalaman saya menemani suami saya, Dr. S dalam tempoh beberapa tahun perjuangan dan survival PhD beliau.Selalu kita jumpa tips untuk calon PhD sahaja, bagaimana mahu menulis thesis dalam tempoh tertentu, bagaimana mahu pilih penyelia pengajian yang bagus, bagaimana mahu lulus viva dengan cemerlang, bagaimana mahu tulis thesis yang tidak ditolak oleh penyelia dan lain-lain, tapi hari ini saya mahu kongsi tips tentang : Bagaimana Menjalani Kehidupan sebagai Pendamping Hidup / Isteri / Suami kepada Seorang Calon PhD. Maklumlah, 9/10 calon PhD biasanya orang yang sudah berumahtangga.
1. Ambil tahu perjalanan PhD pasangan, apa research area, sudah berapa jauh research mereka, sudah sampai peringkat apa PhD mereka, proposal, defend proposal, writing, submission, proof reading, correction. Dari sekecil hal seperti hari ini ada meeting group ke, jumpa penyelia ke, sehinggalah hari viva. Lebih-lebih lagi jika calon PhD nya suami, isteri siapkanlah mereka pakaian yang mengikut keperluan. Pada hari berjumpa penyelia biar kemas sedikit, jangan comot-comot. Viva pakai tali leher, pakai blazer. Pergi conference pakaian ikut cuaca tempat yang mahu dipergi. Kalau ke Switzerland bekalkan baju tebal, kalau ke Thailand siapkan baju yang bila berpeluh tidak basah ketiak.
2. Jangan tekan pasangan tentang apa yang dia dan kita tinggalkan demi mencapai impian dia menggenggam PhD. Kadangkala bila pasangan mendapat peluang melanjutkan pengajian sehingga peringkat PhD lebih-lebih lagi PhD di luar negara, kehidupan yang sedia ada sudah agak stabil, sudah berkerja tetap, sudah ada rumah selesa, sudah mampu beli kereta yang dihajati sejak zaman sekolah. Bila mahu ke luar negara segalanya perlu ditinggalkan buat sementara, jika pasangan yang menemani berkerja, perlu mengambil cuti tanpa gaji pula. Belum masuk bab keluarga, ibu bapa yang semakin berusia, kampung halaman, binatang ternakan dan kesayangan serta makanan kegemaran. Sebagai pasangan kepada calon PhD, tidak perlulah mengungkit apa yang kita tinggalkan demi PhD mereka. Anggaplah itu bahagian rezeki keluarga dan perkahwinan yang kita dirikan dengan seorang calon PhD. Orang putih kata don’t pester. InsyaAllah hari ini kita permudahkan urusan pasangan untuk mendapatkan PhD nanti kita pula dipermudahkan urusan kehidupan dan rezeki.
3. PhD bukan fasa bulan madu, jangan tekan pasangan untuk bercuti secara kerap. Orang buat PhD ini busy, mahu cuti pun kena minta dengan supervisor. Yang jenis researchnya melibatkan eksperimen selalunya eksperimen mereka akan dilakukan dalam kumpulan, dari berkongsi hipotesis, calculation, peralatan, mesin hingga makmal. Bila seorang tidak hadir kerja ahli kumpulan yang lain sedikit sebanyak mungkin terganggu juga. Orang kata kalau sudah sampai ke luar negara, berjalanlah. Memang tidak salah, berjalanlah selagi mampu dari segi masa, fizikal, mental, kewangan. Naiklah flight di Gatwick transit di Frankfurt,sambung terus ke Dubai. Ambil Eurostar dari King’s Cross St Pancras sampai Paris sambung naik bas ke Belgium pula. Tapi pastikan jangan ditekan pasangan kita yang sedang menjalani PhD untuk tinggalkan kerja serta merta dan tergendala demi membawa kita jalan-jalan merata. Seperti point nombor 1 , ambil tahu, rancang, dan beri galakan kepada pasangan untuk mereka bersedia demi sebuah percutian yang tenang dan tidak tergesa-gesa serta resah kerana ada kerja yang ditinggalkan tergendala. Kalau tidak berpeluang untuk bercuti ketika pasangan sedang buat PhD tidak mengapa. Lepasan PhD selalunya berpeluang cerah untuk pergi ke serata dunia menghadiri conference, talk, seminar, discussion dan sebagainya. Pengalaman saya, suami saya dahulu berkerja sebagai pensyarah Universiti Sains Malaysia tidak lama, tidak sampai setahun pun, tapi dalam tempoh itu beliau dihantar untuk menghadiri conference di Amerika, visanya 10 tahun, sampai hari ini pun masih ada baki beberapa tahun lagi visa tersebut.
4. Jika ditakdirkan mengandung semasa tempoh PhD jangan berkeluh kesah, sesal dan marah. Memang pernah terdengar terdapat sesetengah penyelia PhD tidak suka seandainya calon di bawah seliaannya mendapat anak ketika menjalani PhD, baik calon lelaki apatah lagi calon perempuan. 2 orang anak saya dilahirkan ketika suami saya sedang melanjutkan pengajian di peringkat PhD, tapi alhamdulillah kami survived, barangkali kerana Allah rezekikan suami saya mendapat supervisor dan groupmates yang baik dan memahami. Namun jika situasi sebaliknya, bertenang. Tahan diri daripada merungut. Kelahiran anak adalah rezeki dari Allah. Dia memberi, pasti Dia sudah ada perancangannya buat kita. Mana tahu anak itulah sumber inspirasi dan penguat kita untuk berusaha gigih menyiapkan PhD yang mana itulah yang mungkin melembutkan hati penyelia apabila melihat kesungguhan kita walaupun berbayi kecil.
5. Maksimakan manfaat dan kebergunaan diri. Contohnya jika pasangan melanjutkan pengajian PhD di UK, dan kita miliki anak dalam usia persekolahan rendah (primary school). Primary school di UK, pelajar dari nursery hingga year 6 tidak dibenarkan pergi dan pulang sekolah tanpa ditemani penjaga. Maka pasangan calon PhD, gunakanlah peluang seperti ini, jalankan tugas-tugas seperti ini sendiri. Belajar gunakan kenderaan awam seperti bas dan tube tidak perlu tunggu sehingga pasangan balik ke rumah dari tempat pengajian untuk membeli barang keperluan. Kuasai bahasa tempatan, pelajari dan fahami sistem setempat supaya pasangan kita yang sedang buat PhD tidak terbeban dengan tugasan kecil yang sepatutnya kita boleh lakukan seperti membawa anak ke pusat kesihatan untuk temujanji dengan health visitor, membawa anak ke playgroup, pemeriksaan kesihatan, booking appointment, terapi dan sebagainya.
6. Jangan bandingkan perjalanan PhD pasangan anda dengan calon PhD lain seperti mengapa orang ini boleh siap PhD 2 tahun, mengapa dia buat PhD lama, mengapa orang ini buat PhD di malaysia sahaja mengapa dia sampai kena pergi ke UK. Mengapa orang ini buat PhD tidak perlu masuk makmal hujung minggu, mengapa dia Sabtu Ahad pun kena pergi ke universiti dan sebagainya. Setiap calon PhD perjalanan PhD mereka tidak sama, research area tidak sama, supervisors tidak sama. Ada orang dapat supervisor yang OK, tidak cerewet, ada orang yang cuma ada seorang supervisor untuk dipuaskan hatinya, ada orang sampai 3 supervisor yang memberi arahan berbeza-beza sampai calon pun pening. Ada orang buat PhD di institusi yang boleh bertolak ansur, ada juga yang dapat supervisor OK tapi institusi tidak flexible, thesis yang disubmit mesti melepasi standard yang tinggi baru boleh viva dan publish.
7. Bantu, sediakan mereka ruang dan peluang berkerja dengan kondusif. Calon PhD tidak terlepas daripada membawa kerja pulang ke rumah. Misalnya, seharian berada di makmal, mereka perlu melakukan eksperimen berulang-ulang kali dari jam 8 pagi hingga 8 malam sehingga mendapat hasil yang memuaskan, maka laporan eksperimen terpaksa dibawa pulang untuk disiapkan di rumah kerana tiada masa untuk disiapkan di kolej. Tugas sebagai pasangan, persiapkan rumah dalam keadaan yang baik supaya mereka dapat buat kerja yang dibawa pulang dalam keadaan sebaik mungkin.
8. Galakkan mereka untuk memperbaiki ibadah, dan mempertingkatkan pengetahuan agama walaupun sibuk dengan tugasan untuk menyiapkan PhD. Di setiap kesibukan dunia, perlu sentiasa ada kesedaran untuk menyeiringkan keperluan akhirat insyaAllah jalan dunia akan dipermudahkan. Dulu, sewaktu saya baru bernikah, waktu itu saya sangat muda,(jarak usia saya dan suami agak jauh, hampir sedekad) biasalahkan darah remaja kerjanya nak emo je, saya pernah terasa merajuk hati apabila orang suka quote nama ustaz popular untuk mengeluarkan kenyataan dan status Fb seperti “Belajar sampai PhD tak guna kalau emak mu mati, baca yasin pun gagap, kalau baca alfatihah pun semput” – Ustaz xyz- tapi sekarang tidak lagi. Saya anggap apa yang diperkatakan ustaz itu urusan dia dengan Allah dan terlahir daripada kekurangan pengetahuan atau pengalaman beliau berdampingan dengan calon atau pemegang PhD. Hakikatnya orang-orang yang buat PhD ini manusia biasa sahaja seperti orang lain yang belajar sehingga darjah 6 atau SPM, seperti lepasan diploma atau degree. Iman mereka ada turun naiknya, ada PhD bukan bermakna mereka terpaksa lupakan huruf hijaiyah, cara mengaji, tajwid dan tartil sampai nak baca alfatihah pun tergagap sebab nak beri satu ruang khas dalam otak untuk tempatkan PhD. Semuanya bergantung kepada individu itu untuk memelihara iman, akidah dan ibadahnya. Kalau dalam hati tidak rasa perlu kepada agama, jangankan belajar sampai PhD, orang tidak sekolah pun boleh lupa cara mengaji.
9. Dengari, selami, fahami rungutan dan kerisauan pasangan kita terhadap pengajian PhDnya. Contohnya jika pasangan kita yang sedang melanjutkan pengajian itu jiwanya jiwa orang berniaga, dalam hatinya ada dilema untuk berniaga atau melanjutkan pelajaran. Sejukkan hatinya dengan pengertian dan kefahaman bahawa pencapaian pelajarannya juga adalah suatu maslahah buat ummah. Agama juga perlu kepada pakar-pakar Islam. Bukan semua orang punya peluang, ruang dan kelebihan dari segi kebolehan belajar dan daya intellectual seperti dia untuk menyambung pengajian sehingga PhD. Ia menjadi fardhu kifayah kepada mereka untuk mendalami sesuatu bidang.
Analoginya mudah, bumi Mekah perlu dibangunkan untuk menampung jumlah jemaah yang meningkat saban tahun, sampai bila mahu bergantung kepada jurutera, pakar pembinaan dari Jerman, Sweden dan Holland.
Analogi kedua, umat Islam perlukan ubat-ubatan yang halal 100%, ahli farmasi perlu melanjutkan pengajian sehingga PhD untuk membuat kajian, mendapat geran penyelidikan untuk mencipta dan memasarkan ubatan dan makanan tambahan yang bagus, selamat dan suci.
Analogi ketiga, sistem perbankan yang sedia ada di dunia ini sudah tepu kapitalis, kita perlukan pakar kewangan islam yang mendalami selok belok kewangan dunia, dengan sijil yang diiktiraf dari pusat pengajian yang diiktiraf supaya hasil penyelidikannya dalam bidang tersebut dapat dibentangkan dan didengar oleh dunia. Dalam konteks ini mungkin ada orang boleh berkata, “Ahh setakat nak buat kajian pasal sistem duit aku boleh buat dekat rumah tak payah ada PhD”. Benar, kita semua bijak, Allah bagi kita akal, kita boleh kaji, boleh study, boleh siasat, kita boleh lakukan penyelidikan secara underground, tapi penyelidikan secara underground seperti ini, kesudahannya mungkin dalam blog, dalam FB dan ebook sahaja. Bagaimana hasil kajian kita itu dapat didengar, diketahui dan dipertimbangkan sekiranya tidak berada di platform yang betul. Sebab itu kita perlukan pakar-pakar islam yang melanjutkan pengajian ke peringkat yang tinggi, mendalami satu-satu bidang sehingga dianugerahkan sijil yang diiktiraf dari institusi yang diiktiraf, supaya suara, hasil kajian, idea dan kebijaksanaan orang islam dapat dibentangkan, diketahui oleh dunia, disebarkan, dimulakan gerak kerja untuk melaksanakannya, dan dapat memberi manfaat kepada ramai orang islam lain seterusnya mengubah sistem tidak islamik yang sedia ada kepada sistem Islam yang lebih baik hasil daripada penyelidikan yang dilakukan oleh orang Islam sendiri.
Sebenarnya perkara di atas juga applicable kepada pasangan kepada orang berkerjaya, pasangan kepada orang yang masih belajar (master, degree, diploma, sijil, ACCA dll), pasangan jarak jauh dan sebagainya. Twist sini, ubah sana, adapt situ. Hidup ini ada banyak pilihan, ada banyak jalan, tinggal terserah kepada kita sahaja bagaimana mahu memanfaatkannya untuk menuai hasil terbaik yang dapat menjadi saham akhirat kelak insyaAllah.