Jejak Turki Uthmani di Nusantara dan Hubungan dengan Kesultanan Melayu

Ini antara impian dan angan-angan saya. Ingin membuat penyelidikan berkaitan hubungan Khilafah Utmaniyyah dengan dunia Melayu. Dari waktu belajar, bermacam-macam persoalan bermain di fikiran. Antaranya sewaktu Portugis menyerang Melaka, tidak adakah sebarang bantuan dihantar oleh Khilafah Uthmaniyyah? Konsep khilafah dalam Islam bukan seperti jajahan takluk. Tanggung jawab seorang khalifah untuk melindungi rakyat dalam wilayah yang dinaunginya. Rupanya betul memang ada, tetapi armada Portugis sampai dulu. Kesultanan Melaka berjaya diruntuhkan. Berbeza dengan Aceh, bantuan sempat dihantar. Kajian saya tentang Raja Ali Haji, turut menemukan sosok ulama bernama Raja Ali Kelana Bin Sultan Muhammad Yusuf al-Ahmadi (1860-1927 ) yang juga Shaykh al-Islam bagi negeri Johor yang pernah ke Turki untuk urusan diplomatik. Belum lagi dikisahkan tentang Shaykh Daud dan Shaykh Ahmad al-Fatani.

Justeru apabila Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu, ATMA UKM menganjurkan Siri 5/2021 Diskusi Manuskrip Melayu pada 15 September 2021 bertajuk Jejak Turki Uthmani di Nusantara dan Hubungan dengan Kesultanan Melayu. Ia dibentangkan oleh Encik Sadiq Ozata, Ketua Hayrat Malaysia.

Berikut adalah antara nota yang sempat saya catat:

1. Seperti yang saya katakan di awal tadi, Islam tersebar bukan dengan mata pedang seperti dakwaan sesetengah orientalis. Ini bertepatan dengan penjelasan En Ozata yang menyatakan al-Fath atau pembukaan wilayah oleh Daulah Islamiyyah berbeza dengan penjajahan yang dilakukan oleh kolonial Eropah. Wilayah yang bernaung di bawah Khilafah Uthmaniyyah mendapat hak untuk diperintah secara adil dan mendapat pembelaan. Pemerintah sebagai khadimu’l-ummah, bukan penakluk.

2. Pada 1240 Hijriyyah, dalam surat yang dihantar oleh Sultan Jawa kepada Sultan Mahmud II ada menyebut tentang Kerajaan Uthmaniyyah pernah menghantar bantuan askar dan kepakaran ketenteraan bagi membantu perintah Jawa membuka wilayah-wilayah baru dan menyebarkan dakwah Islamiyyah.

3. Antara sekatan yang dikenakan oleh penjajah Belanda di Indonesia ialah mengenakan cukai yang tinggi kepada rakyat Muslim bagi menghalang mereka dari menunaikan haji. Halangan bertujuan untuk menyekat umat Islam Nusantara daripada bertemu dengan umat Islam lain dan mengadakan hubungan dengan Daulah Uthmaniyyah.

4. Pada era Sultan Abdul Majid, ada umat Islam Nusantara yang berhijrah untuk melarikan diri dari kekejaman Belanda dan mendapatkan bantuan daripada Uthmaniyyah. Sultan memerintahkan supaya diberi naungan dan perlindungan kepada umat Islam Nusantara


Bersambung…

Ustaz Abdullah Bin Mohamad (Nakula)

Saya mula mengenali nama Ustaz Abdullah Nakula sewaktu  menemui salah satu karya beliau iaitu Bentuk Alam yang Mengagumkan yang diterbitkan oleh Pustaka Aman Press pada 1975. Memandangkan buku original sudah tidak lagi dicetak, s aya membuat salinan fotokopi untuk dijadikan koleksi peribadi. Saya turut memiliki buku beliau bertajuk Falsafah dan Pemikiran Orang-orang Melayu: Hubungannya dengan Islam dan Kesenian.

Oleh itu apabila Persatuan Pencinta Sejarah Melayu Kelantan menganjurkan Seminar Ketokohan Ustaz Abdullah Mohamed (Nakula) pada 2 Februari 2019 di Dewan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan, saya tidak melepaskan peluang untuk mendaftar sebagai peserta. Niat saya untuk lebih mengenali sosok inteletual Kelantan yang prolifik menghasilkan pelbagai karya. Tokoh yang disifatkan oleh Dato’ A. Aziz Deraman sebagai ‘tokoh ilmu jarang biji mata’, kerana tidak ramai orang yang seperti beliau.

 

Antara yang mengkagumkan saya tentang Allahyarham Ustaz Abdullah Nakula ialah keupayaan beliau menghasilkan banyak penulisan. Sedari usia 13 tahun beliau  sangat minat membaca ratusan buku dari koleksi peribadi tiga maktabah keluarga iaitu milik datuk sebelah bapa dan ibunya serta perpustakaan milik pakcik (ayah sepupu) beliau. Beliau bukan sahaja gemar membaca,  malah turut mempunyai hobi menyalin dan mencatat sehingga ada yang mengaitkan gelaran nakula tu daripada kalimah Arab ‘naqala’ yang bermaksud menyalin; meski pun ada pendapat yang mengatakan ia adalah satu watak wayang kulit yang diminati beliau.

Selain daripada dua buah buku yang disebut sebelum ini, beliau turut menghasilkan karya seperti: Bentuk-bentuk Bangunan Masjid: Kunci memahami kebudayaan Melayu, Senibina Islam: Aplikasi di Malaysia, Sejarah Islam, Sejarah HIudp Nabi Muhammad SAW, Falsafah Politik Moden, Meninjau ke Langit, Konsep Ketuhanan dalam konteks hubungannya dengan alam, manusia, masyarakat dan perubahan sejarah.

Iktibar Syair Siti Siyanah dalam Pemerkasaan Akal Budi Wanita Melayu

Artikel ini akan dibentangkan di Muslimah International Summit Kelantan (MISK 2019).

ABSTRAK

Raja Ali Haji, tokoh intelektual Melayu kurun ke-19 Masehi telah mengemukakan suatu pemikiran bagi mengangkat peribadi contoh wanita Melayu menerusi karya puisi beliau berjudul Syair Siti Siyanah Sahibah al-Futuwwah wa al-Amanah. Syair tersebut adalah ungkapan puisi berupa alegori yang menonjolkan dua watak utama wanita iaitu Siti Siyanah dan Siti Diyanah bagi  memperlihatkan gabungan nilai-nilai ilmu dan budi pekerti yang berteraskan kepada pandangan semesta Islam yang perlu dimiliki oleh golongan wanita. Pendekatan analisis konten digunapakai untuk meneliti  keseluruhan bait syair ini bagi memberikan gambaran kepada  kepentingan ilmu pengetahuan dalam kalangan wanita, di samping pernyataan aspek suruhan dan larangan yang menjadi panduan dalam membina keperibadian yang tinggi. Ia boleh diandaikan sebagai usaha ilmiah Raja Ali Haji dalam mengutarakan idea pemerkasaan akal budi wanita Melayu yang bertunjangkan kepada lima elemen utama yang membentuk kerangka akhlak iaitu agama, ilmu, akal, bahasa dan malu.

Kata kunci: Syair Siti Siyanah, Raja Ali Haji, akal budi Melayu, pemikiran Melayu, wanita Melayu

*Klik link ini untuk artikel penuh https://www.researchgate.net/publication/334131061_IKTIBAR_SYAIR_SITI_SIYANAH_DALAM_PEMERKASAAN_AKAL_BUDI_WANITA_MELAYU_ULAMA%27_MALAYSIA

Syair Siti Siyanah

Malam tadi mengadap laptop sambil cuba menghadam Syair Siti Siyanah karya Raja Ali Haji, pujangga dan ulama Melayu abad ke-19 Masehi. Sebelum memulakan penulisan artikel untuk dibentangkan di Muslimah International Summit Kelantan (MISK2019), saya melakar2 peta minda untuk memahami watak-watak wanita yang ditonjolkan oleh beliau. Dalam pada itu, otak asyik tertanya-tanya kenapa Raja Ali Haji menamakan syair ini sebagai Jawharah al-Maknunah, dan kalau Siti Siyanah bergelar sahibah al-futuwwah wa al-amanah, kenapa pula adiknya, Siti Diyanah bergelar al-Masunah? Setiap penamaan yang dilakukan oleh seorang sarjana bukan saja-saja, mesti bertepatan dengan makna, sebab, tujuan dan hikmah. Barakah bulan Ramadan agaknya, alhamdulillah dalam otak menerawang mencari jawapan, tiba-tiba saya terjumpa karya puisi yang dihasilkan oleh al-Shaykh Dr. ‘Ali Bin Yahya al-Haddadi yang dihasilkan pada pagi Jumaat 4/6/1438 Hijriyyah bertajuk al-Jawharah al-Maknunah li al-Durrah al-Masunah. I was hoping that the poetry was composed in the earlier period so that I could easily assume that Raja Ali Haji might have translated his work from it. [Padahal dah terang-terang Raja Ali Haji nyatakan di akhir syairnya yang karya beliau disiapkan di Pulau Penyengat Indera Sakti.] Walaupun karya Shaykh Dr. ‘Ali lebih baru, pasti ada sebab kenapa ada unsur persamaan pada tajuk walaupun pada isinya ada banyak perbezaan. Ternyata apabila dibandingkan, kedua-dua karya ini disusun bagi menceritakan tentang sifat wanita solehah -beragama, berilmu, dan berakhlak. Hal ini boleh pula dikaitkan dengan hadith Rasulullah s.a.w. yang menyifatkan wanita solehah sebagai sebaik-baik perhiasan dunia. Hence, the title Jawharah al-Maknunah (The Hidden Gems). Dah jumpa jawapan yang dicari, terjumpa pula video  sebahagian qasidah al-Shaykh Dr. Ali B. Yahya al-Haddadi. Yang tahu Arabic, sila lah sama2 nikmati dan hayati..

Konsep Bodoh dalam Pemikiran Melayu

Cerdik pandai Melayu yang mengutamakan kepentingan ilmu pengetahuan dalam memartabatkan bangsa banyak membicarakan soal kebodohan yang menjadi halangan besar untuk menggapai kejayaan. Proses memandaikan anak bangsa menjadi agenda mereka.

Raja Ali Haji contohnya, mengumpamakan jahil dan bodoh seperti mati (Syair Siti Siyanah). Tatkala membicarakan tentang konsep akal, beliau turut menulis berkaitan dengan konsep bodoh dalam masyarakat Melayu yang digambarkan menerusi beberapa istilah antaranya bebal, benak dan bingai. Setiap satunya mempunyai makna tersendiri yang menunjukkan tentang tahap kebodohan seseorang yang memiliki sifat ini.

 

Pandai atau Bijak?

Pandai atau bijak? Anda pilih yang mana?

Kebiasaannya pandai dan bijak digunakan dengan makna sinonim yang memberi maksud orang yang terpelajar atau berilmu; cerdik dan pintar atau orang yang menggunakan akal (Pusat Rujukan Persuratan Melayu).

Namun dalam penggunaan bahasa Melayu perkataan pandai adakalanya digunakan dengan konotasi negatif seperti kosa kata memandai-mandai  yang bermaksud membuat sesuka hati atau mengikut fikiran sendiri. Begitu juga pandai turut digunakan untuk menunjukkan kepandaian yang tidak baik seperti pandai berhelah.

Hal ini sebaliknya tidak digunakan untuk kosa kata bijak yang sentiasa digunakan dengan maksud yang baik-baik sahaja tanpa dikaitkan dengan perangai tidak baik.

Lenturlah ketika Masih Rebung

Peradaban Melayu kaya dengan pemikiran metafora yang mengambil iktibar daripada alam sekeliling untuk melahirkan manusia beradab yang menjunjung ketinggian susila dan hati budi. Dalam aspek pendidikan contohnya, masyarakat Melayu menekankan pendidikan peringkat awal bagi memudahkan usaha memasak nilai dan menanam adab dalam jiwa anak-anak.

‘Melentur buluh biarlah dari rebung’ atau terjemahan literal bahasa Inggerisnya ‘to bend a bamboo, start when it’s still a shoot‘ ialah satu peribahasa popular yang sering diungkapkan supaya proses menyemai nilai dan adab perlu dilakukan sedari kecil, bukannya menunggu usia dewasa atau tua kerana pada peringkat ini manusia diumpamakan sudah keras seperti rebung atau dengan kata lainnya sukar untuk diajar dan  diubah. Selain itu, ada ungkapan yang lebih kurang hampir maksudnya turut menggunakan elemen rebung dan buluh sebagai kias ibarat ‘sedang rebung baik dipatah, jadi buluh melepuh jari’. Perumpamaan yang sama juga ada dalam masyarakat Inggeris, cuma berlainan daripada segi  objek metaforanya, iaitu ‘Strike the iron while it’s hot‘.

Abdullah Munshi dalam karyanya Hikayat Abdullah turut mencoretkan ungkapan yang mempunyai maksud yang sama tetapi menggunakan elemen ranting kayu, “Manusia umpama ranting kayu. Ketika muda kita dapat melenturnya dan masih lembut. Apabila sudah tua dan kering, lentur sedikit sahaja ia mudah patah”…

(Hanya sebahagian ekstrak dipaparkan dalam laman ini -AA)

 

DNA dan Asal Usul Melayu

Syair Kelebihan Ilmu

Ilmu itulah gemala sakti,

Sinarnya cerah cahaya sejati;

Asal puncanya lamun didapati,

Sukar bercerai sehingga mati.

 

Harganya tidak dapat ternilaikan,

Sebuah dunia belinya bukan;

Kuasanya besar sukat digunakan,

Di laut di darat di rimba di pekan.

 

Masa seorang ialah taulan,

Teman berbeka, suluh berjalan;

Masa berhimpun ia pengenalan.

Hias penyata polan si polan.

 

Bagi yang duka ia penghibur,

Ia penerang bagi yang kabur;

Ialah kandil di dalam kubur,

Lamun dengannya beramal subur.

 

Ia penerang jalan ke syurga,

Ia pemuas tekak yang dahaga;

Ialah sungai ia telaga,

Laut yang luas ialah juga.

 

Ialah alat sangat berguna,

Idaman orang yang bijaksana;

Hamparnya luas amat saujana,

Tepinya ajal sempadannya fana.

 

~Pengasuh 13 Januari 1922 ~

Khazanah Fathaniyyah

http://khazanahfathaniyah.com.my/

Khazanah Fathaniyah merupakan sebuah penerbitan buku yang hampir keseluruhannya hanya memfokuskan terbitan berkaitan khazanah-khazanah karya ulama silam di Alam Melayu yang meliputi karya berbentuk buku, artifak, gambar, manuskrip dan sebagainya. Diasaskan oleh seorang penyelidik dan penulis khazanah ulama Nusantara, iaitu Tuan Guru Hj. Wan Mohd Shaghir Abdullah. Penubuhan Khazanah Fathaniyah bermula sejak tahun 1995.