Cara Penulisan Objektif Pembelajaran

1. Hubung kaitkan Standard Pembelajaran (SP) dengan Objektif Pembelajaran (OP)

Objektif Pembelajaran mesti berpaksikan kepada Standard Pembelajaran (SP). SP menentukan aras taksonomi yang perlu dicapai oleh murid, manakala OP memperincikan hasil pembelajaran yang diharapkan pada akhir sesi.

  • Contoh SP: “Murid boleh menyenarai kepentingan reka bentuk dan teknologi.” -> Menunjukkan Aras 1 (Mengingat) dalam Taksonomi Bloom.
  • Saranan OP: OP boleh ditulis pada aras yang sama atau dinaikkan ke Aras 2 (Memahami) untuk memperkukuh kefahaman murid.
    • Formula OP “Siapa + Kata Kerja + Apa + Bagaimana”: “Pada akhir sesi pengajaran dan pembelajaran, [Murid] dapat/boleh [Kata Kerja Aras Taksonomi] + [Topik/Kandungan] + [Ukuran/Kriteria].”
    • Contoh OP (selaras dengan SP): Murid boleh menjelaskan kepentingan reka bentuk dan teknologi dalam kehidupan harian.

2. Hubung kaitkan Objektif Pembelajaran (OP) dengan Kriteria Kejayaan (KK)

OP memperincikan hasil pembelajaran yang diharapkan pada akhir sesi dan KK menjelaskan kualiti objektif pembelajaran yang ingin dicapai melalui pembuktian pencapaian murid.

Formula KK: [Murid] berjaya jika dapat/boleh [Kata Kerja/Tindakan] + [Bilangan/Kuantiti] + [Topik/Hasil] + [Ukuran/Kriteria] dengan [Tahap Ketepatan/Kualiti].”

Contoh KK (selaras dengan OP): Murid berjaya jika dapat/boleh menjelaskan lima (5) kepentingan reka bentuk dan teknologi dalam kehidupan harian dengan tepat.

Beberapa contoh Objektif Pembelajaran dan Kriteria Kejayaan mengikut Aras Taksonomi Kognitif Bloom

Aras 1: Mengingat (Remembering)

  • Objektif Pembelajaran (OP): Pada akhir sesi pengajaran dan pembelajaran, murid dapat menyenaraikan alatan tangan yang digunakan dalam proses pembuatan projek yang dirancang.
  • Kriteria Kejayaan (KK): Murid berjaya jika dapat menyatakan sekurang-kurangnya 3 alatan tangan dengan fungsinya secara ringkas dengan tepat.

Aras 2: Memahami (Understanding)

  • Objektif Pembelajaran (OP): Pada akhir sesi pengajaran dan pembelajaran, murid dapat menerangkan fungsi reka bentuk konvensional dan reka bentuk moden secara bertulis.
  • Kriteria Kejayaan (KK): Murid berjaya jika dapat menjelaskan 2 fungsi utama dari segi bahan dan teknologi yang digunakan dalam kedua-dua reka bentuk tersebut dengan jelas.

Aras 3: Mengaplikasi (Applying)

  • Objektif Pembelajaran (OP): Pada akhir sesi pengajaran dan pembelajaran, murid dapat mengira ukuran satu lakaran perspektif satu titik lenyap bagi satu bongkah geometri mengikut teknik yang betul.
  • Kriteria Kejayaan (KK): Murid berjaya jika dapat mengira ukuran 1 lakaran perspektif yang mempunyai titik lenyap, garisan ufuk, dan garisan unjuran yang tepat.

Aras 4: Menganalisis (Analyzing)

  • Objektif Pembelajaran (OP): Pada akhir sesi pengajaran dan pembelajaran, murid dapat membezakan komponen-komponen elektrik yang terdapat dalam sebuah litar berfungsi kepada bahagian-bahagian kecil.
  • Kriteria Kejayaan (KK): Murid berjaya jika dapat membezakan 4 komponen utama (sumber, suis, konduktor, beban) dalam gambar rajah litar dengan tepat.

Aras 5: Menilai (Evaluating)

  • Objektif Pembelajaran (OP): Pada akhir sesi pengajaran dan pembelajaran, murid dapat membuat justifikasi pemilihan bahan kitar semula yang paling sesuai untuk membina model produk.
  • Kriteria Kejayaan (KK): Murid berjaya jika dapat memberikan 2 alasan yang munasabah (seperti kos, ketahanan, atau estetika) mengapa bahan tersebut dipilih berbanding bahan lain dengan jelas.

Aras 6: Mencipta (Creating)

  • Objektif Pembelajaran (OP): Pada akhir sesi pengajaran dan pembelajaran, murid dapat mereka cipta satu gajet elektrik yang berfungsi menggunakan bahan kitar semula secara kreatif.
  • Kriteria Kejayaan (KK): Murid berjaya jika dapat membina 1 model gajet yang berfungsi sepenuhnya (lampu menyala/motor bergerak) dengan kemasan yang kemas.

Published by

hadijahjaffri

I am who I am and what I am cannot be defined by what I have/posses or have done. Therefore, I am me.

UTM Open Day