Dialektika [COVID-19 ]: Peluang Menyusun Semula Negara?

Pandemik COVID-19 membuka peluang dan ruang untuk penambahbaikan dari segi ekonomi, sosial, politik, pendidikan dan pelbagai aspek kemanusiaan.   Mencari satu titik yang menyepadukan pelbagai dimensi ini perlu diberi tumpuan terutamanya dimensi kemanusiaan tidak dizahirkan.  Krisis nilai seolah dipinggirkan apabila dimensi yang lebih senang disukat seperti ekonomi diberi keutamaan.

Kemajuan negara tidak dirujuk dan diukur pada dimensi ekonomi bahkan dimensi kemanusiaan seperti kesepaduan, integriti dan sebagainya.  Sukatan holistik perlu dititik beratkan akan tetapi malangnya aspek KPI menjadi sukatan utama kerana ianya lebih bersifat objektif dan dapat diukur dengan sukatan berbentuk fizikal.

Bila diperingkat universiti, kepelbagaian sepatutnya diraikan bagi memberikan warga universiti menjadi lebih kreatif dan dapat memberikan peluang, ruang dan pilihan yang pelbagai bagi menyelesaikan masalah yang berbeza.  Akan tetapi, universiti terikat dengan KPI yang menyebabkan semuanya mempunyai ciri yang sama dalam melaksanakan sesuatu perkara.  Ianya meningkatkan satu “redundancy“.

Kelaziman baru (new normal) adalah satu istilah yang perlu dirujuk kepada budaya dan norma masyarakat.  Adakah tidak bersalam itu satu kelaziman baru?  Dalam Islam, tidak bersalam diantara individu berlainan jantina adalah satu kelaziman.  Ianya bukan sesuatu yang baru.  Menjaga jarak antara satu sama lain adalah kelaziman dalam Islam bagi bukan Mahram.  Akan tetapi kelaziman baru yang diuar-uarkan oleh pihak barat dalam menangani pandemik COVID-19 seolah ianya menjadi satu acuan yang datangnya dari mereka.

Penggunaan istilah dan amalan tentang cara hidup perlu dilihat dari sudut budaya dan masyarakat tanpa mengambil bulat-bulat atau mengimport dari pihak tertentu.  Contohnya jarak sosial (social distancing) merujuk kepada jarak fizikal (physical distancing).  Istilah jarak sosial mengelirukan kerana ianya boleh menunjukkan ketidakperluan kita untuk bersatu padu atau saling bantu membantu sedangkan pandemik ini menuntut kita meningkatkan kesepaduan dan empati dalam kalangan masyarakat.  Jarak fizikal tidak semestinya menyebabkan kita kurang bersepadu di antara satu sama lain.

Apakah proses yang kita perlu laksanakan untuk memastikan masyarakat kita kekal sejahtera dalam menghadapi pandemik COVID-19?  Pemodelan mencari satu formula dalam menangani masalah yang dihadapi perlu dilakukan berdasarkan norma budaya kita dan mengikut acuan kita sendiri.  Keseimbangan antara kebendaan dan kerohanian bukan mudah tetapi boleh dilakukan sekiranya kita tidak terlalu fokus tentang aspek yang boleh dinilai dan diukur dengan menggunakan sukatan dan ukuran berbentuk fizikal dan objektif meskipun aspek kerohanian adalah satu subjektif dan tidak boleh diukur dengan ukuran berbentuk objektif.

Published by

hadijahjaffri

I am who I am and what I am cannot be defined by what I have/posses or have done. Therefore, I am me.