Archives for December 10, 2018

Apakah itu Emerging Sources Citation Index (ESCI)?

Sambungan dari post sebelum ini…

Ada juga pelajar yang bertanyakan tentang jurnal yang diindeks dalam Emerging Sources Citation Index (ESCI). Apa kebendanya ESCI tu? Kalau artikel kita diterima dan diterbitkan dalam jurnal yang diindeks dalam ESCI, adakah artikel tersebut diindeks dalam database Web of Science (WOS) yang menjadi idaman kita semua? Baiklah, sebelum itu, kita perlu tahu bahawa terdapat tiga pengkalan data utama dan berprestij dalam WOS iaitu

Science Citation Index (SCI) 
Social Sciences Citation Index (SSCI) 
Arts and Humanities Citation Index (AHCI)

Emerging Sources Citation Index (ESCI) pula baru sahaja diperkenalkan pada tahun 2015 sebagai satu pengkalan data baru dalam WOS. Jadi sebelum sesebuah jurnal diindeks dalam SCI, SSCI dan AHCI kat atas tu, jurnal tersebut perlulah diindeks dalam ESCI terlebih dahulu. Kalau jurnal tersebut perform sepanjang diindeks dalam ECSI, maka jurnal tersebut akan dinaikkan darjat dan pangkatnya ke SCI, SSCI mahupun AHCI. Kalau tak perform, maka ianya akan terus berada dalam ESCI ataupun akan disingkirkan terus dari ESCI. Ala-ala ESCI ni macam tempoh percubaan lah. Macam kerja jugak kan, mesti ada tempoh percubaan sebelum disahkan jawatan. Ada juga yang tanya, jurnal ESCI ni kena perform ke? Ingatkan pelajar je yang kena perform? Ya buat pengetahuan semua, performance jurnal-jurnal ESCI ini dikira berdasarkan bilangan sitasi (citations) jurnal tersebut dan sitasi tersebut mesti datangnya dari jurnal-jurnal dalam WOS itu sendiri. Tapi kan, tidak kiralah sama ada sesebuah jurnal itu diindeks dalam SCI ke, SSCI ke, AHCI ke ataupun ESCI ke, kalau bilangan sitasi tidak memberangsangkan ditambah pula dengan kelemahan lain seperti jangkamasa penerbitan yang lambat, kadar sitasi dari jurnal sendiri (self-citation) yang tinggi ataupun bilangan volume yang terlalu banyak juga memungkinkan sesebuah jurnal disingkirkan dari pengkalan data WOS.

Jurnal yang diindeks dalam ESCI tidak mempunyai IF (Impact Factors), tetapi artikel dalam jurnal ESCI akan dimasukkan dan kelihatan dalam WOS. Maksudnya kalau artikel kita diterbitkan dalam jurnal ESCI, maka artikel kita diindeks dalam WOS iaitu sesuatu yang menjadi idaman kita semua sebagai penyelidik dan ahli akademik. Contohnya, Jurnal Teknologi (terbitan Universiti Teknologi Malaysia) diindeks dalam ESCI. Untuk menyemaknya, anda boleh sama ada ke laman web WOS iaitu

www.webofknowledge.com

Tapi itu pun untuk institusi-institusi yang subscribe pengkalan data WOS tersebut. Kalau anda berjaya ke laman web tersebut, cuba taip nama jurnal (contohnya: Jurnal Teknologi), kalau ianya diindeks dalam WOS, akan keluarlah hasil carian anda (lihat Gambar 1).

Anda juga boleh terus ke laman web berikut:

http://mjl.clarivate.com/

Anda perlu memasukkan nama jurnal, dan kalau ianya diindeks dalam WOS, maka maklumat jurnal tersebut akan terpapar (lihat Gambar 2). Kalau tidak diindeks ESCI ataupun suatu ketika dahulu pernah diindeks ESCI tetapi tidak lagi sekarang, maka hasil carian tidak akan memaparkan jurnal berkenaan.

Laman web tersebut juga menyenaraikan senarai jurnal terkini yang diindeks bukan sahaja dalam ESCI, malah SCI, SSCI mahupun AHCI. Disebabkan saya dari bidang Pendidikan, anda boleh ke blog saya di people.utm.my/halim untuk mendapatkan list jurnal ESCI dalam bidang pendidikan. Tapi kalau anda masih tidak berpuashati, anda boleh hubungi sendiri email berikut untuk mengutarakan sebarang pertanyaan.

ts.support.asia@clarivate.com

Berdasarkan pengalaman saya menghubungi email di atas, maklumbalas yang diberikan sangat cepat dan amat membantu (lihat Gambar 3).

Kesimpulannya, bukan mudah sebenarnya tetapi tidak mustahil untuk menerbitkan artikel dalam jurnal berindeks WOS (lihat Gambar 4). Mungkin dengan menerbitkan artikel dalam jurnal ESCI merupakan permulaan untuk kita menerbitkan artikel dalam jurnal-jurnal yang lebih berimpak tinggi. Wallahu’alam.

Semakan Jurnal Berstatus Scopus

Ada pelajar bertanyakan kepada saya terutamanya pelajar Phd ambilan 2016/2017 ke atas yang wajib menerbitkan sekurang-kurangnya satu artikel dalam jurnal berindeks Scopus sebelum viva, tentang bagaimana untuk memastikan sesebuah jurnal tersebut itu masih diindeks dalam pengkalan data Scopus. Selain merujuk kepada laman web Scopus (untuk institusi yang melanggan pengkalan data tersebut), kita boleh merujuk laman web berikut..

http://www.scimagojr.com/

Caranya, taip nama jurnal di kotak carian, dan taraaaaaaa…. nama jurnal akan terpapar. Apabila nama jurnal yang anda cari keluar, jangan terlalu excited sangat sebab ada jurnal yang telah ditamatkan status Scopusnya. Anda perlu melihat maklumat lanjut jurnal tersebut. Contohnya, jurnal berikut (lihat gambar) yang diindeks dalam Scopus sejak tahun 2000 hingga 2017, tetapi tidak lagi diindeks Scopus bermula tahun 2018. Anda juga kena pastikan nombor ISSN yang tertera sama dengan laman web rasmi jurnal tersebut. Ini kerana banyak jurnal FAKE yang wujud ketika ini.

Ada juga yang bertanyakan apa fungsi Q1 sampai Q4 tu? Baiklah, pertama sekali jangan samakan Q1-Q4 Scopus dengan Q1-Q4 untuk jurnal-jurnal yang diindeks dalam Web of Science (WOS). Q1 hingga Q4 untuk jurnal-jurnal berindeks Scopus merujuk kepada quartile ranking jurnal dalam sesuatu subdisiplin menggunakan SJR citation index. Contohnya dalam subdisiplin pendidikan (pendidikan matematik) (lihat gambar),

Journal for Research in Mathematics Education dalam kategori Q1
Eurasia Journal of Mathematics, Science and Technology Education dalam kategori Q2
Bolema – Mathematics Education Bulletin dalam kategori Q3
International Electronic Journal of Mathematics Education dalam kategori Q4

Macam mana ditentukan kedudukan sesebuah jurnal sama ada dalam Q1, Q2, Q3 atau Q4? Terdapat mekanisme, pengiraan dan prosedur tertentu untuk mengira SJR citation index yang kemudiannya digunakan untuk menentukan kedudukan jurnal-jurnal tersebut sama ada dalam Q1, Q2, Q3 mahupun Q4. Antaranya mengambilkira bilangan sitasi (citations) yang diterima oleh sesebuah jurnal, dan adakah sitasi tersebut datangnya dari jurnal-jurnal yang penting dan berprestij. Apabila SJR citation index ini ditaburkan, Q1 merujuk kepada jurnal yang berada dalam 25% teratas dari taburan tersebut dan merupakan kuartil terbaik, Q2 merujuk kepada jurnal yang taburan SJR citation index nya berada antara 25% teratas dan 50% teratas, Q3 (75% teratas hingga 50% teratas), dan Q4 (25% terendah daripada keseluruhan taburan SJR citation index).
Kedudukan sesebuah jurnal dalam quartile juga boleh berubah-ubah mengikut pencapaian mereka. Jadi kalau nak selamat, kita hantar artikel kita ke jurnal-jurnal yang berada dalam Q1 atau Q2. Bukan apa, takut kalau kita hantar artikel ke jurnal Q4, dan jurnal tersebut tak perform sebelum artikel kita diterbitkan, status Scopusnya boleh ditarik balik. Wallahu a’lam