Archives for April 1, 2021

[Bahagian 1] Kepentingan Kesinambungan Penyelidik Muda Di Institusi Pendidikan Tinggi

PIC SOURCE: https://depositphotos.com/41111361/stock-photo-young-researcher.html

Usaha penyelidikan di institusi pendidikan tinggi di Malaysia memerlukan kesinambungan oleh generasi pelapis atau dengan erti kata lain ialah penyelidik muda. Generasi baru penyelidik dan saintis adalah kunci penyelidikan masa depan di Malaysia. Mereka bertanggungjawab memastikan aktiviti penyelidikan terus dirancakkan untuk menjamin keharmonian masyarakat, memenuhi keperluan komuniti dan memacu kemajuan negara. Walau bagaimanapun, sokongan padu perlu diberikan kepada golongan penyelidik muda di Malaysia. Peluang dan ruang sewajarnya harus diberikan kepada mereka agar mereka terus bermotivasi dan komited dengan tanggungjawab yang diberikan. Di mana-mana institusi pendidikan tinggi, staf tidak kiralah muda mahupun yang berpengalaman merupakan ejen perubahan. Kecemerlangan aspek penyelidikan yang digapai oleh penyelidik yang berpengalaman dan sumbangan mereka kepada masyarakat dan negara perlu diteruskan oleh generasi pelapis. Howard Shultz, mantan CEO Starbucks, berkata dengan jelas “Kami telah membina jenama Starbucks terlebih dahulu dengan orang-orang kami, bukan dengan pengguna. Kerana kami percaya cara terbaik untuk memenuhi dan melampaui jangkaan pelanggan kami adalah untuk mengambil dan melatih orang-orang hebat, kami melabur dalam pengambilan pekerja”. Pengasas Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes pula menegaskan pekerja datang nombor satu, pelanggan datang nombor dua. Sekiranya anda mempunyai tenaga kerja yang gembira, mereka akan menjaga pelanggan anda. Justeru jelas bahawa pekerja adalah ejen perubahan dalam sesebuah institusi.

Universiti-universiti hebat di dunia berada dalam persekitaran yang memupuk daya saing, penyelidikan saintifik yang berterusan, pemikiran kritis, inovasi dan kreativiti. Sehubungan itu, penyelidik muda perlu disokong dengan persekitaran sumber manusia (role-model) yang menyokong, sumber kewangan dan logistik yang sesuai. Di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), inisiatif UTMShine telah diperkenalkan untuk memperkasakan dan menginspirasi saintis dan penyelidik muda terunggul UTM. Ia adalah salah satu strategi yang diperkenalkan oleh Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) untuk mendorong para penyelidik muda di UTM dalam menjalankan penyelidikan berimpak tinggi dan menghasilkan output penyelidikan berkualiti tinggi. Anugerah ini diberikan dalam bentuk geran penyelidikan dalam jumlah tertentu bergantung pada peruntukan yang ada, yang mana ia diberikan kepada golongan penyelidik muda terpilih iaitu mereka yang berumur kurang dari 40 tahun. Selain daripada hasil yang diharapkan dari geran penyelidikan yang diberikan kepada mereka, para saintis muda diharapkan dapat terlibat dalam bentuk aktiviti lain yang dianggap sesuai oleh jawatankuasa pemilihan UTMShine. Penerima UTMShine juga dipersiapkan dan dilatih untuk menjadi pemimpin melalui program kepimpinan tertentu. Sehingga kini, terdapat penyelidik muda di UTM yang dilantik sebagai pegawai perhubungan pelbagai pihak untuk menyelaraskan projek, menyelesaikan isu dan keperluan komuniti, pihak berkuasa tempatan mahupun pihak industri.

Bersambung…