Archives for April 2023

Salam Syawal 1444H

Berlalu sudah bulan Ramadan,
Kini tiba hari lebaran,
Moga kita meraikannya dengan penuh kesyukuran,
Andai ada kekhilafan,
Andai silap kata dan tindakan,
Saya mohon dimaafkan,
Andai pernah terminum dan termakan,
Saya mohon dihalalkan.
 
Salam Aidilfitri,
Maaf zahir dan batin.
 

[FAKTA 1] Tujuh Fakta Menarik Daripada Kajian TIMSS 2019 Subjek Matematik Dalam Kalangan Murid Gred 8 (Tingkatan Dua) Malaysia

The Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) 2019 merupakan pentaksiran terbaharu dalam siri pentaksiran TIMSS, yang bermula dengan pentaksiran pertama pada 1995 dan diteruskan setiap empat tahun iaitu pada tahun 1999, 2003, 2007, 2011, 2015 dan 2019. Hasil dapatan pentaksiran TIMSS digunakan untuk membolehkan sistem pendidikan negara-negara yang terlibat membuat perbandingan pencapaian pendidikan murid mereka dan belajar daripada pengalaman orang lain dalam mereka bentuk dasar pendidikan yang berkesan. Sebanyak 39 buah negara mengambil bahagian dalam TIMSS 2019 untuk matematik gred 8 (Tingkatan Dua). TIMSS dikendalikan oleh Pusat Kajian Antarabangsa TIMSS & PIRLS di Lynch School of Education di Boston College. Terdapat empat domain kognitif yang diuji iaitu Nombor, Algebra, Geometri dan Data & Kebarangkalian. Manakala terdapat tiga domain kognitif terlibat dalam TIMSS iaitu mengetahui, mengaplikasi dan menaakul. Kajian TIMSS 2019 dilaksanakan di Malaysia pada 16 Oktober hingga 1 November 2018. Sebanyak 221 buah sekolah dipilih sebagai sampel menurut strata sekolah yang ditetapkan oleh International Association for the Evaluation of Educational Achievement (IEA). Seramai 8077 orang murid Tingkatan Dua menjawab ujian secara eTIMSS dan seramai 1560 menjawab ujian secara paper TIMSS. Selain ujian, pentaksiran TIMSS turut mengukur aspek lain seperti aspek kehidupan di rumah dan di sekolah, termasuk maklumat demografi, suasana di rumah, iklim pembelajaran di sekolah, persepsi kendiri dan sikap terhadap matematik. Laporan mengenai pencapaian matematik TIMSS 2019 untuk murid Malaysia telah dibincangkan dalam artikel penulis sebelum ini. Tulisan kali ini akan membincangkan dapatan menarik berdasarkan data-data dalam laporan TIMSS 2019 untuk murid Tingkatan Dua di Malaysia.

Fakta Pertama

Untuk aspek ‘Sikap Murid’, ia terbahagi kepada beberapa komponen. Komponen pertama ialah ‘Murid Suka Belajar Matematik’ yang murid diminta menjawab item-item berikut; Saya suka belajar matematik, (1) saya berharap tidak perlu belajar matematik, (2) Matematik membosankan, (3) Saya belajar banyak perkara menarik dalam matematik, (4) Saya suka matematik, (5) Saya suka apa sahaja kerja sekolah yang melibatkan nombor; (6) Saya suka menyelesaikan masalah matematik, (7) Saya sentiasa teruja untuk masuk kelas matematik; dan (8) Matematik adalah salah satu subjek kegemaran saya. TIMSS mengkategorikan dapatan kepada tiga iaitu ‘sangat suka belajar matematik’, ‘suka belajar matematik’, dan ‘tidak suka belajar matematik’. Laporan TIMSS menyusun ranking negara berdasarkan dari peratusan ‘sangat suka belajar matematik’ yang paling tinggi kepada yang paling rendah. Jadual 1.0 berikut menunjukkan dapatan empat buah negara terpilih termasuk Malaysia untuk komponen ‘murid suka belajar matematik’.

Dapatan TIMSS 2019 menunjukkan bahawa murid yang ‘suka belajar matematik’ mencatatkan pencapaian yang lebih tinggi daripada murid yang ‘tidak suka belajar matematik’. Pola ini adalah sama di semua negara yang mengambil bahagian termasuk Malaysia. Walau bagaimanapun, menariknya, walaupun peratus murid yang ‘sangat suka belajar matematik’ iaitu sebanyak 20% meletakkan Malaysia di kedudukan 15, purata skor murid dalam kelompok ini iaitu 498 jauh lebih rendah daripada murid Korea Selatan yang ‘tidak suka belajar matematik’ iaitu 581. Korea Selatan menduduki tangga terakhir dalam komponen ini yang mana hanya 8% sahaja murid yang ‘sangat suka belajar matematik’. Pola yang sama dapat dilihat dalam kalangan negara-negara yang menghuni kelompok terbawah seperti Jepun dan Chinese Taipei iaitu walaupun sebahagian besar murid mereka ‘tidak suka belajar matematik’, namun purata skor mereka jauh lebih tinggi berbanding murid Malaysia yang ‘sangat suka belajar matematik’.

Bersambung…

Act of Kindness-Alhamdulillah

 
Awal Pagi 31 Mac 2023
 
Sejurus hantar isteri dan anak-anak dari hospital KPJ Dato’ Onn ke rumah di Taman Sri Pulai Perdana, saya terima panggilan daripada hospital jam 1.30 am. Keputusan ujian darah anak-anak dah keluar.
Saya terus menuju semula ke hospital tersebut seorang diri. Alhamdulillah, ujian darah kakak dan adik normal. Ada sedikit jangkitan virus. Setelah mengambil ubat dan membuat bayaran, saya bergegas pulang ke rumah.
 
Dalam perjalanan pulang, sebaik sahaja melalui susur keluar ke Jalan Pontian/UTM dari Jalan Kulai-Skudai, tayar depan kereta pancit teruk. Lihat jam di tangan, pukul 2.30 am. Ah sudahhh.. gelap gelita pula tu. Apa aku nak buat ni! Risau pula kalau ada perompak. Pernah dengar ada kes rompakan di susur berkenaan suatu ketika dahulu.
 
Gagahkan jua memandu kereta dengan memasang lampu kecemasan. Bergoyang-goyang kereta dibuatnya. Tujuannya hanya satu. sekurang-kurangnya saya sampai ke jalan yang terang dan ada kenderaan yang lalu-lalang. Akhirnya saya terpaksa akur dengan daya tahan tayar tersebut. Sebelum sempat berbuat apa-apa, dua buah motor datang menghampiri kereta. Dua remaja lelaki bertopi keledar datang menghampiri saya. Saya husnuzon sahaja. Kemudian seorang brother dengan kereta kancil juga berhenti di tepi jalan untuk membantu. Dua orang bantu untuk menukar tayar dan seorang lagi mengawal laluan kenderaan.
 
Saya tak sempat nak berkenalan lebih dengan ketiga-tiga lelaki tersebut. Saya cuma sempat bertanyakan salah seorang remaja yang memakai baju McDonald’s. Beliau kata bekerja part-time di McDonald’s UTM Skudai. Saya tiada wang tunai dalam dompet. Tapi saya sempat berikan sumbangan ikhlas dari apa yang ada dari dalam dompet saya. Cuma ada RM15 sahaja dan itu yang dapatt saya hulurkan kepada mereka.
 
Terima kasih kepada ketiga-tiga brother tadi. Kalau ada sesiapa yang kenal mereka bertiga tadi, boleh tag mereka di bahagian komen. InshaAllah saya nak beri sedikit saguhati. Tak banyak tapi cukuplah untuk saya menghargai bantuan mereka.
 
Semoga Allah S.W.T membalas jasa baik mereka bertiga sebentar tadi.