[Bahagian 2] Menginsankan Murid Melalui Penerapan Nilai Positif

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/bahagian-1menginsankan-murid-melalui-penerapan-nilai-positif/

Picture source:https://clipartstation.com/moral-values-for-children-clipart-10/

Pengenalan pendidikan sivik ini sedikit sebanyak mengurangkan kebergantungan pencapaian murid terhadap aspek kognitif semata-mata. Sistem pendidikan Korea Selatan khususnya dalam subjek matematik, walaupun muridnya sangat cemerlang dalam matapelajaran tersebut berdasarkan kepada keputusan pentaksiran antarabangsa, apabila ditanyakan sama ada mereka meminati matematik, majoriti daripada murid sekolah menengah menunjukkan sikap yang negatif. Sehubungan itu, kementerian pendidikan Korea Selatan telah menyemak semula kurikulum matematik dengan memberi fokus terhadap nilai kreativiti dalam matematik dan sikap pelajar terhadap matematik.  Begitu juga dengan sistem pendidikan Jepun khususnya dalam matapelajaran matematik. Bermula dengan semakan kurikulum pada tahun 1998, aktiviti-aktiviti matematik merupakan sebahagian daripada objektif kurikulum pada setiap peringkat. Menghargai dan menikmati keindahan matematik merupakan objektif kurikulum matematik pada peringkat sekolah rendah dan menengah rendah, manakala meningkatkan kreativiti dalam matematik merupakan objektif kurikulum di peringkat menengah atas. Hal ini jelas menunjukkan betapa aspek afektif iaitu nilai positif ditekankan dalam kurikulum di Korea Selatan dan Jepun. Jadi tidak hairanlah mengapa YAB Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan bahawa Dasar Pandang ke Timur yang diperkenalkan pada tahun 1982 masih relevan hingga ke hari ini.  Salah satu faktor kejayaan sistem pendidikan di kedua-dua buah negara tersebut ialah mereka sentiasa mengamalkan nilai-nilai positif dalam kehidupan seharian.

Mengajar generasi murid pada hari ini tidak boleh terlepas dari menggunakan teknologi maklumat dalam bilik darjah. Mereka dibesarkan dalam persekitaran teknologi yang semakin hari semakin pesat berkembang. Murid telah didedahkan dengan penggunaan teknologi dalam dunia yang dinamik dan sentiasa berubah-ubah. Maklumat yang diperlukan untuk murid dalam bilik darjah adalah di di hujung jari mereka. Malah media-media sosial, blog, skype dan dunia maya adalah sebahagian daripada alat-alat sosial yang membolehkan murid berkomunikasi. Sehubungan itu, guru perlu menerapkan nilai yang positif kepada murid khususnya bagaimana untuk memperoleh dan menganalisis maklumat yang relevan dan berguna. Nilai-nilai positif seperti mengelakkan dari melayari laman-laman web yang tidak bermanfaat, dan berkongsi maklumat yang tidak sahih, serta kesan negatif akibat permainan komputer secara berlebihan perlu diterapkan dari peringkat sekolah rendah. Nilai positif juga penting untuk mengukuhkan lagi perpaduan antara kaum di negara ini. Kalau diimbas kembali insiden rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 membawa kepada kewujudan Rukun Negara. Prinsip kelima dalam Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan diperkukuhkan dengan pengenalan pendidikan sivik ini. Tambahan pula, salah satu daripada lima aspirasi sistem pendidikan Malaysia ialah perpaduan iaitu  sistem pendidikan yang menawarkan perkongsian pengalaman dan nilai kepada murid-murid dengan menghargai kepelbagaian. Selain itu, langkah kerajaan untuk memperkenalkan tulisan khat di sekolah rendah merupakan tindakan yang wajar untuk pelajar menghargai seni, warisan dan sejarah bahasa melayu yang merupakan bahasa kebangsaan negara.

 

Bersambung…

Speak Your Mind

*