[BAHAGIAN 2]Kunjungi Universiti; Tempat Orang Mengejar Ilmu Tanpa Mengira Masa (Sempena Penubuhan Universiti Teknologi Malaysia ke-50 Tahun)

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/bahagian-1kunjungi-universiti-tempat-orang-mengejar-ilmu-tanpa-mengira-masa-sempena-penubuhan-universiti-teknologi-malaysia-ke-50-tahun/

SUMBER GAMBAR : https://world.uz/en/post/view/universitet_tehnologiy_malayzii_utm

Murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah juga boleh melawat fakulti atau sekolah yang terdapat di sesebuah kampus universiti. Sesebuah universiti itu terdiri daripada pelbagai sekolah atau fakulti yang menawarkan disiplin ilmu yang berbeza. Contohnya, fakulti perubatan melahirkan bakal doktor, fakulti pendidikan melahirkan bakal guru, fakulti kejuruteraan melahirkan jurutera dan fakulti undang-undang melahirkan peguam. Pelajar boleh melihat bagaimana mahasiswa mengikuti kuliah, menjalankan eksperimen di makmal, memerah otak di bilik tutorial, berbincang di gazebo dengan rakan sekuliah tentang subjek yang diajar oleh pensyarah dan melaksanakan rutin mereka sebagai mahasiswa. Pelajar juga boleh berinteraksi dengan mahasiswa yang mungkin berada di cafe terbuka atau gazebo tentang pengalaman mereka sebagai pelajar universiti yang mana ini akan memberi inspirasi kepada mereka untuk bergelar mahasiswa juga pada suatu hari kelak. Mereka juga boleh melihat ruang pembelajaran yang terkini yang terdapat di sesebuah universiti. Contohnya bilik kuliah yang lengkap dengan peralatan canggih yang terkini, dengan susun atur kerusi dan meja yang menggalakkan pembelajaran berpusatkan pelajar, malah terdapat juga bilik kuliah yang berkonsepkan santai di mana mahasiswa bukan sahaja menerima ilmu di situ tetapi tempat mereka berehat dan menenangkan fikiran. Ekosistem universiti bukan sahaja tertumpu kepada aspek akademik sahaja, malah ia juga merangkumi aktiviti penyelidikan. Pelajar sekolah boleh didedahkan kepada pemenang Nobel Laureate yang kebanyakannya merupakan ahli akademik universiti yang menjalankan penyelidikan yang memberi impak besar dalam bidang tertentu. Harvard University umpamanya telah melahirkan pemenang Nobel Laureate terbanyak di dunia. Sehubungan itu, pelajar boleh dibawa melawat ke institut-institut penyelidikan yang terdapat di sesebuah universiti. Penyelidikan yang dijalankan di institut-institut berkenaan pastinya memberi impak kepada masyarakat dan industri. Ini dapat membuka minda pelajar sekolah tentang bagaimana hasil penyelidikan universiti dapat menyumbang kepada masyarakat dan bagaimana pihak industri dapat bekerjasama dengan universiti dalam melaksanakan penyelidikan yang akhirnya memberi impak kepada masyarakat dan negara. Ini akan membantu para penyelidik universiti melangkah ke hadapan dan tetap relevan di peringkat nasional dan global. Penyelidik yang terdiri daripada pensyarah, pelajar pra siswazah, pelajar pasca siswazah, pegawai penyelidik mahupun pembantu penyelidik menjalankan penyelidikan di makmal-makmal tertentu yang terdapat di institut penyelidikan tidak kira siang dan malam dalam memastikan kejayaan penyelidikan. Terdapat institut penyelidikan yang menawarkan lawatan kepada pihak luar bagi memberi peluang kepada pelawat untuk melihat sendiri eksperimen atau kajian tertentu dilaksanakan.

Bersambung…

Speak Your Mind

*