[BAHAGIAN AKHIR]Kunjungi Universiti; Tempat Orang Mengejar Ilmu Tanpa Mengira Masa (Sempena Penubuhan Universiti Teknologi Malaysia ke-50 Tahun)

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/bahagian-2kunjungi-universiti-tempat-orang-mengejar-ilmu-tanpa-mengira-masa-sempena-penubuhan-universiti-teknologi-malaysia-ke-50-tahun/

SUMBER GAMBAR : https://world.uz/en/post/view/universitet_tehnologiy_malayzii_utm

Masjid yang terdapat dalam kampus juga merupakan sumber ilmu kepada warga kampusnya. Selain merupakan tempat beribadah, masjid universiti juga berperanan menganjurkan tazkirah, kelas agama, qiamullail dan program-program pengimarahan masjid. Masjid turut menguruskan dan mengadakan program-program kerohanian staf dan mahasiswa. Pelajar sekolah menengah boleh dibawa ke masjid universiti untuk menunaikan solat dan melihat aktiviti keagamaan yang berlangsung di situ. Selain itu, penulisan dan penerbitan juga merupakan aktiviti ahli akademik dan mahasiswa universiti. Hasil penulisan mereka diterbitkan dalam bentuk buku mahupun jurnal. Lawatlah Kedai Penerbit universiti untuk melihat karya ilmiah yang dihasilkan oleh cendekiawan universiti. Minda keusahawanan juga dipupuk dalam kalangan mahasiswa universiti. Lawatlah medan selera yang terdapat dalam kampus universiti. Terdapat segelintir mahasiswa yang menjalankan perniagaan sendiri dengan mengaplikasikan ilmu keusahawanan yang telah dipelajari.

Pada tahun ini, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyambut ulang tahun ke 50 penubuhannya sebagai sebuah universiti terulung di Malaysia. Pada 14 Mac, 1972, DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong telah mengisytiharkan penubuhan Institut Teknologi Kebangsaan (ITK). Kemudiannya pada 1 April 1975, ITK telah dinaiktaraf menjadi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sehinggalah ke hari ini. Seperti universiti-universiti lain, banyak tempat dan kemudahan yang berada di kampus UTM sama ada di Johor Bahru mahupun di Kuala Lumpur yang boleh dikunjungi. Antaranya Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ), Masjid Sultan Ismail (MSI), fakulti-fakulti, kolej-kolej kediaman, Tasik Ilmu, Hutan Rekreasi, Balai Cerap, Taman Tropika dan Taman Rusa. Malah UTM mempunyai inisiatif Kampus Ekopelancongan UTM dan merupakan universiti awam pertama yang telah menjalin kerjasama dengan agensi pelancongan tempatan pada 5 Ogos 2015 menerusi Pakej UTM Visit My Campus yang disokong oleh Tourism Malaysia.

Natijahnya, pembudayaan ilmu sangat menyerlah dalam ekosistem sesebuah universiti. Jadikanlah universiti sebagai salah satu tempat untuk dilawati untuk melihat bagaimana warganya mengejar ilmu sepanjang masa tidak kira siang dan malam.

Tamat

Speak Your Mind

*