Belajar Menghormati Orang Lain

picture source: http://creative-commons-images.com/handwriting/r/respect.html

Sejak akhir-akhir ini kita banyak didedahkan dengan cerita-cerita tentang individu yang tidak menghormati individu lain. Seorang bapa yang menengking guru kepada anaknya di sekolah, rakyat yang mempersendakan pemimpin dan raja, serta orang yang tidak berpuas hati dengan kejayaan dan kesenangan yang dimiliki oleh orang lain. Malah baru-baru ini, penulis menyaksikan seorang wanita menengking dan menghempas begnya apabila ditegur oleh seorang pengawal keselamatan di pintu masuk sebuah pusat membeli belah. Pengawal keselamatan tersebut yang juga seorang warga asing melarangnya dari membawa masuk beg sandarnya dan meminta beliau menyimpannya di kaunter yang telah disediakan. Apalah salah pengawal keselamatan tersebut yang menjalankan tanggungjawabnya. Adakah disebabkan beliau warga asing, beliau boleh diperlakukan sebegitu. Sikap hormat menghormati merupakan salah satu kunci kepada keamanan dan kebahagiaan dalam kehidupan kita di Malaysia yang berbilang kaum. Tanpa kunci ini, kita akan hidup dalam amarah, tiada pertimbangan dan bermusuhan. Hal ini bertentangan dengan prinsip Rukun Negara yang kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan yang bertujuan melahirkan warga negara yang bersopan santun dan bersusila. Sifat individu yang bersopan santun dan bersusila adalah paling bermakna dan amat penting dalam konteks perhubungan antara satu sama lain dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Bayangkan di negara ini, kita hidup tanpa rasa hormat. Bayangkan tiada siapa yang menghormati pandangan dan pemikiran orang lain, dan mementingkan diri sendiri, pasti keadaan akan menjadi tidak tenteram. Sikap saling menghormati merupakan nilai yang paling asas yang perlu ada dalam diri kita sebagai manusia. Sebagai manusia, kita perlu menghormati manusia yang lain dan berhak untuk dihormati oleh orang lain. Sedangkan binatang mempunyai perasaan, apatah lagi manusia yang dikurniakan akal dan fikiran. Sikap hormat-menghormati seharusnya dilaksanakan tanpa mengenal pangkat dan kedudukan. Pemimpin seharusnya menghormati rakyat, malah rakyat juga perlu menghormati pemimpin. Baru-baru ini, ketika insiden helikopter terhempas di Sarawak yang mengorbankan lima orang termasuk pemimpin rakyat, penulis sedih dengan kata-kata negatif yang dilemparkan oleh netizen di laman-laman sosial. Dalam keadaan genting sebegitu, ideologi politik seharusnya diketepikan. Hormatilah keluarga dan saudara-mara mangsa yang terlibat yang mengharapkan yang terbaik untuk orang yang tersayang. Sikap menghormati tidak seharusnya terbatas mengikut peringkat umur. Tidak dinafikan orang muda perlu menghormati orang yang lebih tua dari mereka. Bagaimanapun, orang tua juga perlu menghormati orang muda, mungkin dari aspek pandangan yang diberikan mungkin relevan dengan keadaan semasa, dan sebagainya selagi perkara-perkara tersebut tidak melanggar batas-batas tertentu. Sikap menghormati juga pastinya boleh dipupuk melalui tauladan. Jika orang dewasa atau ibu bapa kanak-kanak menunjukkan sikap menghormati dari aspek perkataan dan perbuatan, ianya akan memberikan inspirasi kepada anak-anak untuk mencontohinya. Begitu juga sebaliknya sekiranya kanak-kanak berada di persekitaran yang tidak menyokong ke arah pembentukan sikap menghormati. Sikap menghormati juga seharusnya diamalkan di mana-mana sahaja. Di tempat bekerja umpamanya, di pejabat, majikan harus menghormati anak-anak buahnya yang selama ini menyokong kerjaya seseorang majikan. Jangan disebabkan seseorang itu berpangkat lebih tinggi daripada orang lain, hilang terus rasa hormat terhadap orang di bawah mereka. Begitu juga dengan pencuci (cleaner) dan pengawal keselamatan yang mungkin dari aspek tahap kerjaya jauh lebih rendah berbanding kita, tetapi ingat merekalah yang menjaga keselamatan tempat kerja kita dan menjaga kebersihan persekitaran tempat kita mencari rezeki. Begitu juga di jalan raya. Hormatilah peraturan jalan raya, hormatilah lampu isyarat, hormatilah pejalan kaki, hormatilah polis trafik mengawal lalu lintas bagi memudahkan perjalanan, hormatilah kerja ahli keselamatan seperti pemandu ambulans yang menggunakan lorong kecemasan untuk menyelamatkan mangsa kemalangan dan sebagainya. Jangan pentingkan diri sendiri. Hormat diri sendiri adalah kunci untuk menghormati orang lain. Apabila kita boleh mengenal pasti dan menghargai kekuatan kita dan menerima kelemahan yang ada kita, kita akan lebih mudah untuk menghormati orang lain. Ingatlah, sekiranya kita mahu orang lain menghormati kita, kita terlebih dahulu perlu menghormati orang lain.

 

Loading comments...