- MyRA I adalah sistem pentaksiran yang digunakan untuk mengukur input, output, hasil dan impak Pembangunan, Penyelidikan, Pengkomersilan & Inovasi (RDCI) sesebuah universiti.
- Data yang diisytiharkan oleh Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) hanya berkaitan dengan RDCI sahaja.
- Lima universiti penyelidikan perlu memperolehi markah yang melepasi tahap markah penanda aras yang telah ditetapkan bagi membolehkan universiti-universiti tersebut mengekalkan statusnya sebagai universiti penyelidikan.
- MyRA II juga merupakan sistem pentaksiran yang mengukur hasil RDCI, namun hasil yang diharapkan lebih tinggi berbanding hasil RDCI dalam MyRA I dan ia hanya melibatkan universiti-universiti penyelidikan.
- Pencapaian dalam MyRA II menentukan dana RU (Research University) yang akan diperuntukkan oleh sesebuah universiti penyelidikan.
- Dana RU ini akan digunakan oleh universiti bagi tujuan dana operasi, geran penyelidikan serta pembelian dan penyelenggaraan alat.
Perbezaan Antara MyRA I dan MyRA II
[Bahagian Akhir] COVID-19 buka mata warga pendidik, pelajar
Salam semua
Sambungan dari https://people.utm.my/halim/bahagian-1-covid-19-buka-mata-warga-pendidik-pelajar/
Pelajar juga dapat belajar untuk mematuhi peraturan. Pelajar sekolah menengah dan universiti pastinya menghadapi keadaan sukar sebegini pertama kali dalam hidup mereka. Apabila diarahkan oleh pihak kerajaan mengenai kawalan pergerakan selama 14 hari yang dilaksanakan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan), kebanyakan orang ramai termasuklah pelajar mula menyedari akan kepentingan tersebut yang bertujuan untuk menghapuskan rantaian pandemik berkenaan. Arahan untuk duduk di rumah bukan sahaja ditekankan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, malah turut disampaikan oleh YAB Perdana Menteri dan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Ini menunjukkan betapa pentingnya arahan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan dalam menangani penularan pandemik ini. Pihak polis dan tentera dikerah untuk mengawal orang awam daripada keluar sebarangan tanpa tujuan dan seterusnya gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan tersebut. Selain itu, pelajar tidak kiralah sama ada di peringkat sekolah menengah mahupun di institusi pendidikan tinggi mula sedar akan kesalahan menyebarkan maklumat palsu di media-media sosial. Mereka yang didapati bersalah akan disabitkan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan. Penyampaian maklumat secara berkesan oleh kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sama ada melalui media sosial mahupun media massa seharusnya dipuji untuk mengelakkan kekeliruan rakyat mengenai maklumat terkini berkenaan pandemik berkenaan. Contohnya, KKM mengeluarkan statistik kes jangkitan baru, jumlah kes jangkitan terkini dan sebagainya setiap hari menggunakan media sosial dan media massa. Dengan kehadiran pelbagai teknologi pendidikan pada masa kini, sudah tiba masanya proses pembelajaran dan pengajaran tidak semestinya berlaku secara bersemuka lebih-lebih lagi dengan keadaan sukar pada hari ini. Untuk memastikan sistem pendidikan tidak terhenti walaupun seluruh dunia dikejutkan dengan pandemik ini, pihak United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) telah mengesyorkan penggunaan pelbagai teknologi untuk memastikan kesinambungan pembelajaran. Guru boleh menggunakan platform pembelajaran dalam talian untuk untuk pengajaran, berinteraksi dengan pelajar, memberi latihan dan sebagainya secara maya. Ramai pelajar pada masa kini mempunyai akses kepada peralatan teknologi di rumah. Natijahnya, penularan pandemik Covid-19 ini telah membuka mata dan minda banyak pihak termasuklah pelajar. Kesedaran menjaga kebersihan, mematuhi peraturan dan pelaksanaan pembelajaran secara maya antara implikasi situasi yang berlaku di negara kita pada hari ini. Semoga penularan pandemik ini akan berakhir tidak lama lagi. Sama-samalah kita berdoa.
Tamat
[Bahagian 1] COVID-19 buka mata warga pendidik, pelajar
Penularan pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara kita pada hari ini memberi impak besar kepada pelbagai sektor. Wabak yang berasal dari daerah Wuhan, China yang dikesan pada bulan Disember 2019 telah diisytiharkan sebagai pandemik global oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Hal ini telah membuka mata banyak pihak dari seluruh dunia mengenai betapa bahayanya pandemik ini. Sehingga artikel ini ditulis, bilangan kes Covid-19 yang dicatatkan di seluruh Malaysia sudah melepasi angka 1300. Bidang pendidikan sama ada pendidikan sekolah rendah, menengah mahupun pengajian tinggi turut tidak terlepas menerima impak daripada penularan wabak merbahaya ini. Menurut ucapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada malam 16 Mac 2020 telah mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 Mac hingga 31 Mac 2020. Antara pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan tersebut ialah penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti serta penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara. Perintah kawalan pergerakan ini dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967. Walau bagaimanapun, setiap kejadian yang berlaku pasti terdapat hikmah di sebaliknya. Artikel ini akan membincangkan bagaimana isu penularan wabak Covid-19 ini memberi implikasi dalam konteks pendidikan. Jikalau sebelum ini, pelajar kurang mengambil berat tentang isu kebersihan, kini mereka mula sedar akan kepentingan menjaga kebersihan. Pelajar lebih mengambil berat mengenai kesihatan dan keselamatan masing-masing. Antaranya mereka memakai topeng muka dan menjaga kebersihan bukan sahaja di sekolah dan di universiti, malah di rumah. Pelajar terutamanya mengekalkan jarak 1 meter dari semua orang yang berinteraksi dengan mereka sama ada di tempat-tempat umum seperti pasar raya dan sebagainya. Daripada berjabat tangan, atau pelukan, pelajar mempelajari cara alternatif untuk saling menyapa. Cara membalas salam dengan mengelakkan persentuhan anggota badan juga dipraktikkan dalam keadaan sekarang. Penggunaan hand sanitizer juga digunakan dalam usaha menangani penularan wabak Covid-19. Pelajar diajar tentang cara yang betul penggunaan hand sanitizer dan juga cara membasuh tangan yang betul dengan menggunakan air. Walau bagaimanapun, penggunaan hand sanitizer perlu dibasuh dengan air sebelum menghidupkan api kerana ianya mengandungi alkohol dan mudah terbakar. Amalan ini membuahkan hasil apabila laporan akhbar Berita Harian bertarikh 6 Mac 2020 menyatakan rakyat Malaysia menduduki tempat pertama berbanding negara-negara lain, yang mengubah sikap ke arah positif dalam aspek penjagaan kebersihan diri dalam situasi penularan Covid-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini. Diharapkan momentum dan sikap ini akan berkekalan walaupun pandemik Covid-19 ini akan berakhir kelak.
Bersambung…
Lekaslah Pergi Covid-19
Covid-19 musuh satu dunia,
Semuanya berubah sekelip mata,
Menjangkiti insan yang tidak berdosa,
Tidak kira muda mahupun tua.
Kepada golongan barisan hadapan,
Doa kupohon kepada tuhan,
Dikuatkan ketabahan dan kesabaran kalian,
Mengawal penularan pandemik berkenaan.
Kepada rakyat semua,
Patuhilah arahan dan peraturan semasa,
Jagalah kebersihan dan keselamatan kita,
Kita mampu tanganinya bersama.
Covid-19 pandemik misteri,
Lekaslah kau pergi,
Pergi dari dunia ini,
Dan jangan sesekali engkau kembali.
[Bahagian Akhir] Menyemarakkan Budaya Penyelidikan Di Institusi Pendidikan Tinggi
Sambungan dari https://people.utm.my/halim/part-1-menyemarakkan-budaya-penyelidikan-di-institusi-pendidikan-tinggi/

Pic source: https://www.canterbury.ac.uk/social-and-applied-sciences/research-and-knowledge-exchange.aspx
Budaya penyelidikan terbaik di universiti-universiti ternama dunia seperti Oxford University dan Cambridge University di United Kingdom serta Harvard University dan Massachusetts Institute of Technology (MIT) di Amerika Syarikat merupakan salah satu faktor universiti-universiti berkenaan menjadi tempat yang menarik dan produktif untuk menjalankan penyelidikan. Sekiranya seseorang penyelidik mahukan output dan melalui proses penyelidikan yang baik, sesebuah institusi pendidikan tinggi memerlukan budaya penyelidikan positif yang menyokong semua individu yang terlibat. Di samping dasar dan program kebangsaan yang menjadi hala tuju penyelidikan, dasar tempatan dan sikap dan tingkahlaku staf di semua peringkat mempengaruhi perkara ini. Menurut World Economic Forum, terdapat beberapa langkah untuk meningkatkan budaya penyelidikan yang lebih baik di sesebuah institusi pendidikan tinggi. Antaranya pelaksanaan perbincangan secara terbuka dapat membantu memupuk persekitaran yang lebih kolaboratif, dengan memberi peluang kepada para penyelidik peluang untuk berkongsi pengalaman mereka bukan sahaja dari aspek kejayaan mereka, tetapi juga kegagalan mereka yang perlu ditambahbaik. Sistem sokongan seperti khidmat kaunseling kerjaya, khidmat bimbingan dan sokongan kepada penyelidik yang dapat meningkatkan semangat dan meningkatkan penyelidikan positif perlu diwujudkan untuk membantu mengurangkan tekanan dalam persekitaran penyelidikan. Ahli kumpulan penyelidikan juga perlu berbincang secara terbuka dari semasa ke semasa untuk memastikan semua ahli kumpulan menyedari apa yang diharapkan dalam persekitaran penyelidikan. Selain itu, penyelidik dan staf sokongan perlu digalakkan untuk meluangkan masa dan ruang untuk bertemu untuk berkongsi idea dan pengalaman tentang amalan terbaik mengenai apa yang telah berhasil dengan jayanya dan apa yang tidak. Ketua kumpulan penyelidikan yang berjaya perlu menjadi contoh ikutan terutama kepada penyelidik-penyelidik muda untuk mempromosikan budaya penyelidikan yang positif. Tuntasnya tiada faktor tunggal untuk menjadikan sesebuah institusi pendidikan tinggi itu menjadi institusi yang hebat. Walau bagaimanapun, untuk menjadi yang hebat, banyak faktor yang boleh membawa kepada pencapaian tersebut. Salah satu daripadanya ialah aspek budaya penyelidikan. Budaya penyelidikan bukan terletak kepada lima buah universiti penyelidikan yang terdapat di Malaysia, malah melibatkan kesemua institusi pendidikan tinggi yang wujud di negara kita. Budaya ini dilihat semakin hari semakin berkembang tidak kiralah dalam kalangan universiti penyelidikan, universiti komprehensif, universiti berfokus mahupun universiti swasta. Hal ini boleh dilihat melalui kedudukan institusi-institusi pendidikan tinggi di Malaysia dalam World University Rankings Asia 2020. Dalam senarai yang dikeluarkan oleh QS (Quacquarelli Symonds) tersebut, sebanyak 29 buah institusi pendidikan tinggi di Malaysia berada dalam senarai tersebut berbanding 26 dalam edisi 2019. Kriteria-kriteria yang diambilkira dalam menentukan kedudukan tersebut termasuklah impak penyelidikan yang dihasilkan serta reputasi masyarakat yang menjadi antara penerima manfaat akhir hasil penyelidikan yang telah dijalankan oleh penyelidik.
Tamat
[Bahagian 1] Menyemarakkan Budaya Penyelidikan Di Institusi Pendidikan Tinggi
Selain pengajaran yang menjadi teras utama dalam ekosistem di institusi pendidikan tinggi di Malaysia, penyelidikan juga merupakan aktiviti utama yang perlu dilaksanakan secara berterusan di institusi pendidikan tinggi. Untuk meningkatkan keternampakan fungsi sesebuah institusi pendidikan tinggi, ia perlu memajukan penyelidikan dan memanfaatkan kekuatannya dalam bidang intelektual dan dengan potensinya untuk memberi kesan kepada komuniti, teknologi, ekonomi dan masyarakat. Hal ini selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia khususnya Jabatan Pendidikan Tinggi untuk mengangkat agenda “Universiti Untuk Masyarakat” iaitu universiti menjalankan penyelidikan yang mana hasil penyelidikan merupakan jawapan terhadap pelbagai masalah yang dihadapi masyarakat pada hari ini. Hal ini selari dengan gagasan yang dibawa oleh Mantan Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik iaitu “Sekolah Untuk Komuniti, Universiti Untuk Masyarakat”. Mantan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia sebelum itu iaitu Datuk Seri Idris Jusoh juga telah menitikberatkan “translational research” iaitu penyelidikan yang menghasilkan impak tinggi kepada kerajaan, komuniti, industri dan akademia. Ekosistem penyelidikan di institusi pendidikan tinggi seharusnya terdiri daripada lima tunjang utama yang menyokong ekosistem berkenaan iaitu perolehan dana penyelidikan, penerbitan, penjenamaan dan rangkaian, inovasi dan penyelidikan dan penjanaan pendapatan. Dalam tunjang perolehan dana penyelidikan, dana penyelidikan geran nasional, geran industri dan geran antarabangsa perlu ditingkatkan untuk membudayakan dan menyemarakkan aktiviti penyelidikan di sesebuah institusi. Setiap staf juga perlu diberi peluang untuk mengetuai mana-mana geran penyelidikan dalam menyerlahkan lagi sifat kepemimpinan khususnya dalam menguruskan geran penyelidikan ahli penyelidik yang lain. Budaya penyelidikan dalam kalangan penyelidik juga perlu digalakkan untuk mempunyai bank proposal penyelidikan tidak kiralah untuk geran nasional, industri dan antarabangsa. Bank proposal ini penting untuk memastikan penyelidik sentiasa bersedia apabila peluang untuk permohonan geran penyelidikan dibuka dan ditawarkan. Walau bagaimanapun aspek ini mempunyai cabarannya yang tersendiri seperti kurang memberi respons kepada peluang geran dari pihak swasta atau antarabangsa serta kekurangan kolaborator industri atau antarabangsa yang kukuh. Dalam situasi yang mencabar ketika ini, penyelidik perlu bersedia untuk unlearn dan relearn. Penyelidik tidak boleh terus berasa selesa dengan apa yang mereka nikmati pada hari ini atau terlalu bergantung kepada dana penyelidikan yang disediakan oleh pihak kerajaan. Mereka perlu keluar dari kepompong keselesaan. Contohnya, sebelum ini mereka sudah terbiasa menulis proposal penyelidikan yang lebih bersifat teknikal, tetapi kini sudah tiba masanya untuk mereka menghasilkan proposal penyelidikan yang memasukkan nilai-nilai tertentu dan bersifat layman untuk menarik lebih banyak pihak penaja menyalurkan dana penyelidikan kepada penyelidik.
Bersambung…
[Bahagian Akhir] Menginsankan Murid Melalui Penerapan Nilai Positif
Sambungan dari https://people.utm.my/halim/bahagian-2-menginsankan-murid-melalui-penerapan-nilai-positif/

Picture source: https://www.southernphone.com.au/Blog/2018/Feb/automation-and-children-future-workforce
Walaupun nilai yang baik itu diajar dalam pendidikan sivik yang diterapkan dalam matapelajaran tertentu, nilai-nilai tersebut seharusnya dihayati dan ditanam dalam diri pelajar. Sehubungan itu, dalam konteks sekolah, selain mengajar, para pendidik bertanggungjawab menunjukkan nilai-nilai positif dan menjadi contoh ikutan kepada murid-murid. Hal ini selaras dengan teori yang diperkenalkan oleh psikologi terkenal Albert Bandura yang memperkenalkan teori berkaitan pembelajaran berasaskan pengamatan. Melalui teori ini, pelajar belajar melalui peniruan hasil tindakbalas terhadap pelbagai rangsangan yang mana dalam konteks ini, mereka menerima rangsangan dari sikap positif yang dipraktikkan oleh golongan pendidik. Pendidik bukan sahaja bertanggungjawab membantu murid-murid melihat nilai-nilai yang baik itu merupakan sebahagian penting dalam proses pendidikan tetapi juga untuk perkembangan keseluruhan mereka sebagai individu. Kesimpulannya, komponen Manusiawi iaitu untuk menginsankan murid merupakan satu tanggungjawab yang besar yang bukan hanya perlu dipikul oleh guru, tetapi ibu bapa dan masyarakat dengan persekitaran yang menyokong ke arah tujuan tersebut. Menurut YAB Dr. Maszlee Malik, ia memerlukan perubahan budaya dan juga perubahan minda yang besar.
Tamat