Khas buat seorang sahabat..

11667506_644661739002398_5664400509811024375_n

Aku ingin mengambil kesempatan,
Menitip sedikit coretan,
Mengucapkan selamat jalan,
Khas buat seorang teman,
Yang hampir lapan tahun berkenalan,
Berkongsi warna-warni kehidupan,
Tentang ahli akademik yang pelbagai pengalaman,
Tentang pengajaran, penyelidikan, penyeliaan, perundingan, penulisan, penerbitan,
Tidak kira masa dan keadaan,
Di rumah mahupun dalam kenderaan,
Ketika menonton televisyen ataupun sedang makan,
Kami bercerita tentang pekerjaan,
Berkongsi kisah duka dan kegembiraan.

Hari ini hari terakhir beliau di UTM,
Untuk bergelar pensyarah di UUM,
Untuk kembali ke pangkuan isteri dan anak tersayang,
Yang sudah lama dipisahkan oleh sempadan,
Seorang di utara dan seorang di selatan.

Terima kasih Dr. Hilmi Hamzah
Seorang insan yang bagiku amat komited dengan pekerjaan,
Yang bersungguh-sungguh mencapai impian,
Yang ku kenal seorang yang hidupnya penuh perancangan.

Semoga persahabatan yang terjalin kekal sampai bila-bila,
Didoakan agar terus berjaya,
Di dunia mahupun di akhirat yang kekal selamanya.

Dr. Halim, UTM

Jom Buat Kajian Literatur!!

Buat anak-anak buah saya. Saya nak share sikit bagaimana untuk buat kajian literatur. Harap sedikit sebanyak membantu

__9805342
Neelofa Halim (2015). Maklumat lengkap tidak dinyatakan ini hanya contoh dan rekaan semata-mata
Kebanyakan pelajar berjaya mengikuti langkah-langkah penyelesaian masalah sebagaimana yang digariskan dalam model Polya iaitu memahami masalah, merancang strategi dan melaksanakan strategi penyelesaian. Bagaimanapun kebanyakan pelajar didapati gagal melaksanakan langkah terakhir iaitu menyemak semula jawapan.
Nora Danish Halim (2013). Maklumat lengkap tidak dinyatakan ini hanya contoh dan rekaan semata-mata
Faktor kecuaian pelajar dalam fasa memahami soalan didapati salah satu punca pelajar tidak dapat menyelesaikan masalah. Dalam kajian ini, dapatan daripada teknik pemerhatian yang dijalankan menunjukkan pelajar terburu-buru dalam menyelesaikan masalah setelah diberikan masalah matematik tanpa mencatatkan maklumat-maklumat penting yang terdapat dalam masalah tersebut.
Kamal Hidayat (2006). Maklumat lengkap tidak dinyatakan ini hanya contoh dan rekaan semata-mata

Masalah matematik boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu masalah rutin dan masalah bukan rutin
Chew Yin (2000). Maklumat lengkap tidak dinyatakan ini hanya contoh dan rekaan semata-mata
Masalah rutin merupakan masalah yang menjadi kebiasaan kepada pelajar dan boleh diperolehi daripada sumber yang biasa iaitu buku teks dan buku latihan harian pelajar. Masalah ini kebiasaannya mudah diselesaikan tanpa memerlukan pelajar berfikir panjang dan jawapan boleh diberikan serta merta.
Sleven Karl Smith (2001). Maklumat lengkap tidak dinyatakan ini hanya contoh dan rekaan semata-mata
Masalah bukan rutin merujuk kepada masalah yang memerlukan pelajar berfikir berulang kali untuk memahami apa yang dikehendaki soalan sebelum menyelesaikannya. Masalah ini biasanya merangkumi tiga tahap teratas dalam Taksonomi Bloom Semakan Semula iaitu menganalisis, menilai dan mencipta.
Anderson dan Kratwohl (2001). Theory into Practice
Anderson dan Kratwohl telah melakukan semakan pada domain kognitif yang telah diperkenalkan dalam taksonomi asal dan membuat beberapa perubahan. Selain menggunakan kata kerja untuk menggantikan kata nama bagi setiap peringkat, Anderson juga telag mengubah kedudukan penilaian dari teratas kepada kelima. Taksonomi yang baru ini memaparkan satu bentuk pemikiran yang aktif dan lebih tepat.
Pusat Perkembangan Kurikulum (2000)
Kurikulum Matematik sekolah menengah membolehkan murid mengaplikasi pengetahuan dan kemahiran matematik dalam menyelesaikan masalah dan membuat keputusan.
National Council of Teachers of Mathematics (2000)
Problem solving plays an important role in mathematics and should have a prominent role in the mathematics education of K-12 students. However, knowing how to incorporate problem solving meaningfully into the mathematics curriculum is not necessarily obvious to mathematics teachers. Fortunately, a considerable amount of research on teaching and learning mathematical problem solving has been conducted during the past 40 years or so and, taken collectively; this body of work provides useful suggestions for both teachers and curriculum writers. The following brief provides some directions on teaching with problem solving based on research. Problem solving means engaging in a task for which the solution method is not known in advance. In order to find a solution, students must draw on their knowledge, and through this process, they will often develop new mathematical understandings. Solving problems is not only a goal of learning mathematics but also a major means of doing so.
Literatur yang mungkin boleh dibuat adalah seperti berikut:
Penyelesaian masalah Matematik merupakan aspek penting dalam pendidikan Matematik. Ianya penting dalam sistem pendidikan kebangsaan (PPK, 2000) dan juga diakui kepentingannya di peringkat antarabangsa (NCTM, 2000). Masalah dalam matematik boleh dikategorikan kepada dua iaitu masalah rutin dan masalah bukan rutin (Kamal, 2006). Menurut Chew (2000), masalah rutin tidak memerlukan pelajar menggunakan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) kerana ianya boleh diselesaikan dengan cara mereplikasi kaedah penyelesaian yang pernah dialami di dalam bilik darjah sedangkan menurut NCTM (2000), masalah matematik merujuk kepada masalah yang dikemukakan kepada pelajar tidak diketahui atau tidak jelas kaedah penyelesaiannya terlebih dahulu. Masalah rutin kebiasaannya boleh ditemui dalam buku teks mahupun buku latihan. Senario ini bercanggah dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang memberi penekanan terhadap KBAT (KPM, 2013). Justeru untuk menjana KBAT pelajar, masalah bukan rutin perlu dibiasakan kepada pelajar. Ini kerana menurut Sleven (2001), masalah bukan rutin merujuk kepada empat tahap teratas dalam Taksonomi Bloom Semakan Semula iaitu mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta (Anderson & Kratwohl, 2001). Bagaimanapun, beberapa kajian lalu mendapati terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kesukaran pelajar dalam proses penyelesaian masalah. Kajian Neelofa (2015) mendapati langkah terakhir dalam model Polya iaitu menyemak semula jawapan sering ditinggalkan oleh pelajar menyebabkan jawapan yang dihasilkan tidak tepat. Bagaimanapun, kajian Nora Danish (2013) mendapati, seawal langkah pertama dalam model Polya iaitu memahami masalah, pelajar dilihat melakukan kesilapan iaitu menyelesaikan masalah secara terburu-buru. Hal ini menyebabkan pelajar terlepas untuk mencatatkan maklumat-maklumat penting yang berguna untuk menyelesaikan masalah.

11 perkara yang saya pelajari tentang Istana Budaya dan Teater Bawang Putih Bawang Merah

Ini bukan sahaja kali pertama saya menjejakkan kaki ke Istana Budaya (IB), malah kali pertama juga dalam hidup saya menonton teater. Apabila mengetahui satu teater melayu yang bakal dipentaskan di IB, saya lantas melayari laman web IB bagi mengetahui proses pembelian tiket. Tambahan pula saya bakal ke Kuala Lumpur bagi menyertai satu pameran di Kuala Lumpur Convention Centre. Kata orang sambil menyelam minum air, jadi sesekali turun ke KL, impian yang sudah lama terpendam di dalam diri ini kali ini pasti akan direalisasikan. Jadi ingin saya kongsikan 11 perkara yang saya pelajari tentang #IstanaBudaya dan #TeaterBawangPutihBawangMerah. Lain orang lain pandangan. Ini hanyalah pandangan dan pemerhatian berdasarkan perspektif saya sebagai seorang yang gemarkan naskhah visual berbahasa melayu.

12341302_707010939434144_4411507417407169018_n

  1. Saya tiba di Istana Budaya sebelum maghrib. Awal-awal lagi saya bercadang untuk menunaikan solat maghrib di surau IB. Saya menjangkakan tiada masalah untuk mendapatkan parkir kereta berikutan sampai awal di sana. Bagaimanapun, jangkaan saya meleset sama sekali apabila mendapati tempat letak kereta yang penuh. Barangkali pengunjung lain turut mempunyai tanggapan yang sama tentang kesesakan jalan raya, apatah lagi di petang jumaat yang dikhabarkan Kuala Lumpur akan lebih sesak berbanding hari-hari biasa. Saya agak pelik, mengapa satu tempat yang gah, yang sentiasa menjadi tumpuan orang ramai, tetapi kekurangan kawasan parkir. Bagi saya, salah satu aspek yang perlu diberi perhatian untuk menarik lebih ramai pengunjung ke sana adalah keselesaan termasuklah kemudahan parkir kenderaan.
  2. Usai solat maghrib, saya menukar resit yang telah dibeli secara atas talian kepada tiket masuk. Memandangkan ini merupakan pengalaman pertama saya menonton teater di Istana Budaya, saya ajukan beberapa soalan kepada petugas kaunter untuk mendapatkan kepastian. Bagaimanapun, layanan yang diberikan agak dingin. Saya tidak kisah, barangkali mereka kepenatan bekerja seharian suntuk. Bagaimanapun, sebagai pekerja di tempat yang berprestij, layanan perlulah diberikan sebaik mungkin lebih-lebih lagi kepada pengunjung yang datang bukan percuma, bahkan ada yang datang dari jauh seperti saya.
  3. Sebelum memasuki panggung teater, saya sempat menjamu selera di kafeteria yang terdapat di situ. Bertepatan dengan nama “Istana Budaya”, saya lihat selain menu utama yang disajikan, terdapat juga pelbagai kuih tradisional yang dijual. Harga? Not bad, tidak terlalu mahal, dan tidak terlalu murah.
  4. Pengumuman bahawa panggung telah dibuka, dibuat sepuluh minit sebelum jam menunjukkan pukul 8.30 malam. Sepertimana keadaan kita memasuki panggung wayang, seperti itu lah senario sebelum masuk panggung teater. Tempat duduk saya di hadapan. Saya pada mulanya agak gusar kerana kebiasaannya saya tidak gemar duduk di hadapan dalam panggung wayang kerana terpaksa mendongak untuk melihat skrin. Tetapi jangan sesekali samakan panggung teater dengan panggung wayang. Kita menyaksikan pelakon secara live di atas pentas dalam teater dan bukannya melihat skrin.
  5. Iklan mengenai teater-teater yang bakal ditayangkan, disajikan kepada penonton berulang-ulang. Pada awalnya, teruja juga saya saksikan. Bagaimanapun lama-kelamaan ianya membosankan. Barangkali mungkin boleh saya cadangkan, selain disiarkan iklan tentang teater-teater yang bakal ditayangkan, pihak Istana Budaya mungkin boleh menayangkan sejarah penubuhan IB selain kejayaan-kejayaan yang telah dikecapi oleh IB. Dan teater hanya bermula lima minit sebelum pukul 9 malam. Bayangkan hampir setengah jam saya menonton iklan yang sama.
  6. Saya belum pernah menonton teater. Jadi saya tidak tahu sama ada teater #BawangPutihBawangMerah ini best ataupun tidak. Oleh kerana teater ini berjaya membuatkan saya tidak terlelap walaupun pada mulanya saya terlena seketika semasa menonton iklan yang membosankan, jadi boleh saya katakan teater ini menarik dan berbaloi dengan harga tiket yang dibeli.
  7. Saya sememangnya peminat drama dan filem melayu. Kalau orang lain kata membazir sekiranya membeli tiket wayang filem melayu tetapi tidak bagi saya. Bagaimanapun ianya bergantung kepada jalan cerita filem tersebut. Kalau jalan ceritanya berkenaan cinta yang berputik selepas berkahwin, pasangan yang bergaduh dan jatuh cinta selepas itu, keluarga korporat yang menurunkan legasinya kepada anaknya dan seangkatan dengannya, minta maaf banyak-banyak. Cerita sebegitu tidak termasuk dalam senarai saya.
  8. Teater ini dimulakan dengan kemunculan hero dan heroin teater ini. Saya rasa faktor utama pengunjung menonton teater ini adalah dua orang pelakon ini, Nur Fathia dan Syarul Ridzwan yang memegang watak Bawang Merah dan Putera Raja. Barangkali kedua-dua sedang hangat seperti pisang goreng panas di kaca televisyen mahupun di media massa. Buktinya, apabila muncul sahaja mereka sebaik tirai panggung dinaikkan, penonton sudah mula menjerit-jerit. Tetapi seperti yang saya jangka, lakonan mereka berjaya ditenggelamkan oleh lakonan Fauziah Dato’ Ahmad Daud. Ya, lakonan Ogy sebagai Mak Kundur yang jahat sememangnya berada di kelas yang tersendiri. Begitu juga lakonan adiknya iaitu Fazlina Dato’ Ahmad Daud sebagai Mak Labu juga terbaik.
  9. Lakonan Beto Kusyairi sebagai Si Bongkok juga terbaik. Bagaimanapun saya tertanya-tanya sama ada dalam drama melayu klasik Bawang Putih Bawang Merah yang asal sememangnya wujud watak Bongkok atau sengaja diwujudkan watak tersebut versi arahan Pengarah Erma Fatima. Begitu juga dengan watak Nenek Kebayan lakonan Nabila Huda (anak Amy Search) yang sangat mantap. Seingat saya, dalam cerita asal tidak wujud watak tersebut. Bagaimanapun lakonan Beto dan Nabila berjaya mengkagumkan saya.
  10. Lakonan pelakon generasi muda Nur Fathia (Bawang Merah), Syarul Ridzwan (Putera Raja), Juliana Evan (Bawang Putih) tidaklah terlalu mengecewakan. Pujian seharusnya diberikan kepada mereka kerana bukan mudah untuk berlakon teater yang sangat mencabar. Kalau drama mahupun filem, lakonan boleh diulang sekiranya gagal disempurnakan. Sebaliknya, dalam teater, sekiranya gagal mengingat skrip atau tergagap, silap hari bulan boleh ditertawakan oleh penonton. Begitu juga dengan stamina lakonan yang perlu dikekalkan sepanjang berlangsungnya teater yang berdurasi lebih dua jam. Bagaimanapun, kehadiran pelakon tambahan seperti seorang pelakon kerdil (maaf saya tidak tahu namanya) amat mencuit penonton dengan lakonannya yang bersahaja.
  11. 11. Penggunaan prop seperti rumah pondok, perigi, hutan dan buaian disertai dengan lighting berjaya menarik perhatian penonton. Tambahan pula, alunan lagu-lagu zapin serta gerak tarian zapin membuatkan penonton tidak berkelip mata. Saya duduk di kerusi yang berada dalam kawasan tiket berharga sederhana. Kawasan yang ‘mahal’ terletak di tengah-tengah panggung. Jadi tidak hairanlah mengapa banyak aksi tertumpu di bahagian itu.

Sebelum ini, banyak teater yang telah dipentaskan di Istana Budaya. Teater Puteri Gunung Ledang, P Ramlee The Musical, Di Bawah Lindungan Kaabah dan banyak lagi. Tetapi saya tidak pernah ambil pusing kerana saya di JB sedangkan Istana Budaya di KL. Selepas ini, sekiranya outstation ke Kuala Lumpur, saya sudah tahu ke mana hendak pergi sekiranya berkelapangan. Barangkali selepas ini banyak lagi karya klasik melayu seperti Lancang Kuning, Pendekar Bujang Lapok, Batu Belah Batu Bertangkup, dan khabarnya teater muzikal Siti Nurhaliza bakal dipentaskan di Istana Budaya tahun hadapan. Saya mesti pergi!!

10 perkara yang saya pelajari ketika mengikuti International Service Learning

10 perkara yang saya pelajari ketika mengikuti International Service Learning yang melibatkan mahasiswa dari tiga buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Korea yang berlangsung di Kampung Punggai, Kota Tinggi Johor, 16-24 Ogos 2015. (Berdasarkan perspektif saya sebagai manager kumpulan)

11951294_669365269865378_4681088001754236030_n

  1. Mahasiswa Korea lebih menjadi tumpuan kanak-kanak di kampung berikutan pengaruh k-pop yang sangat kuat ketika ini. Apatah lagi ada dalam kalangan mereka yang seakan-akan seperti ahli kumpulan bing-bang (wujud ke kumpulan k-pop ni?)
  2. Mahasiswa Malaysia lebih menonjol dari aspek kepimpinan. Barangkali program dijalankan di tanahair sendiri. Maka, banyak perkara yang perlu diterangkan kepada mahasiswa dari negara lain.
  3. Dari aspek komunikasi dalam bahasa inggeris, mahasiswa Malaysia dan Indonesia dilihat agak seimbang. Manakala mahasiswa Korea agak kurang berkomunikasi dalam bahasa inggeris
  4. Ramai mahasiswa Korea menggunakan google translate apabila melibatkan aktiviti berbentuk penulisan.
  5. Mahasiswa Korea tidak peduli tentang hadiah pendrive yang boleh di’redeem’ oleh setiap peserta. Kata mereka pendrive merupakan sesuatu yang terlalu biasa di negara mereka. Ada dalam kalangan mereka yang sanggup menghadiahkan ‘points’ mereka kepada rakan-rakan Malaysia dan Indonesia bagi membantu rakan mereka mendapatkan pendrive.
  6. Terdapat kelainan apabila mahasiswa Korea mempelajari bahasa malaysia dari mahasiswa Malaysia dan Indonesia. Contohnya, ada yang mengucapkan “selamat sore” (yang dipelajari dari mahasiswa Indonesia) dan “selamat petang” (yang dipelajari dari mahasiswa Malaysia). Contoh lain; selamat siang (Indonesia) & selamat pagi (Malaysia), delapan (Indonesia) & lapan (Malaysia)
  7. Penganjur utama program ini ialah pihak Korea. Apa yang dapat saya perhatikan ialah mereka amat pentingkan ketepatan masa. Bayangkan pukul 6 pagi dah kena morning walk. Pukul 5.45 pagi kena beratur dan warming up.
  8. Dari aspek stamina bersukan, mahasiswa Korea lebih terkehadapan. Majoriti (atau semua) mahasiswa lelaki Korea telah pun mengikuti program ketenteraan selama 2 tahun. Di Korea, rakyat lelaki yang berumur 21-27 tahun wajib mengikuti latihan ketenteraan. Menurut mahasiswa Korea (ahli kumpulan saya), mereka amat benci Korea Utara kerana disebabkan negara komunis itu, mereka terpaksa mengikuti latihan ketenteraan yang ‘meragut’ kebebasan waktu remaja mereka.
  9. Dari aspek persembahan, mahasiswa Indonesia lebih menonjol dengan persembahan kebudayaan negara mereka yang pelbagai. Saya pasti penduduk kampung juga turut terhibur.
  10. Program international service learning yang diterajui oleh pihak Korea ini dilihat sangat sistematik dan berada dalam kelas yang tersendiri. Daripada aktiviti mencari masalah penduduk tempatan, perbincangan untuk mengatasinya, perancangan pembangunan produk, pembelian material, penyediaan bajet, penghasilan produk dan banyak lagi semua dilaksanakan secara bersistematik. Antara yang menarik perhatian saya ialah penggunaan internet untuk mengemaskini maklumat, penggunaan mesin ‘topup dan redeem’ points untuk peserta dan banyak lagi.

Sesungguhnya program ini memberikan pengalaman baru kepada saya dan memberikan pemahaman mendalam kepada saya tentang konsep service learning. Saya agak kagum melihat mahasiswa menggunakan ilmu yang mereka pelajari (contohnya prinsip tekanan air, dll) ke dalam proses penghasilan produk untuk mengatasi masalah penduduk kampung. Sesungguhnya langkah UTM untuk memasukkan service learning sebagai salah satu ‘new academia learning innovations’ merupakan langkah tepat.

“Tak Kenal Maka Tak Cinta”

ccvvimages (1)download (1)download (2)

Kira-kira lebih 30 tahun yang lalu, Abdul Halim bin Abdullah dilahirkan di Tangkak, Johor. Sebuah pekan kecil tetapi terkenal dengan gelaran syurga tekstil. Ketika umur beliau empat tahun, ayahnya mendapat tawaran untuk tinggal di sebuah Felda di Negeri Sembilan. Tanpa berfikir panjang, emak dan ayahnya terus bersetuju untuk berpindah ke sana demi kepentingan masa depan beliau sekeluarga. Kehidupan felda ketika mereka mula-mula masuk iaitu pertengahan tahun 80-an dahulu amatlah sukar. Tiada bekalan air dan elektrik disediakan. Mereka mandi di perigi yang disediakan bersama keluarga-keluarga yang lain yang turut berpindah ke situ dari kampung halaman masing-masing. Banyak pengalaman manis dan pahit yang beliau lalui. Kemiskinan, kesukaran dan kesulitan menjadikan beliau semakin bersemangat untuk belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita dan seterusnya mengubah nasib keluarga. Bak kata bekas presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela; Education is the most powerful weapon which you can use to change the world. Memang tidak dapat dinafikan, terdapat segelintir anak muda felda yang terlibat dalam pelbagai gejala sosial. Tetapi ramai juga yang berjaya. Abdul Halim bin Abdullah merupakan anak sulung daripada tiga beradik. Mungkin disebabkan itu, emaknya bersungguh-sungguh mengajar beliau agar benar-benar berjaya dalam bidang akademik. Barangkali emaknya mahu jadikan beliau contoh atau role-model kepada adik-adik yang lain. Sebagai guru tadika, emaknya amat tegas dalam mendidik beliau dan adik-adik. Ayah pula lebih kepada pencari rezeki agar kehidupan beliau sekeluarga terurus. Keputusan UPSR yang cemerlang melayakkan beliau menyambung pengajian di Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS) di Kuala Lumpur. Beliau ke sana atas kapasiti sebagai anak luar bandar yang memperolehi keputusan cemerlang dalam UPSR. Kepayahan dan kegigihan keluarga menghantar beliau menyambung pengajian menengah di KL membuatkan beliau semakin bersemangat untuk memperolehi keputusan yang baik dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Akhirnya beliau berjaya memperolehi keputusan cemerlang dalam PMR dan menjadi pelajar terbaik dalam mata pelajaran Geografi dan Pendidikan Islam. Ketika di tingkatan empat, beliau mengambil jurusan sains tulen. Faktor utama yang meyebabkan beliau memilih jurusan tersebut ialah cita-citanya yang ingin menjadi seorang doktor perubatan. Bagaimanapun, cita-cita yang beliau idamkan sejak di bangku tadika terpaksa dilupakan. Segala impian terkubur apabila menyedari bahawa beliau mabuk darah. Bagaimanapun, perjuangan sebagai seorang pelajar jurusan sains tulen perlu diteruskan. Sejak itu, beliau tekadkan azam di dada, tetapkan cita-cita baru, kalau bukan doktor perubatan, beliau mahu menjadi seorang doktor falsafah dalam bidang pendidikan. Kisah dan pengalaman akademik semasa berada di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah telah beliau kongsikan dalam bentuk penulisan artikel surat khabar untuk tujuan pengajaran kepada masyarakat. Antara artikel yang sempat dikongsikan adalah Usaha teruskan momentum kecemerlangan (Berita Harian, 18 November 2011), Tingkatan empat bukan masa berehat (Berita Harian, 23 Disember 2011), Had subjek SPM berkesan (Berita Harian, 26 Mac 2011), Long road ahead after PMR (New Straits Times, 23 Disember 2011) dan Cemerlang akademik, insaniah (Utusan Malaysia, 1 April 2011)

299156_1788697137664_1846654233_1243445_924219072_n

Selepas mendapat keputusan yang baik dalam SPM, beliau menerima tawaran melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai dalam bidang Sarjana Muda Sains dan Komputer serta Pendidikan (Matematik). Sepanjang bergelar mahasiswa ijazah sarjana pertama tersebut, beliau menggalas tugas sebagai ketua kursus hampir di setiap semester. Beliau juga memperolehi anugerah dekan dalam semester-semester tertentu. Selain itu, beliau turut diberi kepercayaan untuk mengajar amali subjek-subjek tertentu di bawah Skim Pelajar Bekerja (SPB). Beliau turut aktif dalam kelab gamelan dan sering dijemput mengadakan persembahan-persembahan dalam UTM. Setelah lima tahun mengharungi kehidupan sebagai mahasiswa, beliau menamatkan pengajian dalam ijazah pertama dengan kepujian kelas kedua atas. Sementara menunggu penempatan mengajar di sekolah, beliau kemudiannya melanjutkan pengajian sarjana dalam bidang pendidikan matematik di universiti yang sama. Ketika itulah, dua tawaran datang serentak. Tawaran untuk bergelar guru matematik sekolah menengah dan tawaran untuk bergelar tutor di Fakulti Pendidikan, UTM. Disebabkan impian menggunung untuk bergelar seorang doktor falsafah, beliau menerima tawaran untuk menjadi seorang tutor universiti. Sejak dari itu, bermulalah kehidupan sebagai seorang ahli akademik di salah sebuah universiti terkemuka tanah air, UTM.

Sepanjang bergelar tutor universiti, beliau banyak mempelajari dunia akademik dengan teman-teman sefakulti yang telah banyak pengalaman. Daripada pensyarah biasa, ketua jabatan hinggalah ke professor yang tidak jemu-jemu mencurahkan pendapat dan bantuan kepadanya. Ternyata kerjaya sebagai ahli akademik memang sebati dengan jiwa beliau. Pada tahun 2007, beliau menghabiskan pengajian peringkat sarjana dan ditawarkan menjadi pensyarah universiti pada tahun 2008. Sejak dari itu, semangat beliau berkobar-kobar untuk melaksanakan tugas 7P yang dikehendaki universiti. Beliau diberi kepercayaan untuk mengajar mata pelajaran Pendidikan Amali Matematik dan Pengajaran Mikro di samping menjadi penyelia Projek Sarjana Muda (PSM) serta Latihan Mengajar (LM) untuk pelajar sarjana muda dan diploma pendidikan. Hasil galakan dan bimbingan daripada ketua jabatan dan pensyarah-pensyarah sejabatan, beliau turut aktif membentangkan kertas-kertas kerja seminar peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Dalam aspek penulisan, beliau sempat menghasilkan beberapa artikel jurnal sebelum melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah. Selain itu, beliau turut aktif terlibat dalam pameran-pameran peringkat universiti dan kebangsaan dan turut memenangi beberapa pingat dalam pameran Industrial Art & Technology Exhibition (INATEX 2009) dan Malaysian Technology Exhibition (MTE 2010). Dalam aspek perkhidmatan pelajar, beliau bergelar pembantu felo di Kolej Tun Ghaffar Baba (KTGB) dari tahun 2007 hingga 2009. Sepanjang bergelar pembantu felo, beliau aktif menjadi penasihat program pelajar seperti program khidmat masyarakat dan sebagainya.

1003128_10200224793523314_878805841_n

Pada penghujung tahun 2009, Abdul Halim bin Abdullah melanjutkan pengajian doktor falsafah dalam bidang pendidikan matematik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Bagi beliau, PhD bukanlah produk semata-mata. Ianya bukan hanya untuk menghasilkan sebuah tesis yang tebal yang kemudiannya disimpan dalam pusat sumber ataupun perpustakaan untuk dijadikan rujukan kepada orang lain. PhD lebih kepada proses yang dilalui sepanjang pengajian. Pengalaman-pengalaman yang dilalui dalam proses inilah yang penting kerana pengalaman-pengalaman inilah selain menghasilkan sebuah tesis, menjadi bekalan untuk beliau memulakan satu kehidupan baru selepas bergelar seorang doktor yang pastinya lebih mencabar.Tempoh dua tahun berkhidmat di fakulti sebelum melanjutkan pengajian PhD benar-benar memberi pengalaman kepada beliau untuk menghasilkan artikel jurnal, menghasilkan dan membentangkan kertas-kertas kerja persidangan bertaraf kebangsaan mahupun antarabangsa. Pengalaman dan pengetahuan semasa berkhidmat sebelum cuti belajar diaplikasikan sepanjang bergelar pelajar doktor falsafah di UKM. Bagi beliau, selain menjalankan kajian dan menyiapkan tesis yang merupakan agenda utama pengajian PhD, beliau amat berbesar hati untuk berkongsi kajian yang dijalankan dalam bentuk penghasilan artikel jurnal antarabangsa dan pembentangan kertas-kertas kerja persidangan di dalam mahupun di luar negara. Di samping itu, beliau turut berkesempatan menulis sebuah buku dan beberapa bab-bab dalam buku serta menjadi editor sebuah lagi buku semasa dalam pengajian PhD. Baginya, mengapa tidak kajian dan idea-idea di sebalik kajian yang dijalankan dikongsi bersama orang lain. Memetik kata-kata pihak penerbitan Springer, “Your research is not complete until it is published. No matter how “important” your result may be..if no one know about them, they have no impact”. Hasil kerja keras dan semangat yang tinggi, sepanjang berada dalam pengajian PhD, beliau telah berjaya menghasilkan lebih lima artikel jurnal antarabangsa, membentangkan sembilan kertas kerja persidangan antarabangsa, tiga kertas kerja persidangan kebangsaan dan empat bab dalam buku. Selain itu, beliau turut aktif menghasilkan lebih dua puluh penulisan di suratkhabar arus perdana seperti Berita Harian, Utusan Malaysia dan New Straits Times. Baginya, melalui penulisan tersebut, beliau dapat berkongsi pandangan mengenai isu-isu pendidikan khususnya pendidikan matematik dengan masyarakat khususnya pembaca suratkhabar. Selain itu, beliau turut memiliki keazaman untuk mencuba sesuatu yang lain daripada orang lain. This is not to show that he is the best, but just to be a little bit different from the rest. Semasa berada di semester akhir pengajian, beliau telah dinobatkan sebagai finalis Ikon Varsiti dalam kategori Penyelidikan Sains. Ikon Varsiti anjuran Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan Berita Harian itu bertujuan untuk memilih mahasiswa yang boleh dijadikan ikon dalam kalangan mahasiswa dan juga generasi muda yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik, tetapi juga dalam aspek-aspek kehidupan seharian bersesuaian dengan kehendak negara yang memerlukan generasi unggul bagi mewarisi kepimpinan negara. Setelah tiga tahun enam bulan mengharungi liku-liku kehidupan pelajar PhD, akhirnya tanggal 19 Jun 2013, Senat dalam mesyuaratnya yang ke-390 bertarikh 17 Julai 2013 telah bersetuju memperakukan beliau lulus dan layak dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah (Pendidikan Matematik). Kini beliau kembali berkhidmat di Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia. Kembali dengan semangat berkobar-kobar untuk berkhidmat demi agama, bangsa dan negara selaras dengan motto UTM; Kerana Tuhan Untuk Manusia.