Inspirasi Dari Kejayaan Azizulhasni Awang

Bulan Ogos 2017 bakal menyaksikan Kuala Lumpur menjadi tuan rumah Sukan Asia Tenggara atau lebih dikenali sebagai Sukan Sea yang ke-29. Sebagaimana sebelum ini yang menyaksikan Kuala Lumpur menjadi tuan rumah Sukan Komanwel pada tahun 1998 dan Sukan Sea 2001, temasya dua tahun sekali ini bakal menjadi tarikan dan bualan buah mulut rakyat Malaysia dan penganjuran ini pastinya membanggakan kita. Selain persiapan rapi bagi menyambut ketibaan para atlet dari negara-negara ASEAN yang lain di samping memastikan sepanjang berlangsungnya sukan berkenaan berjalan lancar, murid-murid sekolah boleh didedahkan dengan inspirasi kejayaan atlet-atlet sukan tanahair. Inspirasi-inspirasi tersebut sedikit sebanyak dapat memangkin semangat murid-murid untuk berusaha dan berjaya seperti atlet-atlet tersebut tidak kiralah dalam bidang sukan ataupun bukan.

Siapa yang tidak kenal dengan The Pocket Rocketman kebanggaan Malaysia; Azizulhasni Awang. Masih segar dalam ingatan ketika Temasya Olimpik London 2012, penulis sanggup bangun tidur awal pagi demi menyaksikan acara akhir keirin. Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi Azizulhasni Awang ketika itu. Dalam temasya Rio 2016, beliau menebus kekalahan tersebut. Beliau akhirnya menjulang nama negara dengan memperolehi pingat gangsa walaupun saringan peringkat awal penuh mendebarkan. Dan sekali lagi pada tahun 2017, beliau memenangi gelaran dunianya yang pertama di Hong Kong dalam acara keirin. Di peringkat Asia Tenggara, beliau sememangnya tiada tandingan, begitu juga di peringkat Asia. Bagaimana beliau memberi inspirasi kepada kita semua? Pertama sekali pastinya jangan sesekali berputus asa. Malah teruskan berusaha untuk mencapai kejayaan yang diinginkan. Ya, itulah perkara yang boleh kita pelajari daripada Azizul. Kepada sesiapa yang mengikuti perkembangan beliau, kita boleh lihat pencapaian demi pencapaian yang dikecapi beliau walaupun di peringkat awal beliau mengalami beberapa kali kegagalan. Pesanan kepada diri sendiri dan kita semua, gagal sekali tidak bermakna kita gagal buat selamanya. Apa yang paling penting ialah gandakan usaha dan jangan sesekali berputus asa. Putus asa membuatkan cita-cita tidak kesampaian. Penulis amat tertarik dengan nasihat seorang pakar motivasi mengenai putus asa. Sebilangan besar daripada kita terlalu awal menyerah kalah di pertengahan jalan walaupun telah berusaha dengan sedaya upaya. Bagaimanapun kita tidak sedar bahawa sebenarnya kejayaan semakin menghampiri kita. Penulis amat yakin bahawa dengan usaha dan komitmen yang diberikan Azizulhasni Awang ketika ini, pingat emas pertama Malaysia dalam sukan Olimpik mampu direalisasikan dalam temasya Tokyo 2020.

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=n18jbW9Pv_8[/embedyt]

I keep watching this inspiring video. It inspires me to do something for the country in my way.

Speak Your Mind

*