Mengutip Ilmu di Guangzhou, Shenzen

581115_123485031120074_1450689637_n

*Artikel ini disiarkan di bahagian “KEMBARA” Berita Minggu pada 14 Mac 2010 (Ahad)

Buat kali pertama dalam hidup, penulis berpeluang melawat China apabila menyertai rombongan 40 pensyarah dan mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke negara itu. Lawatan itu sempena Program Global Outreach UTM untuk menggalakkan pembabitan mahasiswa dalam bidang akademik dan aktiviti pembelajaran secara global, sekali gus memberi pengalaman dan pengetahuan baru kepada mereka. Kembara seminggu ke Guangzhou dan Shenzen padat dengan lawatan sambil belajar ke tempat menarik di dua kota berkenaan, termasuk ke sebuah universiti tersohor di Guangzhou yang juga ibu negeri Guangdong. Hairan juga kerana tiada langsung kelihatan motosikal di sekitar bandar itu sebelum dimaklumkan penduduk Guangzhou tidak dibenarkan menggunakan kenderaan itu di kawasan bandar untuk mengurangkan pencemaran serta mengelak jenayah ragut. Bandar ini juga dikenali sebagai kota kambing sempena legenda lima dewa yang menunggang haiwan itu datang membantu rakyat yang dilanda bencana satu masa dulu dan kononnya haiwan itu terus ditinggalkan di situ untuk melindungi rakyat dalam kesusahan. Tidak hairanlah setiap kali menikmati juadah tengahari atau malam di restoran Islam sekitar Guangzhou, kami pasti dihidangkan daging kambing. Untuk makluman, Guangzhou juga bakal menjadi tuan rumah temasya Sukan Asia 2010 dan sudah pasti maskot yang dipilih adalah jelas- tidak lain tidak bukan kambing!

Hari pertama di kota ini, kami dibawa melawat Tugu Peringatan Dr Sun Yat Sen, dulunya tapak pemerintahan Dinasti Ching yang menempatkan pejabat presiden, Dr Sun Yat Sen yang memerintah China pada 1921 dan meninggal dunia pada 1925. Bangunan itu pernah musnah dalam rampasan kuasa pada 1922, tetapi penduduk mengutip sumbangan membaik pulihnya sehingga siap pada 1931, tetapi sekali lagi musnah angkara tentera Jepun pada 1945 dalam Perang Dunia Kedua. Dewan Peringatan Dr. Sun Yat Sen juga ada di sini, berbentuk oktagon atau segi lapan dengan patung pemimpin itu didirikan di hadapan tugu peringatan. Kami kemudian ke taman terbesar di Guangzhou, Taman Yue Xiu yang merangkumi Gunung Yue Xiu dan beberapa gunung lebih kecil selain turut dikelilingi lima tasik buatan manusia. Tangga disediakan untuk ke puncak bukit yang menempatkan beberapa patung kambing sebagai mercu tanda taman. Disebabkan musim sejuk ketika itu, penulis tidak penat ketika mendaki. Pada sebelah petang, kami ke Masjid Huaisheng atau dikenali juga Masjid Pagoda yang dibina pada awal zaman Dinasti Tang dan antara empat masjid paling awal dibina di China selepas Islam disebar ke negara ini.

Aktiviti waktu malam pula diisi dengan kunjungan ke pusat beli-belah di Beijing Road. Baju sejuk dijual di setiap kedai dan bagi golongan hawa pasti tidak ketinggalan membeli beg tangan. Penulis sempat membeli permainan kanak-kanak kerana bakal menimang anak buah sulung tidak lama lagi. Mulanya ingin membeli baju buat si kecil, tetapi tidak menemui kedai menjualnya, mungkin ada kaitan dengan dasar China yang tidak membenarkan rakyatnya memiliki lebih seorang anak.

Hari kedua di Guangzhou, kami melawat antara universiti tersohor di kota ini, South China Normal University dan mengunjungi Kolej Kebudayaan Antarabangsanya, Fakulti Pendidikan dan Pusat Pendidikan Berterusan. Kunjungan diisi pelbagai aktiviti, antaranya perbincangan antara pelajar dan pensyarah dari kedua-dua universiti mengenai peluang melanjutkan pelajaran dan program yang ditawarkan. Pada sebelah malam, kami ke Wanling Shopping Mall sebelum bertolak ke Shenzen keesokannya tetapi sempat juga melawat Muzium Xiguan yang mempamerkan reka bentuk rumah dan pakaian bangsawan China dulu kala.

Perjalanan ke Shenzen mengambil masa lebih kurang dua jam. Penulis kagum dengan kepesatan bandar ini yang sememangnya antara paling pesat membangun di dunia, dipenuhi bangunan pencakar langit moden dan sistem jalan raya terancang. Hari pertama di kota ini, kami dibawa ke kilang jed dan sutera. Penulis sempat membeli loket jed untuk emak dan adik perempuan, manakala pada sebelah petang, Taman Splendid China menjadi destinasi kami. Kereta api digunakan mengelilingi taman ini bagi menyaksikan replika bangunan dan monumen bersejarah di China, termasuk Tembok Besar China serta Kota Larangan atau The Forbidden City, menyaksikan pertunjukan kuda dan tarian. Kami juga ke pusat beli-belah Dongmen Walking Street yang terkenal di sini dan esoknya ke Lotus Mountain Park yang menempatkan patung Deng Xiao Ping, pemimpin terkenal China serta ke Coastal Ecological Park untuk melihat Hong Kong dari jauh sebelum pulang ke tanah air.

Melbourne Bandar Istimewa

522625_216678461800730_1129644015_n

Cuti semester universiti baru-baru ini digunakan sebaiknya oleh penulis untuk menziarahi rakan-rakan yang sedang belajar di Melbourne, Australia. Melbourne merupakan bandaraya kedua terbesar di Australia dan merupakan ibu negeri Victoria. Di samping bertemu rakan-rakan yang sudah lama tidak bersua, penulis tidak melepaskan peluang untuk melihat sendiri keunikan bandaraya Melbourne yang sememangnya terkenal dengan budaya sukan. Malah bandaraya ini pernah menjadi tuan rumah bagi Sukan Olimpik (bandaraya pertama di Australia yang menganjurkannya sebelum Sydney) dan Sukan Komanwel. Pelumba basikal negara, Azizulhasni Awang suatu masa dahulu pernah menyuarakan pendapat beliau mengenai salah satu sebab beliau berminat untuk berlatih di Melbourne ialah tingginya budaya sukan di kota tersebut. Sepanjang pemerhatian penulis berada di Melbourne, penduduknya tidak kira masa berjogging dan berbasikal. Malah terdapat laluan berbasikal yang baik dan terancang di sekitar bandaraya ini. Di samping itu, kebetulan semasa penulis menjejakkan kaki di bumi Melbourne, kejohanan tenis Grand Slam Terbuka Australia sedang berlangsung. Maka penulis tidak melepaskan peluang untuk merasai kehangatan dan kemeriahan kejohanan tenis terkemuka dunia itu yang selama ini hanya disaksikan melalui kaca televisyen. Berlangsung di Rod Laver Arena, kejohanan tersebut disertai oleh kebanyakan pemain tenis terkemuka dunia. Malah menjadi kenangan manis kepada penulis apabila dapat menyaksikan sendiri pemain-pemain tenis terkemuka dunia seperti Rafael Nadal dan Novac Djokovic membuat latihan. Penulis juga amat kagum dengan sistem pengangkutan awam yang disediakan di bandaraya tersebut. Tidak keterlaluan jika penulis katakan anda tidak akan sesat sekiranya berada di bandaraya Melbourne. Sistem pengangkutan seperti tram, keretapi dan shuttle bus amat mudah didapati. Malah terdapat beberapa booth di bandaraya ini yang dibuka untuk memberi maklumat kepada para pelancong asing. Penulis turut bekesempatan menaiki tram yang disediakan percuma khususnya untuk pelancong menjelajahi bandaraya Melbourne. Hampir satu jam penulis dibawa mengelilingi bandaraya tersebut. Memandangkan kangaroo, beruang koala dan platipus merupakan trademark bagi Australia, penulis berkunjung ke Zoo Melbourne untuk melihat sendiri binatang-binatang tersebut. Walaupun bayaran masuk ke zoo tersebut agak tinggi, penulis berpuas hati melawat binatang tersebut. Para sukarelawan zoo juga turut memberi layanan yang baik sepanjang berada dalam zoo tersebut. Pelbagai muzium boleh didapati di Melbourne secara percuma atau dikenakan bayaran yang amat murah. Walaupun percuma, kemudahan dan bahan pameran yang disediakan untuk pengunjung amat tidak mengecewakan. Salah satu daripadanya ialah National Gallery of Victoria. Ia merupakan galeri lukisan yang tertua dan terbesar di Australia.

Tidak sah sekiranya berkunjung ke Melbourne jika tidak ke Great Ocean Road. Ditemani oleh seorang sahabat yang sedang melanjutkan pengajian di salah sebuah universiti di Melbourne dan seorang lagi sahabat yang datang bersama dari Malaysia, kami bersepakat untuk menyewa kereta sendiri bagi tujuan pengembaraan di sepanjang Great Ocean Road. Makanan terlebih dahulu disediakan dari rumah bimbang kalau-kalau makanan halal sukar diperolehi. Kami bertolak awal pagi memandangkan kami mahu menghabiskan pengembaraan tersebut sehari suntuk tanpa perlu menginap di mana-mana tempat persinggahan. Menurut sahabat penulis di Melbourne, salah satu kebaikan menyewa kenderaan sendiri ialah kami bebas berhenti di mana-mana tempat yang difikirkan menarik di sepanjang Great Ocean Road. Sebelum sampai ke permulaan Great Ocean Road, kami melalui bandar Geelong yang merupakan salah satu bandar yang mempunyai populasi penduduk yang tinggi di negeri Victoria. Tidak seperti di bandaraya Melbourne yang dipenuhi oleh rakyat dari pelbagai negara terutamanya negara-negara asia, penduduk di bandar Geelong yang hampir kesemuanya merupakan penduduk tempatan. Selepas menyelusuri bandar Geelong, kami berhenti makan tengahari di Anglesea. Berhamparkan tikar, kami menikmati makan tengahari di tepi sebatang sungai. Dengan cuaca baik dan berangin, pemandangan yang menarik, ‘dikacau’ oleh burung-burung yang jinak, menjadikan suasana makan tengahari kami pada hari itu sesuatu yang istimewa. Kami meneruskan perjalanan hingga sampai ke pintu gerbang yang menunjukkan bermulanya Great Ocean Road. Great Ocean Road merupakan sebatang jalan di pesisiran pantai di selatan Australia. Ia menghubungkan Geelong dengan Warrnambool di negeri Victoria dan panjangnya 243km. Jalan ini dibangunkan antara tempoh Perang Dunia pertama dan kedua. Di permulaan Great Ocean Road, terdapat sebuah tugu peringatan bagi memperingati usaha mereka yang membangunkan Great Ocean Road. Sepanjang Great Ocean Road, penulis disajikan dengan pelbagai pemandangan yang indah dan menenangkan fikiran. Sesekali kami berhenti di tepi jalan untuk bergambar berlatarbelakangkan keindahan alam yang begitu mengagumkan. Antaranya ladang ternakan lembu dengan padang rumput yang subur dan menghijau. Jadi tidak hairanlah Australia terkenal dengan industri daging dan susu lembu yang berkualiti tinggi. Di Lorne terdapat kawasan yang dibangunkan untuk berkhemah. Kedai-kedai peralatan luncur air boleh didapati di sini memandangkan kegiatan luncur air amat terkenal di kawasan tersebut. Apollo Bay pula merupakan tempat persinggahan yang terkenal. Pengunjung yang mengambil pakej ke Great Ocean Road kebiasaannya akan bermalam di hotel-hotel yang terdapat di sini. Kami berhenti sebentar di Apollo Bay untuk berehat di samping menikmati kopi yang sememangnya terkenal di Melbourne, Victoria. Kami kemudiannya menyambung perjalanan di Great Ocean Road. Twelve Apostles merupakan kemuncak pengembaraan kami di Great Ocean Road. Keletihan kami terasa berbaloi menyaksikan keindahan Twelve Apostles. Twelve Apsotles merupakan batuan berbentuk tiang di pesisir Taman Negara Port Campbell yang terbentuk hasil daripada hakisan ombak. Walaupun diberi nama Twelve Apostles, apa yang tinggal bukanlah 12 tiang kerana beberapa tiang sudah runtuh. Sebenarnya terdapat dua cara menikmati keindahan Twelve Apostles di Taman Negara Port Campbell iaitu sama ada menaiki helikopter dan berjalan kaki. Disebabkan harga tiket menaiki helikopter yang agak mahal, kami akhirnya menggunakan laluan pejalan kaki yang disediakan bagi meninjau kawasan Twelve Apostles.

Tidak lengkap berkunjung ke Melbourne sekiranya tidak singgah ke Victoria Market untuk membeli cenderahati sebagai tanda kenangan sebelum pulang ke tanahair. Pelbagai cenderahati dijual dengan harga yang berpatutan di pasar ini. Antaranya patung kangaroo, fridge magnet,t’shirt dan banyak lagi. Di kesempatan ini, penulis ingin merakamkan jutaan penghargaan kepada rakan-rakan yang kini sedang melanjutkan pengajian doktor falsafah mereka di University of Melbourne dan RMIT University atas kesudian mereka menemani penulis meneroka bandaraya Melbourne dan kawasan-kawasan sekitarnya.

 

Dr. Abdul Halim Abdullah, UTM

Tips 1: Mengapa Perlu Menulis Artikel Jurnal?

Mengapa perlu menulis artikel jurnal?

writing-interesting-articles

  1. Untuk berkongsi dan menyebarkan hasil kajian kita
    “Your research is not complete until it is published. No matter how “important” your result may be..if no one know about them, they have no impact..” (Springer)
  2. Menunjukkan kepakaran kita dalam bidang tertentu dan seterusnya dikenali dalam bidang tersebut. InshaAllah lambat laun kita bakal menjadi pakar rujuk
  3. ‘Cop’ sesuatu kajian agar tidak ditiru oleh pengkaji-pengkaji lain- menunjukkan kita dah buat/ sedang buat kajian berkenaan- mengelakkan persamaan dengan kajian orang lain
  4. Kepuasan
  5. Latihan untuk pengajian PhD/ dunia akademik
  6. Antara kriteria penarafan universiti awam (UA) sebagai world-class university ialah bilangan penerbitan jurnal artikel scopus dan berindeks- give back to Malaysian universities

 

Ziarah Kota Suci Madinah Al Munawwarah

madinah2
Syukur kehadrat Illahi kerana dengan izinNya buat pertama kali dalam hidup penulis diberi kesempatan untuk menjejakkan kaki dan menziarahi Madinah Al Munawwarah yang merupakan kota suci kedua bagi umat Islam selepas kota Mekah Al Mukarramah. Perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah ke kota Madinah mengambil masa lebih kurang 6 jam. Sepanjang perjalanan, penulis tidak melepaskan peluang menyaksikan pemandangan di tepi lebuhraya seperti padang pasir, gunung ganang dan ladang unta yang menunjukkan betapa indahnya ciptaan tuhan yang maha esa. Sesekali bas yang dinaiki jemaah berhenti di beberapa lokasi untuk jemaah mengisi perut dan menunaikan solat. Disebabkan kami tiba di tempat penginapan di Madinah menjelang malam, maka mutawwif iaitu pembimbing ibadah umrah meminta kami membersihkan diri dan berehat di dalam bilik hotel sebagai persiapan untuk memulakan ziarah pada keesokkan harinya. Keesokkan harinya, kami berkunjung ke Masjid an-Nabawi yang lebih dikenali dengan masjid nabi. Masjid yang dibina pada tahun 622 M iaitu setelah penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w dari kota Mekah ke kota Madinah merupakan masjid kedua paling suci bagi umat Islam selepas masjidilharam di kota Mekah. Di sinilah terdapat makam junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w, makam Saidina Abu Bakar as Siddiq dan makam Saidina Umar al-Khattab. Di dalam masjid ini, setiap amalan yang dilakukan akan digandakan sebanyak seribu kali. Selain itu, terdapat satu kawasan di dalam masjid ini yang sangat mulia dan dikenali sebagai Raudhah yang dihampari dengan karpet berwarna hijau. Walaupun bersaing dengan jemaah yang lain, kami tetap bersemangat dan tidak melepaskan peluang untuk menunaikan ibadah di kawasan Raudhah kerana ia merupakan salah satu kawasan yang sangat mustajab untuk berdoa. Penulis juga tidak melepaskan peluang untuk menyampaikan salam di makam Rasulullah s.a.w. Air zam-zam yang diambil dari masjidilharam turut disediakan dalam masjid ini. Kami kemudiaannya mengunjungi kawasan tanah perkuburan Baqi yang merupakan tanah perkuburan untuk penduduk Madinah semenjak zaman jahiliah sehinggalah pada hari ini. Di sini terdapatnya makam Saidina Uthman bin Affan, isteri-isteri Rasulullah iaitu Siti Aisyah, Ummu Salamah, Zainab, Hafsah, Safiah dan Mariyah al-Qibtiyah. Selain itu, putera-puteri Rasulullah juga dikuburkan di sini.

Lawatan kami seterusnya ialah ke Masjid Quba’ yang merupakan masjid pertama didirikan oleh junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w ketika sampai di Madinah. Penduduk kampung Quba’ merupakan kumpulan pertama yang menyambut ketibaan Rasulullah di Madinah ketika penghijarahan nabi dari Mekah. Jaraknya dari kota Madinah ialah 3 km. Kami berkesempatan menunaikan solat sunat di dalam masjid ini. Setelah meluangkan lebih kurang 30 minit di Masjid Quba’, kami mengunjungi ladang kurma yang terletak tidak jauh dari Masjid Quba’. Di ladang ini, penulis berkesempatan menikmati jus kurma asli secara percuma. Pertama kali melihat pokok kurma, ia kelihatan seperti pokok kelapa sawit. Terdapat pelbagai jenis kurma yang dijual di dalam pasaraya yang terdapat di ladang kurma termasuklah kurna nabi atau kurma Ajwa yang tinggi khasiatnya. Harga yang ditawarkan juga berpatutan. Selain kurma, pelbagai jenis kekacang, kismis dan coklat turut dijual. Penulis sempat membeli beberapa jenis kurma, coklat dan kekacang untuk diberikan kepada kenalan di tanahair.

Destinasi seterusnya ialah ke Bukit Uhud iaitu sebuah bukit yang paling penting dalam sejarah Islam. Di bukit inilah terjadinya peperangan Uhud antara orang Islam seramai 700 orang dengan kaum kafir Quraisy seramai 3000 orang. Di sini kami dibawa melawat ke makam pahlawan Islam yang juga merupakan bapa saudara Nabi iaitu Hamzah bin Abdul Mutalib. Selain itu, 70 orang sahabat Nabi yang mati syahid dalam peperangan Uhud turut dikebumikan di sini. Berada di bukit ini membawa pemikiran penulis kepada betapa besarnya pengorbanan Rasulullah s.a.w dan para pengikut baginda untuk menegakkan syiar Islam. Sebelum pulang ke tempat penginapan, kami menyusuri Masjid Qiblatain yang mempunyai dua kiblat. Kiblat pertama menghadap ke Masjidil Aqsa’ di Baitul Muqaddis sebelum diperintahkan oleh Allah s.w.t untuk menukar kiblat ke arah Kaabah sehinggalah ke hari ini. Pada malam itu, kami sempat juga berkunjung ke beberapa buah kedai yang terdapat di kaki-kaki lima di bawah hotel kami. Banyak cenderahati dan pakaian termasuklah jubah yang dijual dengan harga yang berpatutan. Kami juga tidak risau sekiranya kekurangan matawang riyal kerana money changer mudah dijumpai di kota ini.

Sesungguhnya lawatan ke kota suci Madinah Al Munawwarah merupakan pengalaman yang pasti tidak akan dilupakan oleh penulis sampai bila-bila. Malah penulis berazam untuk mengunjungi kota suci ini pada masa hadapan. Sesungguhnya berada di kota suci ini membuatkan diri penulis lebih dekat dengan Islam kerana penulis dapat melihat sendiri tempat-tempat sejarah bermulanya syiar Islam.

Dr. Abdul Halim bin Abdullah, UTM

Meneroka Kota Jakarta

jakarta2

Promosi tambang murah yang diadakan oleh syarikat penerbangan Air Asia tidak dilepaskan begitu sahaja oleh penulis. Hajat untuk menjejakkan kaki di kota Jakarta akhirnya tertunai jua. Ditemani oleh seorang sahabat, kembara pertama kali kami ke kota Jakarta pastinya mengundang sedikit cabaran kerana kami berpakat untuk meneroka sendiri kota Jakarta yang sememangnya terkenal sebagai salah satu kotaraya yang paling sesak di dunia. Sebelum bertolak, beberapa perkara telah kami sediakan agar ’penerokaan’ kami di kota Jakarta nanti berjalan dengan lancar. Ini termasuklah menempah hotel dari Malaysia, mencari maklumat mengenai pengangkutan dan tidak dilupakan membeli peta yang diharapkan dapat memandu kami di sana nanti. Kami berlepas menaiki pesawat Air Asia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail Senai ke Jakarta. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 2 jam. Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta Jakarta agak lengang berikutan ketibaan kami pada waktu tengah malam. Setelah bagasi diambil, kami mula menunggu teksi di pintu masuk balai ketibaan lapangan terbang. Barangkali mengenali kami orang Malaysia, ulat-ulat teksi mula menyapa kami. Pujukan mereka yang tidak henti-henti dan silih berganti membuatkan kami berasa tidak selesa. Namun sapaan mereka kami tolak secara baik. Dan akhirnya kami tekad untuk menggunakan teksi berdaftar lapangan terbang. Perjalanan kami dari lapangan terbang ke hotel yang telah kami tempah sejak berada di Malaysia mengambil masa lebih kurang 1 jam. Sepanjang perjalanan, mata kami seakan-akan tidak berkelip melihat kepesatan dan kesesakan Jakarta yang memiliki lebih kurang 9.5 juta penduduk. Jakarta yang merupakan kotaraya yang terbesar di Indonesia juga merupakan kotaraya yang terbesar di Asia Tenggara dan yang ke-12 terbesar di dunia.
Cabaran berada di kota Jakarta sudah terasa seawal pada hari pertama kami menjejakkan kaki di kota tersebut apabila hotel yang ditempah telah diarahkan ditutup dan disita pada kesiangan hari. Ketika kami sampai, kelihatan pihak polis dan para pekerja (atau karyawan di dalam bahasa Indonesia) sedang mengawasi kawasan hotel berkenaan. Oleh kerana hari semakin gelap, kami akhirnya menyewa sebuah hotel murah yang berdekatan. Hari kedua kami di sana dimulakan dengan mendaftar masuk di hotel bertaraf 3 bintang di tengah-tengah kota Jakarta. Kami pasrah dengan kejadian yang berlaku pada hari pertama dan sebaliknya kami semakin bersemangat untuk memulakan pengembaraan di kota Jakarta. Selain berjalan kaki dan merujuk peta, kami juga menggunakan sistem pengangkutan bas TransJakarta. Sistem bas TransJakarta seakan-akan menyerupai sistem LRT atau monorel di Malaysia. Ini berikutan adanya sistem pembelian tiket di kaunter, stesen-stesen menurunkan dan mengambil penumpang dan laluan-laluan khas. Dengan berpandukan peta, akhirnya kami tiba di Monas. Monumen Nasional atau singkatannya Monas ini merupakan monumen peringatan yang dibangunkan untuk mengenang perjuangan rakyat Indonesia memperolehi kemerdekaan daripada penjajah iaitu kolonial Hindia Belanda. Monumen peringatan setinggi 132 meter itu telah dibangunkan pada tahun 1961 dan dibuka kepada umum pada tahun 1975.

Sepanjang berada di sana, makanan pastinya tidak menjadi masalah utama. Kedai-kedai makanan boleh didapati di mana-mana termasuklah di kaki lima bangunan bangunan. Walaubagaimanapun kebersihan kedai tetapi menjadi keutamaan kami. Jadi kami menikmati makanan di restoran masakan padang. Masakan padang merupakan nama segala jenis masakan yang berasal dari kawasan Minangkabau yang merupakan wilayah Sumatera Barat di Indonesia. Antara makanan yang disajikan termasuklah ayam kampung goreng, rendang daging, kari ayam dan bermacam lagi. Berada di kota Jakarta tidak lengkap sekiranya tidak berkunjung ke Masjid Istiqlal yang merupakan masjid terbesar di Asia Tenggara. Masjid ini boleh menampung lebih daripada 100,000 jemaah pada satu masa. Masjid ini juga menjadi simbol kepada negara islam Indonesia yang merupakan negara yang memiliki bilangan penduduk beragama islam tertinggi di dunia. Masjid yang siap dibina pada tahun 1961 ini menjadi monumen penting dan simbol kemerdekaan bagi masyarakat Indonesia. Oleh kerana itu ia dinamakan Istiqlal yang membawa maksud merdeka.

Hari kedua berada di Jakarta, kami meluangkan masa di Ancol. Oleh kerana kedudukan Ancol yang agak jauh dari hotel penginapan kami di tengah-tengah kota Jakarta, selain berjalan kaki dan menaiki bas TransJakarta, kami menggunakan sistem pengangkutan lain yang terdapat di kota tersebut. Antaranya ialah bajaj. Kami pernah mendengar nama kenderaan tersebut sebelum berlepas ke Indonesia oleh rakan-rakan lain yang pernah mengunjungi Indonesia sebelum ini dan akhirnya kami dapat merasai sendiri menaiki kenderaan tersebut. Bajaj di Jakarta serupa dengan tuk-tuk di Thailand. Ia merupakan skuter berwarna oren yang diubahsuai menjadi kenderaan beroda tiga dan membawa penumpang dalam kabin kecil yang terletak di bahagian belakang. Bajaj adalah pengangkutan paling cepat dan menjadi pilihan orang ramai walaupun ianya perlahan. Ini adalah kerana keunikannya dan kebolehannya untuk mencelah-celah antara kenderaan seperti motosikal dalam kesesakan jalan raya Jakarta. Selain bajaj, kami juga berkesempatan menaiki ojek motor atau motosikal sewaan yang digunakan untuk menghantar penumpang ke destinasi yang mahu ditujui. Akhirnya kami tiba di Taman Impian Jaya Ancol. Taman Impian Jaya Ancol yang dibuka pada tahun 1966 ini merangkumi padang golf, taman-taman tema, hotel dan kemudahan-kemudahan rekreasi. Kami mengambil kesempatan untuk menaiki kereta kabel yang bergerak di sepanjang Teluk Ancol. Sebelum pulang ke hotel, kami sempat berkunjung ke Whole Trade Center Mangga Dua. WTC Mangga Dua merupakan salah satu pusat perdagangan terbesar di Jakarta Utara. Ia menyediakan pelbagai keperluan keluarga seperti fesyen, dan kasut di samping pilihan kedai makanan yang banyak.

Hari ketiga di Jakarta, kami hanya berjalan-jalan di sekitar kota Jakarta. Antara tempat yang telah kami kunjungi termasuklah Muzium Indonesia dan Tanah Abang. Pusat membeli belah Tanah Abang merupakan pusat menjual pakaian yang terbesar di Indonesia. Malah ramai yang berpendapat ia juga merupakan pusat menjual pakaian yang terbesar di Asia Tenggara. Kami sempat membeli cenderamata untuk dibawa pulang ke tanahair. Di sebelah petang kami berkesempatan membeli-belah di pusat membeli belah Plaza Indonesia dan Senayan City. Manakala di sebelah malam, kami berpeluang merasai sendiri menonton wayang di salah sebuah pawagam yang terdapat di Jakarta. Kami pulang ke Johor Bahru pada keesokan harinya. Sesungguhnya pengalaman mengembara sendiri kotaraya Jakarta meninggalkan kenangan manis kepada kami. Walaupun terdapat kisah duka pada hari pertama menjejakkan kaki di Jakarta, penerokaan kami di kota metropolitan ini berjalan dengan lancar untuk hari-hari berikutnya sehinggalah kami kembali ke tanahair.

Dr. Abdul Halim Abdullah, UTM

Memori di Bumi New Zealand

7 Disember 2014 – Alhamdulillah. Selamat mendarat di Auckland International Airport, New Zealand. Kebetulan pada hari tersebut ada perlawanan bola antara Vietnam dan Malaysia. Pakai jersey Harimau Malaya. Sokong dari jauh.

10624621_551346108333962_3570212061311049154_n

9 Disember 2014- Today is THE day – the presentation day! It’s great to make it in a Malaysian batik

10432485_552130571588849_665829285155543888_n

Saya belum pernah merasai menaiki Estima sebelum ini. Tapi di New Zealand baru-baru ini, bukan setakat dapat rasa naik, tapi terus merasai memandu Estima dari Wellington ke Hamilton selama hampir 10 jam. Dari Hamilton, kami ke Auckland kerana kami menaiki penerbangan balik ke Kuala Lumpur dari situ. Secara jujurnya, saya enjoy memandu di sana. Tidak rasa bosan sama sekali. Sepanjang perjalanan, kami disajikan dengan pemandangan indah ladang, pergunungan, ternakan, tasik yang memukau. Rakyatnya juga peramah dan mudah mesra. Dari pemandu bas awam, sukarelawan muzium, pelayan di kedai kopi, semuanya ramah dan suka membantu. Betullah kata sahabat saya di sana, walaupun New Zealand merupakan sebuah negara maju, bukan pembangunan infrastruktur yang diutamakan, tetapi mentaliti rakyatnya yang diberi perhatian.

10418875_554920424643197_7072547100393418009_n

11 Disember 2014 – Alhamdulillah, selamat mendarat di KLIA. Walaupun singkat di New Zealand, tetapi padat untuk menimba pengetahuan, pengalaman dan belajar tentang kehidupan dan kurniaan tuhan.

10687041_553276871474219_3830241509805363831_n

Jogjakarta: Berseminar Sambil Melawat

Peluang membentangkan kertas kerja persidangan di salah sebuah universiti tempatan di Jogjakarta baru-baru ini digunakan sepenuhnya oleh penulis untuk meneroka tempat-tempat menarik di kota tersebut. Sebulan sebelum tiba tarikh seminar tersebut, penulis telah menempah tiket pesawat Garuda Indonesia yang merupakan syarikat penerbangan nasional negara tersebut. Ini berikutan harga yang ditawarkan lebih murah berbanding syarikat-syarikat penerbangan lain yang turut menjadikan Jogjakarta sebagai destinasi mereka. Walaubagaimanapun, penulis bersama-sama rakan yang turut serta menyertai seminar tersebut perlu ‘berehat’ seketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta Jakarta sebelum menaiki pesawat berikutnya untuk ke Jogjakarta. Hari pertama kami di Jogjakarta, kami dibawa ke Mandeng yang merupakan deretan kedai yang menjual barangan kulit. Antara yang dijual termasuklah kasut kulit, beg kulit dan tali pinggang. Kebanyakan barang-barang yang dijual di situ merupakan hasil kerja tangan mereka sendiri. Pada malam hari pertama tersebut, kami dibawa ke Malioboro yang merupakan pusat jual beli yang utama di Jogjakarta. Ia merupakan tarikan utama bukan sahaja pelancong asing malah penduduk tempatan untuk membeli pelbagai cenderamata. Menurut penduduk setempat, melawat Jogjakarta tidak akan lengkap sekiranya tidak ke Malioboro. Barang-barang bukan sahaja dijual di dalam premis-premis jualan, malah terdapat para peniaga yang menjual pelbagai jenis barangan di kaki-kaki lima. Pelbagai barang berasaskan batik seperti baju, kain dan sebagainya boleh dibeli dengan harga murah berbanding dengan batik-batik yang dijual di butik-butik di sekitar Jogjakarta. Selain barangan berasaskan batik, barang-barang lain seperti keychain, fridge magnet, kraftangan dan sebagainya turut dijual di sepanjang jalan ini. Kebanyakan barang yang dijual boleh ditawar. Kami bernasib baik kerana seorang rakan kami fasih berbahasa jawa. Jadi sedikit sebanyak ianya membantu kami mendapatkan harga yang lebih murah. Jalan Malioboro ini merupakan pusat Jogjakarta yang dikelilingi dengan hotel-hotel dan kedai-kedai makan. Malah, yang menjadi tarikan penulis ialah kedai-kedai makan terbuka yang dipanggil ‘lesehan’ yang beroperasi di sepanjang jalan tersebut. Para kumpulan muzikal jalanan turut menghiburkan ketika menjamu selera di kedai-kedai tersebut. Menurut pemandu pelancong, Jalan Malioboro turut menjadi tempat berlangsungnya pelbagai karnival. Antaranya Karnival Jawa yang biasanya diadakan pada bulan Oktober, Festival Kesenian Jogjakarta pada bulan Jun hingga Julai dan Karnival Kebudayaan Tionghoa yang berlangsung menjelangnya tahun baru cina.
DSCN1699
Hari kedua kami di kota Yogyakarta padat dengan aktiviti Seminar Antarabangsa Isu-Isu Pendidikan Semasa di Yogyakarta State University. Apa yang menarik perhatian kami sebagai peserta antarabangsa ialah pihak penganjur sangat berbangga dengan identiti negara mereka. Beg program yang diberikan kepada peserta seminar berunsurkan corak batik dan persembahan selingan semasa upacara perasmian merupakan tarian jawa yang menjadi kebanggaan rakyat Indonesia. Malah makan malam kami turut dihidangkan dengan makanan-makanan tradisi mereka.

Bandar Yogyakarta merupakan bandar yang paling hampir dengan Gunung Merapi. Ia terletak sekitar 27 km dari Gunung Merapi. Manakala bagi penduduk desa yang tinggal di lereng Gunung Merapi telah menetap hanya 4 km dari puncak Gunung Merapi. Hari ketiga kami dibawa ke Candi Borubudur. Perjalanan ke Candi Borobudur dari kota Jogjakarta mengambil masa lebih kurang satu jam. Kebetulan kami pergi ketika waktu puncak iaitu pada hari Ahad. Hari Ahad sememangnya merupakan hari yang sesak kerana ramai pelancong yang datang ke Jogjakarta akan dibawa ke Candi Borobudur. Sepanjang jalan ke candi Borobudur, penulis tertarik melihat kedai-kedai buah salak. Jogjakarta juga terkenal dengan aktiviti jualan buah salak yang dijual dengan harga yang murah. Rasanya juga berbeza dengan buah salak yang terdapat di Malaysia. Barangkali pokok buah salak sesuai ditanam dengan tanah yang bercampur dengan abu larva gunung berapi Merapi. Terdapat juga aktiviti-aktiviti menggali abu larva gunung merapi yang meletus pada tahun 2010 yang mengalir di sungai-sungai. Kelihatan lori-lori keluar masuk untuk mengangkut abu larva tersebut. Gunung merapi sememangnya sinonim dengan Jogjakarta. Ia mengimbas kembali ingatan penulis terhadap letusan yang berlaku pada tahun 2010 yang mengakibatkan ratusan nyawa melayang. Antara yang maut ialah penjaga kunci gunung berapi tersebut iaitu Mbah Maridjan yang ditemui mati di dalam rumahnya yang terbakar dalam posisi sujud di dalam bilik tidur akibat semburan awan panas letusan Gunung Merapi kira-kira empat kilometer dari puncak gunung. Gunung Merapi yang mempunyai ketinggian puncak hingga 2.968 meter bersamaan dengan 9.737 kaki dan terletak di bahagian tengah Pulau Jawa merupakan salah satu gunung api teraktif di Indonesia. Gunung Merapi dikatakan sangat bahaya kerana ianya sentiasa aktif dan meletus pada setiap dua hingga lima tahun sekali. Sejak tahun 1548, Gunung Merapi telah meletus sebanyak 68 kali. Malah sejak kebelakangan ini, gunung berapi tersebut meletus setiap empat tahun sekali dan kali terakhir ia meletus ialah pada tahun 2010 dan dikatakan bakal meletus lagi pada tahun 2014. Kami kurang bernasib baik kerana pada hari tersebut, awan tebal menyelubungi angkasa. Jadi kami tidak berpeluang melihat gunung berapi tersebut.

DSCN1609
Setelah sejam berada di dalam bas, kami sampai ke kawasan terletaknya Candi Borobodur. Candi ini terletak kira-kira 42 km dari kota Jogjakarta. Setibanya kami di kawasan candi tersebut, jurujual-jurujual sudah mula mengerumuni kami. Mereka tidak putus-putus memujuk kami membeli barang-barang yang dijual seperti cenderamata, beg dan makanan yang dijual. Sebelum memasuki perkarangan Candi Borobudur, kami diberikan taklimat terlebih dahulu oleh juru pandu yang berkhidmat di situ. Candi Borobodur mempunyai ukuran panjang 121.66 meter, lebar 121.36 meter lebar dan ketinggian 35.40 meter. Candi borobodur telah diisytiharkan sebagai salah satu tapak warisan dunia oleh UNESCO pada tahun 1991. Candi ini terdiri daripada sembilan tingkat iaitu 6 tingkat berbentuk segi empat sama, manakala 3 tingkat lagi berbentuk bulatan. Pembinaan candi ini menerapkan tiga tahap dalam ilmu kosmo Buddha iaitu Kamadhatu, Rupadhatu dan Arupadhatu. Candi ini dipenuhi dengan 2672 arca ukiran batu yang menceritakan kisah perjalanan Buddha dan 504 patung Buddha. Manakala 72 stupa disusun mengelilingi satu stupa besar di tengah. Arca-arca disusun dari kiri ke kanan. Oleh itu, pengunjung yang ingin membacanya bagi mengikuti kisah pengembaraan Buddha perlu mengelilingi candi mengikut arah jam. Kami meluangkan masa selama hampir dua jam di Candi Borobodur. Dalam perjalanan pulang ke hotel, kami meminta untuk diturunkan di Jalan Malioboro sekali lagi kerana rata-rata antara kami masih ingin membeli ole-ole untuk dibawa pulang ke tanahair pada keesokan harinya.

jogja

Peringkat 4: Bilik Siswazah

pi5aepMi9

Tidak keterlaluan kalau aku katakan bahawa sebahagian besar masa pengajianku di UKM dihabiskan di Bilik Siswazah. Bilik ini boleh dikatakan sebagai rumah keduaku sepanjang aku berada dalam pengajian. Aku masih ingat, ketika berada di minggu-minggu awal pengajian, aku duduk bersendirian dikelilingi oleh pelajar-pelajar PhD lain yang rata-ratanya nampak sudah berpengalaman dalam bidang pendidikan. Mula-mula aku agak kekok berada di sini. Maklumlah tempat baru dan kawan-kawan baru yang kelihatan sudah lama makan garam daripada aku. Lama kelamaan, Alhamdulillah aku dapat ramai kawan di sini. Betullah kata orang, tak kenal maka tak cinta. Kebanyakan mereka merupakan pensyarah-pensyarah Institut Pengajian Guru (IPG, dahulunya dikenali sebagai maktab perguruan), guru-guru dan tidak kurang juga pelajar-pelajar yang baru sahaja graduate dan terus sambung belajar sementara menunggu penempatan untuk mengajar. Bilik siswazah di sini amat selesa. Pada pendapat aku, bilik siswazah merupakan satu tempat yang penting untuk pelajar-pelajar pasca siswazah. Sekurang-kurangnya mereka tahu tempat yang perlu dituju apabila mereka berada di fakulti. Tidak semestinya sepanjang masa mereka akan berada di perpustakaan dan pusat sumber. Jadi bilik siswazahlah tempat yang paling sesuai untuk mereka membaca artikel jurnal, menaip, berbincang dan sebagainya. Bilik siswazah ini juga merupakan tempat Persatuan Siswazah Fakulti Pendidikan berbincang mengenai aktiviti-aktiviti yang akan dianjurkan untuk kebaikan pelajar-pelajar siswazah di sini. Salah satu kelebihan fakulti pendidikan di sini ialah persatuan yang mewakili pelajar siswazah amat aktif menganjurkan kursus, perkongsian kepakaran, bengkel dan sebagainya. Kebanyakan program yang dianjurkan oleh persatuan siswazah mendapat sambutan yang hangat daripada pelajar. Kebiasaannya siswazah dari universiti lain turut menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh persatuan. Masakan tidak, program-program yang dijalankan amat berguna untuk pengajian PhD mereka. Antaranya, bengkel penulisan artikel jurnal, bengkel perisian NVIVO (amat berguna kepada mereka yang menjalankan kajian kualitatif), bengkel SPSS (amat berguna kepada mereka yang menjalankan kajian kuantitatif), bengkel perkongsian pengalaman, bengkel pembangunan laman web dan macam-macam lagi. Penceramah yang dijemput juga bukan calang-calang orangnya. Mereka merupakan pakar dalam bidang masing-masing. Aku juga berbangga kerana sempat menjadi ahli jawatankuasa persatuan ini ketika aku berada di semester lima dan merasai sendiri pengalaman menganjurkan program-program tersebut. Walaupun tidak dibayar dengan wang ringgit, aku percaya sekiranya kita memudahkan urusan orang lain mengenai perkara-perkara yang baik, Allah s.w.t akan memudahkan urusan kita kelak.

Bilik siswazah ini mengandungi deretan meja dan kerusi yang dipisahkan oleh pengadang. Setiap satu partition yang mengandungi meja dan kerusi turut disediakan plug untuk kemudahan pelajar. Konsep ‘siapa cepat dia dapat’ diaplikasikan dalam bilik siswazah ini. Dengan lain perkataan, meja dan kerusi ini bukannya menjadi hak milik kekal seseorang pelajar. Bagaimanapun, sepanjang aku berkelana di bilik siswazah ini, masalah meja dan kerusi yang tidak mencukupi tidak pernah timbul. Dalam bilik siswazah ini juga terdapat bilik mesyuarat yang disediakan untuk pelajar berbincang, mengadakan kelas tambahan dan sebagainya. LCD dan projektor turut dibekalkan. Pelajar yang akan membentangkan usulan, kemajuan, pemantapan dan viva biasanya akan melakukan mock presentation di dalam bilik tersebut dengan dihadiri oleh rakan-rakan lain. Maklum balas serta pandangan dari teman-teman seperjuangan dilihat mampu membantu mereka bersedia dengan soalan-soalan jangkaan yang akan ditanya semasa pembentangan sebenar nanti. Selain itu, bilik siswazah ini turut dilengkapi dengan komputer dan mesin pencetak. Bagaimanapun, pelajar perlu memiliki kad pencetak yang dibeli dari pembantu makmal untuk menggunakan mesin pencetak tersebut. Perkara ini amat memudahkan pelajar kerana mereka tidak perlu bergerak jauh ataupun menaiki kenderaan untuk ke pusat-pusat fotokopi. Bilik siswazah ini turut dilengkapi dengan surau yang cukup selesa. Begitu juga dengan pantri. Kemudahan air panas yang disediakan memudahkan aku menyediakan minuman panas ketika mengantuk dan sebagainya. Selain itu, terdapat juga makanan yang dijual oleh persatuan siswazah dan juga pelajar sendiri. Contohnya roti, biskut dan kerepek yang amat laris dijual bagaikan pisang goreng panas lebih-lebih lagi dalam kalangan pelajar yang mempunyai kelas malam. Mereka akan berehat ketika waktu maghrib dan ketika itulah mereka memerlukan makanan-makanan sedemikian untuk mengalas perut.
Dalam bilik siswazah inilah aku kenal dengan ramai kawan seangkatan. Salsela; unik bukan namanya? katanya, emaknya merupakan peminat drama Mexico. Jadi nama yang diberikan kepadanya juga seakan-akan nama heroin drama Mexico. Beliau masih muda tapi sedang melanjutkan pengajian PhD dalam bidang alam sekitar. Yang menariknya, beliau sering ke Langkawi untuk mengutip data untuk kajian PhDnya kerana kajiannya berkaitan dengan pembangunan di pulau lagenda tersebut. Kak Tuan Salwani; seorang pensyarah bidang Matematik di UniKL Bangi. Sepanjang aku berkawan dengan kak Wani, bagiku beliau merupakan seorang yang tegas dengan pendirian. Ibu kepada tiga orang cahaya mata ini sangat komited dengan kerjanya. Aku sangat kagum dengan penulisan bahasa inggeris beliau. Malah aku juga pernah menggunakan khidmatnya untuk menyemak penulisan bahasa inggerisku. Kami berada dalam bidang yang sama dan diselia oleh supervisor yang sama. Jadi kami sering membentangkan kertas-kertas kerja persidangan di seminar yang sama. Irwan; aku amat kagum dengan jejaka melayu terakhir ini. Seorang ahli akademik di UTHM. Seorang yang aktif dalam berpersatuan dan tegas. Beliau amat petah berhujah dan aku sering merujuk kepada beliau sekiranya aku inginkan pendapat tentang sesuatu perkara. Beliau juga merupakan pakar End Note. Kak Yati dan Abang Bani; pasangan suami isteri yang serasi bersama. Kak Yati merupakan pensyarah politeknik yang tidak lokek dengan ilmu terutamanya yang berkaitan dengan statistik. Abang Bani yang juga merupakan seorang ustaz dan sangat tenang orangnya. Mereka berdua dikurniakan dengan tiga orang cahaya mata dan amat gemar melancong ke luar negara. Kak Hanani; seorang ustazah yang sedang melanjutkan pengajian PhD dalam bidang pendidikan islam. Seorang ibu kepada dua orang cahaya mata dan seorang pelajar yang aktif membentangkan kertas-kertas kerja persidangan. Kak Nani; seorang ibu yang kuat semangat. Beliau pada mulanya telah pun ke New Zealand untuk melanjutkan pengajian Phd nya. Namun, atas masalah-masalah tertentu, beliau kembali ke Malaysia untuk meneruskan pengajiannya di sini. Kepakaran beliau ialah dalam bidang pendidikan khas dan lebih menjurus kepada murid-murid austisme. Azween Arif; ketika cerita ini ditulis, beliau merupakan presiden Persatuan Siswazah Fakulti Pendidikan, UKM. Berkelulusan sarjana muda dan sarjana dalam TESL dan sedang melanjutkan pengajian PhD dalam bidang yang sama. Kak Mah; seorang yang aku anggap sebagai kakak aku sendiri. Beliau merupakan seorang yang tidak kenal erti penat dan putus asa walaupun menghadapi berbagai-bagai dugaan sepanjang melanjutkan pengajiannya dalam bidang keusahawanan. Sebenarnya ramai lagi kawan yang aku kenali sepanjang aku berada dalam bilik siswazah ini. Wani, Sabrina, Tamil Selvan (tutor UTHM), Lee Tien Tien (pensyarah UPSI), kak Azwani, kak Yati, Kema (kini pensyarah MSU), Fida, Firdaus, Faiz, Ridzwan, abang Hamizul, kak Yus (pensyarah IPIS), Kak Faridah (bekas cikgu Matematik adik aku semasa di MRSM Jasin dahulu), Sya, Shitah, kak Zarina, kak Nini, kak Hanani, kak Haliza, kak Yun, abang Kashfi, ustazah Sarimah, kak Barakah, Faizal, abang Nasa, kak Tarzemah, kak Zi, kak Mazlini, Hutkemri (teman dari Indonesia), Rian (teman dari Indonesia), kak Azieda, Tuan Mastura, kak Nabiroh, kak Saroya, Fariba (teman dari Iran), kak Putri (teman dari Indonesia), abang Tajul (pensyarah UPSI), kak Siti Aieda, ustazah Noraini, kak Mar, kak Safura, kak Faizah, kak Zana dan ramai lagi. Masing-masing dalam bidang kepakaran yang berbeza; pendidikan matematik, pendidikan sains, pendidikan Islam, pendidikan khas, pendidikan teknologi, pendidikan teknikal; pendidikan keusahawanan, sains sukan dan lain-lain. Mereka juga terdiri daripada pensyarah universiti, pensyarah institut pendidikan guru, pensyarah politeknik, pegawai pendidikan, guru sekolah dan lain-lain. Sungguhpun demikian, bilik siswazah inilah yang menjadi saksi betapa gigihnya pelajar-pelajar sarjana dan doktor falsafah bekerja keras untuk menggapai impian bergelar seorang sarjana dan doktor falsafah. Buat rakan-rakan seperjuangan sekalian;

Biar renggang di fana dunia,
Biar hina di mata manusia,
Biar semangat semakin tua,
Biar akal semakin berusia,
Jangan tergadai silaturrahim kita.

Peringkat 3: Takutnya Nak Jumpa Penyelia

Untitled

Ketika cerita ini ditulis, aku sedang mempersiapkan diri untuk berjumpa dengan penyeliaku. Esok merupakan pertemuan kali kedua aku dengan beliau. Perjumpaan pertama dijalankan serentak dengan hari pendaftaran pelajar PhD yang mana pelajar-pelajar diberi ruang dan peluang untuk bertemu dengan penyelia masing-masing. Ketika itu, aku mengambil kesempatan untuk menerangkan secara umum mengenai cadangan kajian PhDku. Alhamdulillah pertemuan pertama aku mendapat respon yang positif daripadanya. Sekarang aku sedang menambahbaik pernyataan masalah dan kerangka konsep dan aku memberi tempoh kepada diriku selama sebulan untuk menyiapkannya. Sebenarnya sebelum menyambung pengajian PhD lagi, aku sudah mula menjalankan ‘homework’ dengan mencari tesis-tesis dan artikel-atikel jurnal dalam dan luar negara yang kajiannya hampir sama dengan kajian yang bakal dijalankan untuk dianalisis. Tujuannya adalah untuk mencari persamaan, perbezaan kajian-kajian dan seterusnya jurang kajian dapat diperolehi. Pada pandanganku, pernyataan masalah merupakan nadi terpenting dalam Bab 1 kerana ia merupakan faktor mengapa kita menjalankan kajian tersebut. Berdasarkan dan pemerhatian dan pengalamanku, perkara pertama yang akan ditanya sewaktu pelajar PhD membentangkan proposal ialah permasalahan kajian. Jelas permasalahan kajian, maka mudahlah perjalanan kajian yang bakal dilaksanakan.

Sejara jujurnya, hubungan dengan penyelia merupakan salah satu aspek terpenting dalam pengajian PhD. Masakan tidak, kita bakal bekerja dengan seorang ataupun dua orang penyelia untuk tiga, empat atau lima tahun mendatang. Sebelum bertemu dengan penyelia, jumpa dengan graduan yang pernah diselia oleh beliau untuk mendapatkan maklumat bagaimana beliau bekerja. Kemudian, bersikap jujur dan rendah diri dengan penyelia. Tunjukkan kepada mereka bahawa kita sudah bersedia dan bukannya datang berjumpa dengan minda yang kosong. Sebab itu, ramai yang beranggapan bahawa bagi diri kita sedikit masa untuk ‘berehat’ sebelum melanjutkan pengajian PhD. Masa tersebut boleh digunakan untuk kita meneroka bidang kajian yang bakal dijalankan termasuklah permasalahan yang membawa kita kepada kajian tersebut. Kemudian, bincang dengan penyelia kekuatan dan kelemahan kita. Pada pandangan aku, dalam pertemuan bersama penyelia, jangan sesekali menunjuk-nunjuk untuk membuktikan kononnya kita hebat dalam menjalankan kajian. Bagi masa kepada diri kita untuk mendengar nasihat daripada penyelia. Beliau pastinya sudah banyak pengalaman menyelia pelajar PhD. Ingat, impresi pertama sangat penting kerana ia mempengaruhi tanggapan orang lain terhadap kita. Seingatku, pada awal pertemuan kami, aku banyak mendengar pelbagai kisah beliau yang bukan sahaja pernah menyelia pelajar PhD, malah pernah menjadi pemeriksa dalam dan luar pelajar-pelajar PhD. Banyak kenangan manis dan pahit yang beliau kongsikan. Yang mana baik, aku jadikan tauladan, yang mana kurang baik, aku jadikan sempadan. Selain itu, sebagai pelajar yang baru memulakan pengajian PhD, kita perlu sentiasa bersedia dengan sebarang kritik yang diberikan penyelia. Kritikan yang diberikan bukan untuk menjatuhkan kita, sebaliknya ia berguna sebagai panduan kepada kita untuk mengulangi kesilapan yang telah dilakukan oleh pelajar-pelajar yang lalu. Malah, penulisan artikelku juga pernah dikritik beliau gara-gara penggunaan bahasa inggeris yang kurang memuaskan. Namun segala kritikan kuterima dengan hati yang terbuka. Azamku, selain aku amat mengharapkan penyelia dapat memberi bantuan, panduan dan bimbingan sebaik mungkin sepanjang pengajin PhDku, aku turut ingin mempelajari sebanyak mungkin ilmu daripada beliau dari aspek penyeliaan kerana aku tahu aku juga bakal menjadi seorang penyelia pada masa hadapan. Ketika berada di awal pengajian, aku kerap bertemu dengan penyelia. Dalam seminggu aku pastikan sekurang-kurangnya sekali aku akan bertemu dengannya. Bukannya datang dengan tangan dan minda yang kosong, tetapi datang dengan input dan cadangan mengenai sub bahagian-sub bahagian tertentu dalam tesisku. Namun, kita perlu ingat bahawa bukan kita seorang sahaja yang diselia oleh penyelia. Jadi jangan pentingkan diri sendiri. Bagi penyelia masa untuk membaca segala bahan yang telah kita sediakan. Jangan sesekali mendesak mereka atau memperuntukkan sekian masa kepada mereka untuk membaca dan memberi komen mengenai penulisan kita. Sebagai pelajar, kita juga perlu memastikan momentum hubungan baik ini berterusan. Tidak semestinya hubungan perlu dijalin melalui pertemuan bersemuka. Banyak lagi cara atau medium lain untuk mengekalkan hubungan sedia ada termasuklah selepas tamat pengajian.

Peringkat 2: Rutin Harian di Awal Pengajian

daily-routines-2

Semasa di awal pengajian, selepas menunaikan solat subuh, rutin harianku dimulakan dengan memasak apa jua makanan yang ringkas. Tidak kisahlah, sardin, telur goreng, ikan bilis goreng, bihun goreng, dan sebagainya untuk dibawa sebagai bekalan makan tengahari di kampus. Di awal pengajian sebegini, aku belum lagi berjumpa dengan rakan-rakan sebaya di bilik siswazah yang mungkin boleh diajak untuk makan tengahari di cafeteria. Kebanyakan kenalan ketika ini merupakan abang-abang dan kakak-kakak yang telah berkeluarga. Kebiasaannya, pada waktu tengahari mereka akan mengambil anak-anak dari sekolah dan makan tengahari di rumah. Jadi terpaksalah aku makan sendiri dengan bekalan yang dibawa. Sebelum ke kampus, aku meluangkan sedikit masa untuk bersenam dan mengeluarkan peluh di gymnasium berhampiran. Bagiku, untuk mendapatkan idea dan buah fikiran yang baik, ia lahir dari otak yang cerdas. Otak yang cerdas pula lahir dari fizikal yang cergas. Disebabkan itu, aku tidak berkira untuk memperuntukkan sedikit wang untuk melanggan gymnasium berhampiran universiti. Kemudian, aku akan mengabdikan diri sama ada di perpustakaan universiti ataupun di pusat sumber fakulti untuk menyiapkan bab satu, dua dan tiga iaitu bab-bab yang diperlukan untuk pembentangan proposal. Aku akan ‘lepak’ di situ sehinggalah solat zuhur. Selepas solat zuhur, aku akan menyambung kerja-kerja aku di situ melainkan ada kelas yang perlu dihadiri. Sebenarnya pelajar PhD di UKM (ketika itu) tidak perlu mengambil sebarang kelas sebagai syarat untuk lulus PhD. Tetapi memandangkan sudah agak lama aku meninggalkan dunia pelajar, aku mengambil inisiatif untuk menumpang di kelas-kelas tertentu untuk mengimbas semula pengetahuan aku dalam dunia penyelidikan pendidikan ini.

Sepanjang tahun pertama pengajianku juga, aku kerap kali menela’ah bahan bacaan di perpustakaan Bahagian Perancangan & Penyelidikan Dasar Pendidikan (EPRD) Kementerian Pendidikan Malaysia yang menempatkan banyak bahan rujukan dalam bidang pendidikan. Di situ, banyak tesis, artikel jurnal dan keratan suratkhabar berkaitan pendidikan di dalam dan luar negara ditempatkan. Tambahan pula, perpustakaan tersebut amat selesa untuk menjadi tempat pertapaanku. Pada waktu petang aku akan pastikan akan balik ke rumah sewa sebelum pukul 4.30 petang. Selalunya, 5.00 petang merupakan waktu kemuncak kesesakan jalan raya di kawasan-kawasan di Lembah Klang ini. Lebih-lebih lagi, setiap hari aku akan melalui Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), kemudian masuk pula lebuh raya South Klang Valley Expressway (SKVE) dan akhirnya lebuhraya Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dari rumah sewa ke kampus universiti dan menggunakan laluan balik yang sama. Jadi perancangan perjalanan pergi dan balik amat penting supaya aku tidak tersangkut dalam kesesakan jalan raya yang pastinya akan membuang banyak masaku. Sekiranya aku ke perpustakaan KPM dan malas pulang awal ke rumah, aku akan berehat sebentar ke pusat membeli belah terkenal, Alamanda Putrajaya. Kebetulan kedudukan bangunan KPM yang tidak jauh dengan pusat membeli belah tersebut. Kadang-kala sempat juga aku merehatkan minda dengan menonton wayang di situ sementara menunggu jalan tidak sesak. Dan sekiranya tidak berkesempatan mengunjung gymnasium pada waktu pagi, aku akan ke sana di sebelah petang.

Di sebelah malam pula, semasa berada dalam tahun pertama pengajian, aku menyewa rumah dengan seorang sahabat yang juga merupakan ahli akademik di salah sebuah universiti tempatan. Jadi pada masa itu, kalau rajin, kami akan masak untuk makan malam. Tetapi selalunya, kami ke pasar malam atau ke kedai makan berhampiran rumah untuk makan malam. Selepas itu, aku akan menyambung kerja-kerjaku seperti membaca artikel jurnal, menaip dan sebagainya. Kalau berkelapangan, aku akan menonton rancangan televisyen yang menarik. Aku lebih suka menonton rancangan bercorak dokumentari. Pernah sekali, salah satu stesen televisyen menayangkan dokumentari jenayah tegar yang berlaku di Malaysia pada masa lampau bertajuk “KES: Kronologi Ekslusif Siasatan”. Rancangan tersebut memaparkan kronologi dan siasatan mengenai penjenayah-penjenayah tegar di Malaysia pada masa lalu seperti pembunuhan ngeri oleh Mona Fandey, rampasan senjata oleh kumpulan Al-Maunah dan banyak lagi. Rancangan tersebut disiarkan sekali seminggu dan aku merupakan peminat setianya. Yang menariknya, aku turut menyertai peraduan kuiz terkumpul yang dianjurkan untuk rancangan tersebut. Dan dengan berbesar hati, aku ingin menyatakan bahawa aku merupakan pemenang utama peraduan tersebut. Dan hadiahnya ialah tiket pergi balik ke Melbourne Australia untuk dua orang. Yahooooo!!!! masa yang tepat untuk aku bertemu rakanku, Hilmi di sana. Selain memenangi peraduan tersebut, aku turut pernah memenangi hadiah saguhati bernilai RM500 dalam Peraduan Sembang Santai Bersama Alam Flora & suratkhabar Kosmo!. Peraduan berkenaan meminta pembaca mengisi dialog dalam ruangan yang disediakan. Bagiku, otak juga perlu berehat setelah saban hari memerah idea. Justeru, dengan menjalankan aktiviti-aktiviti santai sebegini, ianya sedikit sebanyak dapat merehatkan otak dan dapat melupakan sebentar tekanan menyiapkan proposal. Betullah kata orang, kita sendiri yang mewarnai perjalanan PhD kita. Kita yang menentukan sama ada PhD terus menekan kita, atau kita yang mencari jalan bagaimana untuk mengurangkan tekanan tersebut.

Rutin harianku diakhiri dengan tidur awal. Ya, tidur yang cukup penting untuk pelajar PhD kerana tubuh badan kita perlu rehat secukupnya. Tubuh badan yang sihat memberi kesan positif terhadap otak untuk ia bekerja dengan baik untuk hari esok dan hari-hari berikutnya sebagai seorang pelajar PhD.