[Part 2] Pencapaian Cemerlang Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia Dalam QS World University Rankings 2019

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/part-1-pencapaian-cemerlang-institusi-pendidikan-tinggi-ipt-malaysia-dalam-qs-world-university-rankings-2019/

Kriteria-kriteria yang diambilkira oleh QS dalam menentukan kedudukan sesebuah universiti dalam QS World Ranking seperti reputasi akademik (40%), reputasi majikan (10%), nisbah pelajar kepada staf fakulti (20%), sitasi mengikut staf (20%), nisbah staf antarabangsa (5%) dan nisbah pelajar antarabangsa (5%). Dalam kriteria reputasi akademik, pandangan lebih dari 80000 individu yang berada dalam bidang pendidikan tinggi diperolehi yang mana pandangan ini meliputi aspek kualiti pengajaran dan penyelidikan sesebuah universiti. Kriteria ini menyumbang peratus paling besar berbanding kriteria-kriteria lain dalam menentukan kedudukan sesebuah universiti dalam ranking dunia. Kriteria reputasi majikan pula melibatkan pandangan majikan yang mengenalpasti institusi-institusi yang mereka fikirkan menghasilkan graduan yang cekap, inovatif dan efektif. Kriteria nisbah pelajar kepada fakulti pula melihat kepada sejauh mana sesebuah institusi menyediakan pelajar dengan akses kepada pensyarah, manakala sitasi mengikut fakulti merujuk kepada bilangan sitasi yang dimiliki oleh artikel-artikel yang dihasilkan oleh ahli akademik sesebuah institusi dalam tempoh lima tahun kebelakang. Bilangan staf dan pelajar antarabangsa juga diambilkira dalam menentukan ranking sesebuah universiti kerana apabila sesebuah universiti berupaya menarik staf dan pelajar dari seluruh dunia, ini menunjukkan ia mempunyai jenama antarabangsa yang kukuh.

Jadual 1: Perbandingan Kedudukan Universiti di Malaysia untuk tahun 2018 dan 2019

Universiti Kedudukan 2018 Kedudukan 2019
Universiti Malaya (UM) 114 87
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 230 184
Universiti Putra Malaysia (UPM) 229 202
Universiti Sains Malaysia (USM) 264 207
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) 253 228
UCSI University 481
Universiti Teknologi Petronas (Petronas) 601-650 521-530
Taylor’s University 601-650
Universiti Utara Malaysia (UUM) 701-750 601-650
International Islamic University Malaysia (IIUM) 701-750 651-700
Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) 701-750
Universiti Teknologi MARA (UiTM) 751- 800 751-800
Multimedia University (MMU) 801-1000

Dengan data yang ada, penulis cuba analisis bagaimana UCSI yang baru pertama kali berada dalam ranking, dan terus melonjak ke kedudukan 481 terbaik dunia, dan keenam terbaik di Malaysia (berada di belakang kesemua lima universiti penyelidikan di Malaysia). Salah satu faktor utama ialah bilangan pelajar antarabangsa. Berdasarkan data, jumlah pelajar di UCSI ialah seramai 6,495 dan dari jumlah tersebut, seramai 1,647 merupakan pelajar antarabangsa yang berasal 80 buah negara. Penulis cuba bandingkan dengan universiti terbaik di Malaysia, iaitu Universiti Malaya (UM) untuk kriteria tersebut. Terbukti itulah satu-satunya kategori yang berjaya UCSI atasi UM. Skor UCSI untuk kategori tersebut ialah 75.4 iaitu tertinggi dalam kalangan universiti di Malaysia, manakala skor UM ialah 61.2. Begitu juga dengan Taylor’s University yang baru pertama kali berada dalam senarai, yang mencatatkan skor kriteria tersebut sebanyak 63.4. UCSI juga aktif bekerjasama dengan universiti terkemuka iaitu Ivy League, Russell Group, Universitas 21 and Australia’s Group of Eight. Ivy League merujuk kepada lapan universiti swasta di bahagian Utara Timur Laut Amerika Syarikat seperti Brown University dan Harvard University. The Russell Group pula merujuk kepada 24 buah universiti terkemuka di UK yang cemerlang dalam bidang penyelidikan, menawarkan pengalaman pengajaran dan pembelajaran yang terbaik dan serta menjalinkan hubungan yang erat dengan sektor awam dan swasta. Antaranya termasuklah University of Cambridge, University of Oxford dan Imperial College London. Australia’s Group of Eight (Go8) pula adalah kumpulan universiti terkemuka di Australia, yang intensif dalam bidang penyelidikan dan komprehensif dalam bidang pendidikan umum dan profesional. Antaranya termasuklah The University of Melbourne dan The Australian National University. Universitas 21 (U21) adalah rangkaian universiti-universiti terkemuka dunia yang berintensifkan penyelidikan dan memperkasakan ahli untuk berkongsi kejayaan, berkolaborasi merentas sempadan dan memupuk pertukaran pengetahuan secara global. Universiti-universiti tersebut mewakili rantau tertentu. Contohnya untuk rantau Asia Tenggara, ianya diwakili National University of Singapore (NUS). Hal ini membuktikan betapa besarnya kesan aktiviti mahupun aspek pengantarabangsaan dalam menentukan ranking sesebuah universiti.

Bersambung……

Speak Your Mind

*