[Part 3] Pencapaian Cemerlang Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia Dalam QS World University Rankings 2019

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/part-2-pencapaian-cemerlang-institusi-pendidikan-tinggi-ipt-malaysia-dalam-qs-world-university-rankings-2019/

Senarai ranking 1000 universiti terbaik dunia ini turut menyaksikan daripada 10 universiti terbaik di Asia Tenggara, lima daripadanya merupakan universiti dari Malaysia. Buat pertama kalinya juga universiti dari Brunei iaitu Universiti Brunei Darussalam (UBD) berada dalam kalangan 10 universiti terbaik di Asia Tenggara.

  1. National University of Singapore (NUS)
  2. Nanyang Technological University, Singapore (NTU)
  3. Universiti Malaya (UM)
  4. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
  5. Universiti Putra Malaysia (UPM)
  6. Universiti Sains Malaysia (USM)
  7. Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
  8. Chulalongkorn University, Thailand
  9. Universitas Indonesia
  10. Universiti Brunei Darussalam (UBD)

 

Malaysia juga dalam kalangan negara Asia Tenggara mencatatkan bilangan universiti tertinggi yang berada dalam kelompok 1000 universiti terbaik dunia dengan 13 buah, diikuti Indonesia dengan sembilan, Thailand dengan lapan, Filipina dengan empat, Singapura dengan tiga, masing-masing dua universiti dari Vietnam dan Brunei. Malah kalau diperkecilkan lagi skop pencarian kepada 500 universiti terbaik di dunia, Malaysia masih lagi unggul dengan enam universiti, Indonesia dan Singapura, masing-masing tiga, Thailand dan Brunei masing-masing dua, serta Filipina dengan satu universiti. Dalam Ranking QS Top 50 Under 50 iaitu ranking universiti dunia yang berumur di bawah 50 tahun, sebanyak empat universiti Malaysia berada dalam kelompok 50 terbaik dunia iaitu, UKM, UPM dan USM masing-masing di kedudukan 13, 14 dan 15, manakala UTM di kedudukan ke 18.  Nanyang Technological University Singapura mendahului di kedudukan pertama, manakala Universiti Brunei Darussalam di tangga ke-34. Hanya tiga negara di Asia Tenggara tersebut yang mempunyai senarai universiti yang berusia 50 tahun ke bawah dalam kelompok 50 terbaik di dunia. Selain laporan mengenai ranking, laporan ini turut menunjukkan QS Star Rating. QS Stars adalah sistem penarafan yang membolehkan pelajar mendapatkan gambaran yang lebih luas tentang kualiti sesebuah institusi, dan ianya merangkumi kebolehpasaran graduan, kemudahan sukan dan penglibatan masyarakat. Ia diwujudkan untuk menggambarkan misi nuansa universiti, dan keperluan pelajar yang mungkin berminat dalam hal-hal selain daripada kedudukan ranking sesebuah universiti. Asas penilaian QS Stars mengambil kira kriteria-kriteria yang merupakan tonggak penting dalam menjadikan universiti bertaraf dunia. Ia mengambil kira beberapa faktor yang sering diabaikan dalam menentukan kedudukan universiti dan penilaian lain iaitu penyelidikan, pengajaran, kebolehpasaran, pengantarabangsaan, kemudahan, pembelajaran atas talian/ jarak jauh, tanggungjawab sosial, inovasi, seni dan budaya, keterangkuman dan kriteria pakar.

Tahniah buat institusi pendidikan tinggi Malaysia. Biarpun kedudukan kita semakin hari semakin baik, penulis tertarik dengan petikan kata-kata YBhg Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik bahawa “Kita mahu universiti di Malaysia bukan hanya dikenali kerana ranking, tetapi melalui sitasi (citation) dan karya ilmiah yang dihasilkan sarjana dalam pelbagai bidang,”.

Terima kasih

Speak Your Mind

*