Terap Nilai Positif Melalui Drama Televisyen

Picture source: https://pixabay.com/en/watching-tv-kid-television-home-2082788/

Orang kata drama kita wajah kita. Bagaimanapun terdapat pola atau trend jalan cerita yang hampir sama yang dipaparkan dalam drama-drama tempatan sejak kebelakangan ini. Ianya lebih berkisar tentang percintaan selepas perkahwinan, pergaduhan di peringkat awal perkahwinan, kemudian wujud orang ketiga yang antagonis yang akan menjejaskan hubungan suami isteri, si isteri merajuk lalu tumpang berteduh di rumah rakan karib mereka, watak antagonis menerima balasan dan akhirnya pasangan hero dan heroin bersatu semula. Penerbit drama seolah-olah berlumba-lumba untuk menerbitkan drama berbentuk demikian. Begitu juga dengan watak-watak yang sememangnya sinonim dalam drama-drama tempatan. Orang-orang kenamaan yang berpangkat Tan Sri, Dato’ serta berjawatan Chief Executive Officer (CEO) di syarikat-syarikat korporat. Tidak salah sekiranya mahu menunjukkan kejayaan orang melayu memegang jawatan yang hebat-hebat mahupun berpangkat besar, namun sekiranya terlalu kerap dipaparkan dalam jalan cerita sesebuah drama, ianya menimbulkan kebosanan dalam kalangan penonton sedangkan banyak lagi perkara lain yang boleh diselitkan dalam drama yang dapat melambangkan wajah kita sebagai rakyat Malaysia. Tambahan lagi, plot penceritaan yang lebih kurang sama antara satu sama lain membuatkan pemikiran kita sebagai penonton terbatas dan tidak berkembang. Alangkah indahnya serta lebih berwarna-warni drama kita sekiranya keunikan perpaduan yang dimiliki Malaysia yan terkenal dengan masyarakat majmuk boleh diketengahkan dalam plot penceritaan. Keunikan budaya yang wujud di Malaysia, bukan hanya melibatkan kaum Melayu, Cina dan India, malah termasuk etnik di Sabah dan Sarawak. Drama televisyen juga boleh menerapkan aspek-aspek pengajaran daripada kesilapan seperti aktiviti jenayah dan sebagainya. Penulis tertarik dengan satu jalan cerita drama yang ditayangkan di salah sebuah rangkaian televisyen baru-baru ini yang mengisahkan tentang kesilapan seorang wanita yang mengahwini seorang lelaki yang tidak diketahuinya merupakan seorang pengedar dadah. Akibatnya, beliau terjerumus dengan najis tersebut dan dihumban ke dalam tirai besi. Pengajaran yang boleh diperolehi dari drama sedemikian ialah betapa pentingnya wanita untuk mengenal hati budi lelaki yang bakal dikahwininya terlebih dahulu. Bagaimanapun cerita-cerita sedemikian jarang-jarang kita temui di kaca-kaca televisyen. Pemandangan yang menarik di Malaysia dan bukannya hanya tertumpu di kedai-kedai makanan mewah, di dalam rumah mahupun dalam pejabat yang serba moden juga boleh dipaparkan. Selain itu, antara perkara lain yang membimbangkan ialah pembelajaran secara peniruan sebagaimana diperkenalkan oleh ahli psikologi terkenal, Albert Bandura dari Universiti Stanford. Beliau menyatakan pembelajaran secara peniruan memainkan peranan yang sangat berpengaruh dalam mempercepatkan perubahan sosial, mendorong kepada perubahan sikap akibat tindakbalas terhadap pelbagai rangsangan. Rangsangan ini salah satu daripadanya diterima daripada drama yang dipertontonkan di kaca televisyen. Justeru adalah amat penting agar nilai-nilai positif dipaparkan melalui drama. Pakaian menjolok mata serta penggunaan bahasa kesat dan tidak tepat perlu dielakkan kerana ianya mendedahkan penonton terutamanya kanak-kanak dan remaja cenderung untuk menirunya. Pandangan penulis ini berdasarkan perspektif penulis sebagai seorang yang amat gemarkan naskhah visual berbahasa kebangsaan kita. Sebagai peminat drama melayu, penulis tidak mahu drama kita berada pada tokok yang sama dari dahulu sehingga kini sedangkan peluang untuk kita mempelbagaikan jalan cerita serta mencerminkan wajah kita dengan cara yang kreatif sentiasa terbuka luas.

Speak Your Mind

*