TOP 10 Kenangan Manis Sebagai Ahli Akademik Sepanjang Tahun 2019

Tahun 2019 kini tiba di penghujungnya. Tahun ini boleh saya katakan antara tahun yang mencatatkan banyak kenangan manis terhadap diri saya sebagai ahli akademik. Saya coretkan Top 10 kenangan manis saya untuk tahun 2019 sebagai motivasi kepada diri saya untuk lebih cemerlang lagi pada tahun-tahun akan datang. Di kedudukan ke-10, saya memenangi tiga anugerah di peringkat Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH) UTM pada 1 Julai 2019 bertempat di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru. Anugerah-anugerah tersebut ialah Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Anugerah Webometrik dan Anugerah Penerbitan. Pada 17 Julai 2019 pula, saya memenangi Anugerah Webometrik kategori individu peringkat universiti. Untuk anugerah tersebut, saya membawa pulang sijil dan wang tunai berjumlah RM500. Walau bagaimanapun, untuk kedua-dua sesi anugerah tersebut, saya tidak dapat ikut serta kerana masih berada di Korea Selatan bagi menjalani fellowship selama enam bulan. Semasa majlis Citra Karisma (Hari Anugerah Kecemerlangan Staf UTM), saya menontonnya melalui Facebook UTM secara live. Hanya tuhan sahaja yang tahu betapa gembiranya saya apabila nama saya disebut sebagai pemenang Anugerah Webometrik kategori individu. Terasa seperti nak guna pintu Doraemon untuk naik ke pentas ketika itu. Di kedudukan ke-9, saya bersama dua lagi rakan mewakili Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH) UTM terpilih dalam program UTMSHINE “Batch 5”. Program ini merupakan salah satu inisiatif yang diwujudkan oleh Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UTM untuk menggalakkan penyelidik muda di UTM menjalankan penyelidikan impak yang tinggi dan menghasilkan output penyelidikan yang berkualiti tinggi. Anugerah ini adalah dalam bentuk geran penyelidikan dalam jumlah tertentu diberikan kepada sekelompok penyelidik muda terpilih (kurang dari 40 tahun). Melalui program ini, inshaAllah saya akan diberikan geran penyelidikan berjumlah RM40,000 untuk menjalankan penyelidikan berimpak tinggi. Selain itu, rezeki saya dalam bidang penyelidikan untuk tahun 2019 ini juga murah apabila proposal penyelidikan Tier 2 telah diluluskan dengan jumlah geran sebanyak RM15,000. Walaupun nilainya tidaklah besar, namun jumlah ini sedikit sebanyak membantu saya menjalankan penyelidikan, penulisan dan penerbitan. Di kedudukan ke-8, sebanyak dua artikel saya diterbitkan dalam suratkhabar Berita Harian, dan lima lagi artikel dalam Dewan Masyarakat, Dewan Siswa dan majalah Backpackerz. Artikel-artikel ini berbentuk akademik dan catatan pengembaraan. Sehingga kini, lebih 70 artikel saya diterbitkan dalam suratkhabar arus perdana, dan hampir 30 artikel diterbitkan dalam majalah akademik. Di kedudukan ke-7, sepanjang tahun 2019 ini, dalam masa tiga bulan, saya telah terbang ke tiga destinasi berbeza di Indonesia iaitu sebagai invited speaker di Malang dan Padang, dan sebagai pembentang kertas kerja persidangan di Jogjakarta. Di Jogjakarta, saya membentangkan sebuah kertas kerja bertajuk “Mirror-mirror on the Wall, Which Teachers Use Educational Technology in Mathematics Classroom- Malaysians or South Koreans?” yang berjaya menarik perhatian peserta persidangan. Di kedudukan ke-6, saya berjaya menerbitkan sebanyak 25 artikel dalam jurnal/ prosiding berindeks Scopus/ Web of Science sepanjang tahun 2019 ini. Peranan saya dalam menghasilkan artikel-artikel ini termasuklah sebagai penulis utama dan penulis bersama. Antara kenangan yang tidak dapat dilupakan ialah terbitnya artikel saya dalam South African Journal of Education (IF:0.693, Web of Science) yang mana banyak cabaran sepanjang proses penerbitannya. Saya rasa hampir dua tahun proses mengubahsuai kandungan, menambahbaik kandungan dan sebagainya dilakukan sebelum ianya diterbitkan pada tahun 2019 ini. Selain itu, banyak kolaborasi dalam artikel yang diterbitkan. Antaranya termasuklah penulisan bersama host professor saya di Korea Selatan, rakan dosen (pensyarah) di Indonesia dan pelajar Phd saya dari Nigeria. Di kedudukan ke-5, Alhamdulillah, tahun 2019 mencatatkan kenangan yang amat bermakna buat saya apabila dua buah buku saya diterbitkan secara serentak oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Bukan mudah sebenarnya untuk menerbitkan sesebuah buku. Banyak proses dan prosedur yang yang perlu dilalui. Paling cepat masa yang diambil untuk menerbitkan sesebuah buku ialah dua tahun. Berdasarkan pengalaman saya pula, untuk menerbitkan kedua-dua buah buku ini mengambil masa lebih kurang hampir tiga tahun. Kata orang, penantian itu suatu penyeksaan. Tetapi jika yang kita tunggu itu sesuatu yang sungguh berbaloi, pasti kesabaran itu akan menjelmakan sesuatu yang manis dan indah. Alhamdulillah. Tambah manis lagi, salah sebuah buku tersebut dicalonkan dalam Anugerah Buku Negara oleh DBP, namun masih belum ada rezeki. Di kedudukan ke-4, tahun 2019 juga menyaksikan kejayaan tiga orang pelajar Phd saya lulus dalam viva-voce mereka. Tambah bermakna lagi, apabila saya merupakan penyelia utama untuk ketiga-tiga pelajar tersebut. Ini menjadikan jumlah pelajar Phd di bawah penyeliaan saya (sama ada sebagai penyelia utama atau penyelia bersama) yang telah lulus dan bergraduasi seramai lapan orang. Seramai enam orang pelajar sarjana saya juga telah bergraduasi pada tahun ini menjadikan jumlah pelajar sarjana di bawah penyeliaan saya sehingga Disember 2019 ialah seramai 45 orang. What a number, kan?Alhamdulillah, seronok apabila dapat berkongsi ilmu dan dalam masa yang sama, kita dapat belajar sesuatu daripada mereka juga. Di kedudukan ke-3, saya dilantik sebagai Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) Universiti Teknologi Malaysia untuk portfolio strategik dan universiti penyelidikan. Saya bertanggungjawab dalam memastikan status universiti penyelidikan kekal milik UTM melalui audit MyRA 1 dan MyRA 2. Apabila dihubungi oleh pengarah RMC melalui whatsapp, tanpa berfikir panjang saya terus bersetuju. Ini kerana saya mempunyai pengalaman sebagai pentadbir di peringkat fakulti sebagai pengurus penyelidikan yang berperanan mengkoordinasi perkara-perkara berkaitan penyelidikan, penulisan dan penerbitan selama hampir tiga tahun. Alhamdulillah, hasil usaha dan kerja keras kami satu fakulti, akhirnya subjek pendidikan di UTM kini berada di kedudukan nombor satu terbaik di Malaysia dan kedua terbaik di Asia Tenggara selepas Nanyang Technological University, Singapura berdasarkan The 2020 Times Higher Education World University Rankings. Saya akan memegang jawatan ini selama tiga tahun dan inshaAllah saya akan lakukan yang terbaik, sebagaimana motto UTM, Kerana Tuhan Untuk Manusia. Di kedudukan ke-2, saya menjalani International Scholar Exchange Fellowship 2018-2019 selama enam bulan di Chonnam National University (CNU) di Gwangju. Ia merupakan program yang ditawarkan oleh Korea Foundation for Advanced Studies (KFAS).Banyak pengalaman yang saya perolehi sepanjang saya menjalani fellowship berkenaan. Alhamdulillah, sehingga artikel ini ditulis, sebanyak empat artikel jurnal/prosiding terindeks Scopus telah berjaya diterbitkan dan saya dalam proses akhir menghasilkan sebuah manuskrip buku tentang perbandingan pendidikan matematik di sekolah menengah antara Malaysia dan Korea Selatan. Di kedudukan pertama ialah, tahun 2019 ini merupakan tahun paling bermakna buat saya sebagai ahli akademik apabila saya dinaikkan pangkat ke gred DS54 iaitu posisi Professor Madya. Alhamdulillah, saya dinaikkan pangkat semasa bulan Ramadhan yang lalu. Saya amat bersyukur kehadrat Illahi atas nikmat yang diberikan dan saya dedikasikan ia kepada emak dan ayah tersayang serta keluarga yang banyak mendoakan kejayaan saya. Sekian, coretan saya setakat ini.

Speak Your Mind

*