Semenjak memegang jawatan di Sekolah Pengajian Siswazah pada tahun 2019, saya terlibat dengan pelbagai aktiviti pelajar terutamanya bersama Postgraduate Students Society (PGSS). Persatuan ini menyokong pelbagai keperluan pelajar pascasiswazah di UTM berkaitan dengan akademik.

Setiap sesi akademik, akan dibuat mesyuarat lantikan jawatankuasa yang baru yang terdiri dalam kalangan pelajar Sarjana atau PhD. Pelbagai aktiviti dibuat sepanjang hampir setahun seperti Postgraduate Structured Course, Coffee Session, Compulsary Course dan lain-lain lagi. Kesemua aktiviti dijalankan secara sukarela dengan Moto”From Students to Students”. Lawati laman web PGSS UTM ( https://sps.utm.my/pgss/ ) untuk maklumat lanjut.
Alhamdulillah, Majlis Anugerah Tokoh Siswa 2022 telah menyaksikan Post Graduate Student Society UTM (PGSS) Sesi 2020/2021 menempa kejayaan dengan memenangi Anugerah Persatuan Pasca Siswazah bagi Kluster Khas Pasukan. Majlis ini merupakan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dan telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Datuk Seri Haji Mohamed Khaled Nordin.
Sebagai penasihat persatuan, saya rasa sangat berbangga kerana setiap ahli jawatankuasa PGSS telah mengambil inisiatif membantu rakan-rakan pascasiswazah yang lain untuk menganjurkan lebih 80 program sepanjang sesi walaupun sibuk dengan kajian masing-masing, malah ada yang sedang membuat persiapan untuk Peperiksaan Lisan (VIVA) Doktor Falsafah. Semoga pengiktirafan ini dapat menaikkan semangat semua ahli PGSS UTM untuk meneruskan legasi.





Raya Aidilfitri ada satu keistimewaan yang sukar untuk dilafazkan. Namun salah satu yang paling istimewa adalah ukhuwah persaudaraan.Pada waktu inilah, yang muda bertemu yang tua, yang jauh bersua yang dekat. Walau masa tak panjang… namun seboleh mungkin disusun jadual supaya dapat singgah ke rumah2 keluarga yang jarang bertemu.. kadang-kadang hanya bertanya khabar dalam sistem pesanan ringkas… selalunya tidak…
Aku… setiap tahun akan cuba bertemu wajah-wajah yang uzur dan semakin di mamah usia… bimbang tak ketemu lagi tahun kemudian. Walau ceritanya tak banyak beza.. darah tinggi, kencing manis, jantung… kisah-kisah biasa, nikmatnya melihat senyuman di bibir mereka.
Satu lagi istimewanya adalah dapat menemui keluarga dekat yang sukar bertemu muka… masing-masing sibuk dengan kerja dan keluarga. Dapat bercerita apa berlaku sepanjang tidak bersua, mendengar kisah yang tak dikongsi dalam media sosial, bermaafan bimbang ada terdetik dihati mana-mana prasangka. Semoga diterima kemaafan… andailah esok aku tiada lagi dimuka bumi ini.
Semoga diterima Ibadat kita sepanjang Ramadhan, dan semoga dieratkan ukhuwah persaudaraan kita hingga ke akhir hayat.Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.



















