Tanggungjawab pelajar berada di universiti

ARKIB UTUSAN MALAYSIA : 04/09/2013

 

UNIVERSITI-universiti di Malaysia ditubuhkan pada awalnya adalah untuk menyediakan sumber manusia yang dapat memenuhi keperluan negara khususnya dalam bidang Sains dan Teknologi.

Hari ini, dengan hampir semua universiti sebahagian besarnya didominasikan oleh para pensyarah tempatan hasil usaha gigih melalui pelbagai dasar yang ada untuk membuktikan kemampuan sebenar kita. Namun terdapat banyak pandangan dan desakan agar kita membuka pintu seluas-luasnya untuk kemasukan tenaga pengajar luar dan memberi tempat kepada para pelajar antarabangsa, terutamanya dalam mengejar kedudukan dalam penarafan dunia.

Malah para pensyarah dan penyelidik universiti juga perlu menghasilkan penyelidikan dan penerbitan yang diiktiraf oleh pihak yang membuat penarafan dalam kaca mata kepentingan dan keperluan mereka malah menjadi rujukan oleh rakan-rakan akademia dunia untuk meningkatkan mata dalam penarafan.

Sekarang ini pula, terdapat pihak-pihak tertentu dalam kalangan mereka yang berada di dunia Barat pun mula melihat betapa kebanyakan penghasilan karya akademik dalam kerangka pemikiran dan keperluan rakyat tempatan di banyak negara tidak mendapat tempat dan diambil kira dalam usaha penarafan dan ini merugikan kepada masyarakat dan negara berkenaan.

Namun, kita perlu sedar bahawa, keutamaan universiti masih lagi kepada keperluan untuk menyediakan anak-anak muda kita menguasai ilmu pengetahuan dan mengisi peluang pekerjaan malah menggunakan ilmu pengetahuan dan kepakaran mereka dalam melakukan perubahan dan transformasi dalam menghadapi cabaran-cabaran baharu masa kini dan masa hadapan.

Mereka yang melihat dirinya hanya datang untuk mendapat segulung ijazah dan kemudiannya dengan mudah diterima dalam sektor pekerjaan tentunya sudah tidak relevan dan tidak realistik.

Hakikatnya dengan bilangan besar yang mula menjejak kaki masuk kampus sekarang ini memerlukan satu usaha yang bersungguh-sungguh untuk bersaing dan menjadi antara yang terbaik. Lihat sahaja persaingan kemasukan ke universiti yang amat sengit dengan keputusan pelajar sehinggakan PNGK yang 4.0 belum tentu mendapat tempat jika tidak disertai dengan kesesuaian diri dalam konteks memenuhi keperluan-keperluan lain yang ditetapkan mengikut keperluan pengajian dalam ijazah tertentu.

Mereka yang datang ke kampus dengan mimpi mencapai bulan, hidup dalam angan- angan dan membuang masa dengan hal-hal yang tidak berfaedah, akhirnya akan meninggalkan kampus dengan tangan kosong tatkala orang lain menggunakan universiti sebagai landasan untuk membina pembangunan sahsiah yang tinggi, daya kepimpinan dan bakat dalam diri dalam pelbagai bidang, mencapai kecemerlangan akademik dan gigih dalam dalam menentukan hala tuju masa hadapan masing-masing.

Masa yang ada perlu dimanfaatkan dengan sepenuhnya bukan sebagai ulat buku dan bijak dalam akademiknya sahaja, tetapi bersikap bijaksana dalam melihat keperluan masa hadapan.

Cabaran besar juga menanti mereka yang berada di universiti dengan menghadapi pelbagai perubahan yang ada. Pertama ialah pembelajaran kendiri yang tidak lagi bergantung kepada semata-mata kuliah dan pensyarah. Pensyarah hanya menjadi fasilitator manakala usaha mencari dan menerokai ilmu perlu dilakukan sepenuhnya oleh pelajar.

Kedua kaedah dan suasana pembelajaran yang jauh berbeza. Anak-anak muda yang memasuki kampus berhadapan dengan kepentingan untuk membuat keputusan, memilih dan melakukan yang terbaik untuk dirinya. Mereka perlu lebih berdisiplin dan menghargai kebebasan yang ada.

Mereka kini yang menentukan apa yang ingin dibuat dan jalan mana yang harus dipilih, apatah lagi apabila ibu bapa dan keluarga tidak lagi mempunyai peluang sepenuhnya untuk menentukan apa yang perlu dilakukan oleh anak-anak, menyediakan keperluan harian dan sebagainya. Anak-anak muda inilah perlu bijak memilih kawan dan sebagainya.

Ketiga, mereka berhadapan dengan pelbagai isme dan pengaruh. Banyak pihak yang melihat anak-anak muda sebagai kumpulan yang ideal dalam pemikiran dan tindakan akan berusaha mempengaruhi sama ada di bilik kuliah dalam kalangan para pensyarahnya atau pun dalam kalangan pelbagai kumpulan yang cuba menarik dan memanfaatkan untuk kelompok atau kumpulan masing-masing.

Ini termasuklah dalam bentuk keagamaan, politik mahu pun isme tertentu yang kadang-kadang menjerat mereka hingga sanggup meninggalkan ibu bapa dan keluarga termasuk juga meninggalkan pengajian kerana terlalu terpengaruh dan yakin dengan apa yang ditanam dalam fikiran dan perasaan anak-anak muda ini.

Keempat, cabaran untuk membangunkan idealisme dalam kerangka pemikiran dan usaha yang realistik dan mampu memenuhi keperluan masa hadapan. Universiti menyediakan segala kemudahan dalam menguasai pelbagai bahasa, meneroka dunia di mana sahaja, aktiviti kesukarelaan yang dapat membangunkan jati diri dan sahsiah yang tinggi, kegiatan berpersatuan yang mengasah bakat kepimpinan hinggalah kepada aktiviti penyelidikan bersama para pensyarah berpengalaman dalam menerokai ilmu sejauh-jauhnya, membangunkan kreativiti, imaginasi dan inovasi.

Semuanya adalah penting dalam membina dan membangunkan masa hadapan seseorang mahasiswa sebagai memenuhi kerangka tanggungjawab dan peranan universiti yang bersifat terbuka dan autonomi diri.

Hakikatnya anak-anak muda yang memasuki universiti perlu bijak berfikir dari sekarang untuk melihat jauh ke hadapan, membuat keputusan untuk menggunakan ilmunya untuk terus bergantung kepada orang lain atau membangunkan semangat keusahawanan dan memanfaatkan ilmunya untuk berdikari dan mencipta sesuatu yang baharu.

Mereka perlu terus bermain dengan imaginasi, kreativiti, inovasi dan kekuatan diri untuk terus mengharumkan nama sendiri, berakhlak dan berkeperibadian tinggi, menjaga maruah ibu bapa dan keluarga, melihat kepada kepentingan bangsa dan negara malah memaknakan kewujudan universiti sebagai institusi ilmu dan penyelidikan.

Tiga, empat atau lima tahun dari sekarang mereka bukan lagi akan bermain di tanah tumpah darahnya ini sahaja, malah menjadi warga dunia yang dapat memberi khidmat bakti, mencari pengalaman dan mendewasakan diri dengan pengalaman baharu dengan nilai-nilai universiti tanpa melupakan dari mana dia bermula dan jati diri yang ada. Kerana itu, mereka perlu siapkan diri dari sekarang kerana hari esok bermula pada saat ini. Ibu bapa dan keluarga perlu terus memantau, memahami dan menyokong untuk anak-anak mencapai cita-cita mereka.

 

Recent Comments

    Speak Your Mind