7 Perkara Ini Anda Patut Tahu Sebelum Lanjut Pelajaran Peringkat Sarjana Kejuruteraan

phd-mechanical-engineering

Kadang-kadang saya tergelak seorang diri apabila mereka menyerahkan sebulat-bulatnya pelaburan masa selama 1-2 tahun peringkat Sarjana kepada saya. Ini adalah tidak betul dan jalan yang kurang tepat. Kalau saya jahat nak saja suruh ambil jurusan yang bukan-bukan.

Baiklah. Ini adalah contoh kenapa, mengapa saya menyambung pengajian. Mungkin anda boleh menggunakan jalan saya ini sebagai panduan. Tetapi harus beringat kita mempunyai tahap kemahiran yang berbeza jadi mungkin kurang sesuai pada sesetengah orang.

Dibawah adalah sebahagian perkara yang saya ambil kira sebelum melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana dan tidak terhad kepada:

1. Pemilihan jurusan

Ini adalah kriteria paling penting. Anda perlu mengetahui perancangan daripada Kerajaan jika anda bercadang hanya bekerja di Malaysia. Ini boleh dirujuk di National Transformation Programme (NTP) Malaysia.

Sebagai contoh negara masih kekurangan tenaga PAKAR di bidang ekonomi utama seperti minyak dan gas. Malaysia adalah negara membangun dan kita masih berharap kepada negara maju dalam pembelian alatan berkualiti tinggi dan tidak dibuat di sini.

Bekas CEO Malaysia Marine & Heavy Engineering (MMHE) iaitu Tuan Abu Fitri Abdul Jalil sendiri mengatakan bahawa ketika zaman kemelesetan ekonomi adalah masa terbaik untuk melanjutkan pelajaran.

2. Pemilihan universiti

Jika anda bercadang untuk berkhidmat di sektor Minyak & Gas maka hanya segelintir sahaja universiti menjadi pilihan para majikan. Sebagai contoh Top 5 adalah:

a. Universiti Teknologi Petronas (UTP)
b. Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
c. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
d. University Malaya (UM)
e. Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Bacaan lanjutan di sini dan juga Rak Buku Ikhwan.

3. Tawaran subjek

Saya sangat menitikberatkan subjek yang ditawarkan oleh pihak universiti. Jadi saya memilih universiti yang hanya sesuai dengan perjalanan kerjaya saya kelak.

Sebagai contoh subjek Kakisan sangat penting di dalam ‘Facility Management’. Kakisan juga memerlukan perbelanjaan sekurang-kurangnya 10% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar, KDNK (‘Gross Domestic Product, GDP’).

Ia perlu untuk menyelenggara pelantar minyak/gas yang terdedah dengan kemasinan air laut dan kelembapan yang tinggi di Malaysia. Jadi di sini UTM menjadi pilihan kerana ianya menepati dengan kehendak saya.

4. Kaedah pengajian

Pengajian secara sepenuh masa adalah lebih sesuai dengan saya kerana pengetahuan asas (fundamental) seperti bagaimana kakisan paip diambil kira menyediakan pemahaman yang asas serta menyeluruh.

Di industri hanya berdasarkan kepada formula kira-kira ringkas sahaja yang disediakan oleh American Petroleum Institute (API) dan tidak serumit pengetahuan asas kepada electrochemical iaitu bagaimana hubungan anode and cathode dan mechanism ianya berlaku.

Jika anda mempunyai pengetahuan asas yang lebih mendalam maka anda akan lebih menghargai ilmu Allah SWT yang tersangatlah luas!

Sejak melanjutkan pelajaran ini pemikiran saya lebih kearah ketuhanan walaupun saya tidak mengambil jurusan yang berkaitan dengan Pendidikan Islam.

5. Pelan kerjaya

Bidang bahan, kakisan dan pemeriksaan memang menjadi minat saya sejak bekerja dengan Dayang Enterprise Holdings Bhd (DEHB). Di sini adalah tempat segala-galanya bermula.

Saya diberikan kebebasan untuk membuat keputusan dan acapkali sebelum kata putus dicapai saya gemar menyelidik seberapa dalam agar keputusan di masa hadapan tidak datang menghantui saya lagi.

Walaupun jawatan saya hanyalah sebagai Jurutera Perpaipan dan Mekanikal di bahagian ‘Hook Up, Commissioning & Construction’ tetapi saya tidak mengehadkan pengetahuan semata-mata kepada perpaipan sahaja.

Saya gemar memerhatikan bagaimana paip dikimpal, dicat, diuji dan seterusnya sebelum berlayar untuk dipasang di atas pelantar.

6. Prospek kerjaya

Walaupun ramai di luar sana yang mengaggur tetapi cuba kita tanya semula, berapakah Jurutera yang mempunyai kelulusan Sarjana?

Berdasarkan perangkaan dari Kementerian Pendidikan Tinggi didapati ‘qualification trap’ adalah di peringkat Sarjana Muda. Jadi ini adalah masa (kemelesetan ekonomi) yang sesuai untuk kekal berdaya saing. Majikan juga memerlukan pekerja yang mempunyai pengetahuan yang khusus.

Saya perhatikan syarikat minyak antarabangsa seperti Heerema Marine Contractors memerlukan graduan berkelayakan sekurang-kurangnya Sarjana untuk jawatan Jurutera Bahan. Tiada lagi Sarjana Muda.

7. Masa

Perkara ini saya terlepas pandang. Masa adalah penting kerana untuk yang sudah berkahwin seperti saya masa adalah terhad. Pembahagian dan pengurusan masa perlu dilakukan dengan teliti.

Pengajian memerlukan anda untuk berterusan membaca bukan sahaja menghadiri kelas tetapi juga tugasan dan projek sarjana.

Ini adalah antara sebahagian perkara yang perlu anda ambil kira. Semoga berjaya!

 

Artikel di atas disumbangkan oleh Ikhwan Hafiz. Beliau mempunyai minat mendalam dalam bidang minyak dan gas. Boleh ikuti beliau di sini. Pautan artikel asal.

Recent Comments