Archives for March 2022

Ucapan Saya Untuk Penutup Program Innovate Johor (IJ) 2022

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera,

Ybhg Professor, Prof Madya, Dr, Tuan, Puan yang saya hormati sekalian,

Hari ini 22hb Mac 2022 merupakan hari terakhir program Innovate Johor 2022 yang mana ia telah berlangsung selama tiga hari bermula 20hb Mac 2022 yang lalu.

Innovate Johor (IJ) merupakan kesinambungan daripada acara tahunan yang dianjurkan oleh entiti-entiti di bawah Jabatan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovais (JTNCPI). Ia bertujuan untuk mengabungkan pelbagai aktiviti berkaitan inovasi dan penyelidikan. Antara aktiviti utama untuk edisi tahun 2022 ialah Pertandingan inovasi INATEX 2021, pameran produk syarikat hiliran, Showcase Lab Services, Simposium AIM4STAR, Icon Talk & Sharing session dan sesi ulasan buku. Objektif program ini ialah untuk memberikan platform kepada penyelidik mempamerkan hasil penyelidikan mereka dan memberikan peluang kepada pihak UTM mengenalpasti inovasi yang boleh diketengahkan untuk tujuan komersial. Walau bagaimanapun, berikutan keadaan sekarang yang tidak mengizikan program ini dilaksanakan secara fizikal, jadi program ini diadakan secara dalam talian secara keseluruhannya.

Program ini diadakan sempena sambutan 50 tahun UTM yang jatuh pada tahun ini. Tema Innovate Johor pada tahun ini ialah Aspirasi Komuniti Memacu Inovasi Varsiti. INATEX Merupakan pameran dan pertandingan rekacipta penyelidikan bagi penyelidik dalaman di UTM sebelum dipertandingkan di peringkat lebih tinggi dan dikomersilkan. Pameran Produk Syarikat Hiliran merupakan program pameran maya yang telah mengetengahkan lebih banyak produk-produk sedia komersial yang telah dihasilkan melalui penyelidikan berimpak oleh para penyelidik di UTM. Program tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada umum berkenaan produk-produk sedia komersial hasil penyelidikan UTM termasuk yang telah dilesenkan kepada syarikat-syarikat hiliran UTM (spin-off). Business Matching and Industry Engagement Session merupakan aktiviti membina hubungan antara UTM, penyelidik dan pihak industri. Ia merupakan kolaborasi strategik bersama industri melalui projek penyelidikan dengan sumbangan dana peruntukan dari kedua-dua pihak. Penyelidik yang memohon telah berkolaborasi dengan pihak industri. Jumlah geran padanan dari universiti bagi program ini tidak melebihi RM20,000.00. Projek perlu berada di TRL 1-3 atau 4–6. Pembentangan telah dibuat bagi permohonan yang disenarai pendek. Sebanyak 3 projek telah dipilih untuk menerima geran padanan bagi program ini dan penerima telah diumumkan semalam. Penerima geran padanan ini telah diumumkan semalam semasa majlis perasmian Innovate Johor yang telah disempurnakan oleh Ybhg Datuk Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail.

Showcase Lab Services pula merupakan virtual video 360° bagi makmal yang dilengkapi dengan peralatan berteknologi tinggi. Video korporat berimpak untuk mempromosikan makmal dan perkhidmatan professional dipamerkan. Lawatan makmal dilaksanakan secara virtual kerana medium ini mudah diakses dan menjadi pilihan utama serta dapat menjangkau lebih banyak pelawat (viewer). Video korporat berimpak yang interaktif dan informatif berkaitan bidang penyelidikan yang berbeza, prosedur terkini, kewujudan kemudahan dan peralatan yang berteknologi tinggi dapat menjadi medium promosi dan maklumat yang berkesan.

Simposium AIM4STAR pula telah mengenengahkan penyelidik-penyelidik yang telah menjalankan projek komuniti berimpak tinggi sesuai dengan tema ”Universiti Untuk Masyarakat”. Program ini turut membawa barisan NGO/ Industri yang telah bekerjasama dengan UTM dalam usaha memperkasakan masyarakat. Icon Talk & Sharing Session pula merupakan sesi bersama tokoh yang berpengaruh dan memberi impak kepada industri. Ia juga merupakan sesi perkongsian bersama pakar dalam penyelidikan dan pengkomersilan. Sesi ulasan buku melibatkan buku yang bertajuk” Libat Sama Komuniti untuk Kesejahteraan Masyarakat” yang disunting oleh Prof. Madya Dr. Johari Surif dan Prof. Dr. Rosli Hainin. Buku ini dipilih kerana banyak mengetengahkan isu-isu dan cabaran untuk mengekalkan kelestarian keusahawanan industri kecil dan sederhana, keperluan latihan yang komprehensif, pengenalan teknologi dan teknik terbaharu untuk meningkatkan hasil pertanian dan penternakan, pembangunan pendidikan dan modal insan bahkan teknologi komunikasi dalam pembangunan infrastruktur.

Akhir kata, saya mewakili Ahli Jawatankuasa Pelaksana Innovate Johor 2022 mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang telah menyertai program Innovate Johor khususnya dalam aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan. Semoga semua aktiviti yang dilaksanakan sempena Innovate Johor 2022 ini memberi manfaat dan menambahkan pengetahuan kepada semua. Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua AJK pelaksana yang telah menjayakan program Innovate Johor pada tahun ini. InshaAllah semoga kita bertemu lagi pada masa akan datang. Saya akhiri ucapan saya dengan wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Sekian, terima kasih

Dapatkan Buku Terbaharu Saya Di Pasaran!

Tahukah anda Malaysia dan Korea Selatan berada di hujung yang bertentangan dalam satu kontinum dalam aspek pencapaian matematik sekolah menengah?

Tahukah anda perbandingan komponen kurikulum matematik serta pedagogi dan pentaksiran di dalam kelas matematik, lebih banyak kajian yang dijalankan antara Korea Selatan dengan banyak negara lain yang menjadikan Korea Selatan sebagai negara penanda aras.

Tahukah anda kurikulum matematik pertama diperkenalkan untuk kedua-dua negara, ia bermula pada tempoh yang hampir sama? Tempoh ini adalah antara tahun 1954-1956 di mana kurikulum standard pertama untuk Malaysia adalah Laporan Razak pada tahun 1956, dan kurikulum matematik Korea Selatan yang pertama adalah pada tahun 1954.

Tahukah anda Malaysia memperlihatkan kerangka kerja matematik yang rumit dan kompleks dengan banyak unsur di dalamnya?. Sebaliknya, Korea Selatan menunjukkan kerangka kerja yang mudah dan berfokus.

Tahukah anda penggunaan bahasa yang tidak konsisten dalam pengajaran dan pembelajaran matematik di Malaysia membuatkan guru dan murid keliru dengan hala tuju kurikulum matematik di negara kita?. Sedangkan kurikulum matematik di Korea Selatan yang bermula pada tahun 1950-an iaitu lebih kurang wujudnya Kurikulum Lama Sekolah Menengah (KLSM) di Malaysia hanya menggunakan bahasa ibunda mereka sejak itu sehinggalah pada hari ini. Mereka langsung tidak menitikberatkan penggunaan bahasa dalam matematik, sebaliknya menekankan aspek yang lebih penting dalam pembelajaran matematik seperti keseronokan dalam mempelajari matematik, sikap positif terhadap matematik serta kreativiti matematik.

Tahukah anda susunan kandungan bidang geometri dalam kurikulum matematik sekolah menengah Korea Selatan adalah berdasarkan model van Hiele yang telah terbukti dalam banyak kajian lalu dapat meningkatkan pemikiran geometri pelajar?. Sedangkan pendekatan kurikulum matematik sekolah menengah di Malaysia untuk komponen geometri lebih menggalakkan kepada penghafalan.

Tahukah anda pelajar Korea Selatan sangat membenci subjek matematik? Tetapi mengapa dan bagaimana mereka masih boleh mencapai keputusan yang cemerlang dalam matematik di peringkat global?

Persoalan-persoalan ini terjawab sekiranya anda membaca buku ini. Jadi dapatkannya melalui saluran berikut:

https://penerbit.utm.my
penerbit.utm.my/booksonline/
https://shopee.com.my/utmpress

Web of Science: Social Sciences Citation Index – SSCI 2020

Here is the list

http://people.utm.my/halim/wp-content/uploads/sites/748/2022/03/SSCI_20FEB2022.pdf

[BUKU] Pendidikan Matematik Menengah di Malaysia dan Korea Selatan

Dapatkan buku terbaru saya di pasaran sekarang.

Korea Selatan merupakan salah sebuah negara yang boleh dijadikan penanda aras Pencapaian tinggi pelajar Korea Selatan dalam pentaksiran antarabangsa, seperti TIMSS dan PISA berbanding pelajar Malaysia menunjukkan sistem pendidikan Korea Selatan terbukti berjaya menghasilkan pelajar yang mampu bersaing di peringkat global. Lantaran itu, Korea Selatan dilihat layak ntuk dijadikan sebagai penanda aras bagi Malaysia untuk melihat aspek pendidikan khususnya bagi mata pelajaran Matematik sekolah menengah. Namun, tidak banyak kajian dan perbincangan yang dilakukan sebelum ini tentang perbandingan pendidikan matematik sekolah menengah antara Malaysia dengan Korea Selatan. Sehubungan itu, buku ini membincangkan perbezaan senario tiga komponen yang menentukan kejayaan sistem pendidikan di sesebuah negara, iaitu kurikulum, pedagogi dan pentaksiran, khususnya bagi matapelajaran Matematik peringkat menengah rendah di kedua-dua negara ini. Kajian dan perbincangan perbandingan yang dijalankan tidak akan digunakan untuk menentukan sistem pendidikan yang mana lebih baik, sebaliknya hanyalah untuk memahami faktor yang mendasari persamaan dan perbezaan, serta amalan semasa dalam pendidikan menengah rendah agar negara-negara ini dapat belajar daripada satu sama lain. Matlamat untuk mengkaji sistem pendidikan negara lain sebenarnya adalah untuk mengetahui apa yang dapat dipelajari dan diperbaiki, dan seterusnya akan menyumbang kepada dasar dan amalan yang lebih baik di negara masing-masing.

https://penerbit.utm.my
penerbit.utm.my/booksonline/
https://shopee.com.my/utmpress

[Bahagian 1] Meneroka Kota Istimewa Jogjakarta, Indonesia

Penulis di Jalan Malioboro

Baru-baru ini penulis berkesempatan mengunjungi kota Jogjakarta yang merupakan ibukota Daerah Istimewa Jogjakarta di Indonesia. Disebabkan penulis tiba di kota Jogja di sebelah petang, maka hari pertama hanya diisi dengan mengunjungi pusat membeli belah Plaza Ambarrukmo yang terletak tidak jauh dari tempat tinggal penulis. Pada hari kedua, penulis mengunjungi salah satu tarikan utama di Jogjakarta iaitu Jalan Malioboro yang menjadi ikon kota Jogjakarta. Malioboro yang terletak di pusat bandar merupakan kawasan perniagaan tersibuk di kawasan itu. Perkataan Malioboro juga berasal dari kata ‘Marlborough’, nama Duke Inggeris yang tinggal di sana pada tahun 1811-1816. Dalam bahasa Sanskrit, perkataan ‘Malioboro’ bermaksud sejambak bunga. Ini berkaitan dengan masa lalu ketika Karaton mempunyai acara besar, Malioboro akan dipenuhi dengan bunga. Pada zaman kolonial, Malioboro menjadi pusat pemerintahan Belanda sebagai strategi untuk mengekalkan dominasi mereka dengan membangunkan Vredeburg Fort (1790) di hujung selatan Jalan Malioboro iaitu berdekatan dengan pasar tradisional yang ada, diikuti oleh Dutch Club (1822), Kediaman gabenor Belanda (1830), bank dan pejabat pos. Jalan Malioboro juga merupakan kawasan penting dalam era kemerdekaan, ketika rakyat Indonesia berjuang untuk mempertahankan kemerdekaan mereka dalam pertempuran yang terjadi di utara-selatan di sepanjang jalan tersebut. Jalan sepanjang satu kilometer dari utara ke selatan dihiasi dengan seni bina era kolonial Belanda dan struktur bangunan moden yang baru digabungkan dengan kawasan pengkomersialan cina dan kontemporari. Bagi penulis, cara terbaik untuk meneroka jalan-jalan di Jalan Malioboro adalah dengan berjalan kaki, iaitu dari Stesen Kereta Api Tugu hingga persimpangan selatan yang dikenali sebagai Nol Kilometer (Zero Kilometer). Pilihan lain yang ada untuk meneroka kawasan berkenaan ialah dengan menaiki becak atau kereta kuda beroda empat roda yang dipanggil “andong”. Malioboro mempunyai banyak pusat membeli-belah sama ada pusat membeli belah moden mahupun tradisional. Kedai-kedai tersebut ada di antaranya menjual barangan dengan harga tetap mahupun boleh ditawar. Barangan yang dijual termasuklah beg, baju, kasut dan barang cenderahati. Penulis berkesempatan membeli sedikit cenderahati seperti keychain, fridge magnet, kain batik dan kain pelikat untuk dibawa pulang ke Malaysia. Penulis turut dimaklumkan bahawa jalan Malioboro akan mulai sibuk sekitar bulan Jun hingga Ogos berikutan musim cuti ketika itu dan akan menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara. Jalan Malioboro juga terletaknya banyak restoran dan tempat untuk makan dan minum. Deretan kedai makanan jalanan juga boleh didapati di sepanjang jalan tersebut. Makanan tempatan yang dijual di tepi jalan termasuklah gudeg, stik, sos bawang, teh, kopi dan jus. Penulis berkesempatan mencuba kopi tempatan di salah sebuah kedai yang terdapat di situ usai membeli belah di kawasan berkenaan.

Bersambung…