Archives for June 22, 2023

[FAKTA 2] Tujuh Fakta Menarik Daripada Kajian TIMSS 2019 Subjek Matematik Dalam Kalangan Murid Gred 8 (Tingkatan Dua) Malaysia

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/fakta-1-tujuh-fakta-menarik-daripada-kajian-timss-2019-subjek-matematik-dalam-kalangan-murid-gred-8-tingkatan-dua-malaysia/

Fakta Kedua

Untuk komponen kedua iaitu ‘Murid Yakin dalam Matematik’, murid diminta menjawab item tersebut iaitu, (1) Saya selalu memperoleh pencapaian yang baik dalam matematik, (2) Matematik lebih sukar kepada saya berbanding rakan sekelas yang lain, (3) Matematik bukan merupakan salah satu kekuatan saya, (3) Saya mudah faham matematik, (4) Matematik membuat saya berdebar, (5) Saya mampu menyelesaikan masalah matematik yang sukar, (6) Guru memberitahu saya bahawa saya bagus dalam matematik, (7) Matematik lebih sukar berbanding mata pelajaran lain, dan (8) Matematik membuatkan saya keliru. TIMSS mengkategorikan dapatan kepada tiga iaitu ‘sangat yakin dalam matematik’, ‘yakin dalam matematik’, dan ‘tidak yakin dalam matematik’. Laporan TIMSS menyusun ranking negara berdasarkan dari peratusan ‘sangat yakin dalam matematik’ yang paling tinggi kepada yang paling rendah. Jadual 2.0 berikut menunjukkan dapatan empat buah negara terpilih termasuk Malaysia untuk komponen ‘murid yakin dalam matematik’.

Dapatan TIMSS 2019 menunjukkan bahawa murid yang ‘sangat yakin dalam matematik’ mencatatkan pencapaian yang lebih tinggi daripada murid yang ‘tidak yakin dalam matematik. Pola ini adalah sama di semua negara yang mengambil bahagian termasuk Malaysia. Dapatan ini menunjukkan ‘Keyakinan dalam Matematik’ mempunyai hubungan yang positif dengan pencapaian mereka. Walau bagaimanapun, Malaysia berada di tangga tercorot dari segi peratusan murid yang ‘sangat yakin dalam matematk’ iaitu hanya 3%. Sebanyak 64% murid Malaysia berada dalam kelompok ‘tidak yakin dalam matematik’ dan hanya memperoleh purata skor 448. Sebaliknya berlaku pada Korea Selatan dan Jepun yang masing-masing berada di tangga 36 dan 38, walaupun lebih separuh murid mereka berada dalam kelompok ‘tidak yakin dalam matematik’, purata skor mereka jauh mengatasi purata skor murid Malaysia yang berada dalam kelompok ‘yakin dalam matematik’.

Bersambung…