[Bahagian Akhir] Guru Perlu Kreatif Mentaksir Pelajar Dalam Norma Baharu

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/bahagian-2-guru-perlu-kreatif-mentaksir-pelajar-dalam-norma-baharu/

Pic Source: https://www.graduateprogram.org/2020/04/formative-vs-summative-assessment-whats-the-difference/

Pentaksiran alternatif untuk pembelajaran luar talian ialah pembelajaran menggunakan modul. Guru boleh memuat turun bahan modul pelajaran lengkap di Portal Rasmi Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) melalui laman web rasminya. Terdapat juga guru mengambil inisiatif membina sendiri modul dalam bentuk hardcopy. Modul ini mengandungi aktiviti relevan dengan topik tertentu. Pelajar disaran menggunakan pengalaman sendiri bagi menyelesaikan tugasan diberikan. Modul pembelajaran ini diedarkan kepada pelajar berdasarkan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) ditetapkan. Pentaksiran dalam modul dapat mengukur penguasaan pelajar. Pelajar perlu menyerahkan hasil tugasan untuk disemak atau ditaksir secara serahan tangan atau melalui medium Whatsapp atau Telegram. Berdasarkan KPM, pentaksiran alternatif sebagai pembelajaran dalam talian dan secara luar talian ialah pentaksiran kendiri. Pentaksiran kendiri terdiri daripada pelajar memberi ulasan hasil kerja atau prestasi mereka sendiri menggunakan helaian pentaksiran kendiri. Pentaksiran kendiri juga boleh dijalankan melalui sesama rakan sebaya yang dikenali dengan pentaksiran rakan sebaya. Pentaksiran rakan sebaya dinilai menggunakan instrumen pentaksiran rakan sebaya. Guru juga boleh meminta pelajar membina peta konsep dan pemarkahan kerja sendiri dengan merujuk kepada kriteria tertentu. Pentaksiran kendiri dan rakan sebaya boleh meningkatkan pengaturan diri pelajar (self-regulation) dan pencapaian. Pentaksiran rakan sebaya boleh menjadi antara kaedah pentaksiran alternatif berfungsi sebagai pentaksiran formatif. Pentaksiran alternatif mengenai pembelajaran secara dalam talian ialah peperiksaan atau ujian dalam talian menggunakan Google Classroom dan portfolio elektronik. Guru juga boleh menjalankan pembelajaran berasaskan projek. Terdapat tujuh panduan pelaksanaan pembelajaran berasaskan projek berasaskan Manual Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah. Pertama, guru memberi tajuk kepada pelajar. Kedua, guru membimbing pelajar untuk mengenal pasti kaedah menyiapkan projek yang diberikan. Ketiga, guru membimbing pelajar untuk mengenal pasti bahan, peralatan dan kos diperlukan. Keempat, guru menentukan jangka masa menyiapkan projek. Kelima, guru membimbing pelajar menyelesaikan projek. Keenam, pelajar membentangkan hasil projek. Ketujuh, pelajar membuat refleksi tentang proses penghasilan projek. Cadangan pentaksiran alternatif ini diharapkan menjadi pilihan kepada guru untuk menambah baik instrumen pentaksiran sedia ada dan seterusnya menambah baik keberkesanan pelaksanaan PdPR yang dijalankan semasa pandemik COVID-19. Pentaksiran berkualiti dapat menyumbang kepada pembentukan pelajar berkualiti dan berkemahiran daripada semua aspek serta meningkatkan keberkesanan PdP yang dijalankan. Bagi mencapai hasrat ini, guru dan diri pelajar perlu menjalinkan kerjasama dalam menjayakan PdPR dibuat. Pada masa sama, ibu bapa atau penjaga, pihak sekolah, Pegawai Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri dan KPM haruslah memainkan peranan masing-masing dalam membantu agar PdPR dan pentaksiran yang dijalankan semasa pandemik COVID-19 berjalan dengan lancar.

Tamat

Speak Your Mind

*