Artikel Dalam Dewan Masyarakat Edisi Oktober 2019

Saya menyahut cabaran kerajaan untuk melaksanakan Dasar Pandang Ke Timur (Look East Policy) dengan menjadikan negara-negara seperti Jepun dan Korea Selatan sebagai contoh ikutan khususnya dalam bidang pendidikan. Saya menjalani fellowship selama hampir enam bulan di Korea Selatan untuk menjalankan kajian perbandingan aspek kurikulum, pedagogi dan pentaksiran dalam pendidikan matematik menengah rendah antara kedua-dua buah negara. Hasil kajian, saya rumuskan secara santai dan saya diberikan lima muka surat untuk catatan tersebut dalam Dewan Masyarakat edisi Oktober 2019. Alhamdulillah, artikel yang lebih berbentuk ilmiah serta berasaskan data empirikal telah saya kongsikan dalam dua buah jurnal terindeks Scopus dan inshaAllah dua buah lagi artikel bakal dibentangkan di Jogjakarta pada Disember ini dan bakal diterbitkan dalam prosiding terindeks Scopus. Pada masa yang sama, saya cuba menyiapkan buku penyelidikan berkaitan kajian tersebut dan berharap dapat menyerahkan manuskrip buku ke Penerbit UTM pada awal tahun hadapan. Doakan ya.

Muka pertama artikel

 

Travelog Jinhae Dalam Dewan Siswa Oktober 2019

Jinhae, sebuah tempat yang wajib dilawati ketika musim bunga di Korea. Saya ingat lagi, saya ke sana pada hujung minggu selepas lebih sebulan saya berkelana di bumi Korea Selatan. Gigih naik bas dengan lima jam perjalanan dari Seoul. Nak tahu cerita saya tentang tempat ini, dapatkannya dalam Dewan Siswa pada bulan Oktober 2019.

Pelantikan Sebagai Timbalan Pengarah Research Management Centre (RMC) UTM

Salam semua

Bermula 1 Oktober 2019 sehingga 30 September 2022, saya akan menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Pengarah (Strategik & Universiti Penyelidikan) Research Management Centre (RMC), Universiti Teknologi Malaysia. Semoga saya dapat memikul tanggungjawab ini dengan sebaiknya, inshaAllah.

 

 

 

Senarai Jurnal Terindeks Web of Science 2019 Dalam Bidang Pendidikan

Salam semua,

Disertakan senarai jurnal terindeks Web of Science 2019 dalam bidang pendidikan secara umum

SOCIAL SCIENCES CITATION INDEX-EDUCATION

Berikut pula pautan untuk senarai jurnal terindeks Web of Science 2019 untuk bidang pendidikan khas

SOCIAL SCIENCES CITATION INDEX- SPECIAL EDUCATION

Penyampai Kuliah Tamu di Universitas Negeri Malang, Indonesia

Pada 22  hingga 25 September 2019 yang lalu, saya telah dijemput untuk menyampaikan kuliah tamu di Fakultas Matematika dan Ilmu Pengetahuan Alam (FMIPA), Universitas Negeri Malang (UM), Indonesia. Ini merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki di Surabaya dan Malang. Saya bersama seorang lagi pensyarah dari Sekolah Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Norasykin Mohd Zaid telah berlepas ke Surabaya dari Johor Bahru. Mujur ada penerbangan terus dari Johor Bahru ke Surabaya. Jadi saya tidak perlu transit di Kuala Lumpur terlebih dahulu sebelum ke Surabaya. Penerbangan mengambil masa selama dua jam setengah. Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, kami dijemput oleh dosen (pensyarah) iaitu Pak Syaiful, Pak Hendro dan Pak Edi. Perjalanan dari Surabaya ke Malang mengambil masa lebih kurang satu jam setengah dengan jarak kira-kira sejauh 100km. Kota Malang juga mempunyai lapangan terbang yang kecil dengan bilangan penerbangan yang sangat terhad iaitu hanya dua kali penerbangan dari Jakarta. Jadi cara yang paling mudah ialah turun di Surabaya dan menaiki pengangkutan darat untuk ke Malang. Tambahan pula lebuhraya yang baru disiapkan oleh pemerintah Indonesia memudahkan dan melancarkan lagi perjalanan. Sebelum dihantar ke hotel, saya dijamu makan malam di salah sebuah restoran ikan bakar di kota Malang. Hari kedua saya di Universitas Negeri Malang dimulakan dengan pertemuan bersama bapak dekan Fakultas Matematika dan Ilmu Pengetahuan Alam (FMIPA). Hampir setengah jam bersama bapak dekan, saya mengadakan pertemuan bersama ketua jabatan pendidikan matematik UM. Saya kemudiannya bertemu dengan kumpulan penyelidikan geran kolaborasi antara UTM yang diwakili oleh saya dan UM. Hampir satu jam perbincangan, saya ke dewan kuliah untuk mengikuti kuliah tamu yang disampaikan oleh Dr. Norasykin yang bertajuk trend dalam penyelidikan matematik dalam bidang ICT. Kuliah tamu beliau mengambil masa selama kira-kira dua jam. Setelah berakhirnya kuliah tamu Dr. Norasykin, kami dijamu dengan makanan di dalam kotak yang bagi saya merupakan satu pengalaman yang sangat unik dan menarik. Usai solat, saya bersama Dr. Norasykin dibawa berjalan-jalan di Kampung Warna-Warni yang terletak di tengah-tengah kota Malang. Saya sangat teruja melihat keindahan dan keunikan kampung tersebut. Saya juga berasa kagum melihat penduduk tempatan tinggal di dalam rumah-rumah kecil dan melihatkan kesemuanya dinding rumah tersebut dicat dengan warna yang pelbagai. Hampir satu jam meluangkan masa di Kampung Warna-Warni, saya pulang ke hotel untuk menyiapkan slaid pembentangan kuliah tamu saya. Hari ketiga merupakan hari untuk saya menyampaikan kuliah tamu. Pada sebelah pagi, saya sekali lagi terlibat dalam focus group dalam penyelidikan yang bertajuk “Keterampilan High Order Thinking Matematika Siswa Kelas VII di Malang Berdasarkan Varian Sekolah” selama hampir satu jam. Pada sebelah petang, saya menyampaikan kuliah tamu untuk dua topik yang diberikan yang bertajuk “Seputar Higher Order Thinking Skills” dan “Penulisan Artikel Dalam Jurnal Terindeks”. Saya menyampaikan kuliah tamu selama hampir tiga jam di samping membuka sesi soal jawab bersama para dosen dan mahasiswa. Walaupun agak penat bercakap dan berdiri di hadapan dewan kuliah yang besar selama hampir tiga jam, namun saya berasa seronok dapat berkongsi pengetahuan dan pengalaman yang saya miliki. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Prof. Dr. Chollis, Pak Hendro, Pak Syaiful, Pak Edi, Heri (pelajar Phd) dan seluruh warga FMIPA Universitas Negeri Malang yang telah memberikan kerjasama dan sokongan kepada saya dan Dr. Norasykin sepanjang kami berada di Kota Malang.

Jalan-jalan ke Kota Malang,
Malam harinya melihat bulan,
Kenangan manis akan ku kenang,
Ketemu lagi di masa hadapan.

Sekitar Kuliah Tamu dan Focus Group Penyelidikan

Saya di Kampung Warna-Warni

Terpilih Dalam Program UTMSHINE “Batch 5”

Alhamdulillah, saya telah terpilih dalam program UTMSHINE Batch 5 yang menawarkan geran penyelidikan berjumlah RM40,000.00. Terima kasih ya Allah.

Kedudukan Institusi Pendidikan Tinggi di Malaysia Dalam World University Rankings 2020-Times Higher Education (THE)

Kedudukan institusi-institusi pendidikan tinggi di Malaysia berdasarkan kepada World University Rankings 2020-Times Higher Education (THE). Untuk kedudukan (3) hingga (8), (9) dan (10) serta (11) hingga (13), ianya disusun berdasarkan susunan abjad (alphabetical order). Untuk kedudukan-kedudukan tersebut, ia tidak bermakna universiti A lebih baik dari universiti B disebabkan universiti A berada di atas universiti B. Ia disebabkan universiti A diletakkan di atas universiti B berdasarkan susunan abjad. Dalam ranking 2020 ini menyaksikan kemasukan dua lagi universiti di Malaysia menjadikan keseluruhan 13 universiti berbanding hanya 11 universiti berada dalam ranking THE 2019. Dua universiti berkenaan ialah Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) dan Multimedia University (MMU). Maklumat lanjut, bolehlah layari pautan berikut https://www.timeshighereducation.com/world-university-rankings/2020/world-ranking#!/page/0/length/25/sort_by/rank/sort_order/asc/cols/stats

Sumber: Jabatan Pendidikan Tinggi & Times Higher Education (THE)

Tips Panduan Melancong ke Luar Negara

Saya ambil artikel ini dan ubah suai daripada akhbar Berita Harian bertarikh 6 September 2019 m/s:60. Berikut merupakan tips panduan melancong ke luar negara.

Sumber gambar: https://seda.college/essential-accessory-baggage/viajes/
  1. Pastikan anda membawa pasport yang merupakan dokumen paling penting yang wajib anda ada. Ia ibarat “nyawa” anda sekiranya berada di luar negara. Pastikan juga pasport anda masih berada pada tempoh yang sah dan sah enam bulan dari takikh perjalanan ke luar negara anda.
  2. Pastikan anda menyediakan wang mencukupi sepanjang tempoh pengembaraan anda di luar negara. Saya masih ingat lagi ketika saya ke Kazakhstan pada tahun 2017 yang mana tiada pengurup wang (money changer) di Malaysia yang menyediakan pertukaran wang duit Malaysia ke matawang Kazakhstan. Jadi, saya tukarkan RM ke USD di Malaysia terlebih dahulu, sebelum menukarkannya ke Kazakhstani tenge semasa berada di Kazakhstan. Wang yang disediakan akan digunakan untuk penginapan, pengangkutan, makan minum, tiket tempat lawatan, pembelian cenderahati dan sebagainya. Pastikan juga anda aktifkan penggunaan kad ATM mahupun kad kredit untuk penggunaan antarabangsa sebagai backup sekiranya wang tidak mencukupi semasa anda berada di luar negara.
  3. Sebaik-baiknya anda menempah tiket penerbangan seawal enam atau sembilan bulan sebelum bertolak ke mana-mana destinasi luar negara pilihan anda. Ini kerana, semakin awal anda menempah, semakin murah harga tiket kapal terbang.
  4. Sebelum ke luar negara, anda perlu maklum bahawa terdapat sesetengah negara yang memerlukan anda memiliki visa untuk masuk atau melancong ke sesebuah negara tertentu. Contohnya, China, India dan Australia. Untuk mengetahui negara mana yang memerlukan visa untuk rakyat Malaysia, anda boleh layari laman web berikut https://en.wikipedia.org/wiki/Visa_requirements_for_Malaysian_citizens
  5. Bagi tujuan keselamatan dan langkah berjaga-jaga, anda perlu menyimpan duit kecemasan di tempat yang tersorok di dalam bagasi yang mana duit tersebut boleh kita gunakan ketika anda ditimpa masalah dan sebagainya. Dengan berbuat demikian, sekurang-kurangnya anda masih ada duit simpanan untuk digunakan bagi mendapatkan bantuan dan perdi membuat laporan di balai polis. Berdasarkan pengalaman saya, saya juga simpan nombor telefon pejabat kedutaan Malaysia di negara-negara yang bakal saya kunjungi. Ia penting sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.
  6. Anda dinasihatkan untuk membuat sedikit “homework” mengenai negara atau bandar yang bakal anda kunjungi. Hal ini penting bagi anda membuat persiapan dan persediaan yang sewajarnya sebelum bertolak. Contohnya, harga tiket ke tempat-tempat menarik yang anda ingin kunjungi, stesen-stesen subway atau tram yang anda perlu turun, dan sebagainya. Jadi anda boleh merancang perbelanjaan dan perjalanan anda di sana. Begitu juga dengan hal keselamatan. Saya pernah ke Madrid, Spain yang mana saya dimaklumkan terdapat ramai pickpocket di sana. Jadi sebagai langkah berjaga-jaga, saya menyimpan duit dan pasport di tempat yang selamat semasa berada di sana.
  7. Internet sangat penting semasa berada di luar negara. Dengan internet, anda boleh sampai ke sesuatu destinasi menggunakan aplikasi yang ada. Jadi buatlah sedikit “homework” mengenai pelan internet yang murah tetapi mempunyai liputan yang meluas di destinasi percutian yang ingin ditujui. Saya masih ingat lagi ketika mengunjungi Seoul dan Busan pada tahun 2016 yang mana saya menempah portable wifi semasa berada di Malaysia. Saya perlu mengambilnya di lapangan terbang antarabangsa Incheon. Untuk memulangkannya, saya perlu memasukkannya ke dalam sampul surat dan meminta receptionist hotel mengeposkannya. Sangat efisien dan mudah.
  8. Saya sememangnya seorang yang sangat well-planned. Jadi nasihat saya, simpan segala dokumen dalam satu fail seperti itinerary penerbangan, peta lokasi dan sebagainya. Hal ini penting untuk melancarkan perjalanan anda sebelum berlepas dan sepanjang berada di luar negara.
  9. Anda juga perlu ketahui perbezaan waktu antara Malaysia dengan negara yang bakal anda lawati. Contohnya, waktu di Seoul adalah 1 jam lebih awal dari Malaysia, manakala waktu di Dubai ialah lewat 5 jam dari Malaysia.
  10. Anda juga dinasihatkan untuk menyemak muatan bagasi yang dibenarkan sewaktu pergi dan balik dari sesebuah negara. Contohnya, semasa saya terbang ke Seoul menggunakan Malaysia Airlines (MAS), saya diberikan muatan bagasi sebanyak 30kg. Jadi awal-awal lagi saya menimbang bagasi saya di rumah sebelum ke lapangan terbang untuk memastikan bagasi saya tidak melebihi muatan yang diberikan. Sekiranya anda tidak menyemak, dikhuatiri berat bagasi anda melebihi muatan yang diberikan dan anda akan dicaj untuk setiap lebihan berat bagasi. Selain itu, anda juga perlu peka tentang barangan yang tidak boleh dibawa masuk ke dalam pesawat untuk penerbangan antarabangsa. Ini kerana terdapat barangan yang boleh dibawa masuk ke dalam pesawat untuk penerbangan domestik tetapi tidak untuk penerbangan antarabangsa.

[Bahagian Akhir] Catatan di Gwangju: Bandaraya di Barat Daya Korea Selatan Dengan Keunikan Tersendiri

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/bahagian-2-catatan-di-gwangju-bandaraya-di-barat-daya-korea-selatan-dengan-keunikan-tersendiri/

Pada hujung minggu ketiga saya di Gwangju, saya mengambil keputusan untuk berkunjung ke Stadium Piala Dunia 2002 dan Culture and Art Center. Kedudukan stadium ini agak jauh dari pusat bandar dan saya menaiki bas henti-henti untuk ke sana. Stadium Piala Dunia Gwangju merupakan salah satu simbol utama bandaraya Gwangju. Apabila diterangi dengan lampu limpah, stadium itu kelihatan seperti kubah bercahaya. Siling dan tiang berbentuk ‘Y’ besar membentuk perkataan ‘Go’, iaitu alat yang digunakan dalam permainan tradisional dari Gwangju, Gossaumnori. Dari aspek binaannya, tempat duduk penonton direkabentuk berdasarkan permainan tradisional rakyat Korea yang dikenali sebagai “kossaum nori”, manakala bumbung melengkung menggambarkan Gunung Mudeung yang sangat terkenal di Gwangju. Stadium yang dibuka secara rasmi pada 13 November 2001 ini boleh memuatkan lebih kurang 40,000 penonton pada satu-satu masa. Stadium ini juga dikenali sebagai ‘Stadium Guus Hiddink’ dalam kalangan masyarakat setempat. Stadium itu dinamakan ‘Stadium Guus Hiddink’ sebagai menghormati jurulatih yang bernama Guus Hiddink yang merupakan jurulatih lagenda bagi pasukan bola sepak kebangsaan Korea selatan. Ini kerana pada Piala Dunia 2002, Guus Hiddink membantu pasukan Korea Selatan menewaskan Sepanyol pada peringkat suku akhir sekaligus mara ke peringkat separuh akhir untuk kali pertama dalam sejarah penglibatan Korea Selatan dalam Piala Dunia. Perlawanan tersebut diadakan di Stadium Piala Dunia Gwangju. Selain itu, semasa Piala Dunia 2002, stadium ini juga menjadi stadium untuk perlawanan-perlawanan yang melibatkan negara China, Costa Rica, Korea, Slovenia dan Sepanyol. Stadium ini juga merupakan stadium rasmi pasukan Gwangju FC dari Liga Bola Sepak Profesional Korea (Liga K). Destinasi terakhir saya pada hujung minggu ketiga ialah Gwangju Culture & Art Centre. Ia merupakan pusat di mana terletaknya bahan pameran dan persembahan yang mewakili dari zaman purba hingga era moden. Pusat ini merupakan kompleks persembahan seni, termasuklah opera, balet, tarian moden, teater dan opera tradisional Korea.

Pengalaman tiga hujung minggu berturut-turut di kota Gwangju menjadikan saya lebih memahami sedikit sebanyak tempat-tempat menarik di Gwangju di samping lebih mengenali masyarakat setempat di kota tersebut.

Tamat

Stadium Piala Dunia Gwangju
Saya di Stadium Piala Dunia Gwangju

Senarai Jurnal Terindeks ERA 2018

Salam semua,

Disertakan senarai jurnal terindeks ERA 2018 melalui pautan berikut:

ERA 2018 Journal List