Keseronokan Dalam Menyiapkan Tugasan Berkumpulan

Source:https://webstockreview.net/explore/group-clipart-group-assignment/

Menyiapkan tugasan secara berkumpulan adalah senario biasa dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi atau sekolah. Berbanding secara individu, ia lebih menyeronokkan. Walau bagaimanapun, semua itu hanya boleh diperoleh jika ahli kumpulan memberi kerjasama yang baik. Kebiasaannya, masalah berlaku apabila setiap ahli tidak membuat kerja setimpal. Misalnya, si A dan B bersungguh-sungguh menyiapkan tugasan sedangkan B dan C cuma duduk rehat sahaja. Tentu ia tidak adil. Tip berikut boleh anda amalkan dalam kerja berkumpulan supaya ahli kumpulan sentiasa bersemangat dan bersungguh-sungguh menyiapkan tugasan yang diberikan:

  1. Pilih Ketua

Lantik seorang ketua yang memiliki ciri kepimpinan, tegas dan disegani. Sekurang-kurangnya ini akan membuatkan ahli lain lebih bersungguh-sungguh menyiapkan tugasan tepat pada waktu yang diberikan.

  1. Fahami Tugasan

Pastikan semua ahli kumpulan memahami tugasan yang diberikan. Dengan penjelasan dan pemahaman menyeluruh, masing-masing mudah melaksanakan kerja yang perlu dibereskan.

  1. Tegas

Ketua yang dilantik perlu tegas. Dia perlu memastikan setiap ahli menyiapkan bahagian masing-masing mengikut jadual ditetapkan. Jika ada ahli yang malas atau tidak memberi komitmen, dia mungkin boleh didenda, tetapi bukan denda yang berat atau membebankan. Cuma sekadar belanja makan atau membuat air minuman.

  1. Pilih Lokasi Sesuai

Lokasi turut memainkan peranan penting dalam memastikan tugasan berjalan dengan lancar. Elakkan berjumpa di pusat membeli-belah atau restoran makanan segera kerana ia mungkin boleh membuatkan anda ‘melencong’ ke tempat lain. Mungkin rumah salah seorang daripada ahli lebih sesuai.

  1. Santai

Jika boleh, jangan terlalu tegas ketika menyiapkan tugasan kerana ia boleh mendatangkan tekanan. Wujudkan suasana lebih mesra dan berehat jika berasa bosan. Sekali-sekala bersembang (bukan membawang..hehehe) dan membuat jenaka mungkin boleh menghilangkan bosan.

  1. Saling Menghargai

Kebiasaannya, kerja yang dilaksanakan secara berkumpulan bukan satu tugasan mudah. Sehubungan itu, kerjasama setiap ahli kumpulan sangat diperlukan. Masing-masing perlu menghargai dan menghormati komitmen dan kerjasama yang diberikan setiap ahli kumpulan.

Sumber: Berita Harian, 25 Disember 2019

 

Maklumat Mengenai Virus Influenza

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

Sumber: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)

Pencapaian Matematik Malaysia Dalam Pentaksiran PISA 2018

Salam semua,

Program Penilaian Pelajar Antarabangsa atau singkatannya iaitu PISA adalah merupakan salah satu program pentaksiran kajian perbandingan antarabangsa yang telah dianjurkan oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD). Kajian pentaksiran antarabangsa ini dijalankan adalah untuk mengukur tahap pencapaian dan kemampuan murid yang berumur 15 tahun dalam bidang Literasi Bacaan, Literasi Sains, dan juga Literasi Matematik untuk melihat sejauh mana murid dapat mengaplikasi pengetahuan dan kemahiran yang telah perolehi sepanjang 9 tahun mempelarinya di sekolah dalam kehidupan yang sebenar serta bersedia untuk menjadi ahli masyarakat yang berjaya. Selain itu juga, objektif PISA bukan sahaja bertujuan untuk mengukur prestasi dan keberkesanan pendidikan sedia ada tetapi ianya juga merupakan salah satu platform untuk menambahbaik dan meningkatkan sistem pendidikan dari masa ke masa. Dengan adanya program ini, ianya dapat memberi informasi tentang kekuatan dan kelemahan sistem pendidikan bagi setiap negara yang terlibat khususnya dalam pendidikan di Malaysia agar dapat melahirkan murid yang mampu berdaya saing serta berani dalam menempuhi cabaran realiti kehidupan.

Berikut merupakan skor matematik PISA murid Malaysia berbanding negara-negara Asia Tenggara yang lain.

Negara

PISA

2009

PISA

2012

PISA

2015

PISA

2018

Singapura

562 573 564

569

Malaysia

404 421 446

440

Thailand

419 427 415

419

Indonesia

371 375 386

379

Vietnam

511 495

Brunei Darussalam

430

Filipina

353

https://www.oecd.org/pisa/publications/pisa-2018-results.htm

[Bahagian Akhir] Menikmati Keindahan Musim Bunga di Jinhae, Korea Selatan

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/bahagian-2-menikmati-keindahan-musim-bunga-di-jinhae-korea-selatan/

Street food (makanan jalanan) juga boleh didapati di sepanjang laluan tersebut. Malah penulis berkesempatan mengisi perut dengan membeli kebab dan aiskrim yang turut dijual di situ. Tandas juga disediakan sebagai salah satu kemudahan dan memberi keselesaan kepada para pengunjung. Destinasi kedua lawatan ini ialah Stesen Gyeonghwa. Stesen Gyeonghwa, tempat yang terkenal untuk pemandangan rimbunan bunga ceri, adalah sebuah stesen keretapi kecil di Gyeonghwa-dong, Jinhae-gu. Perkhidmatan kereta api masuk dan keluar dari stesen ini telah dihentikan pada tahun 2006. Penulis berjalan melalui trek yang dikelilingi oleh deretan pokok bunga ceri yang menakjubkan. Stesen Gyeonghwa adalah salah satu daripada tempat tumpuan di Jinhae untuk mengambil gambar bunga ceri. Penulis difahamkan kawasan ini sering dipaparkan dalam filem dan drama Korea seperti filem “Boy Goes to Heaven” pada tahun 2005  dan drama “Spring Waltz” pada tahun 2006. Terdapat sebuah gerabak keretapi yang tidak beroperasi lagi di landasan keretapi menambahkan lagi keunikan dan keindahan stesen keretapi yang dipagari oleh pohon bunga ceri. Penulis turut difahamkan bahawa Stesen Gyeonghwa telah disenaraikan oleh Cable News Network (CNN) sebagai salah satu daripada 50 tempat yang indah untuk dilawati di Korea. Hampir satu jam menikmati keindahan kawasan berkenaan, penulis bersama peserta-peserta kemudian menaiki bas untuk pulang semula ke Seoul dengan membawa kenangan terindah musim bunga di Jinhae.

Saya di kawasan Sungai Yeojwacheon

 

Ribuan pengunjung membanjiri Stesen Gyeonghwa

 

Gerabak keretapi yang tidak beroperasi menambahkan lagi keindahan pemandangan di Ribuan pengunjung membanjiri Stesen Gyeonghwa

Tamat

 

 

 

Happy New Year 2020

Happy new year 2020 everyone..

Source: HEK UTM

 

Good Luck to All UTM Students for Your Final Exam

Good luck and all the best to all UTM undergraduate and postgraduate students for your final examinations this semester.

Pic credit: HEK UTM

Pic credit: HEK UTM

TOP 10 Kenangan Manis Sebagai Ahli Akademik Sepanjang Tahun 2019

Tahun 2019 kini tiba di penghujungnya. Tahun ini boleh saya katakan antara tahun yang mencatatkan banyak kenangan manis terhadap diri saya sebagai ahli akademik. Saya coretkan Top 10 kenangan manis saya untuk tahun 2019 sebagai motivasi kepada diri saya untuk lebih cemerlang lagi pada tahun-tahun akan datang. Di kedudukan ke-10, saya memenangi tiga anugerah di peringkat Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH) UTM pada 1 Julai 2019 bertempat di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru. Anugerah-anugerah tersebut ialah Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Anugerah Webometrik dan Anugerah Penerbitan. Pada 17 Julai 2019 pula, saya memenangi Anugerah Webometrik kategori individu peringkat universiti. Untuk anugerah tersebut, saya membawa pulang sijil dan wang tunai berjumlah RM500. Walau bagaimanapun, untuk kedua-dua sesi anugerah tersebut, saya tidak dapat ikut serta kerana masih berada di Korea Selatan bagi menjalani fellowship selama enam bulan. Semasa majlis Citra Karisma (Hari Anugerah Kecemerlangan Staf UTM), saya menontonnya melalui Facebook UTM secara live. Hanya tuhan sahaja yang tahu betapa gembiranya saya apabila nama saya disebut sebagai pemenang Anugerah Webometrik kategori individu. Terasa seperti nak guna pintu Doraemon untuk naik ke pentas ketika itu. Di kedudukan ke-9, saya bersama dua lagi rakan mewakili Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH) UTM terpilih dalam program UTMSHINE “Batch 5”. Program ini merupakan salah satu inisiatif yang diwujudkan oleh Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UTM untuk menggalakkan penyelidik muda di UTM menjalankan penyelidikan impak yang tinggi dan menghasilkan output penyelidikan yang berkualiti tinggi. Anugerah ini adalah dalam bentuk geran penyelidikan dalam jumlah tertentu diberikan kepada sekelompok penyelidik muda terpilih (kurang dari 40 tahun). Melalui program ini, inshaAllah saya akan diberikan geran penyelidikan berjumlah RM40,000 untuk menjalankan penyelidikan berimpak tinggi. Selain itu, rezeki saya dalam bidang penyelidikan untuk tahun 2019 ini juga murah apabila proposal penyelidikan Tier 2 telah diluluskan dengan jumlah geran sebanyak RM15,000. Walaupun nilainya tidaklah besar, namun jumlah ini sedikit sebanyak membantu saya menjalankan penyelidikan, penulisan dan penerbitan. Di kedudukan ke-8, sebanyak dua artikel saya diterbitkan dalam suratkhabar Berita Harian, dan lima lagi artikel dalam Dewan Masyarakat, Dewan Siswa dan majalah Backpackerz. Artikel-artikel ini berbentuk akademik dan catatan pengembaraan. Sehingga kini, lebih 70 artikel saya diterbitkan dalam suratkhabar arus perdana, dan hampir 30 artikel diterbitkan dalam majalah akademik. Di kedudukan ke-7, sepanjang tahun 2019 ini, dalam masa tiga bulan, saya telah terbang ke tiga destinasi berbeza di Indonesia iaitu sebagai invited speaker di Malang dan Padang, dan sebagai pembentang kertas kerja persidangan di Jogjakarta. Di Jogjakarta, saya membentangkan sebuah kertas kerja bertajuk “Mirror-mirror on the Wall, Which Teachers Use Educational Technology in Mathematics Classroom- Malaysians or South Koreans?” yang berjaya menarik perhatian peserta persidangan. Di kedudukan ke-6, saya berjaya menerbitkan sebanyak 25 artikel dalam jurnal/ prosiding berindeks Scopus/ Web of Science sepanjang tahun 2019 ini. Peranan saya dalam menghasilkan artikel-artikel ini termasuklah sebagai penulis utama dan penulis bersama. Antara kenangan yang tidak dapat dilupakan ialah terbitnya artikel saya dalam South African Journal of Education (IF:0.693, Web of Science) yang mana banyak cabaran sepanjang proses penerbitannya. Saya rasa hampir dua tahun proses mengubahsuai kandungan, menambahbaik kandungan dan sebagainya dilakukan sebelum ianya diterbitkan pada tahun 2019 ini. Selain itu, banyak kolaborasi dalam artikel yang diterbitkan. Antaranya termasuklah penulisan bersama host professor saya di Korea Selatan, rakan dosen (pensyarah) di Indonesia dan pelajar Phd saya dari Nigeria. Di kedudukan ke-5, Alhamdulillah, tahun 2019 mencatatkan kenangan yang amat bermakna buat saya apabila dua buah buku saya diterbitkan secara serentak oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Bukan mudah sebenarnya untuk menerbitkan sesebuah buku. Banyak proses dan prosedur yang yang perlu dilalui. Paling cepat masa yang diambil untuk menerbitkan sesebuah buku ialah dua tahun. Berdasarkan pengalaman saya pula, untuk menerbitkan kedua-dua buah buku ini mengambil masa lebih kurang hampir tiga tahun. Kata orang, penantian itu suatu penyeksaan. Tetapi jika yang kita tunggu itu sesuatu yang sungguh berbaloi, pasti kesabaran itu akan menjelmakan sesuatu yang manis dan indah. Alhamdulillah. Tambah manis lagi, salah sebuah buku tersebut dicalonkan dalam Anugerah Buku Negara oleh DBP, namun masih belum ada rezeki. Di kedudukan ke-4, tahun 2019 juga menyaksikan kejayaan tiga orang pelajar Phd saya lulus dalam viva-voce mereka. Tambah bermakna lagi, apabila saya merupakan penyelia utama untuk ketiga-tiga pelajar tersebut. Ini menjadikan jumlah pelajar Phd di bawah penyeliaan saya (sama ada sebagai penyelia utama atau penyelia bersama) yang telah lulus dan bergraduasi seramai lapan orang. Seramai enam orang pelajar sarjana saya juga telah bergraduasi pada tahun ini menjadikan jumlah pelajar sarjana di bawah penyeliaan saya sehingga Disember 2019 ialah seramai 45 orang. What a number, kan?Alhamdulillah, seronok apabila dapat berkongsi ilmu dan dalam masa yang sama, kita dapat belajar sesuatu daripada mereka juga. Di kedudukan ke-3, saya dilantik sebagai Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) Universiti Teknologi Malaysia untuk portfolio strategik dan universiti penyelidikan. Saya bertanggungjawab dalam memastikan status universiti penyelidikan kekal milik UTM melalui audit MyRA 1 dan MyRA 2. Apabila dihubungi oleh pengarah RMC melalui whatsapp, tanpa berfikir panjang saya terus bersetuju. Ini kerana saya mempunyai pengalaman sebagai pentadbir di peringkat fakulti sebagai pengurus penyelidikan yang berperanan mengkoordinasi perkara-perkara berkaitan penyelidikan, penulisan dan penerbitan selama hampir tiga tahun. Alhamdulillah, hasil usaha dan kerja keras kami satu fakulti, akhirnya subjek pendidikan di UTM kini berada di kedudukan nombor satu terbaik di Malaysia dan kedua terbaik di Asia Tenggara selepas Nanyang Technological University, Singapura berdasarkan The 2020 Times Higher Education World University Rankings. Saya akan memegang jawatan ini selama tiga tahun dan inshaAllah saya akan lakukan yang terbaik, sebagaimana motto UTM, Kerana Tuhan Untuk Manusia. Di kedudukan ke-2, saya menjalani International Scholar Exchange Fellowship 2018-2019 selama enam bulan di Chonnam National University (CNU) di Gwangju. Ia merupakan program yang ditawarkan oleh Korea Foundation for Advanced Studies (KFAS).Banyak pengalaman yang saya perolehi sepanjang saya menjalani fellowship berkenaan. Alhamdulillah, sehingga artikel ini ditulis, sebanyak empat artikel jurnal/prosiding terindeks Scopus telah berjaya diterbitkan dan saya dalam proses akhir menghasilkan sebuah manuskrip buku tentang perbandingan pendidikan matematik di sekolah menengah antara Malaysia dan Korea Selatan. Di kedudukan pertama ialah, tahun 2019 ini merupakan tahun paling bermakna buat saya sebagai ahli akademik apabila saya dinaikkan pangkat ke gred DS54 iaitu posisi Professor Madya. Alhamdulillah, saya dinaikkan pangkat semasa bulan Ramadhan yang lalu. Saya amat bersyukur kehadrat Illahi atas nikmat yang diberikan dan saya dedikasikan ia kepada emak dan ayah tersayang serta keluarga yang banyak mendoakan kejayaan saya. Sekian, coretan saya setakat ini.

[Bahagian 2] Menikmati Keindahan Musim Bunga di Jinhae, Korea Selatan

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/bahagian-1-menikmati-keindahan-musim-bunga-di-jinhae-korea-selatan/

Changwon pula merupakan ibu kota Gyeongsangnam-do, yang terletak di bahagian tenggara Korea Selatan. Changwon adalah bandar ke-9 terpadat di Korea Selatan dengan populasi 1.07 juta penduduk. Penulis tiba di Jinhae dalam pukul 11 pagi. Taklimat diberikan oleh pemandu pelancong mengenai tempat pertemuan serta kawasan yang boleh dilawati. Penulis serta peserta-peserta lawatan yang lain diberi masa selama dua jam untuk destinasi pertama iaitu Sungai Yeojwacheon yang kiri dan kanannya dipenuhi dengan rimbunan pohon ceri. Bunga ceri adalah bunga dari beberapa pokok genus Prunus, manakala ceri Jepun, dari pohon Prunus serrulata, dipanggil sakura di Jepun. Di bahagian tertentu sungai berkenaan yang airnya cetek disediakan jambatan khas untuk pelancong mengambil gambar. Ribuan manusia membanjiri kawasan tersebut kerana festival ini bukanlah berlangsung sepanjang musim. Pohon-pohon ceri hanya mekar pada penghujung bulan Mac sehingga awal April sahaja. Jadi, ribuan pelancong tidak mahu melepaskan peluang untuk menikmati keindahan musim bunga di Jinhae. Sungai Yeojwacheon adalah di mana terletaknya Romance Bridge iaitu jambatan yang terkenal dalam drama Korea yang bertajuk “Romance”. Di sinilah lokasi di mana adegan paling ikonik dari siri itu difilemkan. Jadi tidak hairanlah ramai orang terutamanya pasangan kekasih berpusu-pusu untuk mengambil gambar di jambatan tersebut. Penulis meluangkan masa hampir satu jam setengah menyelusuri laluan di sepanjang sungai yang panjangnya lebih kurang 800 meter tersebut.

Bersambung…

Sungai Yeojwacheon dipagari dengan pohon bunga ceri yang mekar

Pohon ceri yang mekar di kiri dan kanan Sungai Yeojwacheon

Pohon ceri yang mekar di kiri dan kanan Sungai Yeojwacheon


[Bahagian 1] Menikmati Keindahan Musim Bunga di Jinhae, Korea Selatan

Saya bangun seawal jam 5 pagi untuk mandi, solat subuh dan mempersiapkan diri untuk menunggu bas yang bakal mengambil peserta untuk dibawa ke Jinhae Gunhangje Festival pada jam 6 pagi di stesen subway Myeongdong di Seoul, Korea Selatan. Perjalanan bakal mengambil masa selama lima jam menaiki bas dari ibu kota Korea Selatan, Seoul ke Jinhae. Terdapat dua cara untuk sampai ke Jinhae dari Seoul iaitu pertama dengan menaiki kereta api KTX yang mengambil masa lebih kurang tiga jam setengah. Walau bagaimanapun, tiada keretapi dari Seoul terus ke Jinhae. Sebaliknya, pengunjung perlu menaiki kereta api Mugungwha di stesen Masan untuk sampai di Jinhae. Disebabkan kesulitan tersebut, saya mengambil keputusan untuk menggunakan agen pelancongan yang diperolehi melalui laman web. Saya membuat tempahan untuk menyertai festival tersebut sejak dari Malaysia lagi. Saya dimaklumkan bahawa festival ini merupakan antara festival yang menarik untuk dikunjungi semasa musim bunga di Korea Selatan. Festival Jinhae Gunhangje adalah perayaan musim bunga terbesar Korea, yang menarik sekurang-kurangnya dua juta pengunjung setiap tahun. Jadi alang-alang saya sedang mengikuti fellowship selama enam bulan di Korea Selatan, pasti peluang keemasan ini tidak akan dilepaskan begitu sahaja. Bukan setakat saya dari Malaysia sahaja yang menyertai rombongan ini, malah ramai juga peserta dari Indonesia, Filipina, Thailand, Sri Lanka, Poland, malah rakyat Korea Selatan sendiri. Bayaran yang dikenakan merangkumi tambang bas pergi dan balik serta minum pagi. Perjalanan menggunakan Expressway di Korea Selatan sangat lancar dan sepanjang perjalanan, para peserta diberikan kesempatan untuk ke tandas di kawasan rehat dan rawat sebanyak dua kali. Disebabkan perjalanan bermula pada awal pagi, saya meluangkan sebahagian masa untuk melelapkan mata memandangkan saya sampai di Seoul dari Gwangju sehari sebelum itu.  Jinhae adalah sebuah daerah di Changwon City, Korea Selatan. Daerah ini dihubungkan oleh Keretapi Korea, dan terkenal dengan perayaan bunga ceri tahunannya setiap kali musim bunga.

Para pengunjung mengerumuni kawasan Sungai Yeojwacheon

Bersambung…

 

Tahniah Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia

Tahniah diucapkan kepada institusi-institusi pendidikan tinggi di Malaysia berikutan pengumuman World University Rankings Asia 2020. Dalam senarai yang dikeluarkan oleh QS tersebut, sebanyak 29 buah institusi pendidikan tinggi di Malaysia berada dalam senarai tersebut berbanding 26 dalam edisi 2019. Tiga universiti yang baru disenaraikan ialah SEGI University, Universiti Teknikal Malaysia Melaka dan Universiti Sains Islam Malaysia. Universiti Malaya terus mengukuhkan kedudukan sebagai universiti terbaik di Malaysia dan berada di kedudukan ke-13 terbaik di Malaysia. Universiti-universiti lain yang berada di kedudukan 100 terbaik di Malaysia termasuklah Universiti Putra Malaysia (33), Universiti Sains Malaysia (37), Universiti Kebangsaan Malaysia (39), Universiti Teknologi Malaysia (46) dan Universiti Teknologi Petronas (82). Syabas buat institusi pendidikan tingi Malaysia.

Senarai institusi pendidikan tinggi di Malaysia dalam QS World University Rankings 2020

Top 6 universiti di Malaysia