Masalah mencederakan diri ini boleh berlaku pada pelbagai peringkat usia, tetapi paling kerap berlaku dalam kalangan remaja dan dewasa awal. Wanita lebih berkemungkinan besar untuk mencederakan diri sendiri berbanding lelaki.
Kajian menunjukkan mereka yang mengalami kemurungan, kecelaruan pemakanan, penyalahgunaan bahan serta penderaan seksual, fizikal dan emosi lebih berkecenderungan untuk mencederakan diri sendiri. Tujuannya termasuklah sebagai daya tindak terhadap perasaan takut, stres, bimbang atau untuk mewujudkan perasaan lega dan positif. Individu ini sama ada cuba atau tidak menyorokkan kecederaan mereka. Bagi tujuan ini, mereka kadang kala berpakaian secara yang tidak sesuai dengan keadaan cuaca atau keadaan semasa. Tanda-tanda lain termasuklah ketidakupayaan mengawal emosi, menghindari dari menjalin hubungan, bermasalah dalam hubungan, mempunyai isu di tempat kerja, rumah atau sekolah dan tahap penghargaan diri yang rendah.
Perbuatan mencederakan diri ini bukanlah untuk membunuh diri tetapi sekiranya punca sebenar perbuatan mencederakan diri ini berterusan, ini boleh membawa kepada tindakan membunuh diri. Oleh sebab itu, ahli keluarga, rakan-rakan serta sebagai warga UTM perlu mengenal pasti tanda-tanda yang wujud dan membantu individu ini mendapatkan bantuan. Individu yang mengalami keadaan ini memerlukan sokongan tanpa dinilai secara negatif.
Sekiranya anda mengesyaki terdapat tanda-tanda sedemikian pada mana-mana individu terutama orang yang tersayang, dapatkan bantuan untuk mereka seberapa segera agar tindakan mencederakan diri ini dapat dibantu dari menjadi lebih teruk sehingga membawa kepada perlakuan membunuh diri. Sehubungan itu, kempen Hari Kesedaran Mencederakan Diri (Self Injury Awareness Day)ini diwar-warkan untuk menimbulkan kesedaran kepada kesemua pihak dalam UTM bahawa kita semua sebagai ibu bapa, ahli keluarga, rakan, pendidik dan ahli masyarakat memainkan peranan sebagai sistem sokongan sosial kepada individu yang mencederakan diri ini.
Speak Your Mind