Pokok viral! Bukan sahaja cantik, atasi stres… ketahui manfaat lain lidah jin!

SEMENJAK kebelakangan ini, ramai di antara kita yang cukup gilakan pokok perhiasan hijau seperti daun pokok pisang, skybird, monstera, fiddle leaf fig dan lidah jin sehinggakan ia digelar sebagai pokok viral!

Ramai menggilai pokok viral ini kerana ia bukan sahaja cantik sebagai perhiasan dalam rumah tetapi ia juga mudah dijaga dan diselenggara.

Jika diimbau zaman lampau, pokok sama banyak menghiasi pekarangan rumah di kampung-kampung terutamanya, Kalau tak percaya, cuba tanya mak atau nenek ketika balik kampung nanti.

Sebagai pilihan lain pula, ada juga peniaga tampil pelbagai jenis pokok tiruan dengan harga berbeza bagi yang tidak mahu membela pokok hidup di dalam rumah.

Tapi dalam banyak-banyak pokok viral ini, pokok lidah jin atau juga disebut sebagai pokok lidah mentua antara yang menjadi kegilaan bukan sahaja kaum wanita tetapi lelaki!

Rupa-rupanya ia mengandungi pelbagai khasiat yang baik untuk kesihatan manusia.

Ia bukan sahaja mudah dijaga tetapi terdapat pelbagai manfaat.

Seperti dikongsikan oleh pakar perubatan, Dr. Ahmad Samhan di Facebooknya, pokok tersebut dapat menaikkan mood positif dan menghilangkan stres.

Kajian turut menunjukkan kata Dr. Ahmad Samhan, 1,000 pokok lidah jin berkesan sebagai penapis udara.

Bagi yang tidak tahu, pokok ini sebenarnya berasal dari Afrika dan memang terkenal dengan khasiatnya sehinggakan ada menjadikannya sebagai ubat dan kecantikan.

Apa kelebihan lain pokok viral ini selain mencantikkan dekorasi kediaman anda?

1. Mudah dijaga

Pokok Lidah Jin adalah antara tumbuhan hijau yang sangat mudah dijaga serta tidak memerlukan kos tinggi. Jika tiada matahari atau bekalan air juga, pokok ini mampu bertahan. Namun sebaik-baiknya, siramlah dan biarkan ia terkena cahaya matahari!

2. Menyerap pencemaran udara

Pokok ini mampu menyerap pencemaran dan ia di antara yang terbaik dan sebab itu ia sangat sesuai sebagai pohon hijau untuk indoor.

Malah ia cukup efektif dalam menyedut gas berbahaya seperti toluene, benzene, formaldehye yang dikatakan sebagai punca kanser kepada manusia.

Jika gas berbahaya itu pun boleh disingkirkan, apatah pula asap rokok atau bau kepam dalam rumah!

Lidah jin banyak tumbuh di halaman rumah dan sesuai dijadikan perhiasan dalam kediaman anda.

3. Kaya dengan oksigen

Lidah Jin atau nama saintifiknya, Sansiviera adalah tanaman yang mampu menghasilkan oksigen dengan baik. Klorofil yang dihasilkan akan membantu mempercepatkan proses fotosintesis.

Ini sekaligus akan menyebabkan peningkatan penghasilan oksigen dalam rumah anda.

4. Miliki bau khas

Jika anda perasan lidah jin mempunyai satu bau istimewa dan tidak hairan negara seperti China dan Perancis menggunakan tumbuhan ini dalam wangian dihasilkan.

Sebab itu, lidah jin sesuai diletakkan dalam rumah seperti bilik air atau dapur bagi meninggalkan baunya yang sedap.

5. Terapi

Pada waktu petang, biasanya bunga lidah jin akan mekar dan ia mengeluarkan bau khas yang menyenangkan. Ia cukup sesuai sebagai terapi selepas seharian keluar bekerja dalam mengurangkan tekanan.