11 Khasiat Susu Kambing; Terasa Terus Nak Minum!

Nak tahu khasiat susu kambing?

Di negara-negara Asia, susu kambing masih belum mendapat tempat. Bahkan menyamakannya dengan susu lembu yang lebih mudah didapati dan murah harganya. Namun, di kebanyakan negara Eropah, susu kambing berada pada kedudukan yang lebih premium dan dinikmati sebagai produk istimewa.

Disebabkan susu lembu lebih banyak dikomersialkan, ramai yang tidak menyedari akan manfaat susu kambing ini. Bahkan susu kambing sering dikaitkan dengan baunya yang kurang menyenangkan, rasanya yang kurang enak berbanding susu lain.

Namun, kini bertepatan dengan teknologi dan kecanggihan, susu kambing boleh didapati dalam bentuk serbuk serta dalam pelbagai campuran perisa yang tentunya lebih sedap. Selain diminum sebagai susu begitu sahaja, susu kambing juga selalu diproses menjadi keju, mentega, aiskrim serta yogurt.

Selain susu yang rendah kolestrol, terlalu banyak kebaikan susu kambing kepada kesihatan, berikut adalah antaranya;

#1 Kandungan Kalsium Yang Tinggi

Susu kambing mempunyai kalsium yang tinggi yang mampu menjaga tulang ke tahap optimum, berbading susu lain. Umum mengetahui yang kalsium amat baik untuk menghalang masalah osteoporosis atau kerosakan tulang.

Satu gelas susu kambing mengandungi lebih 300mg kalsium yang merupakan 1/3 daripada keperluan untuk kanak-kanak, berbanding  kalsium dalam susu lembu sebanyak 125mg.

hasiat Susu Kambing Segar

#2 Memberi Keselesaan Pada Perut

Dengan meminum susu kambing juga dapat mengelakkan keradangan atau ketidakselesaan kepada perut yang biasanya terjadi kepada mereka yang minum susu lembu. Ini kerana susu kambing mempunyai enzim yang lembut terhadap perut.

Menurut kajian, dalam susu kambing terkandung prebiotik semulajadi yang dapat mengurangkan keradangan usus lalu menjadikan sistem pencernaan lancer dan sihat.

#3 Komposisi Yang Lebih Hampir Pada Manusia

Komposisi kimia susu kambing lebih dekat kepada susu manusia berbanding susu lembu. Oleh itu, badan kita mendapat lebih nutrien menerusinya. Menurut kajian, susu kambing juga mempunyai khasiat yang hampir menyamai susu ibu.

#4 Kurang Tekanan Pencernaan

Susu kambing kurang memberikan tekanan kepada proses pencernaan. Selain itu susu kambing sendiri juga mudah dicerna, lantaran terdapat bahan dan ramuan di dalamnya yang membolehkan susu kambing lebih mudah untuk dicernakan.

Selain itu, molekul lemak dalam susu kambing juga lebih halus dan mudah dihadam. Proses pencernaan susu kambing hanyalah 20 minit berbanding susu lembu yang melebihi 2 jam.

#5 Satu Cawan Pun Sudah Hampir Cukup

Satu cawan susu kambing memberikan hampir 40% keperluan kalsium harian kita, 20% pengambilan vitamin B, selain fosforus dan potassium.

#6 Sesuai Untuk Pengidap Anemia

Bagi mereka yang menghidap anemia, susu kambing sangat baik dan sesuai untuk anda kerana ia boleh meningkatkan kadar zat besi.

#7 Mengimbangkan Asid Lemak Dalam Tubuh

Susu kambing dapat mengimbangkan asid lemak  dalam tubuh. Ini dapat mengelakkan kita daripda penyakit strok, jantung, dan pelbagai lagi komplikasi koronari.

#8 Tinggi Kandungan Potassium

Kandungan potassiumnya yang tinggi membantu merendahkan tekanan darah.

#9 Menguatkan Sistem Badan

Selenium dalam susu kambing melindungi kita daripada penyakit dan menghalang jangkitan. Ini kerana selenium merupakan komponen penting dalam sistem ketahanan badan.

#10 Kaya Dengan Sumber Protein

Susu kambing kaya dengan protein yang penting untuk pertumbuhan. Ia membentuk sel, tisu, otot, dan tulang. Oleh itu, proses metabolisme kita dilindungi, pertumbuhan dirangsang, dan sekaligus memastikan kesihatan tubuh secara keseluruhan.

#11 Asid Lemak Yang Lebih Tinggi

Asid lemak yang ada dalam susu kambing lebih tinggi berbanding yang ditemui dalam susu lembu. Tapi, ia kurang lemak jahat. Ini bermaksud yang ia membantu dalam menurunkan berat badan tanpa mengabaikan keperluan nutrien.

Jadi, anda boleh mula menyimpan susu kambing  dalam peti sejuk anda untuk mendapatkan keperluan nutrisi harian anda. Ia juga pengganti yang bagus bagi mereka yang tidak suka minum susu lembu tapi mahu mendapatkan khasiat daripada susu.

Kandungan Dalam Susu Kambing Yang Perlu Anda Tahu

PH  susu kambing adalah beralkali. Dalam kajian yang dijalankan, didapati kandungan asid lemak dalam susu kambing adalah  lebih tinggi berbanding dalam susu lembu. Kandungan selenium pula adalah paling tinggi berbanding semua jenis susu

Berikut kandungan gizi dalam susu kambing adalah lebih tinggi berbanding susu lembu, iaitu:

  • Zat Besi 2.0 kali ganda
  • Protein 2.1 kali ganda
  • Vitamin A 3.8 kali ganda
  • Kalsium 2.2 kali ganda
  • Potasium 2.1 kali ganda
  • Garam Galian 2.0 kali ganda

Bagaimana Susu Kambing Untuk Bayi?

Sebelum itu, suka untuk diingatkan bahawa kanak-kanak sangat tidak digalakkan untuk meminum susu kambing semasa mereka masih menyusu badan sama ada menggunakan botol, mereka juga tidak digalakkan meminumnya selepas berhenti menyusu.

Tunggulah sehingga usia mereka meningkat pada tahap komposisi nutrien susu kambing lebih serasi dengan mereka. Justeru, pilihlah susu yang lebih sesuai untuk kanak-kanak dan bayi.

Ini kerana terdapat kajian yang membuktikan susu kambing tidak sesuai diminum oleh kanak-kanak kerana keperluan nutrisi yang tidak sesuai dalam tempoh perkembangan mereka.

Kesimpulannya, susu kambing adalah susu yang sangat digemari oleh Rasulullah SAW, bahkan jika diamalkan ianya menjadi perbautan sunnah. Pasti ada sebabnya Baginda sangat menggemari susu kambing ini berbanding susu lain. Selain itu, sangat terkenal pendapat menyatakan susu kambing adalah susu terbaik selepas susu ibu.

Jadi dengan segala kebaikan khasiat dan keistimewaan kandungannya kita mestilah menghargai anugerah Allah ini dengan menjadikan susu  kmabing ini sebagai diet tambahan ataupun sumber makanan utama seharian. Semoga kita sama-sama mendapat manfaatnya.

Speak Your Mind

*