Jom baca khasiat kurma untuk kesihatan yang terlalu banyaknya.Lebih-lebih lagi khasiat kurma untuk ibu mengandung. Power betul!
Buah kurma adalah dari pokok kurma iaitu sejenis pokok palma dalam genus Phoenix. Kurma telah menjadi makanan harian penduduk Timur Tengah selama beribu-ribu tahun.
Pohon ini dipercayai berasal dari sekitar Teluk Parsi, dan telah ditanam sejak zaman silam dari zaman Mesopotamia ke zaman Mesir Purba seawal tahun 4000 SM. Malah terdapat bukti arkaeologi tentang penanaman kurma di Arabia timur pada tahun 6000 SM.
Kurma masak dalam empat peringkat iaitu kimri (matang), khalal (saiz-penuh, rangup), rutab (masak, lembut), dan tamar (masak, kering matahari). Namun, di Malaysia kita biasanya menikmati kurma jenis tamar, iaitu kurma yang telah kering.
9 Khasiat Kurma Untuk Diet Kesihatan
1. Memberi Tenaga Segera
Kurma mempunyai isi yang lembut, mudah cerna dan gula ringkas seperti fruktosa dan dextrose. Malah ia juga turut memberi tenaga segera kepada pemakannya. Itulah sebabnya buah kurma sering menjadi amalan sewaktu berpuasa di bulan Ramadhan. Selain kerana sunnah Rasulullah saw, umat Islam mengamalkan buah kurma sewaktu bersahur dan berbuka puasa sebagai pemberi tenaga setelah lapar berpuasa.
2. Baik Untuk Usus
Ini pula khasiat kurma untuk perut. Buah kurma kaya dengan serat makanan, yang menghalang penyerapan kolesterol jahat (LDL). Di samping itu, ia juga berfungsi seperti julap lembut yang melancarkan pembuangan najis kerana kandungan seratnya. Selain itu, ia juga membantu melindungi dinding usus daripada bahan kimia penyebab kanser yang terdapat di dalam kolon.
3. Anti Jangkitan dan Anti Radang
Kurma juga mengandungi antioksidan flavonoid polifenol yang dikenali sebagai tanin. Tanin mempunyai ciri-ciri anti jangkitan, anti radang, dan anti pendarahan (mencegah risiko pendarahan kecil).
4. Baik Untuk Mata dan Kulit
Kurma juga mengandungi vitamin A (149 IU atau 5% daripada RDA setiap 100 g). Vitamin A mempunyai sifat antioksidan dan bagus untuk mata. Di samping itu, ia juga diperlukan untuk mengekalkan mukosa dan kulit yang sihat.
Pengambilan buah-buahan semulajadi yang kaya dengan vitamin A juga dapat mencegah risiko kanser paru-paru dan rongga mulut.Ini merupakan khasiat buah kurma untuk kecantikkan.
5. Antioksidan
Kurma juga mengandungi flavonoid antioksidan seperti beta karoten, lutein, dan zeaxanthin. Antioksidan ini mempunyai keupayaan untuk melindungi sel-sel dan struktur lain dalam tubuh daripada kesan berbahaya radikal bebas.
6. Elak Anemia
Kurma adalah sumber zat besi yang sangat baik. Ia mengandungi 0.90 mg / 100 g buah (kira-kira 11% daripada RDA). Zat besi merupakan komponen hemoglobin di dalam sel darah merah yang berfungsi untuk membawa oksigen dalam darah. Kekurangan zat besi akan menyebabkan anemia (kurang sel darah merah).
7. Elak Risiko Strok Dan Penyakit Jantung
Kurma adalah sumber potassium yang baik. 100 g kurma mengandungi 696 mg atau 16% daripada RDA. Potassium merupakan komponen penting dalam sel dan cecair badan yang membantu mengawal kadar jantung dan tekanan darah.
Oleh itu, potassium dapat mengurangkan risiko strok dan penyakit jantung koronari.
8. Kesihatan Tulang Dan Saraf
Buah kurma juga kaya dengan mineral seperti kalsium, mangan, tembaga, dan magnesium. Kalsium sangat penting dalam pembentukan tulang dan gigi. Selain itu, ia juga diperlukan oleh badan untuk penguncupan otot, pembekuan darah, dan pengaliran denyutan saraf.
Badan manusia menggunakan mangan sebagai faktor utama untuk enzim antioksidan. Tembaga diperlukan untuk pengeluaran sel darah merah. Magnesium pula penting untuk pertumbuhan tulang.
9. Baik Untuk Peredaran Darah
Buah kurma juga mengandungi kumpulan vitamin B-kompleks serta vitamin K. Antara vitamin B yang terkandung di dalam buah kurma adalah pyridoxine (vitamin B-6), niacin, asid pantothenic, dan riboflavin.
Vitamin ini bertindak membantu tubuh memetabolisma karbohidrat, protein, dan lemak. Vitamin K pula fungsi utamanya adalah membantu proses pembekuan darah dan menghentikan pendarahan.
Khasiat Kurma Untuk Ibu Mengandung
Mengikut kajian Dr.Mahmud Nazim Al-Nasimy dalam buku Tempoh Mengandung Dari Segi Perubatan, Fiqhiyah dan Perundangan, hasil kajiannya menunjukkan jus kurma:
1) Menolong mencengkam rahim sewaktu proses kelahiran
2) Memperkukuhkan lagi urat-urat rahim pada bulan-bulan terakhir kehamilan dan membantu memudahkan proses kelahiran bayi.
3) Mengurangkan tumpah darah.
4) Menguatkan organ rahim.
5) Berkesan meredakan tekanan darah tinggi.
Kebaikan Buah Kurma Menurut Kajian Saintis
Kebaikan buah kurma turut disebut dalam al-Quran dan hadith. Oleh sebab itu, para saintis mengambil peluang untuk mengkaji kehebatan buah kurma.
Kajian Profesor Madya Aisyah Mohd Zain Pensyarah Fakulti Sains dan Bioteknologi Universiti Putra Malaysia pula menunjukkan bahawa jus kurma membantu mencegah daripada sembelit, lemah otot, sengal-sengal badan, lesu dan barah usus besar, merangsangkan selera makan, menguatkan ingatan dan melawaskan.
Mengikut hasil kajian Ahli Sains Mesir, khasiat kurma terbukti membantu memanaskan badan, mencergaskan otak dan tubuh badan serta mencergaskan minda dan membantu tumbesaran kanak-kanak. Ia juga membantu melicinkan perjalanan darah dan menghindari dari penyakit barah, merawat buah pinggang dan mencuci hati, dan membantu mengurangkan pengaliran darah semasa kelahiran.
Kurma bukan dinikmati begitu sahaja sama ada secara segar atau kering. Ia sering dijadikan sebagai pencuci mulut. Resepi buah kurma juga telah dipelbagaikan untuk memenuhi selera dan komersial seperti kurma coklat, jus kurma, susu segar perisa kurma dan banyak lagi.
Resepi Menu Buah Kurma Yang Mudah Dan Menyelerakan
Bosan makan kurma begitu sahaja? Apa kata anda cuba tiga resepi kurma di bawah untuk menambahkan selera lagi.
1) Smootie Kurma
Smootie Kurma bukan sahaja sesuai dijadikan menu pencuci mulut, tetapi juga sesuai dibuat menu untuk bersahur ketika berpuasa.
Bahan-bahan:
– 7 biji kurma
– 3 biji pisang (dibekukan)
– 2 cawan susu rendah lemak
– 1 sudu kecil serbuk kayu manis
Cara-cara:
- Buang biji kurma dan rendam dalam air panas untuk lembutkan isi kurma.
- Masukkan kesemua bahan ke dalam pengisar.
- Kisar hingga pekat dan sebati.
- Sedia untuk diminum.
2) Cucur Kurma
Cucur kurma sesuai dijadikan menu minum petang.
Bahan-Bahan:
– 2 cawan tepung gandum
– ½ cawan kurma
– 2 sb susu pekat manis
– ½ sk soda bikarbonat
– ½ sk garam
– 1 biji telur
– 2 cawan air
Cara-cara:
- Hiris halus buah kurma.
- Masukkan semua bahan dalam bekas.
- Gaul sehingga sebati dan menjadi adunan.
- Panaskan minyak dalam kuali.
- Cedukkan sesudu adunan cucur dan goreng ke dalam minyak panas.
- Sedia untuk dimakan.
3) Puding Kurma
Puding kurma sesuai dijadikan menu pencuci mulut.
Bahan-bahan:
– 100 gm kurma (buang bijinya)
– 600 ml susu cair
– 10 gram serbuk agar-agar
– 100 gram gula
– 1 batang kayu manis (anggaran 3cm)
– ½ sk garam
– Daun pandan sebagai pewangi semulajadi
Cara-cara:
-
- Kisar kurma bersama susu cair dan tuang ke dalam periuk.
- Masukkan serbuk agar-agar dan gula. Kacau rata.
- Masak campuran agar- agar diatas api sederhana, masukkan daun pandan dan kayu manis sambil kacau sampai mendidih.
- Angkat dan tapis campuran tadi.
- Tuang agar-agar di dalam bekas pilihan dan sejukkan hingga beku.
- Hias puding dengan potongan kurma. Boleh juga disejukkan dahulu di dalam peti sejuk.
- Siap untuk dimakan
Kesimpulan
Buah kurma sangat kaya dengan nutrien yang diperlukan oleh badan. Ia mengandungi tinggi tenaga, rendah kalori, tinggi karbohidrat, tiada kolesterol dan lemak trans.
Ia bukan sahaja baik untuk kesihatan badan, tetapi juga dapat membantu mereka yang ingin menurunkan berat badan. Selain berkhasita, ia juga sedap dimakan. Boleh dijadikan snek, pencuci mulut mahupun menu minum petang.
Speak Your Mind