Banyakkan berzikir dan berselawatlah ke atas Nabi terutama pada hari Jumaat… Doa makbul, dosa kecil terhapus

DIRIWAYATKAN oleh Imam Tirmizi r.a dalam hadis Hasan sahih, daripada Ubay ibn Ka’b telah berkata: “Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. ketika berlalu satu perempat malam, baginda bangun dan bersabda: Wahai manusia, berzikirlah kalian kepada Allah, akan datang sangkakala pertama dan diikuti sangkakala kedua, akan datang kematian bersama kedahsyatannya.

Ubay ibn Ka’b bertanya: Wahai Rasulullah, sesungguhnya daku banyak berselawat kepadamu maka berapa kalikah daku perlu berselawat kepadamu? Nabi S.A.W. menjawab: Terserah kepadamu. Ubay Ka’b berkata: Jika sebanyak satu perempat dari kehidupanku?

Rasulullah menjawab: Terserah kepadamu, jika dikau tambah jumlahnya maka ia lebih baik. Ubay ibn Ka’b bertanya: Jika separuh dari kehidupanku? Nabi S.A.W. menjawab: Terserah kepadamu, jika dikau tambah jumlahnya maka ia lebih baik.

Ubay ibn Ka’b bertanya: Jika dua pertiga dari kehidupanku? Nabi S.A.W. menjawab: Terserah kepadamu jika dikau tambah jumlahnya maka ia lebih baik. Ubah ibn Ka’b berkata: Wahai Rasulullah, jika begitu daku akan jadikan keseluruhan kehidupanku untuk berselawat kepadamu. Nabi bersabda: Kalau begitu, akan dicukupkan cita-citamu dan akan diampunkan dosa-dosamu.”

Hadis ini menunjukkan bahawa kemungkinan besar antara sahabat Nabi yang paling banyak berselawat adalah Saidina Ubay ibn Ka’b kerana ia memfokuskan keseluruhan kehidupannya dengan memilih zikir berselawat.

Dengan komitmen yang ditunjukkan oleh Ubay ibn Ka’b ini, maka Rasulullah S.A.W. memberitahu berita gembira kepadanya bahawa segala apa yang diinginkannya akan dipenuhi dan segala dosa kecilnya yang lalu akan diampunkan.

Atas contoh ini juga, para ulama seperti yang dijelaskan oleh Imam al-Sha’rani bahawa jumlah selawat yang dizikirkan oleh gurunya yang bernama Sheikh Nur al-Din al-Shauni ialah 10,000 kali setiap hari, dan seorang lagi gurunya bernama Sheikh Ahmad al-Zawawi pula berselawat sebanyak 40,000 kali setiap hari.

Para ulama mungkin atas dasar ini juga telah mengamalkan selawat yang disertai dengan doa. Ini mengambil faedah dari amalan Ubay ibn Ka’b yang banyak berselawat sehingga memberi kesan kepada segala doa dan keinginannya dapat dipenuhi.

Justeru, didapati terdapat pelbagai selawat yang telah diamalkan oleh para ulama mengandungi elemen doa seperti selawat syifa’, selawat tafrijiyyah, selawat badar dan seumpamanya.

Selawat makbulkan doa, hapus dosa kecil

Selawat juga sangat digalakkan untuk diperbanyakkan pada hari Jumaat. Dalam hadis sahih riwayat Ahmad, daripada Aus ibn Aus r.a berkata, Rasulullah S.A.W bersabda: “Hari-hari kalian yang paling baik adalah hari Jumaat, padanya diciptakan Nabi Adam A.S, padanya diwafatkan Nabi Adam A.S, padanya berlaku tiupan sangkakala dan padanya berlaku kiamat, maka kalian perbanyakkanlah selawat kepadaku pada hari Jumaat.”

Imam al-Sakhawi menukilkan pandangan Imam al-Shafie: “Daku menyukai untuk perbanyakkan selawat kepada Nabi pada setiap keadaan dan apabila berada pada malam dan siang hari Jumaat, maka keinginanku akan bertambah sangat kuat untuk berselawat.”

Kepentingan berselawat pada hari dan malam Jumaat ini mendorong sebahagian ulama berpendapat sebagaimana dinukilkan oleh Ibn Hajar al-Haitami bahawa: “Sesungguhnya menyibukkan diri dengan memperbanyakkan berselawat kepada Nabi S.A.W. pada hari dan malam Jumaat adalah lebih besar pahalanya berbanding membaca al-Quran kecuali surah al-Kahfi kerana wujud keterangan daripada hadis yang menggesa kepada pembacaan surah al-Kahfi pada malam dan siangnya.”

Menurut Sheikh Abd al-‘Aziz al-Dabbaghi, kebarangkalian pandangan ini disebut setelah wujudnya banyak hadis yang menggalakkan umat Islam berselawat pada hari dan malam Jumaat.

Hikmah memperbanyakkan selawat pada hari Jumaat telah disebut oleh Imam al-Qastalani dengan membawa pandangan Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah.

Katanya: “Sesungguhnya Rasulullah S.A.W adalah penghulu sekalian manusia dan hari Jumaat adalah penghulu segala hari, maka berselawat kepada baginda mempunyai keistimewaan tersendiri yang tiada pada hari-hari yang lain bersama-sama dengan hikmah yang lain pula, hikmah tersebut ialah bahawasanya segala kebaikan yang diperolehi oleh umat baginda di dunia dan akhirat hanyalah semata-mata berpunca dengan perantaraan Nabi S.A.W.”

Justeru, umat Islam perlulah memperbanyakkan selawat kerana ia boleh memakbulkan segala permintaan dan menghapuskan segala dosa kecil. Umat Islam juga digalakkan berselawat terutamanya pada hari dan malam Jumaat.

Speak Your Mind

*