Tidur pun ada adabnya… lakukan 14 cara ini dan sediakan wasiat bawah bantal barangkali ia tidur terakhir bagi kita

TIDUR adalah suatu keperluan kepada manusia untuk berehat.

Allah SWT menjadikan malam untuk berehat dan siang untuk bekerja seperti firmanNya yang bermaksud: Dialah yang menjadikan malam bagi kamu supaya kamu berehat padanya dan menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu berusaha). Sesungguhnya perubahan malam dan siang itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu mendengar (keterangan-keterangan yang tersebut dan mengambil pelajaran daripadanya). – (Surah Yunus ayat 67).

Apakah yang perlu dilakukan atau adab-adab berkaitan dengan tidur?

Menurut beberapa hadis, pandangan Imam al-Ghazali dalam kitab Bidayah al-Hidayah dan Sheikh Abdul Samad al-Falembani yang menghuraikan pandangan Imam al-Ghazali dalam kitabnya yang berjudul Hidayah al-Salikin, adab-adab tidur adalah seperti berikut:

Sebelum tidur dirikan solat witir.

1. Sebelum tidur jangan melakukan perkara sia-sia, dan tidur awal lebih baik berbanding melakukan perkara tersebut.

2. Sebelum tidur dirikan solat witir, tetapi jika ingin buat qiyamullail maka disarankan lewatkan solat witir.

3. Perlu berwuduk dan tidur mengadap kiblat seperti kedudukan jenazah yang berada di dalam kubur.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Jika kamu datang ke tempat tidurmu maka berwuduklah sepertimana kamu berwuduk untuk solat. Kemudian berbaringlah dengan lambung kananmu dan sebutlah: Ya Allah aku berserah diri pada-Mu. Aku serahkan urusanku pada-Mu. Aku berlindung kepada-Mu dengan penuh rasa cinta dan takut. Tidak ada tempat berlindung kecuali kepada-Mu. Aku beriman dengan kitab yang telah Engkau turunkan dan juga beriman dengan Nabi yang telah Engkau utuskan. Jika kamu mati maka kamu mati dengan fitrah dan jadikanlah ia akhir ucapan yang kamu ucapkan. – (Hadis riwayat al-Bukhari).

Bersihkan tempat tidur agar selesa.

4. Bersihkan tempat tidur dan baca bismillah.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Sekiranya salah seorang daripada kamu mendatangi tempat tidurnya, hendaklah dia mengambil (memegang) bahagian dalam kainnya, kemudian mengibas tempat tidurnya dengan kain tersebut serta sebutlah nama Allah (iaitu membaca Bismillah), kerana sesungguhnya tidak ada seorang pun yang tahu apa yang terjadi setelah dia meninggalkan tempat tidurnya. Sekiranya dia mahu berbaring, berbaringlah di sebelah rusuk kanannya dan berdoa; Maha suci Engkau, Ya Allah Wahai Tuhanku, dengan namaMu aku berbaring, dan dengan namaMu aku angkat pinggangku. Jika Engkau menahan nyawaku, maka berilah keampunan kepadanya dan jika Engkau melepaskannya, maka peliharalah sebagaimana hamba-hambaMu yang soleh. – (Hadis Riwayat Muslim).

5. Jika dapat, sediakan wasiat di bawah bantal, kerana barangkali ini tidur terakhir bagi kita.

6. Bertaubat dan berazam tidak ulangi maksiat.

7. Tidak tidur melebihi 8 jam kerana ia akan membuatkan umur menjadi sia-sia kerana terlalu banyak tidur.

8. Membersihkan gigi sebelum tidur.

Berusaha bangun tidur sebelum terbit fajar dengan zikir dan doa bangun tidur.

9. Sediakan air untuk berwuduk ketika bangun nanti dan niat untuk berqiyamullail.

10. Membaca doa tidur, ayat al-Kursi, ayat amanarrasul hingga akhir surah al-Baqarah, surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah al-Nas (kemudian hembus ke telapak tangan lalu menyapu ke seluruh badan, diulang baca tiga kali), surah al-Mulk, bersyahadah, berselawat dan berzikir sehingga tertidur.

Hadis yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah R.anha yang bermaksud: Sesungguhnya Nabi SAW jika Baginda berbaring ke tempat tidurnya pada setiap malam, Baginda akan menadah tangan kemudian menghembuskan ke kedua tapak tangannya. Lalu Baginda membaca: Qul Huwallahu Ahad, Qul ‘Auzu Birabil Falaq dan Qul A’uzu birabbinnas. Kemudian Baginda akan menyapu dengan kedua tapak tangannya ke tubuhnya bermula dari kepalanya dan wajahnya kemudian bahagian tubuhnya. Baginda melakukannya sebanyak tiga kali. – (Hadis Riwayat Al-Bukhari).

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang membaca dua ayat terakhir surah Al-Baqarah pada waktu malam, maka ia sudah cukup. (Hadis riwayat al-Bukhari).

11. Jika bermimpi buruk, disarankan baca a’uzubillah, hembus ke kiri, tidak menceritakannya kepada orang lain dan dirikan solat sunat.

Bertaubat dan berazam tidak ulangi maksiat.

Rasulullah SAW yang bermaksud: …Jika sekiranya seseorang itu bermimpi satu mimpi yang ditakutinya hendaklah dia meludah ke belah kirinya dan hendaklah dia memohon perlindungan daripada Allah SWT daripada kejahatannya, nescaya dia tidak akan memudaratkannya.-(Hadis riwayat al-Bukhari)

Sabda baginda SAW lagi berkenaan perkara yang sama yang bermaksud:…Jika sekiranya sesiapa dalam kalangan kamu bermimpi sesuatu yang buruk, hendaklah dia berdiri dan mendirikan solat sunat, serta janganlah dia memberitahu mimpinya itu kepada orang lain. – (Hadis riwayat Muslim).

12. Berusaha bangun tidur sebelum terbit fajar dengan zikir dan doa bangun tidur.

13. Ada satu jenis tidur lagi iaitu qailulal yakni tidur sebentar sebelum masuk waktu zohor untuk memudahkan bangun malam untuk qiyamullail nanti.

14. Qailulah tersebut sebentar sahaja dan perlu bangun sebelum masuk waktu zohor.

Semoga kita cuba untuk mengamalkan adab-adab ini ketika tidur nanti.

Speak Your Mind

*