Saham dan Amanah Saham, Apakah Perbezaannya?

Semasa kecil dulu, abang dan ayah saya ada bincang pada satu petang.

“Lebih baik labur di mana, Amanah Saham atau Saham?” tanya abang pada ayah.

Saya masih ingat lagi, zaman tu dekat surat khabar ada ditunjukkan papan harga saham saham Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL). Sekarang dah bertukar kepada nama baru iaitu Bursa Saham Malaysia.

Pada masa tu, saya tak tahu apa pun mengenai topik yang dibincangkan. Lagi melucukan, saya ingatkan melabur saham ni macam main judi.

Yelah, orang kalau sebut bila mana labur atau dagang saham, mesti akan guna perkataan main. Mereka tak guna perkataan labur atau dagang saham. Kemudian, setiap hari akan tengok harga terkini.

Jadi tak nampak beza sangat pun antara orang beli nombor ekor (berjudi). Setiap hari mereka akan tengok nombor bertuah apa yang akan naik di surat khabar. Mirip dengan orang yang beli saham yang nak akan angka harga saham.

Kalau naik, maka untung. Kalau turun, maka rugi.

Rupanya sangat berbeza. Melabur tak sama dengan berjudi dan amanah saham berbeza dengan saham.

Ironinya, saya banyak jumpa orang yang tak tahu perbezaan antara saham dengan amanah saham sepanjang menjadi seorang perancang kewangan berlesen.

Jadi dalam episod kali ni, saya nak bercerita perbezaan antara saham dan amanah saham.

Amanah Saham

Amanah saham ialah dana yang dikumpulkan dari ramai pelabur dan disatukan sebagai ke dalam satu dana yang kemudiannya dilaburkan oleh pengurus dana bagi pihak pelabur.

Pengurus Dana akan melaburkan dana tersebut berdasarkan objektif pelaburan dana tersebut.

Sebab tu kena baca dulu prospektus, helaian sorotan produk (product highlight sheet) atau lembaran fakta dana (fund fact sheet) sebelum melabur supaya anda tahu dana tu dilaburkan di pasaran apa (ekuiti, sukuk, pasaran wang), dekat mana (Malaysia, Asean, Asia, Eropah), risiko-risko dalam dana tersebut, caj-caj yang dikenakan dan prestasi masa lepas dana tersebut.

Secara umumnya, ada dua jenis dana amanah saham iaitu dana harga tetap dan dana harga berubah.

Dana harga tetap ini tiada penurunan atau kenaikan harga dan keuntungan diperolehi melalui agihan pendapatan (Income Distribution). Contoh dana harga tetap adalah ASB dan ASB 2 yang diuruskan Amanah Saham Nasional Berhad

Dana harga berubah ini ada berlaku penurunan dan kenaikan harga. Keuntungan diperolehi melalui agihan pendapatan (income distribution) dan kenaikan harga (capital gain). Hampir semua (kecuali ASB dan ASB 2) adalah dana jenis ni.

Saham

Saham pula adalah pembelian langsung ke atas pemilikan sesuatu syarikat. Membeli saham bermakna membeli pemilikan syarikat secara langsung dari pasaran saham. Pembelian (dan penjualan) dilaksanakan melalui dealer/remisier.

Keuntungan diperolehi melalui dividen dan kenaikan harga saham sesebuah syarikat iaitu bergantung pada prestasi perniagaan syarikat yang dilaburkan tersebut.

Jadi perbezaan paling ketara antara saham dan amanah saham adalah saham ada pembelian pemilikan secara terus pemilikan sesebuah syarikat manakala amanah saham pembelian secara tidak langsung oleh pengurus dana.

Ini bermakna anda sendiri yang melabur dan memiliki secara terus pegangan dalam sesebuah syarikat untuk saham manakala amanah saham pula anda menggunakan kepakaran pengurus dana menggunakan dana dalam melakukan pelaburan.

Apa yang anda miliki adalah unit-unit dana. Bukan pegangan ekuiti syarikat.

Ini sekaligus menafikan kenyataan sebahagian orang yang mengatakan anda boleh memiliki pegangan saham pemilikan sesebuah syarikat dengan kos yang lebih rendah melalui amanah saham.

Saham adalah pembelian unit syarikat iaitu bergantung pada harga seunit semasa (100 unit setiap 1 lot) manakala amanah saham adalah pembelian unit dana amanah saham.

Jadi mana yang lebih baik?

Ia bergantung pada personaliti dan karakter anda. Pandangan peribadi saya, sekiranya anda memiliki masa untuk melakukan kajian dan menghadap pasaran saham, memiliki kemahiran menganalisis saham atau sanggup meluangkan masa untuk belajar, mempunyai kawalan emosi yang baik dan seorang yang berani ambil risiko maka melabur secara terus melalui instrumen saham adalah yang terbaik.

Tetapi sekiranya anda tiada masa kerana sibuk dengan kerja terutama golongan profesional, tiada kemahiran atau tiada masa nak belajar dan rasa perit melihat pergerakan harga saham maka pelaburan melalui amanah saham adalah terbaik. Ini kerana kekurangan yang anda boleh diatasi dengan menggunakan kemahiran dan kepakaran pengurus dana.

Kesimpulannya, tiada pelaburan yang sesuai untuk semua orang. Anda kena tahu dulu diri anda macam mana dan kemudian baru cari pelaburan yang sesuai dengan ciri-ciri yang anda miliki.

kredit : Majalah Labur

Speak Your Mind

*