BUAH pinggang mempunyai dua fungsi penting iaitu menyingkirkan sisa bahaya yang mengandungi toksin dan mengekalkan keseimbangan air, cecair, mineral dan bahan kimia iaitu elektrolit seperti natrium, kalium dan sebagainya.
Apabila rosak akibat kecederaan fizikal atau keadaan seperti tekanan darah tinggi atau kencing manis, buah pinggang tidak dapat menapis toksin daripada badan dan menyebabkan sisa itu terkumpul.
Tanda-tanda kerosakan buah pinggang selalunya tidak disedari pada peringkat awal. Keadaan ini kemudiannya menyebabkan ia digelar ‘silent killer’.
Berikut adalah lima tanda kerosakan buah pinggang yang perlu diberi perhatian:
1. Bengkak di kaki dan buku lali
Buah pinggang membantu menapis sisa dan lebihan natrium daripada badan. Apabila buah pinggang tidak berfungsi dengan cekap, badan mula mengekalkan natrium.
Ini akhirnya menyebabkan pembengkakan pergelangan kaki dan tulang kering, yang dikenali sebagai edema.
Seperti dilaporkan oleh Times of India, seseorang yang mengalami masalah buah pinggang juga mungkin melihat bengkak di bahagian lain badan seperti mata dan muka, tetapi tanda ketara sekali adalah kesan pada tangan, lengan, kaki dan buku lali.
2. Keletihan
Rasa letih atau lemah sepanjang masa biasanya merupakan tanda awal masalah hati atau buah pinggang.
Apabila gangguan buah pinggang menjadi teruk, anda mula berasa semakin lemah dan letih.
Malah melakukan beberapa kerja rumah yang mudah atau berjalan sedikit mungkin kelihatan seperti beban kepada individu itu kerana ia berlaku disebabkan toksin terkumpul dalam darah akibat masalah buah pinggang.
3. Selera makan berkurangan
Pengumpulan toksin dan sisa dalam badan juga boleh mengurangkan selera makan, seterusnya membawa kepada penurunan berat badan.
Satu lagi sebab kurang selera makan adalah mual pagi dan muntah. Perasaan yang tidak menyenangkan ini mungkin menghalang anda daripada makan.
Individu itu mungkin berasa kenyang sepanjang masa dan tidak mahu makan apa-apa. Ini boleh menjadi tanda yang membimbangkan.
4. Perubahan kekerapan buang air kecil
Individu normal yang sihat membuang air kecil 6-10 kali sehari tetapi menggunakan tandas lebih dari kekerapan itu boleh menjadi petunjuk kerosakan buah pinggang.
Dalam kes masalah buah pinggang, seseorang mungkin membuang air kecil terlalu sedikit atau terlalu kerap.
Sesetengah orang juga melihat darah atau lebihan dalam air kencing mereka. Ia berlaku kerana sel darah mula bocor ke dalam air kencing akibat buah pinggang yang rosak.
5. Kulit kering dan gatal
Kulit kering dan gatal bersama-sama dengan gejala kerosakan buah pinggang lain boleh menjadi tanda penyakit buah pinggang yang serius.
Ini mungkin berlaku apabila buah pinggang tidak dapat mengeluarkan toksin dari badan dan ia mula terkumpul dalam darah, menyebabkan kulit gatal, kering dan berbau busuk.
Gangguan buah pinggang boleh dicegah dengan mengambil tindakan pada peringkat awal, hanya boleh dilakukan jika gejala dapat didiagnosis tepat pada masanya.
Risiko mengalami gangguan buah pinggang adalah lebih tinggi pada mereka yang mengalami tekanan darah, paras gula dan kolesterol yang tinggi.
Mereka ini harus terus memantau keadaan sendiri dan menjalani pemeriksaan perubatan tahunan untuk mengetahui bagaimana organ lain berfungsi.
Pemeriksaan kesihatan membantu mengesan masalah pada peringkat awal dan memulakan rawatan lebih awal.
kredit artikel : mstar.com