Mungkin tak perlu makan ubat, 5 cara mudah ini mampu bantu anda legakan sakit perut

SAKIT perut yang dialami seseorang itu biasanya boleh berpunca daripada gangguan hormon, pencernaan, atau faktor masalah lain melibatkan organ dalaman badan.

Gejala yang timbul termasuklah pedih ulu hati, kembung perut atau kekejangan secara tiba-tiba. Bagaimanapun, sakit perut yang tidak terlalu serius dan berlarutan untuk seketika waktu tidak disarankan mengambil ubat tahan sakit.

Kadangkala sakit itu boleh sembuh dengan sendiri tanpa perlu konsumsi sebarang ubat, ada juga yang memerlukan rawatan atau perubatan susulan.

Merujuk kepada Medical News Today, gejala sakit perut yang biasa perlu dirawat dengan cara mudah seperti;

1. Elakkan berbaring

Apabila sakit perut menyerang, elakkan berbaring selama beberapa jam sehingga sakitnya berkurangan.

Ubah posisi badan seperti merangkak di atas katil atau sofa selama 10 saat, kemudian hembus nafas dalam keadaan terkawal sambil kepala diturunkan sedikit.

Jika dalam keadaan berbaring, ia akan membuatkan asid perut bergerak ke belakang dan ke atas serta mencetuskan tindak balas pedih ulu hati atau sakit perut.

Walau bagaimanapun, posisi merangkak dikatakan mampu merawat perut kembung sekali gus melancarkan penghadaman.

2. Minum air putih

Air merupakan alternatif yang boleh mencerna segala jenis kandungan dalam usus dan menyerap nutrien daripada makanan dan minuman dengan cekap, malah membantu mnghilangkan sakit perut.

Selain itu, keadaan badan yang mengalami dehidrasi memberi kesan kepada penghadaman sehingga tidak optimum.

Apabila proses pencernaan terganggu, impak lain mula timbul sehingga meningkatkan risiko sakit perut yang berlebihan.

Menurut Health and Medicine Division (HMD), keperluan air harian wanita adalah sekitar 2.7 liter manakala lelaki ialah 3.7 liter.

3. Lilit dengan beg pemanas

Sakit perut juga boleh diatasi dengan mandian air suam sambil berendam atau lilit dengan beg pemanas.

Kedua-dua kaedah ini berkesan dalam membantu mengendurkan otot yang tegang dan melegakan simptom sakit perut.

Beg pemanas yang diisi air panas perlu diletakkan pada bahagian perut yang sakit sekurang-kurangnya 20 minit.

Sebagai langkah berjaga-jaga, gosok ia perlahan-lahan sehingga perut yang sakit benar-benar reda atau hilang.

4. Ambil minuman halia dan pudina

Halia adalah ubat semulajadi yang dapat melegakan sakit perut dan rasa senak, khasiatnya juga sama seperti daun pudina dan mempunyai kesan mentol.

Ia juga mengandungi sebatian kimia iaitu gingerol dan shogaol yang memainkan peranan penting dalam meredakan sakit perut.

Manakala gabungan halia dan daun pudina yang dibancuh seperti teh, dipercayai berkesan untuk mengatasi kekejangan otot di bahagian usus seperti sakit perut.

Kebanyakan penyelidikan mendapati, daun pudina telah lama digunakan dalam perubatan tradisional untuk merawat gangguan pencernaan.

5. Elakkan mengambil makanan tertentu

Makanan ini perlu dielakkan ketika mengalami sakit perut, seperti makanan pedas, berasid, berlemak, tinggi garam, bahan proses atau hidangan makanan yang berlebihan

Pastikan apa sahaja yang dimakan dikunyah sehingga ia benar-benar lembut supaya mudah untuk dihadam.

Makanan atau minuman alternatif yang selamat dikonsumsi ialah teh halia, pisang, betik dan yang mengandungi probiotik.

Namun perlu ambil perhatian, apabila gejala sakit perut melebihi tempoh 24 jam, segeralah berjumpa pakar untuk mengelakkan kesan sampingan.

kredit artikel : mstar.com