MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan individu bergejala yang didapati positif selepas menggunakan Antigen Rapid Test Kit (RTK Antigen) tidak perlu melakukan ujian pengesahan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase (RT-PCR).
Sebaliknya individu tersebut seharusnya menganggap diri mereka positif Covid-19 walaupun tanpa pengesahan ujian RT-PCR dan menjalani kuarantin seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Jalani segera ujian Covid-19 sekiranya bergejala dan muat naik keputusan sama ada positif atau negatif ke MySejahtera.
“Individu positif Covid-19 kategori 1 (tiada gejala) dan 2A (gejala ringan) serta tidak berisiko tinggi (60 tahun ke bawah dan tidak mempunyai sebarang komorbid) tidak perlu hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC),” ujarnya dalam sidang media, Isnin lalu.
Khairy Jamaluddin.
Terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan pesakit ketika menjalani kuarantin. Ini bagi mengelakkan pesakit berasa bosan selain dapat meningkatkan imunisasi badan serta lebih cepat sembuh.
1. Jangan lewat makan
Makanan menjadi sumber tenaga tubuh dan sepanjang kuarantin sebaik-baiknya jaga pemakanan dan jangan lupa makan selain mengambil makanan sihat.
2. Aktif bergerak
Meskipun menjalani kuarantin di rumah, pesakit perlu tetap aktif. Mereka boleh melakukan gerakan ringan seperti berjalan-jalan di ruang tamu, menari atau pun melakukan senaman ringan.
3. Buat perkara disukai
Bagi mengelakkan rasa bosan, ini masanya untuk anda melakukan perkara disukai seperti membaca buku, menonton filem, bermain alat muzik, mengaji al-Quran dan sebagainya.
4. Berfikiran positif
Perkara paling penting adalah sentiasa berfikiran positif dalam usaha untuk pulih. Pada masa sama anda perlu tetap berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan sama ada melalui media sosial, panggilan telefon dan sebagainya. Ia membantu proses pemulihan.
Sejak 6 Februari lalu, Malaysia kembali mencatatkan jumlah kes positif melebihi 10,000 kes dan menurut Khairy ia bukan sesuatu yang luar jangka.
Situasi itu disebabkan penularan varian Omicron yang lebih mudah merebak dan peningkatan kes juga disaksikan di negara-negara lain di seluruh dunia.
kresit artikel : mstar.com