Berhantu? Ini Senarai Tempat ‘Keras’ Yang Ada Di Malaysia

Anda pernah dengar filem mistik yang bertajuk ‘Bangunan’? Jom kita tengok bagaimana filem ini dirakam dan misteri tempat yang dikosongkan di KLCC dan banyak lagi. Di sini kami akan senaraikan tempat-tempat ‘keras’ atau yang berhantu di Malaysia yang masih beroperasi sehingga ke hari ini.

Pusat Latihan Memandu Di Selangor

Pusat latihan memandu ini merupakan lokasi dimana rakaman filem ‘Bangunan’ dijalankan. Tempat ini dikatakan sebagai tempat paling ‘keras’ kerana terdapat banyak gangguan mistik yang dapat dirakam. Pada tahun 2010, terdapat kes kehilangan misteri dua remaja lelaki di tempat ini yang diambil dari rakaman CCTV. Dua remaja yang dikatakan hilang begitu sahaja ketika menuju ke tangga sewaktu ingin melarikan diri dari gangguan mistik di dalam bangunan tersebut.

Mangsa pertama yang pergi ke tempat itu pada lewat malam adalah disebabkan ingin bermain dengan kameranya. Ketika dia menuju ke tempat lain, dia meninggalkan kameranya di atas meja dalam mod rakaman. Ini kerana beliau berasa tidak selesa seumpama ada sesuatu yang sedang memerhatikannya. Semasa kembali untuk mengambil kameranya, didapati kameranya telah beralih tempat dan dia terus meneliti rakaman yang diambil.  Didapati ada satu lembaga yang tinggi yang sedang berlari laju di bahagian luar tingkap.  Selepas melihat rakamannya itu, dia berasa takut dan terus berlari menuju ke tangga dan sewaktu menuruni tangga dia kelihatan tidak keluar dari pintu yang sepatutnya di bahagian bawah dan terus hilang di situ.

Mangsa kedua pula dikatakan pergi ke lokasi yang sama bersama tunangnya untuk mengambil barang di pejabat. Namun sepanjang berada di situ, banyak gangguan yang telah berlaku seperti skrin di komputer telah menyala dan terpadam dengan sendirinya. Beliau mula merasa takut dan cuba melarikan diri menuju ke tangga untuk keluar dari situ, dia tidak kelihatan membuka pintu keluar yang berada di bawah dan beliau dikatakan hilang begitu sahaja. Sewaktu remaja tersebut melarikan diri, pintu pejabat tertutup dan sofa di pejabat juga bergerak dan bertukar kedudukan dengan sendirinya.

Dipercayai kesemua rakaman ini diambil terus dari server CCTV yang terdapat di bangunan tersebut dan ia tidak diolah atau diedit sama sekali. Selepas kejadian itu, kehilangan kedua-dua remaja tersebut masih menjadi misteri.

Hal itu telah menarik minat seorang Pengarah, Khir Rahman dan rakan-rakannya untuk pergi ke lokasi bangunan ini dan merakam sendiri pengalaman mereka di sana. Ketika rakaman sedang dijalankan, salah seorang dari rakan mereka telah dirasuk teruk oleh entiti di dalam bangunan itu sehinggakan dia telah diseret melekap ke dinding yang berhampiran tangga dimana tempat mangsa yang pertama telah hilang. Selepas itu, rakaman terpaksa dihentikan kerana bimbang akan keselamatan meraka. Namun, filem ini tetap disiarkan pada tahun 2015 dan sehingga waktu itu mangsa yang hilang masih belum ditemui.

Hingga kini, kawasan bangunan ini masih lagi beroperasi sebagai pusat latihan memandu yang mempunyai litar memandu yang paling terbaik di Malaysia.

First World Hotel

via Agoda.Com

Hotel yang bertaraf 3 bintang ini yang terletak di Resort World Genting, Pahang dan pernah direkodkan sebagai hotel terbesar di dunia pada tahun 2006 kerana hotel ini mempunyai sebanyak 7351 bilik dan juga 10 buah restoran.

Antara peristiwa seram yang pernah berlaku di sini ialah pengunjung selalu mengadu kedengaran bunyi seperti orang sedang berjalan, tilam terasa berat dan seperti ada orang yang berjalan di atas tilam dan dibawah katil, terlihat kelibat seorang wanita dengan rambut yang panjang mengurai di dalam bilik dan TV selalu terbuka dengan sendirinya. Di sini juga ada satu kejadian di mana pada tahun 2012, seorang wanita dari China yang telah mati dibunuh dengan kejam di dalam bilik di tingkat 5.

Namun sehingga kini, First World Hotel masih lagi beroperasi dan selalu menjadi pilihan para pengunjung untuk bermalam di sini.

Amber Court

Amber Court yang terletak di Genting Highlands, Pahang mempunyai dua bangunan apartment berkembar 23 tingkat yang sudah berusia melebihi 20 tahun. Tempat ini dikatakan ‘berhantu’ dan merupakan lokasi dimana sering berlakunya kejadian bunuh diri bagi orang yang kalah judi. Amber Court juga dikatakan mempunyai sebuah bilik misteri yang berpalang  dan dikatakan sebagai tempat menyimpan hantu kasino atau makhluk belaan untuk memberi kemenangan kepada pemain judi kasino.

Terdapat pelbagai kisah seram yang diceritakan mengenai bangunan ini. Antaranya, penginap akan mengalami kejadian aneh di waktu malam seperti TV akan terbuka dan tertutup dengan sendirinya, kedengaran seperti orang sedang bertukang, perempuan yang mengilai dan memanggil, suara budak yang sedang menangis dan ada juga yang pernah menemui satu lembaga tanpa kepala sedang mendukung anak di dalam lif.

Amber Court juga pernah menjadi lokasi penggambaran filem “Haunted Hotel”. Pengarah dan krewnya juga telah diganggu sewaktu sesi penggambaran sedang dijalankan. Penggambaran ini turut melibatkan lokasi dimana 7 ahli keluarga membunuh diri di situ. Dikatakan, bilik B-6 tingkat 17 adalah merupakan bilik yang kerap diganggu oleh makhluk halus.

Namun, sehingga kini Amber Court masih beroperasi dan kebanyakannya didiami oleh warga asing yang bekerja di sekitar kawasan ini.

Victoria Institution

V.I atau Sekolah Menengah Victoria yang telah ditubuhkan pada tahun 1893 khusus untuk pelajar lelaki dan hanya pelajar perempuan Tingkatan 6. Ia merupakan antara sekolah yang terbaik di Kuala Lumpur berikutan pencapaian yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum.

V.I memainkan peranan dalam sejarah apabila pernah dijadikan sebagai markas tentera pada perang dunia ke-2 dan telah disenaraikan dalam Warisan Kebangsaan pada tahun 2009.

Disamping itu, V.I juga telah melahirkan ramai tokoh termasuk Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, ahli perniagaan Ananda Krishnan, Allahyarham Mokhtar Dahari, Rashid Sidek dan ramai lagi. Selain itu, V.I telah menyimpan pelbagai kisah misteri yang sesuai dengan statusnya sebagai sekolah tertua di Kuala Lumpur dimana semasa tentera Jepun menduduki bangunan sekolah ini, ramai tentera British dan penduduk tempatan telah disiksa dengan kejam hingga mati di ruang bawah tanah di beberapa bangunan lama sekolah ini.

Disamping itu, banyak terjadinya kes histeria, penampakan entiti malam dan siang hari. Terdapat juga satu kes dimana salah seorang anggota band sekolah mendakwa telah melihat seorang wanita dan menegur wanita itu sehingga dia dirasuk dan hilang berikutan berlatih hingga lewat malam sebelum sempat dijumpai di atas tangki air.

Terdapat lagi satu cerita pada pelajar asrama sekolah ini yang ketika itu berada dalam bilik prep. Dalam bilik itu, dia terperasan salah seorang rakannya yang biasanya banyak bercakap, namun ketika itu rakannya hanya diam, maka kawan-kawannya berasa pelik lalu mengambil gambarnya. Selepas itu, apabila mereka meneliti semula gambar yang diambil, mereka ternampak satu lembaga hitam sedang berdiri di sudut bilik.

KLCC

Dikatakan Menara Berkembar Petronas ini terdapat satu tingkat dimana ia telah dikosongkan sehingga kini dan tidak ada nombor didalam lif untuk ditekan dan tidak ada juga sesiapa yang dibenarkan pergi ke tingkat ini. Ini adalah kerana terdapat banyak gangguan mistik dan peristiwa seram yang berlaku di sini.

Antara kisah yang berlaku adalah tentang seorang bekas pegawai keselamatan yang bernama Iswandi, beliau perlu meronda di setiap sudut bangunan dan perlu menaiki lif ke setiap tingkat pada waktu malam. Sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam lif, terdapat bau wangi seolah-olah ada orang yang telah menaiki lif itu dan meninggalkan bau yang wangi. Ketika itu jam telah menunjukkan pukul 1.00 pagi dan bererti lif itu sudah pun perlu dikosongkan untuk beberapa jam. Setelah sampai di ‘suatu’ tingkat, beliau hanya melaksanakan kerjanya dan memasuki semula ke dalam lif. Sewaktu pintu lif sedang ditutup, beliau ternampak perempuan berambut panjang sedang memandang ke bawah namun dia tidak mengendahkannya dan menghabiskan rondaannya secepat mungkin.

via Kisah seram

Satu lagi kisah seram yang pernah berlaku kepada seorang wanita yang bekerja sebagai Pegawai Sumber Manusia di sebuah syarikat di bangunan tersebut dan beliau juga kerap bekerja sehingga lewat malam. Beliau dikatakan pernah ternampak Pontianak yang tercegat di luar tingkap dan sedang memerhatinya.

Peristiwa ini berlaku di tingkat 14 bangunan kedua KLCC. Sebenarnya, terdapat banyak lagi kisah seram yang pernah berlaku di dalam bangunan ini.