Kurangkan risiko orang hilang tanpa kesan, doktor ini ajar aktifkan fungsi ‘live location’ WhatsApp

PENANTIAN berakhir, kehilangan seorang anak sejak 10 bulan lalu akhirnya terjawab.

Mayat lelaki yang hilang sejak Oktober tahun lalu ditemukan selepas seorang penunggang motosikal ternampak objek seperti bumbung kenderaan di dalam sungai ketika membuang sebatang besi ke tepi sungai.

Kisah kehilangan seorang pemuda berusia 24 tahun, sebelum ini tular di media sosial tahun lalu apabila adiknya memohon kerjasama orang ramai mengesan abangnya yang gagal dihubungi selepas keluar rumah dari Johor ke Terengganu.

Berita sedih itu turut dirasai rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mengucapkan takziah kepada ahli keluarga arwah, termasuk pakar kesihatan, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan.

“Salam takziah diucapkan kepada ahli keluarga pemandu berkenaan,” katanya.

Live Lokasi WhatsApp 1

Pasukan bomba mengeluarkan sebuah kereta dari tepi sungai.

Menerusi satu perkongsian di laman sosial, Dr Kamarul berkata, kes kehilangan individu akibat kemalangan seumpama ini berlaku kerana ketiadaan saksi dan melibatkan kawasan yang terlindung seperti sungai dan gaung.

“Bagi mengurangkan risiko insiden seperti ini berlaku, kita boleh lalukan perkara ini, terutama apabila memandu seorang diri untuk perjalanan jauh pada waktu malam dan di kawasan yang sunyi.

“Kemasikini keberadaan kita secara langsung menggunakan aplikasi WhatsApp,” katanya.

Caranya:

1. Buka WhatsApp dan pilih individu yang hendak dimaklumkan. Boleh pilih individu mahupun grup.

2. Di tetingkap individu atau grup berkenaan. Tekan butang kongsi (ikon klip kertas).

Live Lokasi WhatsApp 3

Tekan butang kongsi.

3. Di tetingkap pilihan jenis kepilan (attachment), tekan butang lokasi (ikon pin lokasi).

Live Lokasi WhatsApp 4

Tekan butang lokasi.

4. Di tetingkap lokasi, tekan butang kongsi lokasi live (ikon pin bergerak).

Live Lokasi WhatsApp 5

Tekan butang kongsi lokasi live.

5. Di tetingkap lokasi live, tekan tempoh yang sesuai dengan masa perjalanan.

Live Lokasi WhatsApp 6

Tekan tempoh yang sesuai dengan masa perjalanan.

6. Lokasi akan dikemaskini secara live. Kemaskini boleh dihentikan setelah tiba di destinasi.

Live Lokasi WhatsApp 7

Kemaskini boleh dihentikan setelah tiba di destinasi.

Dr Kamarul berkata, sekiranya individu atau grup mendapati lokasi pemandu yang dalam perjalanan tidak berubah dalam tempoh yang diragui, mereka dinasihatkan supaya segera hubungi pemandu untuk mendapatkan kepastian.

“Andai pemandu tidak dapat dihubungi atau kemaskini terhenti tanpa sebarang makluman daripada pemandu untuk masa yang lama, maka pertimbangkan untuk hubungi pihak berkuasa.

“Semoga dipermudahkan perjalanan dan dilindungi daripada musibah,” ujar beliau menerusi satu hantaran di Facebook.

Pada Sabtu, media melaporkan polis menemukan satu rangka manusia dalam sebuah kereta yang ditarik keluar dari Sungai Api-Api di Nenasi, Pekan, dipercayai mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin dilaporkan berkata, mayat ditemukan dalam kenderaan Nissan Grand Livina pada pukul 11.40 pagi.

Siasatan awal terhadap nombor pendaftaran kenderaan mendapati ia dikaitkan dengan laporan kehilangan yang dibuat di Pasir Gudang, Johor oleh ahli keluarga mangsa.

kredit : mstar.com

Majlis Anugerah Kecermerlangan & Penghargaan UTM 2022

Nantikannya..1 hari lagi.. Semoga ada rezeki saya pada hari itu, tercalon sebagai finalis Kategori Webometrik (Individu)

SAMBUTAN HARI BIPOLAR SEDUNIA

HARI BIPOLAR SEDUNIA disambut pada 30 Mac setiap tahun sempena hari kelahiran Vincent Van Gogh yang selepas kematiannya di diagnosis sebagai mengalami kecelaruan bipolar. Tujuan sambutan ini diadakan adalah bagi meningkatkan kesedaran masyarakat sedunia mengenai keadaan individu yang bipolar serta bekerjasama untuk membuang stigma sosial dengan memberi psikopendidikan dan maklumat untuk mengajar dan membantu masyarakat memahami keadaan individu yang bipolar. 
Kecelaruan bipolar memberi kesan kepada kehidupan lebih 60 juta orang di seluruh dunia. Kecelaruan bipolar ini mempengaruhi dan mengubah mood seseorang individu secara keterlaluan dari terlalu gembira kepada terlalu sedih atau murung. Keadaan ini boleh mengganggu kehidupan mereka secara signifikan dan memberi impak terhadap keupayaan mereka untuk berfungsi. 
Hentikan melabel dan meletakkan stigma kepada diri dan individu lain kerana anda dan individu lain berhak mendapatkan bantuan dan rawatan demi kehidupan yang lebih sejahtera dan bermakna. 
Sekian, terima kasih.

ANUGERAH WEBOMETRICS 2021

LATAR BELAKANG

Penarafan Webometrics merupakan antara fokus utama UTM dalam memastikan imej unggul universiti ini pada kaca mata dunia khususnya melalui kecemerlangan laman web universiti.  Pelbagai usaha dan strategi dijalankan untuk meningkatkan kedudukan UTM dalam penarafan tersebut. 

Anugerah Webometrics diwujudkan bagi memberi penghargaan kepada Fakulti/Sekolah/PTJ dan individu yang sentiasa memastikan laman web diberikan perhatian khusus serta menepati kualiti teknikal yang sejajar dengan kriteria khusus webometrics yang dikeluarkan oleh penarafan Webometrics di seluruh dunia.  

Anugerah Webometrics mengiktiraf laman-laman web Fakulti/Sekolah/PTJ dan individu yang secara langsung membantu kedudukan UTM dalam penarafan webometrics dunia setiap tahun dengan pelbagai usaha dan komitmen yang berterusan.

KATEGORI

Anugerah Webometric dibahagikan kepada 3 (tiga) kategori iaitu :

  1. PTJ Akademik (Fakulti/Sekolah);
  2. PTJ Bukan Akademik (PTJ Perkhidmatan); dan 
  3. Individu 

HADIAH

  1. Kategori PTJ Akdemik : RM1,500.00 (Ringgit Malaysia : Tiga Ribu Sahaja)
  2. Kategori PTJ Bukan Akademik : RM1,500.00 (Ringgit Malaysia : Tiga Ribu Sahaja)
  3. Kategori Individu : RM500.00 (Ringgit Malaysia : Lima Ratus Sahaja) kepada seorang penerima sahaja.
  4. Sijil penyertaan akan diberikan kepada semua peserta.

KRITERIA ANUGERAH WEBOMETRICS KATEGORI AKADEMIK (FAKULTI/SEKOLAH) DAN BUKAN AKADEMIK (PTJ PERKHIDMATAN) 

Bagi laman web Fakulti dan Sekolah, pencalonan adalah secara automatik manakala bagi kategori laman PTJ lain dan web individu, pencalonan adalah melalui pendaftaran yang dibuat oleh calon dengan mengisi borang online dan hebahan telah dibuat sebagai makluman kepada semua warga staf.

Penilaian dan pemberian markah dilaksanakan menggunakan kaedah pengiraan webometrics dan juga web traffic iaitu menggunakan enjin carian Google bagi mendapatkan bacaan saiz laman web yang diindeks oleh enjin carian, kadar web presence (10%). Seterusnya, kiraan bilangan purata pengunjung laman web (35% markah). 

Pemberat tertinggi penilaian adalah berdasarkan bacaan web visibility iaitu pengiraan jumlah pautan yang dapat dikumpulkan melalui carian pautan (backlinks) Ahref berdasarkan domain setiap laman web luar yang dipautkan ke laman web yang dinilai (55% markah).

  • Mohon doakan saya, semoga ada rezeki untuk anugerah UTM kali ini. Sebelum ini saya pernah dapat anugerah yang sama daripada School dan juga FE

INTERNATIONAL HAPPINESS DAY 2022

” The key to BEING HAPPY is knowing you have the power to choose what to accept and what to let go”-Dodinsky-
INTERNATIONAL HAPPINESS DAY 2022  disambut pada 20 Mac setiap tahun bagi memperakui kepentingan kegembiraan dalam kehidupan masyarakat di seluruh dunia.  
Penarafan Kegembiraan Dunia meletakkan Malaysia di tempat ke-81 daripada 149 buah negara berdasarkan World Happiness Report 2021. Negara yang paling tinggi tahap kegembiraan adalah Finland, diikuti Iceland dan Denmark. Manakala negara yang paling tidak gembira adalah Afghanistan, diikuti oleh Zimbabwe dan Rwanda.

Begitu la..

KFC tak pernah kata ayam goreng McDonald’s tidak sedap.
McDonald’s pula tidak pernah kata burger dia jauh lagi sedap dari KFC.

TETAPI keduanya menguasai rangkaian Fast Food di dunia.

MERCEDES Benz tidak pernah memburukkan kereta BMW.
BMW juga tidak cuba memusnahkan pesaingnya MERCEDES BenZ.

TETAPI mereka menjadi pengeluar kereta yang terunggul di dunia.

Kawan-kawan

Kita tidak perlu memfitnah orang lain untuk memuliakan diri kita.

Kita juga tidak perlu mengaibkan orang lain untuk menunjukkan kebaikkan kita.

Malah, Kita tidak perlu menjatuhkan orang lain untuk melariskan produk kita.

Masing-masing ada rezekinya, kita hanya wajib berusaha dan Tuhan lah yang menentukan segalanya.

Menghormati lawan, menyokong rakan-rakan serta saling membantu untuk mencapai kejayaan bersama.

Kejayaan kita tidak akan kekal dengan menghancurkan orang lain.

Kebahagaian tidak akan dicapai dengan melukakan orang lain.

Rezeki kita juga tidak bertambah dengan mencantas orang lain.

Carilah BARAKAH dalam apa jua yang kita lakukan untuk BEKALAN kita dikemudian.

KEMPEN KESEDARAN PSIKOSOSIAL: HARI ANTIDADAH KEBANGSAAN 2022

Bulan Februari disambut sebagai Bulan Antidadah Kebangsaan manakala Hari Antidadah Kebangsaan pula disambut pada 19 Februari setiap tahun. 


Tujuannya adalah untuk merealisasikan Dasar Dadah Negara dengan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai bahaya penyalahgunaan dadah dalam usaha menangani masalah penyalahgunaan dadah ini di Malaysia. Penyalahgunaan dadah adalah masalah sosial yang paling rumit yang sedang dihadapi oleh negara. Penglibatan masyarakat dengan dadah tidak mengenal usia dan ia melibatkan semua golongan sama ada miskin, kaya, profesional, buruh, kakitangan awam mahupun pelajar-pelajar di sekolah atau di institusi pengajian tinggi. 
Penyalahgunaan dadah kini semakin berleluasa dalam kalangan remaja, terutama yang masih bersekolah, iaitu golongan pewaris pembangunan negara. 


Antara faktor para remaja terjerumus ke kancah penagihan dadah:1.  Pengaruh rakan sebaya2.  Perasaan ingin tahu3.  Krisis identiti semasa proses perkembangan remaja4.  Terjerumus secara tidak sengaja 5.  Isu-isu keluarga, seperti 

  • sosioekonomi keluarga yang rendah
  • ibu bapa yang terlalu sibuk dengan kerja
  • pergaduhan atau penceraian ibu bapa
  • penderaan dalam keluarga
  • ibu bapa terlalu memanjakan anak-anak
  • ibu bapa terlalu pilih kasih  
  • ibu bapa bersikap terlalu kritikal terhadap anak-anak. 

Ditambah pula dengan kewujudan pelbagai jenis dadah sintetik yang semakin berleluasa yang boleh diperoleh dengan mudah, meningkatkan lagi risiko golongan ini untuk terlibat dalam kancah penagihan dan pengedaran dadah.
Penyalahgunaan dan pengedaran dadah dalam kalangan penuntut institut pengajian tinggi awam dan swasta turut semakin membimbangkan apabila semakin ramai antara mereka yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan ini. Ada di antara mereka yang telah terlibat dari zaman bangku sekolah lagi dan membawa ketagihan ini sehingga ke peringkat pengajian tinggi. Apa yang membimbangkan ialah mereka boleh mempengaruhi rakan lain di kampus untuk turut sama menjinakkan diri dalam kancah penagihan dadah. Akhirnya, merosakkan golongan para belia terpelajar ini yang merupakan aset pembangunan modal insan dan kepimpinan agama, bangsa serta negara.

Para pekerja juga tidak terkecuali terlibat dalam kegiatan penagihan ini dan ada di antara kalangan mereka ini merupakan penjawat awam. Laporan menunjukkan secara keseluruhan seramai 804 orang penjawat awam  ditahan kerana mengambil dadah bagi tempoh 1 Januari hingga 30 November 2021. Daripada jumlah itu, seramai 346 orang merupakan pegawai dan anggota polis, 340 orang kakitangan awam, 104 orang pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta 14 orang merupakan kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). 
Perkara sebegini boleh menjejaskan imej penjawat awam sebagai golongan pekerja yang seharusnya melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh amanah dan berintegriti. Selain itu, menjejaskan prestasi kerja secara personal dan pencapaian jabatan secara keseluruhan.


Oleh itu, amalkan gaya hidup sihat agar kita dapat mewujudkan persekitaran kerja, keluarga dan komuniti yang bebas dari dadah. Berikan bantuan serta hulurkan sokongan moral dan sosial kepada mereka yang memerlukan terutama ahli keluarga agar golongan ini dapat berubah dan kembali semula ke pangkal jalan.

Bagi anda yang terlibat dalam dunia penagihan dan pengedaran ini, sekiranya timbul kesedaran dan keinsafan untuk melakukan perubahan demi kesejahteraan dan kesihatan diri sendiri dan demi orang tersayang, dapatkanlah bantuan selagi anda belum terlewat!


Bersama-sama kita wujudkan persekitaran KAMPUS DAN WARGA UTM BEBAS DADAH! 

Hari Antidadah Kebangsaan.jpg

Saham dan Amanah Saham, Apakah Perbezaannya?

Semasa kecil dulu, abang dan ayah saya ada bincang pada satu petang.

“Lebih baik labur di mana, Amanah Saham atau Saham?” tanya abang pada ayah.

Saya masih ingat lagi, zaman tu dekat surat khabar ada ditunjukkan papan harga saham saham Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL). Sekarang dah bertukar kepada nama baru iaitu Bursa Saham Malaysia.

Pada masa tu, saya tak tahu apa pun mengenai topik yang dibincangkan. Lagi melucukan, saya ingatkan melabur saham ni macam main judi.

Yelah, orang kalau sebut bila mana labur atau dagang saham, mesti akan guna perkataan main. Mereka tak guna perkataan labur atau dagang saham. Kemudian, setiap hari akan tengok harga terkini.

Jadi tak nampak beza sangat pun antara orang beli nombor ekor (berjudi). Setiap hari mereka akan tengok nombor bertuah apa yang akan naik di surat khabar. Mirip dengan orang yang beli saham yang nak akan angka harga saham.

Kalau naik, maka untung. Kalau turun, maka rugi.

Rupanya sangat berbeza. Melabur tak sama dengan berjudi dan amanah saham berbeza dengan saham.

Ironinya, saya banyak jumpa orang yang tak tahu perbezaan antara saham dengan amanah saham sepanjang menjadi seorang perancang kewangan berlesen.

Jadi dalam episod kali ni, saya nak bercerita perbezaan antara saham dan amanah saham.

Amanah Saham

Amanah saham ialah dana yang dikumpulkan dari ramai pelabur dan disatukan sebagai ke dalam satu dana yang kemudiannya dilaburkan oleh pengurus dana bagi pihak pelabur.

Pengurus Dana akan melaburkan dana tersebut berdasarkan objektif pelaburan dana tersebut.

Sebab tu kena baca dulu prospektus, helaian sorotan produk (product highlight sheet) atau lembaran fakta dana (fund fact sheet) sebelum melabur supaya anda tahu dana tu dilaburkan di pasaran apa (ekuiti, sukuk, pasaran wang), dekat mana (Malaysia, Asean, Asia, Eropah), risiko-risko dalam dana tersebut, caj-caj yang dikenakan dan prestasi masa lepas dana tersebut.

Secara umumnya, ada dua jenis dana amanah saham iaitu dana harga tetap dan dana harga berubah.

Dana harga tetap ini tiada penurunan atau kenaikan harga dan keuntungan diperolehi melalui agihan pendapatan (Income Distribution). Contoh dana harga tetap adalah ASB dan ASB 2 yang diuruskan Amanah Saham Nasional Berhad

Dana harga berubah ini ada berlaku penurunan dan kenaikan harga. Keuntungan diperolehi melalui agihan pendapatan (income distribution) dan kenaikan harga (capital gain). Hampir semua (kecuali ASB dan ASB 2) adalah dana jenis ni.

Saham

Saham pula adalah pembelian langsung ke atas pemilikan sesuatu syarikat. Membeli saham bermakna membeli pemilikan syarikat secara langsung dari pasaran saham. Pembelian (dan penjualan) dilaksanakan melalui dealer/remisier.

Keuntungan diperolehi melalui dividen dan kenaikan harga saham sesebuah syarikat iaitu bergantung pada prestasi perniagaan syarikat yang dilaburkan tersebut.

Jadi perbezaan paling ketara antara saham dan amanah saham adalah saham ada pembelian pemilikan secara terus pemilikan sesebuah syarikat manakala amanah saham pembelian secara tidak langsung oleh pengurus dana.

Ini bermakna anda sendiri yang melabur dan memiliki secara terus pegangan dalam sesebuah syarikat untuk saham manakala amanah saham pula anda menggunakan kepakaran pengurus dana menggunakan dana dalam melakukan pelaburan.

Apa yang anda miliki adalah unit-unit dana. Bukan pegangan ekuiti syarikat.

Ini sekaligus menafikan kenyataan sebahagian orang yang mengatakan anda boleh memiliki pegangan saham pemilikan sesebuah syarikat dengan kos yang lebih rendah melalui amanah saham.

Saham adalah pembelian unit syarikat iaitu bergantung pada harga seunit semasa (100 unit setiap 1 lot) manakala amanah saham adalah pembelian unit dana amanah saham.

Jadi mana yang lebih baik?

Ia bergantung pada personaliti dan karakter anda. Pandangan peribadi saya, sekiranya anda memiliki masa untuk melakukan kajian dan menghadap pasaran saham, memiliki kemahiran menganalisis saham atau sanggup meluangkan masa untuk belajar, mempunyai kawalan emosi yang baik dan seorang yang berani ambil risiko maka melabur secara terus melalui instrumen saham adalah yang terbaik.

Tetapi sekiranya anda tiada masa kerana sibuk dengan kerja terutama golongan profesional, tiada kemahiran atau tiada masa nak belajar dan rasa perit melihat pergerakan harga saham maka pelaburan melalui amanah saham adalah terbaik. Ini kerana kekurangan yang anda boleh diatasi dengan menggunakan kemahiran dan kepakaran pengurus dana.

Kesimpulannya, tiada pelaburan yang sesuai untuk semua orang. Anda kena tahu dulu diri anda macam mana dan kemudian baru cari pelaburan yang sesuai dengan ciri-ciri yang anda miliki.

kredit : Majalah Labur

5 RAHSIA RENDAHKAN PREMIUM TAKAFUL

Ramai tahu tentang kelebihan melanggan polisi insurans/takaful, tetapi masih ramai teragak-agak untuk melanggan insurans. Antara alasan yang sering diberikan adalah— premium(caruman bulanan) insurans mahal. Jadi, hari ni saya nak beri tips (bukan rahsia pun) macam mana nak miliki polisi insurans dengan premium lebih murah.

1. LANGGAN POLISI SEKARANGMula langgan polisi ketika masih muda, sihat dan tiada penyakit kronik. Semakin umur meningkat, risiko penyakit seperti diabetes, darah tinggi dan sakit jantung meningkat. Maka pihak insurans akan mengenakan premium yang tinggi pada anda jika anda lewat melanggan.

Malahan, jika anda sudah ada penyakit, baru anda hendak langgan polisi, pihak insurans boleh buat pengecualian daripada melindungi kos rawatan penyakit yang anda telah ada itu.

Contoh:—Semasa anda mula melanggan polisi insurans perubatan, anda sudah ada sakit jantung

—Jika anda masuk wad, kos rawatan anda akan ditanggung pihak insurans #KECUALI kes melibatkan sakit jantung

Jadi, langgan polisi sekarang! Lebih awal, lebih rendah risiko, lebih murah!

Selain itu, faktor yang mempengaruhi kadar premium adalah sejarah penyakit keluarga. Jika keluarga anda ada sejarah penyakit kronik, premium anda boleh tinggi. Anda tak boleh ubah sejarah, tapi anda boleh ubah masa depan.

Maka, jaga kesihatan anda, supaya anak-anak anda nanti nak ambil insurans nanti, tak kena premium tinggi. Lagi baik kalau anda ambil polisi untuk anak anda mulai sekarang.

2. JANGAN MEROKOK / SALAHGUNA DADAHTabiat merokok dikaitkan dengan masalah kesihatan seperti, darah tinggi penyakit kardiovaskular, serangan strok dan kanser paru-paru/tekak. Maka, jika anda perokok, premium yang dikenakan pada anda akan lebih tinggi daripada individu yang tidak merokok.

Sudahlah rokok sudah mahal, premium takaful pula jadi pebih mahal jika anda merokok. Dua kali rugi di situ. Jadi, jangan/hentikan merokok jika mahu bayar premium takaful lebih murah. Elakkan juga ambil minuman beralkohol dan dadah rekreasi atas sebab yang sama.

Faktor lain yang meninggikan premium adalah jenis pekerjaan dan hobi. Pekerjaan dan hobi yang berisiko tinggi untuk mendapat kecederaan atau penyakit, akan meninggikan premium. Namun, takkan nak tukar kerja semata-mata nak premium murah. Hobi boleh pertimbang untuk diubah.

Mahu murah, elakkan tabiat yang mempunyai risiko tinggi!

3. AMBIL JUMLAH PERLINDUNGAN OPTIMUMAda ejen takaful yang menjual polisi hanya berpaksikan kutipan komisen dan mengejar anugerah. Ejen seperti ini akan cuba memujuk pelanggan untuk ambil polisi lebih daripada pelanggan itu perlukan. Anda perlu tahu keperluan anda.

Insurans Hayat: Semakin tinggi, jumlah perlindungan, semakin tinggi premium. Maka ambil jumlah perlindungan yang optima sahaja. Tak usah over-insured, tak usah under-insured. Bagaimana nak tahu jumlah perlindungan yang optima?

Formula mudahnya: Jumlah pendapatan setahun x 10

Contoh:

— Jumlah pendapatan setahun = RM50,000

— Jumlah perlindungan hayat yang perlu = RM50,000 x 10 = RM500,000

*Namun, jika anda berkemampuan, ambillah perlindungan yang lebih tinggi. Ambil lebih dari satu perlindungan hayat pun boleh.

Insurans Perubatan:

Ada syarikat yang beri kelebihan insurans perubatan kepada para pekerja. Jika majikan anda beri kelebihan ini, tidak mengapa jika anda tak langgan insurans perubatan persendirian. Cuma, insurans yang majikan beri ini #HANYA boleh guna selagi anda bekerja dengan majikan itu. Lepas berhenti/pencen, kena tanggung sendiri. Kena pandai uruskan.

Oleh itu, cari ejen yang bagus. Ejen yang boleh nasihat tentang keperluan anda. Ejen yang menjaga kepentingan anda juga, bukan yang jaga diri dia sendiri sahaja.

4. TAK PERLU INSURAN BERPELABURANKini banyak syarikat insurans menawarkan produk insuran/takaful berpelaburan. Segelintir ejen suka mengesyorkan produk ini kerana komisen yang ejen terima untuk penjualan produk ini lebih tinggi.

Masalahnya, premium insurans/takaful berpelaburan mempunyai premium yang lebih tinggi berbanding tanpa pelaburan. Satu lagi pelaburan itu bukan saving. Ia cash value. Cash value ini boleh jadi kosong.

OK. Ini keutamaan produk (atas lebih utama)

— Insurans/Takaful Hayat

— Insurans/Takaful Perubatan

— Insurans/Takaful Hayat + Perubatan

— Insurans/Takaful Hayat + Perubatan + Pelaburan

Pelaburan itu bukan keperluan. Perlindungan itu yang penting. Tinggalkan pelaburan jika perlu perlindungan sahaja, pasti premium akan lebih murah.

5. CO-INSURANS / CO-TAKAFULTak ramai ejen beritahu anda tentang pilihan ini, dan tak ramai pelanggan yang ingin ambil pilihan ini setelah diberitahu. Hakikatnya co-insurans boleh rendahkan premium dan ada kebaikannya juga.

Co-insurans bermaksud, pelanggan bersetuju untuk membiayai sebahagian daripada bil rawatan hospital mereka dan selebihnya akan di tanggung oleh pihak insurans

Contoh pakej co-insurans:

— Bil rawatan = pemegang polisi bayar 10% daripada jumlah bil ( syarat: minimum bayaran yang dibayar oleh pemegang polis RM300 dan maksimum RM1000) dan selebihnya insurans bayar.

Contoh pengiraan co-insurans:

— Bil rawatan = RM50,000 (10% = RM5,000)

— Insurans bayar = RM49,000

— Pemegang sijil bayar = RM1000(itu pun boleh dibayar sebahagiannya menggunakan elaun yang diberi oleh pihak insurans untuk kemasukan wad)

Memandangkan anda bayar sebahagian daripada kos rawatan, maka premium anda adalah rendah. Co-insurans sesuai untuk orang muda dan baru bekerja, cuma kena siapsiaga RM1,000 dalam simpanan. Dah mampu nanti, boleh tukar kepada polisi full coverage.

AKHIR KATA

Semua saranan di atas hanya sesuai jika anda mempunyai kekangan kewangan namun masih perlukan perlindungan insurans. Jika anda mampu, tak usahlah lokek sangat nak belanjakan wang untuk melindungi kesihatan dan kewangan anda. Semasa membuat pilihan polisi insurans, fikirkan juga tentang perlindungan lain yang anda ada seperti JPA/PERKESO, supaya anda boleh buat pilihan yang tepat.

Semoga bermanfaat

Kredit :Kamarul Ariffin Nor Sadan

Rezeki Allah itu luas..