14 tip di Mina dan Arafah, jemaah perlu mandi awal pagi elak berebut tandas

PADAT… Jemaah haji dari seluruh dunia akan berkumpul di Arafah untuk melaksanakan rukun haji kedua iaitu wukuf di Arafah yang bermula dari gelincir matahari pada 9 Zulhijjah iaitu apabila masuk waktu Zohor hingga seketika sebelum terbit fajar 10 Zulhijjah. – Foto BERNAMA
PERLUKAH mandi di Arafah dan bagaimana hendak mandi di Mina? Itu soalan lazim yang sering dikemukakan oleh jemaah wanita sebelum berangkat ke Tanah Suci untuk mengerjakan ibadat haji.

Mestilah perlu mandi tetapi bagaimana pula hendak mandi jika terlalu ramai jemaah beratur dan tidak dinafikan kadangkala ada yang berebut dan berselisih faham gara-gara tidak tahan hendak membuang air kecil, membuang air besar atau mandi.

Ketika mengerjakan ibadat haji yang pertama, sudah tentu saya tidak tahu rahsia masa terbaik untuk mandi di Arafah mahupun Mina. Bukan senang hendak membersihkan diri. Usia muda ketika itu menyebabkan saya terpaksa mengalah dengan jemaah lebih berusia.

Sabar. Itulah yang saya tanamkan dalam diri. Saya memerhati jemaah demi jemaah memasuki ruang tandas. Saya termenung panjang.

Akhirnya, saya tidak berpeluang mandi di Arafah kerana tandas sentiasa sesak dan saya tidak sanggup lagi beratur menunggu giliran. Saya pula tidak sampai hati apabila jemaah yang boleh saya panggil makcik atau nenek hendak memotong giliran. Saya benarkan saja.

Sepanjang mengerjakan ibadah Haji elakkan sikap pentingkan diri.

Disebabkan jemaah wanita lebih ramai berbanding lelaki. Tandas lelaki juga turut menjadi rebutan jemaah wanita. Keadaan ini adakala melucukan tetapi sukar dibendung kerana lazimnya, wanita juga mengambil masa lama di dalam tandas.

Badan terasa melekit. Alhamdulillah, suhu tidak terlalu tinggi kerana musim haji ketika itu pada Februari. Saya pulang semula ke khemah. Saya memunggah bagasi kecil saya dan mengambil botol penyembur seterika. Ketika itu, belum ada penyembur wuduk seperti sekarang.

Saya sembur ke muka dan tubuh tanpa mengelapnya. Terasa segar seketika. Jadilah, detik hati saya sementara menunggu waktu wukuf saya mengaji, membaca dan solat sunat.

Bagaimanapun, ketika mengerjakan ibadat haji yang kedua dan seterusnya, saya merancang waktu untuk masuk ke tandas dan Alhamdulillah apa yang dipraktikkan itu saya turut kongsikan dengan rakan dan kenalan yang bertanya.

Saya akan mandi pada jam 1 pagi atau 2 pagi. Selepas mandi, barulah saya tidur seketika sebelum bangun semula sebelum Subuh. Ketika itu, saya lihat memang ramai jemaah beratur untuk ke tandas. Untuk berwuduk, saya ke ruang wuduk berhampiran tandas dan selalunya ia tidak mengambil masa yang panjang.

Jika bersedia lebih awal, ibadah juga dapat dilakukan dengan selesa.

Jemaah boleh mandi dengan selesa tanpa perlu beratur lama jika mandi pada jam 1 pagi.

Lazimnya, pada masa itu, sebahagian besar jemaah lena tidur dan rebutlah masa itu untuk membersihkan diri, tidak kiralah di Arafah atau Mina.

Selalunya, ramai mengatakan jam 3 pagi boleh bangun dan mandi tetapi bangkitllah sebelum jam 3 pagi dan mandilah ketika itu. Selepas mandi, anda masih berpeluang tidur dengan selesa dan jika hendak berwuduk, tidak perlu beratur panjang dan boleh mengambil wuduk di tempat wuduk saja.

Di Mina, elakkan membasuh pakaian atau tudung. Bawa pakaian secukupnya demi keselesaan semua jemaah. Jika membasuh pakaian atau tudung atau telekung, sudah tentu anda mengambil masa dan ini menyebabkan tempoh menunggu lebih lama di kalangan jemaah lain.

Justeru, elak pentingkan diri dan sentiasa ingat, setiap jemaah juga memerlukan masa untuk membersihkan diri.

Tip membersihkan diri di Arafah dan Mina

1. Mandi pada jam 1 pagi atau sebelum jam 3 pagi.

2. Elak mandi pada waktu siang kerana cuaca panas kerana dikhuatiri boleh demam.

3. Masukkan kelengkapan mandian dan pakaian di dalam beg kecil yang boleh digantung di dalam tandas.

4. Elak membasuh pakaian, tudung, telekung di dalam tandas.

5. Mengambil wuduk di luar tandas.

6. Beratur mengikut giliran.

7. Sentiasa menutup aurat.

8. Usah mengambil masa lama di dalam tandas.

9. Elak mencuci rambut di dalam tandas apatah lagi jika anda di Arafah dan masih dalam ihram.

10. Pastikan botol penyembur wuduk sentiasa bersama anda terutama di dalam khemah

11. Elak membuang air kecil di ruang lantai di dalam atau di luar tandas serta di tempat mengambil wuduk.

12. Jika tidak tahan mahu membuang air besar atau kecil, nyatakan dengan sopan dan usah terus berlari atau menolak jemaah lain untuk masuk ke dalam tandas.

13. Elak berdandan atau menyikat rambut di dalam tandas. Lakukan di dalam khemah.

14. Elak makanan yang pedas, masam dan alah kepada perut sepanjang di Arafah serta Min

Kecut perut dapat visa Furada! Ketahui tip jika dapat visa ini untuk buat haji

Lembaga Tabung Haji merupakan agensi pengurusan haji yang efisyen dan diiktiraf oleh kerajaan Arab Saudi sebagai terbaik.
TULAR dan hangat kisah 26 jemaah haji terkandas di lapangan terbang Jeddah minggu ini. Netizen memberi pelbagai reaksi berhubung perkara itu.

Sebahagian besar marahkan agensi pengendali terbabit. Tidak kurang juga umpama memujuk hati jemaah agar bersabar serta bermuhasabah. Ada juga yang membuat tuduhan dan melontarkan kata-kata tidak enak terhadap syarikat pengendali itu.

Buangkan amarah dan andaian negatif kerana kes sedang disiasat. Kehangatan membicarakan mengenainya, ingin saya berkongsi pengalaman menggunakan visa Furada untuk menyempurnakan ibadat berkenaan, sekali gus membawa jemaah ke Tanah Suci menerusi visa tersebut.

Pada 2015, saya mula mengenali visa haji Furada apabila diminta menjadi petugas haji. Mulanya saya sangat bimbang kerana tidak pernah mendengar perkataan itu. Sekembali ke rumah, saya mula melayari internet dan mencari maknanya.

Masih tidak berpuas hati dengan hasil yng ditemui, saya tanya pula kepada dua kenalan yang pernah bertugas di Tabung Haji. Jawapan mereka sama seperti hasil yang diperoleh di internet. Kegusaran saya lenyap, lantas menerima tawaran untuk menggalas tugasan menyantuni tetamu Allah pada tahun berkenaan.

Begitu juga pada tahun-tahun berikutnya. Namun, pada 2016, pemergian saya ke Tanah Suci membuat hati kecut perut apabila dimaklumkan oleh pengurus operasi ketika itu bahawa bukan semua visa diperoleh.

Ketika itu, saya dan 120 jemaah sudah tiba di KLIA, Sepang dan saya terus ke kaunter daftar masuk untuk melihat susunan pasport. Sejurus ternampak gambar saya di belakang pasport, saya mengucapkan Alhamdulillah.

Siti Esah Hussain menangis kesedihan ketika ditemui Bernama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana tidak dapat mengerjakan ibadah haji musim ini berikutan masalah tiket dan visa furada. Seramai 26 jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz di Jeddah sejak Isnin lalu selamat tiba di KLIA pada Rabu.

Seorang lagi petugas turut bertanya adakah pasportnya juga ada dan saya mengatakan ada. Justeru, berangkatlah kami seramai 120 jemaah pada petang itu ke Tanah Suci.

Setelah setengah jam di udara, terdengar beberapa jemaah bersuara terkejut kerana mendapati tarikh visa yang tertera adalah pada hari berangkat. Ada yang bertanya kepada saya kenapa jadi begitu dan seperti tidak percaya.

Saya katakan ya, semua visa baru diperoleh pada pagi itu dan tiba di KLIA pada jam 1.30 tengah hari. Ramai yang mengatakan syukur dapat berangkat. Namun, ada beberapa jemaah yang tidak memperoleh visa dan terpaksa pulang hampa. Visa mereka masih diproses.

Simpati saya pada jemaah berkenaan tetapi apakan daya. Usaha telah pun dilaksanakan tetapi rezeki belum menyebelahi mereka. Dengan wajah sedih, jemaah terbabit memohon agar kami semua mendoakan mereka untuk dapat bersama-sama nanti.

Ada yang mengalirkan air mata. Alhamdulillah, jemaah berkenaan bertemu kami dua hari selepas itu. saya dan petugas lain dimaklumkan bahawa pasport jemaah yang lewat dua hari itu sebenarnya antara yang mula-mula dihantar untuk permohonan visa tetapi entah kenapa tidak diperoleh sebagaimana yang lain.

Apakah visa furada?

Visa Furada dikeluarkan oleh Kedutaan Arab Saudi dan lazimnya hanya kenamaan dan pihak tertentu memperolehinya. Selalunya visa diproses beberapa hari sebelum tarikh dijadualkan berangkat.

Kenapa bakal jemaah memilih visa Furada?

Berdasarkan pengalaman, sebahagian besar jemaah memilih visa Furada kerana enggan menunggu lama untuk mengerjakan ibadat haji setelah lewat atau tidak mendaftar dengan Lembaga Tabung Haji untuk menunaikan haji.

Keadaan ini menyebabkan giliran mereka sangat lewat dan kemungkinan sudah terlalu uzur atau tiada lagi. Selain itu, ada juga yang memilih visa Furada kerana berkemampuan mahu menunaikan haji lebih daripada sekali dan ada segelintir pula mahu membawa anak remaja. Keadaan itu semua menjadikan mereka cenderung memilih visa Furada bagi menyempurnakan rukun Islam kelima itu.

Visa Furada hanya untuk golongan berada?

Tidak juga kerana ada antara jemaah bekerja makan gaji tetapi memberi keutamaan dan mahu menyempurnakan ibadat haji ketika masih kuat serta bertenaga. Tidak dinafikan visa Furada dijual pada harga yang tinggi iaitu di antara RM12,000 dan RM16,000. Itu tidak termasuk harga pakej haji dan total kos berjumlah dari RM35,000 ke atas manakala tempohdi Tanah Suci ialah satu bulan, termasuk perjalanan pergi balik.

Apakah persediaan jika mendapat visa haji Furada?

1. Buat sedikit kajian mengenai syarikat pengendali haji yang menawarkan visa Furada.

2. Bertanyalah secara khusus mengenai wang yang diserahkan dan pastikan simpan segala invois dan resit pembayaran.

3. Perbanyak doa dan solat hajat.

4. Bersedia dengan segala keperluan untuk ke Tanah Suci seminggu sebelum berangkat.

5. Berfikir positif dan rasional.

6. Membawa wang secukupunya atau buka akaun Rajhi atau mengemas kini perbankan anda kepada pengeluaran antarabangsa kerana jemaah haji visa Furada tidak boleh mengeluarkan wang di kaunter Tabung Haji.

7. Bawa bekalan ubat-ubatan secukupnya kerana jemaah haji visa Furada tidak boleh mendapat perkhidmatan perubatan di klinik kesihatan Tabung Haji.

8. Ambil insurans kesihatan/pelancongan.

Hakikatnya, setiap umat Islam yang mahu menjejakkan kaki ke bumi Haramain untuk mengerjakan haji dan umrah perlu memperbanyakkan doa, solat hajat dan taubat selain bertawakal kerana kedatangan kita atas kehendak serta undangan daripada Allah.

Air zamzam boleh ‘hand carry’ masuk ke pesawat, bukan dibuang atau disimpan dalam bagasi

Air zamzam menjadi oleh-oleh paling dinanti-nantikan sanak saudara dan sahabat handai di tanah air.
JEMAAH haji mula berangkat pulang ke tanah air secara berperingkat bermula minggu ini dan mudah-mudahan mereka dikurniakan haji mabrur yang menjadi keutamaan setiap jemaah.

Semoga Allah mengurniakannya dan memakbulkan doa yang dipanjatkan sepanjang berada di Tanah Suci.

Pastinya, kepulangan jemaah akan disambut ahli keluarga dan sanak saudara yang merindui mereka.

Justeru, pelbagai cenderahati atau oleh-oleh dibawa pulang. Paling diinginkan adalah tamar atau kurma ajwa, ambar, rotab dan semestinya air zamzam.

Lazimnya, air zamzam lima liter dan senaskhah al-Quran akan diberi secara percuma kepada setiap jemaah haji. Bekalan air zamzam biasanya tidak mencukupi bagi menampung keperluan tetamu yang bertandang untuk bertanya khabar insan yang baru bergelar haji dan hajah.

Setiap individu yang mengunjungi Makkah bagi tujuan mengerjakan haji atau umrah sentiasa dibekalkan dengan air zamzam.

Justeru, ramai yang akan membawa lebih daripada dibekalkan. Satu daripada caranya adalah menerusi khidmat pos yang disediakan di Tanah Suci. Itu cara terbaik untuk mendapatkan air zamzam. Dengan hanya SR120 jemaah boleh mengepos air zamzam 10 liter dari Tanah Suci ke kediaman mereka di Malaysia.

InsyaAllah, air zamzam dan segala barangan yang dipos dari Tanah Suci akan tiba di tanah air dalam tempoh dua minggu. Bagaimanapun, jemaah dinasihatkan agar menyimpan resit atau bukti pos kerana dikhuatiri barang lewat sampai atau tidak mengikut jadual.

Air zamzam juga boleh dibawa secara hand carry oleh setiap jemaah ketika hendak pulang ke tanah air. Ramai yang bimbang, tidak percaya dan ragu-ragu kerana menganggap cecair melebihi 100 milileter (ml) tidak boleh dibawa naik ke dalam pesawat.

Bagaimanapun, usah terlalu banyak membawa air zamzam secara hand carry. Cukup dengan sebotol atau dua botol bersaiz tidak melebihi 1 liter.

Kakitangan lapangan terbang tidak akan merampas atau meminta anda meninggalkan botol air yang dibawa kerana mereka juga yakin yang dibawa adalah air zamzam.

Jika anda membawa sebotol dua air zamzam secara hand carry, tidak mengapa tetapi apa yang tidak boleh adalah meletakkan berbotol-botol air zamzam di dalam bagasi besar yang hendak dimuatkan di dalam perut kapal terbang.

RAIHANAH ABDULLAH

PEMBIMBING JEMAAH HAJI DAN UMRAH WANITA

Saya lihat, sebahagian besar jemaah akan membuang air zamzam di lapangan terbang sebelum memasuki pemeriksaan bagasi di bahagian pelepasan. Ramai jemaah tidak yakin air zamzam boleh dibawa secara hand carry sehingga meletakkannya di mesin pengimbas sebelum meletakkan bagasi dan melalui pemeriksaan tubuh. Ini amat merugikan.

Pernah saya beberapa kali menasihatkan jemaah membawa masuk saja air zamzam secara hand carry tetapi tidak diendahkan kerana mereka tidak percaya dan akhirnya mereka kesal meninggalkan air itu di mesin pengimbas setelah melihat air zamzam yang saya bawa tidak diambil atau dilarang dibawa masuk ke dalam pesawat.

Jika anda membawa sebotol dua air zamzam secara hand carry, tidak mengapa tetapi apa yang tidak boleh adalah meletakkan berbotol-botol air zamzam di dalam bagasi besar yang hendak dimuatkan di dalam perut kapal terbang.

Ini bukan saja menyebabkan lebihan muatan pada bagasi jemaah tetapi menimbulkan pelbagai kesulitan jika pihak pengurusan lapangan terbang berjaya mengesan ada air zamzam di dalam bagasi menerusi mesin pengimbas.

Jemaah haji atau umrah berpeluang menikmati air zamzam yang disediakan di Makkah dan Madinah.

Jika keadaan ini berlaku, jemaah diminta mengeluarkan air zamzam di dalam bagasi. Jika tidak dikesan awal, dikhuatiri air zamzam yang dibawa boleh tumpah sehingga boleh menjejaskan bagasi jemaah lain.

Sehubungan itu, air zamzam tidak boleh dimasukkan ke dalam beg besar dan usah sekali-kali memandang ringan perkara seumpama itu.

Masih ada jemaah yang bertanya perihal memuatkan air zamzam di dalam bagasi besar dan sanggup melakukannya dan kadangkala berdegil kerana menganggap selamat melakukannya.

Jika bernasib baik, anda mungkin terlepas dan air zamzam yang dibawa tidak menjejaskan bagasi lain tetapi bayangkanlah jika ia berjaya dikesan ketika daftar masuk, sudah tentu ini menyulitkan semua jemaah lain kerana ia melambatkan keseluruhan proses daftar masuk dan seterusnya penerbangan.

Justeru, usah sekali-kali mementingkan diri kerana sifat ini boleh menyusahkan jemaah lain.

Modul minggu 10

minggu 10 (2020)

Modul minggu 9

minggu 9 (2020)

Modul minggu 8

minggu 8 (2020)

Modul minggu 7

minggu 7 (2020)

Modul minggu 6

minggu 6 (2020)

Modul minggu 5

minggu 5 (2020)

Modul minggu 4

minggu 4 (2020)