Archives for February 28, 2022

[Bahagian Akhir] Mengembangkan Deria Matematik Bayi Dalam Masa Enam Bulan Pertama

Babah dan anak-anak

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/bahagian-1-mengembangkan-deria-matematik-bayi-dalam-masa-enam-bulan-pertama/

Dari usia empat hingga lapan bulan, kita boleh menggunakan bahan dengan tekstur yang berbeza. Gosok kaki dan lengan mereka dengan bahan-bahan tersebut dan bercakap apa yang mereka rasa pada kulit mereka. Kita juga boleh mengisi botol air kosong dengan serbuk tertentu, bebola kapas, klip kertas, dan sebagainya. Tutup penutup dan biarkan mereka meneroka mainan baharu dan mula bereksperimen dengan bunyi dan beratnya. Rasa ingin tahu mereka akan meningkat. Kita juga boleh bermain Peek-a-boo dan menggunakan komunikasi secara matematik dengan frasa seperti “Anda mempunyai dua mata, dua telinga, satu hidung”. Bayi boleh melihat perbezaan antara mangkuk berisi air dan mangkuk separuh penuh. Mereka juga dapat mengenalpasti bahawa terdapat tiga mainan apabila sebelum ini hanya ada dua. Pada tempoh empat hingga lapan bulan, kemahiran analisis dan perbandingan mereka berkembang.

Untuk bayi berusia enam bulan pertama atau lebih, kita boleh memberikan interaksi responsif yang konsisten kepada mereka (seperti diberi makan apabila lapar dan ditenangkan apabila menangis). Membaca isyarat bayi dan bertindak balas terhadap isyarat mereka membina rasa percaya mereka kepada kita sebagai ibu bapa. Dari aspek masa, perkara yang konsisten setiap hari (seperti malam kemudian siang dan siang kemudian malam) adalah asas untuk pemahaman bayi tentang masa. Setiap keluarga mempunyai cara mereka sendiri menggunakan masa, dan bayi menyesuaikan diri dengan cara keluarga, sama ada cara sentiasa menepati masa, atau lebih kasual dan kurang fokus pada jam. Walaupun kanak-kanak kecil tidak dapat menentukan masa, mereka mengembangkan rasa teratur melalui rutin yang berulang. Kita sebagai ibu bapa boleh mengekalkan fleksibiliti sambil menghormati keperluan bayi untuk rutin. Jangan biarkan jadual harian menjadi terlalu rigit. Ia boleh diubah untuk memenuhi keperluan perkembangan bayi kecil yang sedang membesar selagi urutannya kekal sama. Natijahnya, kajian telah menunjukkan bahawa, sejak awal lagi, bayi berfikir tentang objek, peristiwa, dan orang lain terutamanya ibu bapa mengikut cara mereka. Sebelum mereka boleh bercakap, atau memakan makanan pejal, mereka mempunyai deria matematik. Mereka dapat merasakan perubahan dalam bilangan objek. Malah mereka boleh membuat anggaran mudah. Para saintis kognitif terus menunjukkan bahawa otak bayi adalah jauh lebih kompleks daripada apa yang pernah kita fikirkan. Seorang bayi mungkin tidak boleh untuk bersuara, tetapi otak mereka jauh lebih pesat berkembang. Bayi kita mungkin tahu lebih banyak tentang matematik daripada yang kita fikir mereka tahu.

Tamat