Archives for September 2020

Powernya istighfar! Ikuti kisah teladan3 lelaki, 3 masalah bersama Imam Hasan Al-Basri

ISTIGHFAR atau Astaghfirullah adalah tindakan meminta maaf atau memohon keampunan kepada Allah yang dilakukan umat Islam.

Sesungguhnya ia adalah perbuatan yang dianjurkan dan sesuatu amalan penting di dalam ajaran Islam.

Astaghfirullahal-ladzi la ilaha illa huwal-hayyul-qayyum, wa atubu ilaih, yang bermaksud: “Aku memohon ampun kepada Allah, Yang tiada Tuhan yang berhak disembah selain Dia, Yang Maha Hidup, Yang Maha Mengurus, dan aku bertaubat kepada-Nya.” (Riwayat al-Hakim dari Ibnu Mas’ud dan At-Tirmidzi dari Bilal bin Yasar bin Zaid)

Bagi memudahkan pemahaman berkaitan mustajabnya amalan istighfar, ulama bernama Ahmad Musthafa al-Maraghi ada menulis kisahnya menerusi kitab Tafsir al-Maraghi.

Sebagai umat Islam kita perlu menataati setiap perintah-Nya.

Kisah ini wajar menjadi teladan dan ia berkisar tokoh sufi bernama Hasan al-Basri, yang juga anak kepada pembantu sahabat Nabi Muhammad SAW yang terkenal sebagai penulis al-Quran, Zaid bin Tsabit, manakala ibunya Khairoh pula pembantu seorang isteri Baginda, Ummu Salamah.

Berpindah ke Basrah pada usia 14 tahun, beliau kemudiannya dikenali sebagai seorang tabi’in iaitu generasi setelah sahabat Rasulullah SAW, sekaligus pernah berguru kepada beberapa sahabat Baginda sehingga muncul sebagai ulama terkemuka dalam peradaban Islam.

Imam Hasan sering didatangi segenap lapisan masyarakat bertanyakan hukum agama dan meminta nasihat.

Diceritakan pada satu hari, seorang lelaki telah datang mengadu kepadanya kerana berdepan masalah kelaparan. Beliau dengan penuh hikmah menjawab, “Istighfarlah kepada Allah.”

Seterusnya beliau didatangi seorang yang menceritakan masalah yang dilaluinya kerana ketiadaan zuriat. Sekali lagi Imam Hasan menjawab, “Istighfarlah kepada Allah.”

Berpegang teguhlah pada al-Quran.

Kemudian datang pula seorang lelaki merintih mengenai kebunnya kekeringan kerana musim kemarau. Jawapan sama diulangi dengan penuh hikmah, “Beristighfarlah kepada Allah.”

Jawapan Hasan al-Basri menghairankan masyarakat sekitarnya. Salah seorang daripada penduduk itu bertanya, “Beberapa orang lelaki datang dan mengadu pelbagai masalah, tetapi tuan hanya menyuruh mereka semua untuk melafazkan istighfar.”

Hasan al-Basri menjawab: “Aku sama sekali tidak mengatakan apapun dari diriku sendiri. Sesungguhnya Allah berfirman seperti itu.”

Firman Allah yang dimaksudkan oleh Hasan adalah Surah Nuh ayat 10-12. Diriwayatkan dari Abdullah bin Abbas, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa melazimkan istighfar, maka Allah akan jadikan jalan keluar dalam setiap kesulitan hidup dan jadikan setiap kegundah-gulanaan menjadi kebahagiaan dan Allah akan memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka.” (Hadis Riwayat Abu Dawud dan Ibnu Majah)

Begitu indahnya hidup ini jika dipenuhi dengan amalan-amalan yang sememangnya tersedia dalam kitab suci al-Quran. Yang penting kita mendalaminya dan menyakini setiap isinya kerana pasti ada penyelesaian atas apa sahaja masalah yang dilalui.

Makan terlalu kenyang antara 6 sifat tercela, menjadikan manusia sombong dan gagal kawal nafsu

IMAM al-Ghazali dalam kitabnya yang berjudul al-Arba’in fi Usul al-Din (Empat Puluh Asas-asas Agama) telah menjelaskan bahawa terdapat 10 perkara yang menjadi asas utama sifat-sifat tercela.

Antara perkara yang boleh mengotorkan jiwa manusia adalah rakus dalam pemakanan. Ia merupakan asas pertama yang disebut al-Ghazali ketika menerangkan sifat-sifat tercela berkaitan jiwa.

Perut dianggap menjadi sumber kepada syahwat yang menimbulkan keinginan nafsu. Untuk mencapai keinginan tersebut, seseorang itu memerlukan harta dan berkaitan dengan harta ini ia pasti melibatkan penghormatan bagi seseorang.

Tidur pun ada adabnya… lakukan 14 cara ini dan sediakan wasiat bawah bantal barangkali ia tidur terakhir bagi kita

TIDUR adalah suatu keperluan kepada manusia untuk berehat.

Allah SWT menjadikan malam untuk berehat dan siang untuk bekerja seperti firmanNya yang bermaksud: Dialah yang menjadikan malam bagi kamu supaya kamu berehat padanya dan menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu berusaha). Sesungguhnya perubahan malam dan siang itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu mendengar (keterangan-keterangan yang tersebut dan mengambil pelajaran daripadanya). – (Surah Yunus ayat 67).

Apakah yang perlu dilakukan atau adab-adab berkaitan dengan tidur?

Menurut beberapa hadis, pandangan Imam al-Ghazali dalam kitab Bidayah al-Hidayah dan Sheikh Abdul Samad al-Falembani yang menghuraikan pandangan Imam al-Ghazali dalam kitabnya yang berjudul Hidayah al-Salikin, adab-adab tidur adalah seperti berikut:

Sebelum tidur dirikan solat witir.

1. Sebelum tidur jangan melakukan perkara sia-sia, dan tidur awal lebih baik berbanding melakukan perkara tersebut.

2. Sebelum tidur dirikan solat witir, tetapi jika ingin buat qiyamullail maka disarankan lewatkan solat witir.

3. Perlu berwuduk dan tidur mengadap kiblat seperti kedudukan jenazah yang berada di dalam kubur.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Jika kamu datang ke tempat tidurmu maka berwuduklah sepertimana kamu berwuduk untuk solat. Kemudian berbaringlah dengan lambung kananmu dan sebutlah: Ya Allah aku berserah diri pada-Mu. Aku serahkan urusanku pada-Mu. Aku berlindung kepada-Mu dengan penuh rasa cinta dan takut. Tidak ada tempat berlindung kecuali kepada-Mu. Aku beriman dengan kitab yang telah Engkau turunkan dan juga beriman dengan Nabi yang telah Engkau utuskan. Jika kamu mati maka kamu mati dengan fitrah dan jadikanlah ia akhir ucapan yang kamu ucapkan. – (Hadis riwayat al-Bukhari).

Bersihkan tempat tidur agar selesa.

4. Bersihkan tempat tidur dan baca bismillah.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Sekiranya salah seorang daripada kamu mendatangi tempat tidurnya, hendaklah dia mengambil (memegang) bahagian dalam kainnya, kemudian mengibas tempat tidurnya dengan kain tersebut serta sebutlah nama Allah (iaitu membaca Bismillah), kerana sesungguhnya tidak ada seorang pun yang tahu apa yang terjadi setelah dia meninggalkan tempat tidurnya. Sekiranya dia mahu berbaring, berbaringlah di sebelah rusuk kanannya dan berdoa; Maha suci Engkau, Ya Allah Wahai Tuhanku, dengan namaMu aku berbaring, dan dengan namaMu aku angkat pinggangku. Jika Engkau menahan nyawaku, maka berilah keampunan kepadanya dan jika Engkau melepaskannya, maka peliharalah sebagaimana hamba-hambaMu yang soleh. – (Hadis Riwayat Muslim).

5. Jika dapat, sediakan wasiat di bawah bantal, kerana barangkali ini tidur terakhir bagi kita.

6. Bertaubat dan berazam tidak ulangi maksiat.

7. Tidak tidur melebihi 8 jam kerana ia akan membuatkan umur menjadi sia-sia kerana terlalu banyak tidur.

8. Membersihkan gigi sebelum tidur.

Berusaha bangun tidur sebelum terbit fajar dengan zikir dan doa bangun tidur.

9. Sediakan air untuk berwuduk ketika bangun nanti dan niat untuk berqiyamullail.

10. Membaca doa tidur, ayat al-Kursi, ayat amanarrasul hingga akhir surah al-Baqarah, surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah al-Nas (kemudian hembus ke telapak tangan lalu menyapu ke seluruh badan, diulang baca tiga kali), surah al-Mulk, bersyahadah, berselawat dan berzikir sehingga tertidur.

Hadis yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah R.anha yang bermaksud: Sesungguhnya Nabi SAW jika Baginda berbaring ke tempat tidurnya pada setiap malam, Baginda akan menadah tangan kemudian menghembuskan ke kedua tapak tangannya. Lalu Baginda membaca: Qul Huwallahu Ahad, Qul ‘Auzu Birabil Falaq dan Qul A’uzu birabbinnas. Kemudian Baginda akan menyapu dengan kedua tapak tangannya ke tubuhnya bermula dari kepalanya dan wajahnya kemudian bahagian tubuhnya. Baginda melakukannya sebanyak tiga kali. – (Hadis Riwayat Al-Bukhari).

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang membaca dua ayat terakhir surah Al-Baqarah pada waktu malam, maka ia sudah cukup. (Hadis riwayat al-Bukhari).

11. Jika bermimpi buruk, disarankan baca a’uzubillah, hembus ke kiri, tidak menceritakannya kepada orang lain dan dirikan solat sunat.

Bertaubat dan berazam tidak ulangi maksiat.

Rasulullah SAW yang bermaksud: …Jika sekiranya seseorang itu bermimpi satu mimpi yang ditakutinya hendaklah dia meludah ke belah kirinya dan hendaklah dia memohon perlindungan daripada Allah SWT daripada kejahatannya, nescaya dia tidak akan memudaratkannya.-(Hadis riwayat al-Bukhari)

Sabda baginda SAW lagi berkenaan perkara yang sama yang bermaksud:…Jika sekiranya sesiapa dalam kalangan kamu bermimpi sesuatu yang buruk, hendaklah dia berdiri dan mendirikan solat sunat, serta janganlah dia memberitahu mimpinya itu kepada orang lain. – (Hadis riwayat Muslim).

12. Berusaha bangun tidur sebelum terbit fajar dengan zikir dan doa bangun tidur.

13. Ada satu jenis tidur lagi iaitu qailulal yakni tidur sebentar sebelum masuk waktu zohor untuk memudahkan bangun malam untuk qiyamullail nanti.

14. Qailulah tersebut sebentar sahaja dan perlu bangun sebelum masuk waktu zohor.

Semoga kita cuba untuk mengamalkan adab-adab ini ketika tidur nanti.

Jiwa kacau, hati tak tenteram? Ubatilah ia dengan berzikir, pahala dapat Allah pun sayang

ZIKRULLAH adalah satu ibadat yang istimewa kerana ia terbuka dan mudah diamalkan meskipun seseorang itu berada dalam apa-apa keadaan pun.

Menurut Imam al-Nawawi, para ulama bersepakat bahawa hukumnya harus berzikir seperti bertasbih, bertahmid, bertakbir, berselawat, berdoa dan seumpamanya secara dalam hati dan lisan bagi mereka yang berhadas, berjunub, haid dan nifas.

Maka, umat Islam perlu ambil peluang ini untuk tidak meninggalkan amalan ini, apatah lagi ia adalah arahan Allah Ta’ala dan Rasulullah SAW yang mempunyai banyak fadilat (kelebihan).

Terdapat banyak ayat dalam al-Quran dan hadis yang memerintahkan umat Islam agar memperbanyakkan zikir kepada Allah dan menjelaskan kelebihan menyertai majlis zikir.

Contohnya firman Allah dalam surah al-Ahzab, ayat 41 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah akan Allah dengan ingatan yang banyak.”

Firman Allah dalam surah surah al-Ra`d, ayat 28 yang bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.”

Manakala, contoh hadis sahih riwayat Imam al-Bukhari, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya Allah memiliki malaikat yang berkeliling di jalan mencari orang yang berzikir. Apabila mereka bertemu kelompok orang yang berzikir kepada Allah, mereka pun saling memanggil: Kemarilah kepada apa yang kamu hajatkan. Maka para malaikat menaungi mereka dengan membentangkan sayap-sayap mereka sehingga ke langit dunia.”

Dalam hadis sahih yang lain riwayat Imam al-Bukhari daripada Abu Musa al-Ash’ari RA, Nabi bersabda: “Perumpamaan orang yang berzikir dan orang yang tidak berzikir ialah seperti orang yang hidup dan orang yang mati.”

Umat Islam boleh memilih mana-mana zikir yang disukainya antaranya mengucapkan tasbih (SubhanAllah), tahmid (Alhamdulillah), takbir (Allahuakbar), tahlil (La ila ha illAllah), istighfar (Astaghfirullah) dan lain-lain.

Umat Islam boleh memilih mana-mana zikir yang disukainya antaranya mengucapkan tasbih (SubhanAllah), tahmid (Alhamdulillah), takbir (Allahuakbar), tahlil (La ila ha illAllah), istighfar (Astaghfirullah) dan lain-lain.

Mereka juga boleh memilih sama ada berzikir secara perlahan (al-sir), kuat (al-jahr), berseorangan, berjemaah, zikir lisan mahupun di dalam hati dengan jumlah bilangan yang diingini. Inilah antara kesimpulan yang boleh difahami berdasarkan nas dan pandangan ilmuwan warasah al-anbiya’ (pewaris para nabi) menerusi karya Sheikh ‘Abd al-Qadir ‘Isa.

Karyanya yang berjudul Haqaiq ‘an al-Tasawwuf menjadi rujukan utama salah satu silibus subjek teras bidang Usuluddin di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Apakah makna zikir dan apakah hukum berzikir dengan kalimah mufrad?

Timbul persoalan, apa sebenarnya makna zikir dan adakah boleh umat Islam berzikir dengan nama secara mufrad (kalimah tunggal) dari kalangan nama-nama Allah sahaja seperti ‘Allah Allah’ atau ‘al-Rahman al-Rahman’ atau ‘Ahad Ahad’?

Menurut ringkasan fatwa Pejabat Mufti Mesir (Dar al-Ifta’ al-Misriyyah) bertarikh 26 Ogos 2014, erti zikir menurut istilah atau syarak ialah ingatan seseorang hamba kepada Tuhannya ‘Azza wa Jalla, sama ada semata-mata mengingati zat-Nya atau sifat-sifat-Nya atau segala perbuatan-Nya atau hukum-hakam-Nya atau membaca kitab-Nya atau mengadu dan berdoa kepada-Nya atau memuji-Nya dengan penyucian, pujian, pengesaan, kesyukuran dan pengagungan.

Zikir kepada Allah Ta’ala dengan semua sebutannya (sighah) berfaedah jadi ubat untuk penyakit-penyakit hati, sebutan zikir ada pelbagai jenis, antaranya datang dari Rasulullah, para sahabat, para tabi’in, para ulama, para arifin, dan setiap sebutannya ada kesan pada hati secara khusus dan tertentu.

Contoh sebutan zikir ialah ‘Allah Allah’, atau ‘al-Latif al-Latif’, dan begitu juga lafaz domir (kata ganti diri) ‘huwa huwa (Dia Dia)’ dan zikir dengan semua lafaz ini hukumnya adalah harus bukan bidaah.

Berzikir kemudian berdoalah, agar Allah menerima permintaan kita.

Bagaimanakah penggunaan lafaz ‘Allah’ dari perspektif bahasa Arab?

Adapun zikir lafaz mufrad seperti ‘Allah’ atau ‘al-Rahman’, ia adalah munada (yang diseru) dihilangkan huruf nida’nya (yakni dihilangkan kalimah ‘ya’ yang bermaksud ‘wahai’). Munada termasuk kalangan kalam mufid (ayat lengkap) kerana mereka mentakwilkan huruf nida’ dengan makna ‘aku menyeru’, dihilangkan huruf nida’ adalah harus dan tersebar penggunaannya dalam bahasa Arab.

Adakah Nabi dan para sahabat tidak buat (al-tarku), maka hukumnya haram?

Ada yang berpendapat zikir isim mufrad tersebut tidak disyariatkan antara sebabnya adalah tiada dalil daripada Rasulullah dan salaf soleh. Para ulama bersepakat bahawa al-tarku (ertinya lebih kurang: tiada dalil daripada Rasulullah dan sahabat menunjukkan hukumnya adalah haram) bukanlah ia satu-satunya cara pendalilan, kerana cara pendalilan adalah menggunakan nas (al-Quran dan hadis), ijmak dan qiyas.

Maka, al-tarku bukanlah satu-satunya cara untuk keluarkan hukum syarak, ini adalah kesepakatan dalam kalangan ulama Islam, dan di sana terdapat shawahid dan athar (dalil) menunjukkan bahawa para sahabat sendiri tidak berpandangan bahawa apabila Rasulullah tidak buat maka hukumnya pasti haram atau makruh; dan demikianlah apa yang para fuqaha fahami sepanjang zaman.

Adakah lafaz zikir ‘Allah’ sahaja tiada makna pengagungan kepada-Nya?

Terdapat bantahan berkenaan zikir mufrad (Allah Allah) kerana tiada padanya makna pengagungan (ta’zim), maka perlu sempurnakannya (contohnya Allah Akbar) agar ia ada makna pengagungan.

Sesungguhnya zikir ‘Allah’ secara mufrad mengandungi makna pengagungan dan inilah yang difahami para ulama (antara contohnya) Imam Abu Hanifah berpandangan bahawa isim mufrad ‘Allah’ mengandungi makna pengagungan tanpa memerlukan syarat ia mesti dalam ayat yang sempurna. Inilah sebahagian fatwa dari Mufti Mesir berkenaan isu zikir ‘Allah Allah’.

Umat Islam digalakkan berdoa selepas menunaikan solat dan jangan terus meninggalkan tempat sembahyang.

Kesimpulan dari beberapa nas, pandangan para ulama dan ringkasan fatwa Mufti Mesir ini ialah, zikir merupakan amalan yang sangat penting dan tidak boleh ditinggalkan dalam apa jua keadaan selagi tidak bercangah dengan syarak seperti berzikir di dalam tandas secara lisan.

Selain itu, diharuskan untuk berzikir dengan kalimah mufrad seperti ‘Allah Allah’ atau ‘Ahad Ahad’ atau ‘al-Rahman al-Rahman’ dan ia bukanlah bidaah atau haram yang menyebabkan seseorang itu masuk ke neraka.

Apatah lagi terdapat hadis sahih riwayat Imam Muslim, Imam al-Tirmizi dan Imam Ahmad dengan lafaz sedikit berbeza, Rasulullah bersabda: “Tidak berlaku kiamat sehinggalah tiada lagi disebut Allah Allah”.

Menurut ulama yang mensyarahkan hadis ini iaitu Imam Mulla ‘Ali al-Qari dalam kitab Mirqah al-Mafatih Sharh Mishkah al-Masabih dengan memetik pandangan Imam al-Tayyibi bahawa kiamat tidak berlaku selagi mana masih ada orang yang menyebut ‘Allah Allah’ dan masih ada orang yang menyembah Allah Ta’ala.

Ini bermakna, hadis ini juga dijadikan antara dalil bahawa dibolehkan zikir ‘Allah Allah’. Berzikir juga menjadi petanda menunjukkan seseorang itu beriman kepada Allah. Maka, berzikirlah walau sekadar ‘Allah Allah’!

Nampak macam amalan biasa… Ini sebenarnya hukum berselawat kepada Rasulullah SAW

APAKAH hukum berselawat kepada Baginda Rasulullah SAW? Kelihatan pada zahirnya ia adalah zikir biasa barangkali.

Namun, jika dilihat kepada pandangan para ulama yang arif tentang hukumnya, maka ia mungkin sudah cukup untuk mendorong kita mewajibkan diri dan memperbanyakkan berselawat kepada Nabi Muhammad.

Menurut al-Hafiz al-Sakhawi yang menukilkan pandangan Imam Ibn ‘Abd al-Barr bahawa para ulama telah bersepakat hukum berselawat kepada Nabi Muhammad adalah fardu kepada semua yang beriman berdasarkan firman Allah dalam surah al-Ahzab, Ayat 56 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya berselawat ke atas Nabi (MUhammad). Wahai orang yang beriman, berselawatlah kalian kepadanya (Nabi Muhammad SAW) dan berilah salam kesejahteraan dengan penghormatan sepenuhnya.”

Imam al-Qurtubi pula berpendapat bahawa tiada perbezaan pandangan dalam kalangan ulama hukum berselawat adalah wajib sekali seumur hidup manakala hukumnya pada setiap masa adalah sunat muakkad (sunat yang dituntut).

Manakala Ibn ‘Atiyyah menjelaskan tentang hukum sunat muakkad tersebut dengan menyatakan bahawa tiada alasan bagi seseorang itu untuk meninggalkan selawat. Tambahnya, orang yang meninggalkan selawat kerana cuai adalah golongan yang telah ditakdirkan tiada kebaikan baginya.

Kita perlu mencintai Nabi Muhammad SAW dengan memperbanyakkan berselawat ke atas Baginda.

Imam al-Shafie berpandangan bahawa wajib hukumnya bagi seseorang itu berselawat dalam solat ketika membaca tashahud akhir. Pendapat seumpama ini juga dipegang oleh sebahagian ulama bermazhab Maliki.

Terdapat juga pandangan yang menyatakan bahawa hukumnya wajib untuk memperbanyakkan selawat tanpa dihadkan kepada jumlah tertentu. Menurut Imam al-Tahawi, selawat adalah wajib diucapkan setiap kali seseorang itu mendengar nama Nabi SAW disebut oleh orang lain atau olehnya sendiri.

Di samping itu, menurut al-Sakhawi juga, ayat al-Quran ini diturunkan adalah untuk memberitahu kepada hamba-hamba Allah tentang martabat Nabi SAW di sisi Allah dan dalam kalangan para malaikat.

Allah memuji Baginda dalam kalangan para malaikat yang dekat darjat mereka dengan-Nya dan para malaikat juga berselawat kepadanya.

Allah memerintahkan semua makhluk di bumi agar berselawat kepadanya sehinggalah bersatulah pujian selawat kepada Baginda SAW antara penduduk langit dan bumi.

Bagi mendapatkan jaminan syafaat daripada Nabi SAW itu adalah dengan berselawat sebanyak 10 kali pada waktu pagi dan petang.

Dalam pada itu, menurut Imam al-Sayuti bahawa setelah ayat al-Quran tersebut diturunkan, maka para sahabat mengucapkan tahniah kepada Rasulullah.

Imam al-Halimi menjelaskan bahawa mengagungkan Nabi SAW dengan berselawat kepadanya merupakan sebahagian dari cabang-cabang iman. Justeru, menjadi kemestian kepada umat Islam untuk memuliakannya melebihi sikap seseorang hamba memuliakan tuannya dan sikap anak memuliakan kedua ibu bapanya. Inilah yang dikehendaki di dalam kitab dan arahan dari Allah.

Imam al-Fakihi sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Sakhawi berpandangan bahawa selawat merupakan keistimewaan khusus yang hanya diberikan kepada Rasulullah SAW yang tidak dianugerahkan kepada para rasul yang lain.

Tidak terdapat di dalam al-Quran atau nas yang lain yang menunjukkan bahawa Allah berselawat kepada para nabi yang lain. Imam Sahl menerangkan bahawa kemulian yang dianugerahkan oleh Allah kepada Nabi SAW adalah lebih sempurna berbanding apa yang dianugerahkan kepada Nabi Adam AS ketika Allah memerintahkan para malaikat agar sujud kepadanya.

Ini kerana, ia hanya dilakukan oleh para malaikat dan ia tidak dilakukan oleh Allah. Ini berbeza dengan selawat di mana Allah dan para malaikat turut melakukannya bersama-sama.

Justeru dapat difahami bahawa hukumnya wajib berselawat ketika solat dan sunat muakkad pada waktu yang lain seperti ketika mendengar nama Baginda disebut.

Maka, umat Islam perlu memberi perhatian tentang kewajipan dan tanggungjawab ini dengan mengambil berat untuk sentiasa berselawat kepada Rasulullah SAW. Tuntutan ini ada kaitan juga dengan kekhususan yang dianugerahkan oleh Allah kepada Rasulullah.

Banyakkan berzikir dan berselawatlah ke atas Nabi terutama pada hari Jumaat… Doa makbul, dosa kecil terhapus

DIRIWAYATKAN oleh Imam Tirmizi r.a dalam hadis Hasan sahih, daripada Ubay ibn Ka’b telah berkata: “Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. ketika berlalu satu perempat malam, baginda bangun dan bersabda: Wahai manusia, berzikirlah kalian kepada Allah, akan datang sangkakala pertama dan diikuti sangkakala kedua, akan datang kematian bersama kedahsyatannya.

Ubay ibn Ka’b bertanya: Wahai Rasulullah, sesungguhnya daku banyak berselawat kepadamu maka berapa kalikah daku perlu berselawat kepadamu? Nabi S.A.W. menjawab: Terserah kepadamu. Ubay Ka’b berkata: Jika sebanyak satu perempat dari kehidupanku?

Rasulullah menjawab: Terserah kepadamu, jika dikau tambah jumlahnya maka ia lebih baik. Ubay ibn Ka’b bertanya: Jika separuh dari kehidupanku? Nabi S.A.W. menjawab: Terserah kepadamu, jika dikau tambah jumlahnya maka ia lebih baik.

Ubay ibn Ka’b bertanya: Jika dua pertiga dari kehidupanku? Nabi S.A.W. menjawab: Terserah kepadamu jika dikau tambah jumlahnya maka ia lebih baik. Ubah ibn Ka’b berkata: Wahai Rasulullah, jika begitu daku akan jadikan keseluruhan kehidupanku untuk berselawat kepadamu. Nabi bersabda: Kalau begitu, akan dicukupkan cita-citamu dan akan diampunkan dosa-dosamu.”

Hadis ini menunjukkan bahawa kemungkinan besar antara sahabat Nabi yang paling banyak berselawat adalah Saidina Ubay ibn Ka’b kerana ia memfokuskan keseluruhan kehidupannya dengan memilih zikir berselawat.

Dengan komitmen yang ditunjukkan oleh Ubay ibn Ka’b ini, maka Rasulullah S.A.W. memberitahu berita gembira kepadanya bahawa segala apa yang diinginkannya akan dipenuhi dan segala dosa kecilnya yang lalu akan diampunkan.

Atas contoh ini juga, para ulama seperti yang dijelaskan oleh Imam al-Sha’rani bahawa jumlah selawat yang dizikirkan oleh gurunya yang bernama Sheikh Nur al-Din al-Shauni ialah 10,000 kali setiap hari, dan seorang lagi gurunya bernama Sheikh Ahmad al-Zawawi pula berselawat sebanyak 40,000 kali setiap hari.

Para ulama mungkin atas dasar ini juga telah mengamalkan selawat yang disertai dengan doa. Ini mengambil faedah dari amalan Ubay ibn Ka’b yang banyak berselawat sehingga memberi kesan kepada segala doa dan keinginannya dapat dipenuhi.

Justeru, didapati terdapat pelbagai selawat yang telah diamalkan oleh para ulama mengandungi elemen doa seperti selawat syifa’, selawat tafrijiyyah, selawat badar dan seumpamanya.

Selawat makbulkan doa, hapus dosa kecil

Selawat juga sangat digalakkan untuk diperbanyakkan pada hari Jumaat. Dalam hadis sahih riwayat Ahmad, daripada Aus ibn Aus r.a berkata, Rasulullah S.A.W bersabda: “Hari-hari kalian yang paling baik adalah hari Jumaat, padanya diciptakan Nabi Adam A.S, padanya diwafatkan Nabi Adam A.S, padanya berlaku tiupan sangkakala dan padanya berlaku kiamat, maka kalian perbanyakkanlah selawat kepadaku pada hari Jumaat.”

Imam al-Sakhawi menukilkan pandangan Imam al-Shafie: “Daku menyukai untuk perbanyakkan selawat kepada Nabi pada setiap keadaan dan apabila berada pada malam dan siang hari Jumaat, maka keinginanku akan bertambah sangat kuat untuk berselawat.”

Kepentingan berselawat pada hari dan malam Jumaat ini mendorong sebahagian ulama berpendapat sebagaimana dinukilkan oleh Ibn Hajar al-Haitami bahawa: “Sesungguhnya menyibukkan diri dengan memperbanyakkan berselawat kepada Nabi S.A.W. pada hari dan malam Jumaat adalah lebih besar pahalanya berbanding membaca al-Quran kecuali surah al-Kahfi kerana wujud keterangan daripada hadis yang menggesa kepada pembacaan surah al-Kahfi pada malam dan siangnya.”

Menurut Sheikh Abd al-‘Aziz al-Dabbaghi, kebarangkalian pandangan ini disebut setelah wujudnya banyak hadis yang menggalakkan umat Islam berselawat pada hari dan malam Jumaat.

Hikmah memperbanyakkan selawat pada hari Jumaat telah disebut oleh Imam al-Qastalani dengan membawa pandangan Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah.

Katanya: “Sesungguhnya Rasulullah S.A.W adalah penghulu sekalian manusia dan hari Jumaat adalah penghulu segala hari, maka berselawat kepada baginda mempunyai keistimewaan tersendiri yang tiada pada hari-hari yang lain bersama-sama dengan hikmah yang lain pula, hikmah tersebut ialah bahawasanya segala kebaikan yang diperolehi oleh umat baginda di dunia dan akhirat hanyalah semata-mata berpunca dengan perantaraan Nabi S.A.W.”

Justeru, umat Islam perlulah memperbanyakkan selawat kerana ia boleh memakbulkan segala permintaan dan menghapuskan segala dosa kecil. Umat Islam juga digalakkan berselawat terutamanya pada hari dan malam Jumaat.

MENJUAL ISLAM HANYA DENGAN 20 SEN

Seorang imam masjid di London biasa naik bas untuk ke mana mana…
Suatu hari dia membayar tambang bas, lalu segera duduk setelah menerima baki dari pemandu bas tersebut…
Setelah dia mengira, ternyata wang baki dari pemandu itu terlebih 20 sen…
Ada niat di hati sang imam untuk mengembalikan baki duit yang terlebih itu kerana memang bukan haknya…
Namun terlintas pula dalam fikirannya untuk tidak mengembalikannya…
Hanya kerana memikirkan itu hanya wang kecil yang tak begitu bernilai…
Umumnya orang juga tidak mengambil peduli dalam hal begini…
Lagipun itu tidak akan membuat pemandu bas miskin…
Kemudian bas berhenti di sebuah perhentian bas untuk menurunkan sang imam…
Tiba-tiba sang imam berhenti sejenak sebelum keluar dari bas, sambil menyerahkan wang 20 sen kepada pemandu dan berkata:
“Ini wang anda, baki wang saya yang anda pulangkan tadi terlebih 20 sen.. Ini bukan hak saya..”
Si pemandu mengambilnya dengan tersenyum dan berkata:
“Bukankah anda imam baru di kota ini??
Saya sudah lama berfikir untuk mendatangi masjid anda demi mengenal lebih jauh tentang Islam,
Maka sengaja saya menguji anda dengan memberi wang baki yang lebih dari sepatutnya…
Saya ingin tahu sikap anda…”
Saat sang imam turun dari bas, kedua lututnya terasa menggeletar dan hampir jatuh ke tanah,
Hingga dia memegang tiang yang dekat dengannya dan bersandar…
Pandangannya menatap ke langit dan berkata:
“Ya Allah, hampir saja saya menjual Islam hanya dengan 20 sen…”
Maka berdakwah tak hanya dengan dalil, tapi juga dengan akhlak, agar jangan sampai orang lain menjauhkan diri dari Islam kerana perilaku kita yang tidak selaras dengan apa yang diajarkan Islam…
*Sama-sama kita ambil iktibar dari cerita di atas…*
Moga2 kita sentiasa selamat dunia dan akhirat….
No photo description available.

Bersara Awal?

0.075% bukan 7.5% ye

https://people.utm.my/nizamray/2020/09/21/1143/

Rahsia solat di awal waktu

Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam.

Sebagai contoh, pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh. Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar, rezeki dan komunikasi. Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki. Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) – dalam erti kata lain jaga daripada tidur. Disini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat diawal waktu. Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.


Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (isyraq & dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya.

Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu…). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita

Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la.) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta dimana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan. Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.

Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam. Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh.

Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di’kurniakan’ syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini. Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hambanya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukannya.

Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya. Semua yg terdapat di alam ini adalah untuk manfaat segala makhluk2 nya.