Mungkin tak perlu makan ubat, 5 cara mudah ini mampu bantu anda legakan sakit perut

SAKIT perut yang dialami seseorang itu biasanya boleh berpunca daripada gangguan hormon, pencernaan, atau faktor masalah lain melibatkan organ dalaman badan.

Gejala yang timbul termasuklah pedih ulu hati, kembung perut atau kekejangan secara tiba-tiba. Bagaimanapun, sakit perut yang tidak terlalu serius dan berlarutan untuk seketika waktu tidak disarankan mengambil ubat tahan sakit.

Kadangkala sakit itu boleh sembuh dengan sendiri tanpa perlu konsumsi sebarang ubat, ada juga yang memerlukan rawatan atau perubatan susulan.

Merujuk kepada Medical News Today, gejala sakit perut yang biasa perlu dirawat dengan cara mudah seperti;

1. Elakkan berbaring

Apabila sakit perut menyerang, elakkan berbaring selama beberapa jam sehingga sakitnya berkurangan.

Ubah posisi badan seperti merangkak di atas katil atau sofa selama 10 saat, kemudian hembus nafas dalam keadaan terkawal sambil kepala diturunkan sedikit.

Jika dalam keadaan berbaring, ia akan membuatkan asid perut bergerak ke belakang dan ke atas serta mencetuskan tindak balas pedih ulu hati atau sakit perut.

Walau bagaimanapun, posisi merangkak dikatakan mampu merawat perut kembung sekali gus melancarkan penghadaman.

2. Minum air putih

Air merupakan alternatif yang boleh mencerna segala jenis kandungan dalam usus dan menyerap nutrien daripada makanan dan minuman dengan cekap, malah membantu mnghilangkan sakit perut.

Selain itu, keadaan badan yang mengalami dehidrasi memberi kesan kepada penghadaman sehingga tidak optimum.

Apabila proses pencernaan terganggu, impak lain mula timbul sehingga meningkatkan risiko sakit perut yang berlebihan.

Menurut Health and Medicine Division (HMD), keperluan air harian wanita adalah sekitar 2.7 liter manakala lelaki ialah 3.7 liter.

3. Lilit dengan beg pemanas

Sakit perut juga boleh diatasi dengan mandian air suam sambil berendam atau lilit dengan beg pemanas.

Kedua-dua kaedah ini berkesan dalam membantu mengendurkan otot yang tegang dan melegakan simptom sakit perut.

Beg pemanas yang diisi air panas perlu diletakkan pada bahagian perut yang sakit sekurang-kurangnya 20 minit.

Sebagai langkah berjaga-jaga, gosok ia perlahan-lahan sehingga perut yang sakit benar-benar reda atau hilang.

4. Ambil minuman halia dan pudina

Halia adalah ubat semulajadi yang dapat melegakan sakit perut dan rasa senak, khasiatnya juga sama seperti daun pudina dan mempunyai kesan mentol.

Ia juga mengandungi sebatian kimia iaitu gingerol dan shogaol yang memainkan peranan penting dalam meredakan sakit perut.

Manakala gabungan halia dan daun pudina yang dibancuh seperti teh, dipercayai berkesan untuk mengatasi kekejangan otot di bahagian usus seperti sakit perut.

Kebanyakan penyelidikan mendapati, daun pudina telah lama digunakan dalam perubatan tradisional untuk merawat gangguan pencernaan.

5. Elakkan mengambil makanan tertentu

Makanan ini perlu dielakkan ketika mengalami sakit perut, seperti makanan pedas, berasid, berlemak, tinggi garam, bahan proses atau hidangan makanan yang berlebihan

Pastikan apa sahaja yang dimakan dikunyah sehingga ia benar-benar lembut supaya mudah untuk dihadam.

Makanan atau minuman alternatif yang selamat dikonsumsi ialah teh halia, pisang, betik dan yang mengandungi probiotik.

Namun perlu ambil perhatian, apabila gejala sakit perut melebihi tempoh 24 jam, segeralah berjumpa pakar untuk mengelakkan kesan sampingan.

kredit artikel : mstar.com

Sakit tekak waktu pagi walau tak alami selesema… ini 4 puncanya

BANGUN pagi dengan tekak sakit secara tiba-tiba bukanlah perkara yang menyenangkan. Ketika itu, anda tidak berasa seperti alami selsema atau penyakit lain, tetapi sakit tekak muncul secara tiba-tiba.

Seperti yang dilaporkan The Health Board, sakit tekak bukan hanya berlaku apabila anda mengalami selsema atau batuk, keadaan persekitaran juga boleh menyebabkan perkara ini.

Antaranya apabila udara di persekitaran rumah terlalu kering, atau jika di kawasan berdekatan anda ada orang yang merokok juga boleh menjadi punca sakit tekak pada waktu pagi.

Dalam pada itu, apabila bangun dari tidur dan anda mengalami sakit tekak, ia tidak semestinya kesan sampingan daripada gejala selsema atau batuk.

1. Alahan

Walaupun gatal dan bersin mungkin merupakan gejala pertama yang anda fikirkan, namun alahan bermusim juga boleh menyebabkan tekak anda sakit dan gatal.

Menurut LiveStrong, debunga, habuk, atau bulu boleh mencetuskan keradangan pada saluran pernafasan dan menyebabkan ketidakselesaan tekak.

2. Udara sejuk dan kering

Keadaan yang sangat sejuk atau kering boleh menyebabkan badan meningkatkan pengeluaran lendir dalam usaha mengekalkan saluran udara yang lembap.

Apabila lendir tambahan itu mula meresap, ia boleh menimbulkan perasaan tidak selesa yang menyebabkan kerongkong kesat.

3. Kecederaan pita suara

Karaoke terlalu lama dan menjerit terlalu banyak boleh meregangkan pita suara, malah menyebabkan tekak bengkak sementara.

Akibatnya, suara anda bertukar serak dan tekak berasa sakit.

4. Penyakit serius

Walaupun jarang berlaku, sakit tekak boleh menjadi tanda masalah kesihatan yang serius seperti kanser dan HIV.

Biasanya masalah ini disertai dengan simptom lain seperti sukar menelan, berasa ada ketulan di leher, lendir atau kahak yang berdarah atau gejala seperti selsema yang lain.

kredit artikel : mstar.com

Atasi hidung tersumbat elak gejala sampingan… ambil tahu 7 cara berkesan ini

HIDUNG tersumbat adalah salah satu simptom yang boleh didapati pada penghidap Covid-19 varian Omicron, malah jika tidak diatasi dengan betul ia akan mendatangkan kesan sampingan lain.

Gejala itu sangat menjengkelkan kerana seseorang itu akan menghadapi kesukaran untuk bernafas melalui hidung seperti biasa.

Namun, pelbagai kajian mengatakan ia tidak baik untuk kesihatan badan jika bernafas melalui hidung terlalu lama.

Selain menyebabkan mulut menjadi kering, ia tidak dicipta untuk bernafas. Ini kerana, rongga mulut tidak mempunyai perlindungan untuk menapis udara kotor, habuk yang penuh bakteria atau kuman.

Dalam pada itu, untuk bernafas secara normal semula, cara berikut akan mengatasi hidung tersumbat, termasuklah;

1. Mandi air suam

Mandi air panas atau suam boleh membantu melegakan hidung tersumbat, tetapi suhu air tidak boleh terlalu tinggi.

Anda disarankan menutup pintu bilik mandi supaya lembapan dapat dikumpulkan. Apabila kelembapan cukup, tarik nafas sedalamnya untuk membersihkan sinus.

Wap yang terhasil daripada air panas itu juga boleh mengurangkan pengeluaran lendir supaya hidung boleh bernafas semula dengan normal.

Walaupun wap panas tidak bertahan lama, kaedah ini boleh digunakan sebagai penyelesaian alternatif untuk kelegaan sementara.

2. Suhu bilik

Berada di dalam bilik dengan suhu udara yang hangat dan lembap juga salah satu cara paling berkesan untuk menangani hidung tersumbat. Sebabnya, ini boleh meredakan keradangan dan melegakan pembengkakan saluran darah di hidung.

Cara paling mudah untuk melakukannya adalah hidupkan pelembap udara dalam bilik selain meningkatkan kandungan air di udara.

Tidak hairanlah pelembap udara ini digunakan untuk penghidap asma, walaupun keadaan bilik itu tidak memberikan faedah yang konsisten dalam merawat hidung tersumbat, namun ia menjadikan pernafasan lebih mudah buat seketika.

3. Minyak kayu putih

Minyak kayu putih atau balsam boleh menjadi senjata untuk merawat hidung tersumbat dengan menyapukan sedikit pada permukaan lubang hidung supaya aromanya dapat disedut.

Jika perlu, sapukan juga pada bahagian dada supaya badan menjadi hangat dan rasa lebih selesa.

Minyak kayu putih yang diperbuat daripada daun kayu putih telah digunakan beribu-ribu tahun sebagai ubat, malah dikatakan boleh membunuh bakteria penyebab jangkitan sinus secara beransur-ansur.

4. Minum air putih

Apabila seseorang mengalami selsema yang teruk, lendir akan menjadi pekat dan menyumbat hidung. Atasinya dengan memperbanyakkan meminum air suam.

Air suam boleh membantu melonggarkan lendir di saluran pernafasan dan dapat mengurangkan tekanan dalam sinus.

Jika anda tidak biasa meminum air suam, cuba minum campuran halia dan teh pudina, cuka sari apel, atau teh lemon dan madu suam, yang mempunyai sifat anti radang dan antioksidan baik untuk membersihkan saluran hidung.

5. Kumur air garam

Apabila lendir menyerang kawasan hidung dan tekak, segeralah berkumur-kumur dengan air masin atau garam.

Air garam dikatakan boleh melegakan sakit tekak dan gatal-gatal pada bahagian hidung yang tersumbat, malah memberikan kelegaan sementara pada saluran pernafasan.

Caranya, cuba larutkan setengah sudu teh garam dalam 200 ml air suam, kemudian gunakan untuk berkumur-kumur dan lakukan tips ini empat kali sehari.

6. Bantal

Hidung tersumbat juga sering berlaku pada waktu malam semasa tidur, oleh itu, disarankan untuk menggunakan bantal yang lebih tinggi sedikit ketika hendak tidur.

Cara itu sangat berkesan untuk memudahkan lendir dalam hidung mengalir ke kerongkong anda disamping ketika bangun dari tidur, rasa tersumbat, sesak nafas dan kurang selesa pada tekak dan hidung akan berkurangan.

Namun perlu diketahui, selepas menangani dan mengalami hidung tersumbat, segeralah berjumpa doktor pakar untuk mengelakkan kesan atau gejala sampingan berlaku.

kredit artikel : mstar.com

Minum air sejuk beri kesan buruk pada kesihatan, mitos atau fakta?

SETIAP kali mengalami demam atau sakit tekak pasti ramai di antara kita yang mengelak daripada minum minuman sejuk atau berais kerana ia dikatakan dapat memburukkan lagi keadaan.

Malah wanita yang baharu lepas melahirkan anak juga sering mengelak air sejuk yang kononnya boleh menjejaskan proses pemulihan ketika berpantang.

Sebenarnya minum air sangat penting untuk memastikan semua fungsi tubuh dapat bergerak dengan baik termasuklah sistem pencernaan dan metabolisme, menjaga suhu badan dan paling penting agar tubuh tetap terhidrasi.

Benarkah anggapan meminum air sejuk dan berais boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan? Medical News Today melaporkan beberapa kajian menunjukkan ia tidak memberi kesan buruk kepada kesihatan.

heat%20wave

Air sejuk sebenarnya memberi pelbagai manfaat.

Sebaliknya ia memiliki pelbagai manfaat bagi kesihatan manusia.

Beberapa kajian menunjukkan bahawa minum air sejuk ketika bersenam dapat meningkatkan daya tahan seseorang.

Contohnya, kajian pada 2012 melibatkan 45 lelaki menemukan bahawa minum air sejuk ketika bersenam secara signifikan mengurangkan kenaikan suhu tubuh berbanding pengambilan air dalam suhu normal iaitu sekitar 16 darjah celcius.

Kajian lain yang diterbitkan pada 2014 pula menyelidik kesan minuman berbeza terhadap prestasi 12 atlet lelaki berbasikal dalam iklim tropika.

Para penyelidik mendapati bahawa minum air berais adalah lebih baik untuk prestasi mengayuh berbanding air pada suhu neutral.

Tidak hanya itu, berdasarkan kesimpulan yang dibuat penyelidik menunjukkan atlet mencapai prestasi lebih baik ketika minum minuman berais perasa mentol.

ice-water

Ada beberapa keadaan tidak dibolehkan mengambil air sejuk.

Pun begitu, air berais tidak digalakkan bagi sesetengah orang yang mengalami keadaan tertentu kerana ia diketahui boleh memburukkan lagi keadaan.

Ini termasuklah mereka yang mengalami masalah kerongkong dan penyakit berkaitan saluran pemakanan seperti achalasia perlu mengelak daripada minum air berais.

Achalasia adalah keadaan di mana seseorang sukar menelan makanan dan minuman. Kajian pada 2012 mendapati air berais boleh memburukkan simptom penyakit itu.

Sementara itu, dalam kajian lain terhadap 669 wanita pada 2001 menunjukkan air sejuk dapat menyebabkan sakit kepala kepada beberapa responden.

Penyelidik melaporkan 7.6 peratus peserta kajian itu mengalami sakit kepala selepas minum 150 ml air ais melalui cara menyedut menggunakan straw.

Mereka juga mendapati ada peserta mengalami migrain aktif, selain berdepan masalah sakit kepala selepas minum air sejuk berbanding mereka yang tidak pernah mengalami sakit itu.

Ada juga mendakwa minuman berais dapat menyebabkan selesema dan sakit tekak, namun tiada bukti secara ilmiah terhadap dakwaan itu

kredit artikel : mstar.com

Hampir 4 juta penduduk Malaysia hidap diabetes… tiba masanya ubah gaya hidup, 3 cara ini paling mudah!

MALAYSIA merupakan negara yang mempunyai jumlah penghidap penyakit diabetes yang tertinggi di Asia, juga antara paling ramai di dunia selepas Arab Saudi.

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 (NHMS 2019), peratusan pesakit diabetes di Malaysia telah meningkat daripada 13.4 peratus pada 2015 kepada 18.3 peratus pada tahun 2019.

Laporan ini turut menunjukkan bahawa satu dalam lima individu dewasa berumur 18 tahun ke atas menghidap penyakit diabetes atau bersamaan dengan 3.9 juta penduduk Malaysia.

Perubahan gaya hidup dapat membantu mencegah seseorang terkena diabetes jenis dua dan perkara ini sangat penting bagi mereka yang memiliki risiko menghidap penyakit itu seperti obesiti, kolesterol tinggi atau sejarah keluarga.

Dengan mencegah penyakit itu, seseorang dapat menghindari pelbagai komplikasi kesihatan yang disebabkan olehnya seperti kerosakan saraf, buah pinggang dan penyakit jantung.

Berikut adalah beberapa cara mudah mencegah diabetes termasuklah;

tmp_0lfOTH_484bcb2a29f03f76_dcff75d692fb6f53_PS17_0001_GetFit_CleanEating_Broll_4368_2_

1. Mengurangkan berat badan

Menurunkan berat badan dapat mengurangkan risiko diabetes. Dalam sebuah kajian, mereka yang berjaya menurunkan tujuh peratus berat badan dengan bersenam dan diet dapat menurunkan risiko terkena penyakit itu sebanyak 60 peratus.

The American Diabetes Association menyarankan individu di peringkat pra diabetes perlu mengurangkan sekurang-kurangnya 10 peratus berat badan mereka untuk mencegah diabetes daripada terus berkembang.

Senaman

2. Lebih aktif

Ada banyak manfaat daripada aktiviti fizikal yang dilakukan secara teratur. Senaman bukan sahaja dapat mengurangkan berat badan tetapi beberapa perkara seperti menurunkan gula dalam darah, meningkatkan sensitiviti terhadap insulin yang membantu menjaga kandungan gula dalam darah.

Vege

3. Lebihkan sayur-sayuran

Sayur-sayuran mempunyai pelbagai serat dan cukup membantu dalam proses menurunkan berat badan dan risiko diabetes.

Selain itu sayuran yang berserat dapat melambatkan proses penyerapan gula dan menurunkan kadar gula dalam darah dengan lebih baik.

Ia sekaligus turut mempengaruhi kesihatan jantung, tekanan darah dan keradangan.

kredit artikel : mstar.com

Semakin ramai dijangkiti semula Covid-19, lakukan 6 perkara ini bagi mengurangkan risikonya

MALAYSIA kini berada di tengah-tengah gelombang jangkitan varian Omicron dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menjangkakan kes harian Covid-19 di negara ini akan mencecah 15,000 tidak lama lagi.

Tidak hanya kes baharu, penyebaran varian itu membuatkan ramai bekas pesakit turut dijangkiti semula dengan wabak itu. Terbaharu, penyanyi sensasi Nabila Razali memaklumkan dirinya dijangkiti Covid-19 buat kali kedua dan sedang berada dalam kuarantin.

Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) turut memaklumkan sedang giat melakukan kajian berkaitan perkara itu termasuk golongan berisiko yang terdedah kepada jangkitan berulang, tempoh, tahap keparahan dan risiko penularan daripada orang yang dijangkiti ke orang lain.

Sebenarnya seseorang boleh melindungi diri daripada jangkitan semula Covid-19 dengan menerapkan protokol kesihatan yang ketat dan mengambil langkah berjaga-jaga.

1. Vaksinasi lengkap dan booster

Setiap orang disarankan untuk segera mendapatkan vaksinasi dos lengkap dan booster. Kajian menunjukkan vaksinasi Covid-19 dapat mencegah penularan dan mengurangkan keparahan gejala wabak itu sekiranya dijangkiti.

2. Gunakan pelitup muka

Individu yang pernah dijangkiti Covid-19 perlu terus memakai pelitup muka untuk mencegah jangkitan semula. Gunakan pelitup muka jenis N95 dan KN95 yang lebih berkesan berbanding mask jenis lain.

1208605045

3. Jaga jarak

Sudah pernah dijangkiti Covid-19 bukan bererti seseorang boleh mengabaikan SOP menjaga jarak malah sebaik-baiknya tetap menjaga jarak dengan orang lain sekurang-kurangnya satu meter.

Berada terlalu dekat dengan orang lain yang tidak diketahui status mereka dapat meningkatkan risiko jangkitan berulang.

4. Hindari aktiviti berkumpul

Jika tiada hal yang penting, adalah lebih baik duduk di rumah. Sekiranya perlu keluar, jauhi berada dalam kelompok orang ramai yang berkumpul.

2019_06_03_73783_1559498805._large

5. Mencuci tangan

Semakin ramai mula mengabaikan rutin mencuci tangan menggunakan sabun. Ini kerana virus itu dapat melekat di tangan dan masuk ke dalam tubuh tanpa disedari.

Penggunaan pencuci tangan juga sangat membantu bagi memastikan tangan sentiasa bersih dan paling penting dapat mengurangkan risiko jangkitan semula.

6. Menjaga daya ketahanan tubuh

Tahap daya ketahanan tubuh yang lemah dapat meningkatkan risiko jangkitan berulang. Oleh sebab itu pastikan menjaga ketahanan tubuh anda dengan pemakanan seimbang, tidur yang cukup, mengawal tekanan dan bersenam.

kredit artikel : mstar.com

Terpaksa kuarantin kerana Covid-19… Ini boleh anda dilakukan supaya tak tertekan dan cepat sembuh!

MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan individu bergejala yang didapati positif selepas menggunakan Antigen Rapid Test Kit (RTK Antigen) tidak perlu melakukan ujian pengesahan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase (RT-PCR).

Sebaliknya individu tersebut seharusnya menganggap diri mereka positif Covid-19 walaupun tanpa pengesahan ujian RT-PCR dan menjalani kuarantin seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Jalani segera ujian Covid-19 sekiranya bergejala dan muat naik keputusan sama ada positif atau negatif ke MySejahtera.

“Individu positif Covid-19 kategori 1 (tiada gejala) dan 2A (gejala ringan) serta tidak berisiko tinggi (60 tahun ke bawah dan tidak mempunyai sebarang komorbid) tidak perlu hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC),” ujarnya dalam sidang media, Isnin lalu.

553

Khairy Jamaluddin.

Terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan pesakit ketika menjalani kuarantin. Ini bagi mengelakkan pesakit berasa bosan selain dapat meningkatkan imunisasi badan serta lebih cepat sembuh.

1. Jangan lewat makan

Makanan menjadi sumber tenaga tubuh dan sepanjang kuarantin sebaik-baiknya jaga pemakanan dan jangan lupa makan selain mengambil makanan sihat.

2. Aktif bergerak

Meskipun menjalani kuarantin di rumah, pesakit perlu tetap aktif. Mereka boleh melakukan gerakan ringan seperti berjalan-jalan di ruang tamu, menari atau pun melakukan senaman ringan.

COVID-19-Cara-pemantauan-kendiri-dan-kuarantin-di-rumah-sekiranya-anda-disahkan-positif-atau-kontak-rapat

3. Buat perkara disukai

Bagi mengelakkan rasa bosan, ini masanya untuk anda melakukan perkara disukai seperti membaca buku, menonton filem, bermain alat muzik, mengaji al-Quran dan sebagainya.

4. Berfikiran positif

Perkara paling penting adalah sentiasa berfikiran positif dalam usaha untuk pulih. Pada masa sama anda perlu tetap berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan sama ada melalui media sosial, panggilan telefon dan sebagainya. Ia membantu proses pemulihan.

Sejak 6 Februari lalu, Malaysia kembali mencatatkan jumlah kes positif melebihi 10,000 kes dan menurut Khairy ia bukan sesuatu yang luar jangka.

Situasi itu disebabkan penularan varian Omicron yang lebih mudah merebak dan peningkatan kes juga disaksikan di negara-negara lain di seluruh dunia.

kresit artikel : mstar.com

Ambil perhatian! Ada 7 punca sakit kaki tapi bukan kerana terseliuh

KAKI merupakan organ penting tubuh yang bertindak sebagai penyokong dan berfungsi untuk berjalan, siapapun yang mengalami sakit kaki pasti akan menghadapi kesukaran bergerak disamping mengganggu aktiviti harian.

Kesakitan pada kaki adalah keadaan biasa selepas kecederaan seperti jatuh, tersandung, tumbukan dan terseliuh yang boleh merosakkan tulang, otot, dan sendi kaki atau ketiga-tiganya sekali.

Kebanyakan sakit kaki disebabkan oleh kecederaan atau keradangan pada mana-mana struktur yang terdapat pada kaki seperti tulang, sendi, otot kaki, tendon, ligamen, saluran darah, saraf dan kulit. Biasanya keradangan tisu menjadi punca kesakitan.

Bukan sahaja keadaan traumatik ini yang menyebabkan sakit kaki, ia juga boleh disebabkan oleh keadaan perubatan atau bukan disebabkan trauma.

Dalam pada itu, terdapat beberapa punca sakit kaki yang bukan disebabkan terseliuh, termasuklah;

1. Sakit Pinggang

Sakit pinggang boleh menyebabkan kesakitan dan kebas pada kaki, biasanya orang yang mengalami masalah belakang akibat arthritis atau cakera pecah berisiko tinggi mengalami sakit pelvis dan kemudian merebak ke kaki.

Sakit kaki akibat keadaan ini boleh menyebabkan ketidakupayaan untuk melenturkan kaki, ini berlaku kerana saraf sakral pertama mengalami kecederaan.

Jika sakit belakang dan kaki disertai dengan kelemahan otot, terjatuh, atau perubahan dalam fungsi usus atau pundi kencing, ini mungkin petunjuk anda mengalami cauda equina – menandakan kecemasan yang melibatkan saraf tunjang.

2. Kekejangan Otot

Kekejangan otot adalah gejala pengecutan otot yang kuat dan mendadak, malah boleh berterusan hingga beberapa minit. Biasanya gejala itu berlaku di kaki.

Bagaimanapun, keadaan ini boleh berlaku semasa bersenam atau selepas bersenam. Contohnya, apabila anda mengalami dehidrasi, kekurangan elektrolit dalam badan, tidak cukup memanaskan badan sebelum bersenam, atau bersenam terlalu lama, otot anda menjadi lemah dan mudah kejang.

Jika kaki mengalami kekejangan, gunakan kompres atau mandi air panas untuk membantu meredakan kesakitan. Tetapi kaedah ini tidak disyorkan untuk penghidap diabetes atau kecederaan saraf tunjang.

3. Penggumpalan Darah

Darah beku dalam urat dan arteri besar yang terletak di perut, pelvis, atau kaki adalah salah satu punca sakit kaki.

Ini berlaku kerana badan anda tidak bergerak secara aktif untuk masa yang lama, seperti duduk dalam tempoh penerbangan yang jauh atau menaiki kereta terlalu lama.

Selain itu, gumpalan darah lebih berisiko untuk orang yang berlebihan berat badan, merokok, atau mengambil ubat tertentu.

4. Shin splints

Shin splints adalah kesakitan yang muncul tepat pada tulang kering, keadaan ini juga dikenali sebagai sindrom tekanan tibial hingga menyebabkan bengkak.

Malah, ia adalah kecederaan biasa yang sering berlaku di kalangan penari dan pelari. Selain itu, orang biasa yang melakukan senaman berintensiti tinggi juga terdedah untuk mengalami shin splints.

Kecederaan ini boleh dicegah dengan kaedah latihan secara beransur-ansur. Jika penghidap terus bersenam dan tidak menghiraukan kesakitan, shin splint boleh berkembang dan menyebabkan tulang berisiko patah.

Malahan, terlalu banyak kecederaan boleh menyebabkan kesakitan dan trauma pada otot, tendon dan sendi yang boleh mengambil masa yang lebih lama untuk sembuh.

5. Achilles tendinitis

Tendon Achilles adalah tisu yang menghubungkan otot betis ke tumit, jika tiba-tiba terdapat tekanan tambahan pada otot betis, tendon Achilles mungkin membengkak atau pecah sekaligus menyebabkan sakit pada betis dan bengkak.

Jika anda mengalami simptom ini, letakkan ketulan ais untuk melegakan kesakitan atau mengambil ubat anti radang.

Bagaimanapun, dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu, disamping elakkan melakukan sesuatu yang boleh meningkatkan kesakitan.

6. Vena Varikos

Manakala vena varikos adalah urat bengkak atau bersimpul yang membesar disebabkan oleh pengumpulan darah di dalam saluran urat saraf.

Secara teorinya, vena varikos dicirikan sebagai urat yang berwarna ungu atau biru tua. Ia lebih mudah kelihatan bengkak atau membonjol dan sukar disorokkan.

Keadaan ini bukan sahaja menyebabkan tompokan pada kulit yang mengganggu penampilan, tetapi boleh mengakibatkan kekejangan otot dan kaki berdenyut-denyut disertai kesakitan.

7. Kencing Manis

Diabetes boleh menyebabkan saraf di kaki tidak berfungsi sekiranya seseorang itu tidak mengawal pengambilan paras gula dalam darah.

Perlu diketahui, gejala sampingan mungkin akan berlaku seperti kesakitan, jangkitan kulit, kebas, atau rasa kemutan pada kaki.

Diabetes juga merupakan faktor risiko penyakit vaskular periferal (PAD), yang boleh menyebabkan saluran darah menjadi sempit di kaki malah mengurangkan aliran darah ke otot.

kredit artikel : mstar.com

Doktor jelaskan mengapa bahaya letak tuala lembab di dahi, kepala anak ketika demam

SETIAP kali anak demam tindakan pertama yang dilakukan ibu bapa adalah dengan meletakkan tuala lembab di atas dahi yang kononya dapat menyerap haba panas dan menurunkan suhu badan.

Namun Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr Mansor Ramli mendedahkan perbuatan itu sebenarnya dapat memburukkan lagi keadaan selain mengundang risiko terkena sawan.

Jelas Dr Mansor, tindakan menekap tuala ke dahi kanak-kanak sebenarnya akan menghalang haba daripada keluar dan apabila suhu badan semakin meningkat ia boleh menyebabkan kanak-kanak terkena serangan sawan.

Fever

Penggunaan tuala lembap akan memerangkap haba.

“Bayangkan periuk nasi, haba di bahagian bawahnya akan terus terperangkap dan panas itu tidak dapat dilepaskan dan apabila panas naik ke kepala, ia boleh menyebabkan sawan tarik,” katanya menerusi perkongsian di TikTok.

Dr Mansor turut memberitahu kebiasaannya kaedah tersebut tidak bertahan lama dalam mengurangkan suhu panas kanak-kanak selain sering ditepis kerana berasa kurang selesa.

Kongsinya lagi, kaedah paling berkesan untuk mengurangkan panas badan adalah dengan menyapu air secara terus ke bahagian kepala, leher dan ketiak menggunakan tangan.

Kaedah itu sebaik-baiknya diulang setiap lima minit namun perlu mengelak menyapu air ke bahagian tangan dan kaki untuk mengelak kanak-kanak menggigil dan meningkatkan kembali suhu badan mereka.

Sementara itu, Dr Mansor berkata, ibu bapa juga dinasihatkan untuk tidak terus memandikan anak-anak mereka selepas makan ubat sebaliknya perlu menunggu dua jam sebelum dimandikan.

Ini kerana katanya, suhu badan boleh turun secara mendadak dan boleh meningkat lebih tinggi selepas dimandikan.

“Selepas beri makan ubat makan atau punggung, biarkan terlebih dahulu dan jangan terus mandikan. Tunggu dua jam baru mandikan,” katanya.

kredit artikel : mstar.com

Anda kerap letih sepanjang hari? Mungkin ini 5 puncanya yang perlu dielakkan

RATA-rata individu sering bergelut dengan rasa mengantuk pada waktu siang sehingga masalah ini berterusan dan mula mengganggu kehidupan seharian, baik mereka yang bersekolah mahupun bekerja.

Kebiasaannya faktor seperti kurang tidur dan masalah kesihatan boleh menyebabkan keletihan yang berterusan, malah gaya kehidupan sehari-hari akan berubah drastik.

Bagaimanapun, terdapat beberapa punca yang boleh menyebabkan keletihan berlebihan dan dengan memahami sebab anda mengalaminya ia dapat membantu anda mengetahui perbezaan antara mengantuk biasa dan keletihan sepanjang masa, termasuklah;

1. Melewatkan waktu makan atau makan terlalu banyak

Kecenderungan melewatkan waktu makan boleh menjadi penyebab gejala seperti penat dan mengantuk.

Seperti yang dilaporkan oleh Mirror UK, pengasas Zonas Fertility, Ravina Bhanot, berkata, melewatkan waktu makan menyebabkan anda kurang mendapat jumlah kalori yang betul untuk mengekalkan tahap tenaga badan.

Dalam pada itu, selain lewat waktu makan, makan terlalu banyak juga boleh mengakibatkan gula dalam darah menurun.

2. Kekurangan vitamin

Kurang vitamin dalam badan juga boleh menjadi punca rasa letih setiap hari, malah ada gejala yang mungkin tahap rendah vitamin D, vitamin B-12, zat besi, magnesium atau kalium semakin susut dalam tubuh.

Pun begitu, kebiasaannya hanya ujian darah yang dilakukan secara berkala boleh membantu seseorang itu mengenal pasti kekurangan dalam tubuhnya.

Setelah dikenal pasti, doktor mungkin mengesyorkan mengambil suplemen atau mencadangkan meningkatkan pengambilan makanan yang kaya dengan vitamin tertentu untuk membetulkan kekurangan secara semula jadi.

3. Kurang tidur

Kebanyakan orang dewasa memerlukan antara tujuh dan sembilan jam tidur setiap malam, namun jika individu itu cenderung untuk berjaga lewat malam, ia berisiko tinggi mengalami kekurangan tidur, rasa letih dan kurang tenaga pada keesokan harinya.

Oleh itu, amalkan tabiat tidur lebih baik untuk meningkatkan tenaga badan dengan mendapatkan tidur yang cukup dan lebih awal.

Bhanot menjelaskan, seseorang itu perlu mencuba tidur pada waktu yang sama setiap hari, agar kesihatan terjaga disamping tekanan berkurangan.

4. Berat badan berlebihan

Berat badan yang berlebihan merupakan antara punca utama seseorang itu keletihan dan sering berasa mengantuk disiang hari.

Ini kerana, semakin badan menampung berat badan yang berlebihan, semakin banyak tenaga yang diperlukan dan dikeluarkan melalui tubuh, seperti menaiki tangga, melakukan kerja keras, membersihkan kawasan rumah dan sebagainya.

Dalam pada itu, mereka yang memiliki tubuh berisi disarankan mengawal berat badan dan mengamalkan pengambilan makanan seimbang.

5. Tekanan

Tekanan kronik boleh menyebabkan sakit kepala, ketegangan otot, masalah perut, dan keletihan, malah membahayakan kesihatan seseorang itu.

Tekanan atau stres berpunca daripada kerja yang berlebihan, masalah yang secara tiba-tiba datang, ataupun keadaan yang tidak mengizinkan.

Apabila anda tertekan, ia menyebabkan peningkatan kortisol dan adrenalin yang mengurangkan tenaga dalam badan disamping menyebabkan anda berasa letih sepanjang hari.

kredit : mstar.com